Jumaat, 26 Ogos 2022

Ghulap Khan

Siti Rahmah Mohd Som dan Nor Muhamad Ghulap
Foto: Koleksi Najib Nor Muhamad (sepupu SP)

Pada penghujung tahun 1948, nenek pagi-pagi lagi sudah ke Kampung Pelegong kira-kira dua Kilometer dari rumahnya di Kampung Merbau Condong untuk pergi menoreh getah.

Nenek Siti tidak boleh mengharap sesiapa untuk menyara empat anak termasuk Nor Muhamad  anak kecilnya bersama suami kedua, Ghulap – tentera upahan British yang berpengkalan di Kem Rasah.

Sewaktu bersama arwah suami pertama, Ahmad, nenek melahirkan Salmah, Timah Nor dan Rubiah.

Dalam perutnya pula bakal lahir Razak, manifestasi kecintaan terhadap lelaki sasa berketurunan Pathan yang dikenali paling berani seantero dunia.

Sejak dua hari lalu Ghulap membawa  anak sulung dan anak kedua mereka Yamcik dan Sharnaz tinggal di kuaters.

Setiap hari nenek menjenguk denai di hadapan rumah yang sepelaung dari jalan kereta api Tiroi - Labu.

Waktu itu ada `halt’ (stesen kereta api kecil) berhampiran rumah. Di `halt’ itulah itu tempat Ghulap turun apabila balik ke rumah pada hujung minggu.

Nenek begitu rindukan Yamcik dan Sharnaz yang baharu berusia  empat dan enam tahun. Kedua-dua anaknya itu jelas wajah kacukan Melayu-Pathan.

Sambil menyapu halaman rumah, mata nenek terjenguk-jenguk denai menuju `halt’ apabila kereta api yang mengeluarkan asap tebal dan bunyi bising itu, berhenti sekitar dua minit.

“Agaknya Ghulap, Yamcik dan Sharnazlah tu,” getus hati yang membuak rindu.

Kini, sudah lebih sebulan suami dan dua anak tercintaannya masih tidak pulang. Untuk ke tempat kerjanya bukan satu tugas mudah. Setelah membayar tambang 15 sen dan turun di Stesen Seremban, nenek pula perlu mencari kenderaan menuju Kem Rasah.

Hari demi hari, nenek terus menunggu dan menunggu setia tapi resah hatinya bukan kepalang.

Suatu hari sedang membakar sampah daun-daun rambutan yang gugur, terdengar loceng basikal Raleigh berbunyi.

Benar, posmen Rashid datang membawa surat.

Tanpa berlengah, nenek segera ke rumah Imam Zainudin dengan menyeberang jalan kereta api untuk disuruh membaca kandungan surat yang baharu diterima.

“Saya sudah balik Kabul. Yamcik dan Sharnaz ada di sini.

Jangan susah hati!

Masa lalu depan rumah, saya suruh Yamcik dan Sharnaz tunduk supaya awak tidak nampak kami ada dalam kereta api.”

Nenek tidak dapat menahan sebak lalu meraung sekuat hati.

”Ghulap! Sampai hati kau tinggalkan den!” Imam Zainudin lalu menenangkan.

Foto: Koleksi Najib Muhamad (anak Nor Muhamad Ghulap, sepupu Sang Pencerita yang tinggal berdekatan di Taman Pinggiran Golf, Seremban)