Halaman

Rabu, 28 September 2011

Namanya Dr…


Dr... pernah bersama-sama di sini dahulu

Bukan sehari aku mengenalinya – sejak lebih suku abad lalu. Selain bersama-sama sewaktu mengambil ijazah pertama, dia rakan baikku sewaktu mengambil ijazah kedua di luar negara.
     Bagaimanapun sejak lebih setahun lalu dia aku lihat telah berubah. Terlalu jauh berubah sejak sebulan dua ini. Dia Dr…
     Puncanya, peristiwa Mac 2010. Dia menemui aku kerana kesulitan wang dan tanpa berfikir panjang, RM5,000 diserahkan. Duit tidak ada masalah kepadaku ketika itu, wang graduiti masih banyak berbaki.
     “Belanja anak-anak belajar terlalu tinggi kini. Gaji RM6,000 sebulan tidak mencukupi untuk dua orang anak yang masih belajar di universiti tanpa pinjaman, dia bagai pasrah mengadu.
     Siapa yang tidak kenal dia sewaktu di universiti. Dia seorang orator hebat dan kerana itu dia dipilih sebagai ketua.
     “Mari kita bersama-sama bangunkan keluarga besar ini. Kita mempunyai matlamat yang satu – meningkat maju dalam kerjaya,” katanya dalam suara seorang lelaki tulen.
     Frasa `keluarga besar’ itu kemudiannya turut aku ciplak dalam siri program motivasiku.
     “Ah mengapa dia begini, kini?,” persoalan itu sering bermain-main di kepalaku. Pengalaman lalu turut menjadi input – manusia baik boleh sahaja berubah sebaliknya sekiranya tidak dapat berhadapan dengan kenyataan.
     Bagaimanapun serba sedikit maklumat dapat juga aku kumpul. Antara cerita utamanya, dia percaya beberapa e-mel dari luar negara yang mengatakan ada wang berjuta perlu dipindahkan ke sini. Dia mungkin termakan cerita juta-juta pound sterling itu.
     “Tapi dia bergelar Dr. – doktor falsafah. Bukankah seorang yang bergelar Dr. itu juga perlu berfikiran bertaraf Dr. juga?,” aku mencongak.
     Bagaimanapun pengalaman lalu juga sering memberi indikator – mereka ini cuma Dr. di kertas; bukannya di alam nyata.
     Setidak-tidaknya hampir 10 rakan bergelar Dr. yang rapat denganku mengesahkan tesisku.
     Yang seorang itu tidak berani bercakap mengenai bidangnya sewaktu diminta mengendalikan satu kursus mudah, walhal baharu sahaja tersengih gagah menerima skrol PhDnya.
     Seorang lagi tidak dapat menyelesaikan masalah keluarganya setelah berkahwin dua dan sering mengadu kesempitan wang walaupun berjawatan timbalan pengarah.
     Lebih hodoh, seorang lagi yang bergelar yang sama dan mengajar di universiti pula tidak kenal lagi jantina. Jadi, PhD itu cuma di kertas?
     Lalu peristiwa semalam cukup menjengkelkan. Setelah tiga hari panggilan telefon tidak dijawab walaupun berstatus aktif, sms mudah ini terpaksa dihantar.
     “Berdiam diri dengan tidak menjawab telefon, tidak akan menyelesaikan masalah. Hadapilah kenyataan.”
     Sehingga cerita ini ditulis, nada dering telefonnya masih berbunyi tapi suara di sebelah sana masih belum kedengaran.

