Isnin, 22 April 2019

Assalamualaikum Ustaz!

SEPERTUA, diceritakan orang, di sebuah negeri di bawah jajahan takluk negara Antah Berantah terdapatlah seorang Pak Guru yang tinggal sendirian di hujung kampung. Agak lama juga dia sendirian di situ; tinggal di pondok buluh yang masih kuat ikatan rotan di gelegarnya.
Pak Guru bukannya bujang tapi sudah memiliki empat orang anak, hasil pernikahannya dengan anak Demang Sintuk Limau yang terkenal garangnya.
Hanya tanpa disedari, Pak Guru dalam ligkungan umur awal 40-an itu tidak sengaja terlafaz `aku ceraikan engkau' semata-mata masak lomak lado api ikan baung yang dimasak isterinya kurang garam.
Kata-kata itu turut terdengar oleh Demang Sintuk Limau yang sedang menyirih di anjung rumah.
"Apa yang kau lafazkan tadi lebai? Apa yang kau katakan tadi lebai," dua kali diulang jerkah kemarahannya.
Sejak itulah Pak Guru membawa diri di hujung kampung dan membina sendiri pondok buluh aur itu.
Dipendekkan cerita, tak sampai dua minggu Pak Guru mula berasa lain macam. "Adakah dia sudah sampai naik ke kepala?," tanya fitrah kelelakiannya.
Hari demi hari, Pak Guru bagai sudah tidak tenteram lagi. Setiap hari dia bagai menyumpah dirinya kerana terlafaz kata-kata yang menjatuhkan tarafnya buat sementara waktu daripada suami kepada duda.
Entahlah. Dia tidak tahu. Menurut rakan baiknya yang sama berguru di pondok dahulu; amarah Pak Guru kebelakangan ini bagaikan tidak terkawal. Ada sahaja salah orang di matanya. Orang tuai padi tengah malam kerana banjir besar dijangka tiba sehari dua, orang itu `dijatuhkan hukum menurut agama' sebagai gila.
Ada orang yang memberi pandangan yang berbeza dengannya, orang itu senang-senang sahaja dikatakan bodoh. Lebih parah, dia yang bercerai talak satu; habis semua orang di desa itu dikatakan sudah bercerai.
Oleh kerana itulah, kepimpinan tua peringkat negara Antah Berantah membuat keputusan melarang Pak Guru mengajar di madrasah lagi.
Masa yang panjang kerana tidak sibuk lagi memungkinkan Pak Guru berfikir yang bukan-bukan. Ah! Air sudah naik ke kepala.
Pada suatu malam yang dingin, Pak Guru dengan berpakaian yang diagak tidak dikenal orang melakukan ziarah juga ke tempat terlarang; nun jauh... jauh.. di hujung tanjung.
Dipendekkan cerita lagi, dalam keadaan yang tidak terkawal, dia segera menanggalkan pakaian samarannya.
"Assalamualaikum Ustaz!," kata wanita yang masih berpakaian lengkap.
"Saya Teratai. Saya selalu bertanya Ustaz dalam kuliah agama mengenai hukum isteri yang ditinggalkan hanya kesalahan kecil," kata janda anak satu itu.
Tiba-tiba, kesemua milik Pak Guru jatuh.