Selasa, 13 Januari 2015

Pingat Shariff Ahmad dan Bung Mokhtar Alias

Sewaktu menerima PMC
nota awal; Tulisan ini tidak berhasrat memperkecil atau mempermainkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat anugerah Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tetapi lebih bertujuan membetulkan tanggapan kita mengenai anugerah yang cukup berharga ini. Bagi yang tidak dapat pingat bintang dan pingat esok, jangan marah atau merajuk.

Tarikh: Julai 1985

Tempat: Pejabat MBNS (kini bangunan tua yang pernah menempatkan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan sini udah beberapa tahun jadi dinosaur putih (saiz dinosaur lebih besar daripada gajah).
Lokasi Tepat: Pejabat Setiausaha Akhbar

Shariff: Tahun ini aku calonkan kau dapat pingat mewakili press.

Aku: Pingat apa?
Shariff: PJKlah... Takkan Dato' (nada bergurau)
Aku: Siapa lagi?
Shariff: R.V. Veera (NST), Razak Rashid (Utusan), Zulkifli Alwi (Bernama), K. Poobalan (Tamil Osai)
Aku: Terima kasihlah. Kau hargai juga kerja kewartawanan aku.
Shariff: Bukan terima kasih kepada aku tapi dengan orang yang di sebelah bilik ini (tangan Shariff menunjuk di biliknya yang bagai stor itu).
Aku: Bukankah kau yang calonkan? Tentulah kau yang beri. MB kenallah aku tapi Tuanku, mungkin tidak pernah tahupun siapa Zulkifli Abu.
nota: Tahun itu aku dapat PJK.

Tarikh: Julai 2006

Tempat: Wisma Negeri, Seremban
Lokasi Tepat: Pejabat Setiausaha Akhbar MB

Bung Mokhtar: Cikgu! Tahun ini saya calonkan juga cikgu untuk dapat pingat.

Aku: Terserah kepada Bung.
Bung Mokhtar: Macam biasalah Cikgu. PEN perlukan calonkan enam nama tahun ini. Jangan jadi macam tahun dulu. Puas kita cari Latiff Mohidin. Tiba-tiba kita dapat tahu dia demam dan terus tidak dapat melukis apabila MB sendiri yang mahukan dia bergelar Dato'.
Aku: Aku rasa macam tak kenalah Bung. Aku yang setiap tahun diminta persatuan untuk membawa nama calon, aku pula yang menaip nama sendiri.
Bung: Cikgu memang layak. Bila dapat PJK dulu?
Aku:Tahun 1985.
Bung: Ha! Ini dah tahun berapa?

Nota 1:  Sebenarnya aku rela memasukkan nama sendiri dalam senarai pencalonan bukan kerana hendakkan pingat tapi LEBIH untuk menguji satu hipotesis yang membabitkan MB dan isterinya.

Nota 2: Kesemua lima nama yang aku dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) calonkan dapat Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) pingat lebih tinggi daripada Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) yang orang yang mencalonkan dapat. Foto di Istana Besar Seri Menanti bersama isteri adalah tempat SP menerima kekesalan beberapa pegawai Unit Protokol, SUK NS. "Eh! Takan kan Cikgu dapat PMC yo.
Nota 3: Orang yang menandatangani watikah penganugerahan ialah geng kamcing SP sendiri, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu.

Ang Pau Matrix Concepts

Foto: Kumpulan Utusan Melayu
Hari  itu aku menawarkan diri kepada Juriyati Mat Jalil, Pegawai Akhbar MB untuk membantunya menyediakan bahan untuk Suara Negeri, akhbar rasmi Kerajaan Negeri Sembilan.
     Sejak zaman Shariff Ahmad (Setiausaha Akhbar Isa Samad) dan Allahyarham Ikmal Hisham Mohd Yusof (Setiausaha Khas Mohamad Hassan) aku adalah salah seorang pengarangnya.
     “Elok sangatlah tu Encik Zul. Keluaran khas Suara Negeri perlu dicetak sesegera mungkin,” katanya.
     Walaupun aku guru kewartawanannya (ini dia sendiri yang sering cakap) sewaktu bertugas sebagai stringer Berita Harian, aku minta dia sendiri tentukan fokus tinjauan khas untuk keluaran terbaharu itu.
     “Encik Zul pergi ke Sendayan. Tinjau kesan pengambilalihan tanah mereka dan lihat juga kehidupan baharu mereka di Bandar Sri Sendayan.
     “Itu `pet-project’ MB,” bual Juriyati melalui telefon yang sering diiring dengan ketawa menggodanya.
     “Oh ya! Jangan lupa. Dapatkan juga bahan daripada pemaju Bandar Sri Sendayan – Matrix Concepts,” tegas Juriyati lagi.
     “Baik Bos!,” aku bercanda.
     Keesokan harinya aku ke Kampung Sendayan dan Bandar Sri Sendayan. Sewaktu leka mengambil foto dari arah tanah tinggi berdekatan, aku dihubungi salah seorang kakitangan Matrix Concepts.
     “Encik Zul kan?”
     “Ya saya.”
     “You ada kat mana. Bos saya suruh hantar bahan dan foto untuk Suara Negeri.”
     “Saya ada di Bandar Sri Sendayan. Ada berhampiran tanah tinggi yang menghadap tapak kedai.”
     “O.K! Sekejap lagi saya sampai.”
     Benar katanya. Tidak lama kemudian lelaki Cina bernama Inggeris di pangkalnya tiba.
     Setelah berbual untuk menunjukkan kemesraan, dia mohon diri sambil menghulur sampul surat berukuran A4 berwarna putih.
     “Semua bahan mengenai Matrix Concepts dan Bandar Sri Sendayan ada di sana. CD dan ada juga gambar yang sudah dicetak,” katanya sambil berlalu pergi.
     Hanya sewaktu aku hendak menyediakan story pada sebelah malamnya, sampul surat itu kubuka.
     Selain CD dan foto, terselit juga di situ enam helai not RM50.00