Ah Keong dan Semut

Mesin cetak empat warna ini berharga kira-kira RM1.5 juta seunit
Beginilah Ah Keong (berbaju merah tua) sejak lebih 15 tahun lalu
1997. Setelah balik dari Manchester kerana menyambung pelajaran peringkat sarjana, aku masih menjalankan kerja sampingan sebagai ejen pencetakan. Melalui bisnes ini, aku mengenali Ah Keong di kedainya yang menumpang di Jalan Nyonya, Pudu.
     Ah Keong masih muda ketika itu. Isterinya, Lim Pek Lian turut membantu dan anak sulungnya yang masih berusia sekitar dua tahun turut dibawa ke kedai. Sewaktu membawa kerja-kerja minit-minit terakhir, Ah Keong yang menjadi penyelamat.
     Ah Keong sanggup menanggalkan plet di mesin cetak Heidelberg untuk kerja-kerja pelanggan terdahulu semata-mata kerana aku. Dia bijak mencongak. Pelanggan terdahulu cuma membayar RM100 satu run bagi cetakan warna sedangkan aku sanggup menawarkan sekali ganda.
     Aku pula bukan sengaja hendak tunjuk kaya. Aku tiada pilihan lain – membayar sekali ganda tinggi atau buku program yang ditempah, tidak terbit langsung. Penerbitan buku program untuk sesuatu majlis jangan dilihat mudah. Buku itu tidak berharga satu sen pun sekiranya diserahkan selepas majlis perasmian.
     2002. Ah Keong sudah berpindah ke Seri Kembangan. Ini menggembirakanku kerana tidak perlu merentas kesesakan bandar raya lagi. Di sini juga aku lihat, perniagaan Ah Keong semakin maju. Antara kerja cetakan besar yang dibuatnya ialah menghasilkan setidak-tidaknya 10,000 sampul CD cetak rompak sehari.
     Aku juga pernah terlihat Ah Keong mencetak novel Shit karya SN Shahnon Ahmad dan buku yang dihantar anak buah TAD yang bertugas sebagai Setiausaha Agung UMNO ketika itu. Buku yang sepatutnya diedarkan di Perhimpunan Agung UMNO itu kemudiannya `diharamkan.’
     “Cikgu! Saya pernah kena ISA. Saya cetak pasport antarabangsa,” kata Ah Keong jujur sewaktu duduk bercerita kira-kira jam 1.00 pagi sambil meneguk teh tarik halia di gerai mamak di depan kedainya.
     “Memang saya nampak dunia gelap waktu itu. Anak saya masih kecil. Untung saya dapat Lim Pek Lian. Dia yang menguruskan perniagaan,” kata Ah Keong yang bertubuh kurus tinggi itu.
     “Suatu hari, sedang saya duduk termenung di bilik tahanan, saya melihat beberapa ekor semut sedang mencari makanan. Semut itu terjumpa lebihan nasi yang saya makan.
     “Kalau semut boleh hidup dalam jel, mengapa tidak Ah Keong,” kata Ah Keong lagi sambil melemparkan senyum manisnya.
     Beberapa tahun kemudian, Ah Keong sudah memiliki lima pintu kedai yang bersebelahan.
     2011. Lama aku sudah tidak menemui Ah Keong. Selain kesibukan kerja, aku tidak berniaga lagi kerana `sakit tidak bernama’. Hanya mulai 1 Ramadan lalu, aku berniaga lagi dengan sokongan rakan karib yang teruji setianya `sewaktu susah dan senang.’
     Setelah susah mencari premis baharunya, aku disambut riang bagai menemui kekasih yang telah lama hilang. Ah Keong tidak terus mengambil tempahan seperti selalunya, sebaliknya menjadi pemandu pelancong dari satu ruang ke satu ruang kedai yang berukuran 120 kaki X 120 kaki itu.
     “Saya ada ong! Kedai ini cuma RM700,000 satu unit,” cerita Ah Keong mengenai dua unit kedai yang dibelinya kira-kira setahun lalu.
     Dalam ruang yang luas itu kelihatan beberapa unit mesin cetak empat warna yang aku ketahui harganya sekitar RM1.5 juta seunit. Di samping itu Ah Keong memiliki kesemua peralatan mencetak dari kerja pisah warna hingga menjilid buku. Syarikatnya sudah menjadi pusat cetakan sehenti.
     “Tak adalah cikgu! Sikit-sikit cari makan,” jawabnya sewaktu aku anggarkan hartanya kini bernilai lebih RM5 juta.

Logo Jabatan Kebajikan Masyarakat

Memang kelihatan hebat apabila dapat berdampingan dengan isteri PM, tapi...

Ada logo Jabatan Kebajikan Masyarakatkah di dahiku? Aku semakin tertanya-tanya mengenai perkara ini khususnya sejak akhir-akhir ini. Atau adakah muka aku memang muka `sueh’! Masya-Allah, jangan sesekali kau sebut perkataan itu kepada dirimu. Allah lengkap mencipta segala-galanya. Jadi? Jadi apa? Ini persoalannya. Persoalan berasaskan peristiwa yang berlaku dalam satu hari iaitu hari ini.
     Sedang sibuk menguruskan Perjumpaan Hari Raya dan Majlis Tahlil, X Staf IPG Kampus Raja Melewar petang tadi, aku menerima mesej yang lebih kurang begini bunyinya di telefon bimbit.
     “Jawatankuasa … kurang setuju dengan kos buku program berdasarkan perjanjian. Lagipun tiada promosi dilakukan dan bajet tidak mencukupi. Jadi saya KIV dahulu bayaran.”
     “Perjanjian apa?,” aku bertanya. Perjanjian telah dilanggar sebelum termetri. Mengikut janji awal, memang kami bersetuju menguruskan penerbitan buku itu melalui kutipan iklan tetapi pada masa yang sama kehadiran logo syarikat kami sebagai Rakan Media tidak dibenarkan. Cari dalam dunia ini, syarikat yang sanggup bersengkang mata mencari duit untuk orang secara percuma? Ada! Ya, memang ada. Ia bukan syarikat tapi jabatan. Jabatan apa? Jabatan Kebajikan Masyarakat.
     Menariknya (memang aku suka mengalami kisah thriler begini) semua perkara ini ditimbulkan setelah hajat (kerja) masing-masing selesai. Dalam bahasa mudahnya, dah lepas tengkuk.
     Aku tidak mahu cerita panjang kisah ini khususnya cerita-cerita di awal perbincangan. Pada masa itu, kami memang diperlukan walaupun seluruh tenaga staf terpaksa digerakkan untuk mengejar dateline. Bukan mahu riak, cari syarikat di Seremban yang mampu mencetak buku program 16 halaman warna yang mana bahan akhirnya diberikan sekitar jam 9.00 pagi dan buku dapat disiapkan kira-kira jam 5.00 petang (buku diperlukan pada sebelah malamnya).
     Berbalik kepada kisah perjumpaan Hari Raya petang tadi, ceritanya hampir serupa. Aku bukannya ahli jawatankuasa malah tidak pernahpun mengisi borang ahli. Sejak minggu lalu, aku terpanggil membantu Haji Yunus Ibrahim semata-mata atas rasa simpati. Dia berseorangan untuk menguruskan majlis itu lalu aku membantu menghubungi rakan yang ada nombornya di telefon bimbit, mengurus tempat pertemuan (jabatan tempat aku bertugas sebelum bersara) dan menempah makanan.
     Hanya petang kelmarin, angka terakhir dapat diberikan kepada katerer setelah menggabungkan nama yang mengesahkan penyertaan yang ada pada diriku, Haji Yunus dan Haji Kadir.
     Jumlahnya cuma 47 orang lalu aku menjadikannya 60 orang untuk mengelakkan ada yang `tidak makan.’
     Petang tadi, sambil menjadi pengacara, aku sempat mengira. Jumlah yang hadir melepasi angka 60 dan tentunya sesetengah juadah yang terhidang tidak mencukupi khususnya nasi himpit dan lemang. Soto berlebihan.
     Maka adalah yang bertanya, “Berapa banyak yang kau tempah?” Aku memberi angka. “Mengapa sedikit sangat?”
     Mahu sahaja aku menyuruh mereka bertanya terus kepada beberapa rakan yang hadir. “Untuk membuat keputusan sama ada membawa isteri atau suamipun, sehingga hendak bertolak ke tempat jamuanpun tidak tahu.”
     “Untuk mengesahkan hadir atau tidak, juga memerlukan masa setahun agaknya?”
     Ada pula yang menelefon beberapa minit sebelum majlis bermula. “Aku kena wakil bos dalam mesyuaratlah,” sedangkan petang kelmarinnya memberitahu akan hadir dan meminta pula supaya membungkus makanannya kerana masih berpuasa enam.
     Pada sebelah pagi pula, aku diminta hadir untuk membuat rakaman video Konsert Kasih Dititip, Budi Bersemi yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri. Sehingga pagi semalam `tauke wayang’ masih tidak dapat mengesahkan term and condition yang diberikan tetapi sewaktu terbaca buku program pagi tadi, memang aku `tauke videonya.’
      Kalau ikut cara berniaga sebenar, aku boleh melupakan sahaja acara itu. Mengapa aku perlu bersusah payah mengerah lima staf syarikat untuk melaksanakan tugas yang belum pasti bayarannya?
     “Tolong! Tolong den yo?,” begitulah dialog yang kedengaran selalunya yang lebih berpihak kepada mereka. Kata-kata lembut dan berbunga indah hanya lunak `sebelum terlepas tengkuknya.’
     Maka bertanyalah aku kembali. Aku ini apa? Aku ini siapa? Confirm! Memang di dahi aku ada logo Jabatan Kebajikan Masyarakat? Kena mandi bunga?

Isnin, 26 September 2011

Di Masjidpun, Bos Juga?


SEBAIK-BAIK usai solat Jumaat, tanpa menunggu imam membaca doa, aku segera berkejar ke kereta untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas. Tambahan pula, aku menggunakan kereta isteri yang akan ke pejabat sebentar nanti. Seperti biasa, aku memparkir kereta di dalam kawasan masjid kerana masih ada lot kosong di situ.
     Sewaktu menghampiri kereta, aku terlihat sebuah Proton Perdana berwarna hitam menghalang di belakang. Di tempat duduk kelihatan seorang pemuda berbaju putih yang aku jangka pemandu kepada pemilik kereta.
     Tidak dijangka pula, si pemandu hanya berdiam diri sewaktu isyarat berundur keretaku berbunyi berulang kali. Dia bagaikan tidak mendengar bunyi itu sedangkan cermin keretanya terbuka kerana cuaca panas.
     Sewaktu aku turun dari kereta sambil memandang ke arahnya, dia juga bagai tidak mengerti  lalu aku memenuhi janji `Hari Pengisytiharan Bercakap Secara Berdepan’.
     “Di masjid tidak ada bos dan tidak ada driver,” kataku berterus-terang.
     Beberapa minit kemudian kelihatan Exco Kerajaan Negeri yang juga jiranku tersengih-sengih menuju kereta itu.
     Terfikir di hati, siapa yang perlu menerima kesan tindakan itu? Sang pemandu `setia’ yang terpaksa berlari ke kereta sebaik-baik selesai solat atau tuan punya kereta yang merasakan `dia orang terhormat’ walaupun di masjid?
     Bagi diriku, ini jawapannya.
     “Memanglah wakil rakyat UMNO ini tidak habis-habis dengan sikap TUAN BESARNYA . Di masjidpun hendak tunjuk mereka berkuasa.”
     Tidak adil bukan? Yang buat begitu, pemimpinnya. Yang dapat buruk nama, partinya?

Sabtu, 17 September 2011

Semakin Sukar Menjadi Orang Baik


Azlan, setiausaha pertubuhan (kiri) dan Bang Aziz, Datuk Penghulu
(berkopiah) sedang sibuk membuat persiapan menjelang
majlis sambutan Hari Raya pertubuhan, malam nanti.

“Haji, saya suka entry terbaru you!,” Cikgu Azlan menyapa sebaik-baik aku tiba di pelanggah persiapan Jamuan Hari Raya Jalan Angsana 1, Lorong Angsana 1/4, 1/5 dan 1/6 Taman Pinggiran Golf Ke-15, pagi tadi.

     “Entry yang mana?,”
     “Semakin Sukar Menjadi Orang Baik dan cerita-cerita mengenai Tabung Amal Jariah,” kata Azlan yang juga Editor Edisi Inggeris ceritaapaapasaja, bernafsu.
     “Apa yang menariknya?,” aku sengaja memancing jawapan dan jiranku itu menjawab dengan senyuman.
     “Terima kasih! Sejak kebelakangan ini saya banyak berfikir mengenai fenomena baharu ini - semakin susah untuk menjadi orang baik.”
     “Siapa dalam cerita itu?,” tanya pensyarah Kolej MARA Seremban itu.
     Aku pula menjawab dengan senyuman.
     “Sebetulnya malam tadi saya sudah buat keputusan. ceritaapaapasaja akan mempunyai kategori baharu. Kategori Semakin Sukar Menjadi Orang Baik.
     “Dengan pandangan you, Insya-Allah saya akan mulakan kategori baharu ini mulai hari ini juga,” aku memberi penjelasan yang disambut dengan rasa kepuasan oleh Azlan.
     Kategori terbaharu ini akan memaparkan cerita-cerita yang `tidak pernah terfikir oleh akal’ sebelum ini. Ia cerita biasa tapi membawa natijah yang tidak biasa. Manusia Melayu, manusia Islam semakin sukar dimengerti tapi mudah sahaja dirumus – hebatnya kita apabila berkata, tapi kata itu tidak semestinya dikota.
     Pengalaman lalu terlalu banyak menguji tesis dan sebahagian besarnya tidak antitesis. Tidak percaya? Cubalah.
     “Menegur untuk kebaikan rakan, adalah jalan mencari permusuhan?”
     “Memberi pinjam wang kerana merintih kesulitan, bermakna satu lagi rakan akan hilang.”
     “Bermula dengan mencari simpati untuk menang, berakhir dengan menguasai sepenuhnya persatuan. Persatuan bertukar status - … Sendirian Berhad.”
     “Bertapak melalui persatuan peringkat kampung, dilantik jadi Orang Besar Peringkat Negeri, persatuan peringkat kampung dilupakan.”
     … dan banyak lagi. Kongsilah cerita-cerita begini.
     “Oooophs! Sebelum hantar cerita, ingat pesan orang tua dan agama. Menegur itu ada adat dan budayanya.”
     “Apa yang penting, perkara yang perlu diberitahu, hendaklah diberitahu. Kalau tidak diberitahu, macam mana orang hendak tahu? Kalau tidak tahu, bagaimana hendak mengubah tingkahlaku? Kalau tidak diubah tingkahlaku, …? Ambillah masa 100 tahun lagi, saksikan… ada perubahan?

Khamis, 15 September 2011

Agama dan Keamanan


Tuk Cai 1907-1997
Pada petang 3 Ogos 1997 kembalilah seorang ulamak tersohor dari daerah ini menemui maha pencipta-Nya . Gelaran atau panggilan anak cucunya kepada ulamak tersebut ialah Tuk Cai. Beliau kembali ke rahmatullah pada usia 90 tahun menemui maha pencipta-Nya buat selama-lamanya. Dia panggil saya, Mohamad Ali Hanafiah atau Mohamad Ali sahaja. Mengapa, kurang pasti, saya tidak pernah bertanya ayah ketika dia masih hidup.
     Di sini saya turunkan beberapa kisah luar biasa yang dialami oleh mereka yang hidup dan hampir dengan Allahyarham semasa hayatnya daripada Zainab, adik sebapa dan Azim, menantu pangkat cucu kepada Allahyarham.
Pertama
Pada ketika tengah malam, jenazah terbujur kaku di tengah rumah. Hanya empat wanita mengadap dan membaca ayat-ayat suci al-Quran pada dinihari tersebut. Emak saya, Zainab bersama tiga anak perempuannya sahaja, Habsah, Saodah dan Fatimah berada di sisi jenazahnya. Mak saya, Zainab binti Dahan, cuma seayah dengan ulamak yang terbujur kaku. Malam itu, emak bersama tiga anak perempuan tok guru mengaji Quran di sisi mayat. Tengah malam yang sunyi, ramai yang lain tertidur.
     Dalam keheningan malam tersebut, emak menyedari bau harum menusuk ke lubang hidungnya, tanpa menyuarakannya kepada sesiapa pun. Bau harum wangi itu ditiup angin yang sangat lembut dari arah mayat itu - seharum bunga kasturi yang sungguh menyegarkan hidung yang menyedutnya.
Kedua
Pada pagi keesokannya mayat masih terbujur di tengah rumah diziarahi oleh sanak saudara, kawan dan anak muridnya. Pada satu ketika, ziarah seorang tua buta, naik ke atas rumah dan terus ke tengah rumah, lalu memeluk mayat sambil meratapi dan menangis. Anak-anak Tuk Cai hairan kerana tidak mengenali hamba Allah tersebut.
     Apabila selesai berbuat demikian, orang tua itu turun dan meninggalkan mayat. Kata Azim, anak-anak menoleh dan pandang ke bawah tetapi gagal mengesan dan tidak kelihatan batang tubuh orang tua tersebut.
     Apabila ditanya kepada orang ramai di halaman rumah, tidak ada seorang pun yang menyedarinya. Orang tua buta itu hilang ghaib begitu sahaja. Soalan kepada mereka yang menyedari kehadirannya ialah siapakah orang tua buta itu? Malaikat, wali Allah atau manusia biasa.
Ketiga
Petang selepas solat Asar, solat jenazah dilakukan. Solat jenazah dilakukan sebanyak empat kali kerana memenuhi ruang dewan sembahyang madrasah tersebut. Solat jenazah pertama, diimamkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato Sheikh Murtadha Sheik Ahmad. Setelah disembahyangkan, jenazah dibawa keluar, menurut Azim, air hujan turun renyai-renyai tetapi seolah-olah hujan lalu sahaja dan tidak membasahi jenazah.
Keempat
Petang, selepas jenazah disembahyangkan, jenazah diusung keluar ke kereta jenazah. Pada mereka yang sedar perbezaan dengan sebelumnya menampakkan pokok-pokok tunduk. Kata Azim, pokok-pokok rambutan yang rimbun daunnya di hadapan madrasah itu, kelihatan lebih melentur ke tanah daripada hari-hari sebelumnya.
     Dahan-dahan pokok rambutan di hadapan madrasah tersebut, seolah-olah kelihatan tunduk menghormati jenazah Allahyarham. Perbezaan ini dikisahkan oleh Azim, menantu cucu Tuk Cai.
Kelima
Petang. Kawasan Tanah Perkuburan Kampung Bongek dibanjiri manusia bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tuk Cai. Satu keluarbiasaan yang dirasai ramai ialah ketika jenazah diturunkan ke dalam kubur dan disemadikan di liang lahat, cuaca yang panas, tiba-tiba menjadi redup. Cuaca meratapi kepergian Tuk Cai penuh redha menemui-Nya yang maha pengampun, pengasih dan penyayang. Alam bersedih pemergian seorang ulamak tersohor di luak ini. Dari tanah dia datang dan ke tanah dia kembali. Pemergian dan pengkebumikan jenazah Allahyarham satu kehilangan yang amat besar bagi umat Mohamad S.A.W di luak Rembau dan negeri ini.
     Persoalan yang timbul dalam minda kita semua ialah, harumkah jenazah kita, tundukkah tumbuhan, larikah hujan, redupkah cuaca matahari dan beribukah jemaah yang menyembahyangi jenazah kita?Tentu tidak ada jawapan pada kita semua. Jawapannya hanya ada pada-Nya.
     Mengapa? Tuk Cai menerima keluarbiasaan itu dari Allah S.W.T. Apakah bezanya Tuk Cai dengan kita?. Kelebihan dan keistimewaan Tuk Cai di sisi Allah S.W.T.  boleh dilihat dengan mata, didengar dengan telinga, diucap oleh lidah-lidah yang mengenali Tuk Cai, sebagai saudara, keluarga, sahabat, murid, kawan dan lawannya.
     Namun, mungkinkah Mohamad Ali Hanafiah juga akan mendapat keluarbiasaan seperti Allahyarham. Tentu tidak mustahil kalau sudah menjadi ketentuan-Nya. Wallahualam bissawab.
oleh: Mohamad Abd Ghani

Selasa, 13 September 2011

Kenal Saudara



Pada 30 Ogos 2011, saya mendapatkan perkhidmatan membasuh kereta Kelisa  WJS 7528 di kedai basuh kereta Tuk Cin atau Bronco di Kampung Bongek. Nama sebenarnya Azman Ismail.  Kemudian datang kereta Proton Saga berwarna biru. Wajah pemandunya saya rasa kenal, sekali-sekali terjumpa dalam FB. Dia parkir kereta dan Tuk Cin membasuh kereta Kelisa saya.
     Dia duduk di bangku sebelah kanan saya. Saya  mendiamkan diri sahaja. Saya yakin kenal siapa dia.  Kami bersalam dan dia bercerita tentang keretanya  yang kotor.
     Saya tidak sabar hendak mengenalkan diri.
     “Ni menantu arwah cikgu Zainal, kan?” tanyaku spontan.
     “Ya… mana kenal?” tanya Azim, pemandu kereta Proton Saga biru tadi.  
     “Saya kenal… tetapi kau tak kenal saya, ” terang saya untuk menguji.
     “Siapa, ya?” tanya Azim hendak tahu segera.
     “Saya anak Uwan Inap Selemak,” terangku.
     “Allahuakbar…,”  terperanjat sambil mengucap panjang.
     “Haji Ibrahim, Tuk Cai tu adik-beradik seayah dengan emak saya,” jelasku lagi. ”Tuk Cin Bronco ini pun saudara sepupu saya. Uwan dia adik beradik dengan uwan saya,” jelas saya lagi.
     “Ya.. ke?,“ tanya Azim kehairanan.
     “Jadi kita  semua ni tak orang lain lah, saudara lah?,”  soal Azim seterusnya.
     Tuk Cin Bronco ketawa sambil mengelap kereta. Sekali-sekala  menjeling ke arah kami.
     “ Minta maaf bang, saya betul-betul tak perasan, tak kenal, bang,” pinta Azim.
     “Bukan abang, tapi Pak Long, kerana emak abang, kau panggil Uwan, kan?” . Saya cuba jelaskan  sistem panggilan yang tepat daripada segi susur galur kekeluargaan.
     Azman yang asyik membasuh kereta Kelisa saya  dan sekali-sekala  senyum sahaja mendengar perbualan kami.
     “Jadi, kita ni semua saudaralah…,“ aku Azim. Kami semua ketawa.
     “Abang ni pangkat Pak Long, dan Tuk Cin Bronco?”
     “Pak Ngah,” jawab saya ringkas.
     “Oh, dah bertahun menyemenda di Rembau, baru kenal saudara. Syukur, Alhamdulillah,”  lafaz Azim lagi.
     Kami baru generasi kedua sudah tidak mengenal  saudara, lebih-lebih lagi salasilah keluarga.  Bagaimana dengan generasi  ketiga, keempat, kelima dan seterusnya? Siapa harus dipersalahkan? Mengapa ia berlaku? Bagaimanakah merapatkan hubungan kekeluargaan  dan kepekaan terhadap salasilah keturunan, baik daripada sebelah bapa atau sebelah ibu. 
oleh: Mohamad Abd. Ghani

Ahad, 11 September 2011

Matematik Mudah


Pak Udin (menetap di Malaysia sejak 1991) antara
pembeli ruang iklan buku program kami.

SEORANG membawa dua iklan. Tidak kisahlah bernilai RM100 atau RM200. Kalau 10 ahli jawatankuasa buat begini, kira-kira RM1,500 ke RM2,000 dapat dipungut. Apatah lagi kalau 20 orang yang terlibat.
     Pengalaman sebagai canvasser (pencari iklan) dalam tempoh dua tiga minggu ini untuk Tabung Amal Jariah Kariah Paroi Jaya dan Bangsawan Malim Deman banyak mengajarku erti kesabaran.
     Mengapa tidak? Aku tidak risau berhadapan dengan bakal pengiklan. Mengapa perlu risau? Kita tidak memaksa mereka tapi yang aku risaukan sikap ahli jawatankuasa penganjur sesuatu majlis.
     Dalam mesyuarat merekalah yang bijak berkata-kata. Dalam mesyuarat, merekalah yang pandai menimbulkan curiga tapi apabila bekerja… jawab sendiri.
     Petang semalam aku cuba menyampaikan mesej ini kepada ahli jawatankuasa Malam Amal Tabung Amal Jariah.
     “Kami berdua dah pungut hampir RM5,000 dalam tempoh pendek. Kutipan ini sudah dapat melunaskan bayaran cetak buku program dan sepanduk. Maknanya, kalau ahli jawatankuasa lain dapat memungut RM3,000 lagi, semuanya berstatus untung,” kataku di depan pintu masuk dewan SMK Pendeta Za’ba.
     “Saya dah bawa RM500. Iklan syarikat anak saya,” kata seorang ahli jawatankuasa.
     “Saya sibuklah nak uruskan itu, ini,” kata seorang lagi – helah bela diri yang biasa ada pada orang Melayu (Islam).
     “Saya demamlah Zul,” kata pula Pengerusi Tabung yang tidak dapat menyerahkan sehelaipun kembali borang tempahan iklan yang diberikan sejak Ramadan lalu.
     Aku mengharapkan beliau mendapatkan iklan daripada pelbagai pihak yang sering berniaga dengan pihak masjid khususnya kontraktor yang membabitkan ratusan ribu ringgit.
     Baharu kali ini aku melihat beliau bagai seeokor helang patah kepaknya. Sebelum ini beliau sering melihat diri begitu gagah.
     “Tahniahlah! MB puji buku program yang cikgu buat. Cantik!,” katanya sambil menunggu di mejaku sebelum dipanggil untuk berucap.
     Mahu sahaja aku melakukan cross-checking yang biasa kami buat sewaktu di IPG Kampus Raja Melewar sewaktu mengendalikan MS ISO dahulu.