Pendek kata bila nak dikaitkan dengan
perkara yang buruk dan kotor; selalunya anjinglah yang selalu dibidal orang.
Bagi pendapat aku agak lain sedikit. Setiap mahluk bernyawa yang dijadikan
Allah di dunia ini tentu ada baik buruknya. Kalau nak dikira najis, memang
anjing itu najis tapi taklah susah
sangat nak dibersihkan. Kalau perlu samak ambil saja tanah dan tak
berapa sen pun modalnya.
Sebaliknya
ada banyak lagi perkara yang najis yang jauh lebih susah nak
dibersihkan. Contoh yang mudah ialah najis dadah - bukan sahaja menyusahkan
rakyat dan negara tapi banyak membazir
dan menghabiskan wang negara. Menempatkan pusat-pusat pemulihan dan menyediakan
termasuk makan minum setiap hari berapa punya susah kerajaan. Malah masalah tersebut tak habis-habis hingga
sekarang. Bertambah ada lagi setiap
tahun.
Penagih dadah? Bagaimanalah kesudahannya
nanti? Sebaliknya kita tengok pula apa sumbangan mahluk bernama anjing ini
dalam membanteras najis dadah. Tidakkah pihak polis dan kastam terpaksa menggunakan anjing untuk mengesan dadah. Mampukah pihak
polis dan kastam menghidu di mana dadah tersebut disembunyikan terutama
dipintu pintu masuk dari luar negara?
Malah anjing lebih berkebolehan mengesan
penjahat-penjahat walaupun penjahat
tersebut telah menyamar bermacam-macam watak. Pengamatan dan mengecam watak
musuh anjing lebih berkebolehan. Pihak tentera bahagian perisikan menggunakan
anjing untuk megesan pihak komunis terutama ketika dalam hutan.
Banyak lagi kegunaan anjing dalam
kehidupan di dunia ini. Malah kerja menyalak
dan menggigit pun kita tak larat. Apakah lagi kerja kejar-mengejar sambil melompat dan menyusup halangan sudah
pasti kita tak terbuat.
Di sini aku masih teringat pengalaman hidup bersama saekor anjing
kesayanganku semasa persekolahan dahulu.
Setiap pulang dari sekolah selepas makan
tengah hari aku akan memberi makan anjingku pula.
Bila petang sadikit aku bersiap-siap dengan
kelengkapan berburu bersama anjingku. Lastik dan peluru lastik serta pisau
belati tetap ada bersama. Kadang-kadang
peluru lastik siap diproses dari tanah liat yang telah dimasak - sebesar guli kecil yang siap digentel dengan bulat
kemudian baru dimasak supaya kering dan keras saperti batu.
Aku berburu apa saja saperti burung di sawah
padi terutama selepas musim menuai. Kami sama-sama mengesan dan mengejar burung
yang terbang di sawah bendang. Kami berlari sekuat hati sampai burung menjadi
letih dan dapat ditangkap. Semasa kami berlari mengejar burung kadang-kadang
aku kerap tersungkur; terpaksa anjing
kuberhenti menunggu aku bangkit untuk meneruskan pengejaran.
Dia tak marah pun bila aku buat silap
terjatuh. Burung tak tahu dah lepas ke mana.
Sebaliknya bila anjing buat silap selalu saja kena marah. Dia tak pernah ambil
hati bila kena marah.
Selain dari berburu burung kami juga suka
berburu biawak dalam semak belukar. Yang
aku suka bila biawak memanjat pokok setinggi sepuluh kelima belas kaki tinggi. Apa lagi aku akan meggunakan
kepakaranku melastik. Lastik yang pertama sangat penting. Ianya harus menepati
sasaran di kepala biawak. Biawak akan terkulai apabila kepalanya terkena peluru
lastik.
Sasaran kedua tak kisah walaupun terkena
badannya, biawak tersebut akan terjunam jatuh ke bumi. Ketika itu pula anjingku
menggunakan kepakarannya menyambut lalu menggigit serta menghempas-hempaskan
biawak tersebut. Sudat pasti biawak tersebut tak ada harapan selamat. Kami sama
sama merasa puas. Biawak yang mati tersebut bukan boleh kami makan. Anjingku
tak makan bangkai biawak. Kami hanya suka memburu sahaja.
Ketika berburu biawak, yang paling aku
benci ialah bila biawak memanjat pokok dan kami terlambat sampai. Kalau lebih
dari tiga puluh kaki tinggi jawabnya kena lastik pun tak guna. Tak akan
berkesan sasaran peluru lastik. Bertambah tinggi lagi ada dia memanjat. Kalau keadaan begini
berlaku aku terpaksalah memanjat pokok tersebut.
Kalau pokok tersebut tak berapa besar senanglah
aku panjat. Yang aku tak suka bila biawak tersebut terpaksa terjun ke bawah dan
anjing ku tak sempat menangkapnya.
Biawak tersebut akan terus lari dan memanjat pokok yang lain. Kalau dia berada
dah tinggi terpakswa aku panjat lagi. Kena tiga kali panjat aku pun mula tak
larat dan aku mula nak marah pada anjingku. Pernah aku pukul dan sebat anjingku
hingga dia menjerit-jerit kesakitan.
Bila dipukul dia tak melarikan diri hanya
meraung kesakitan. Ekornya akan diwatnya tanda ketakutan. Yang peliknya
keesokan hari anjingku sudah melupakan peristiwa semalam. Dia tak ada pun
berdendam denganku dan marah pada ku.
Kami akan berburu lagi saperti biasa.
Suatu hari datang seorang Cina ke kampungku mencari siapa yang hendak membuang
anjing. Pada ketika itu ayahku cuba
memujukku supaya buangkan saja anjingku
dan menggantikan dengan anjing yang
lain. Katanya anjingku dah tua dah tak kuat lagi. Dia akan mencari anjing lain
yang jauh lebih baik sebagai ganti. Termakan juga hasutannya.
Kadang-kadang anjingku kerap buat kesilapan
ketika berburu. Yang sedihnya bila Cina itu hendak menangkapnya untuk dimasukkan
ke dalam guni, anjingku tak mahu dan cuba melawan. Lalu aku membukakan
guni tersebut dan menyuruh anjingku masuk ke dalam guni tersebut. Dengan
perlahan-lahan dia melutut dan merangkak masuk sambil menoleh kepadaku
dengan wajah sedih.
Aku perasan air mata anjingku keluar tanda dia sedih.
Selang
beberapa bulan ayah ku tidak juuga mengganti dengan anak anjing yang lain.
Tidak ada pun usaha ayahku untuk menggantinya. Aku mendapat tahu Cina yang hari
tu memang jenis Cina makan daging anjing. Sampai ke hari ini bila aku ternampak
anjing, ingatanku terkenang pada anjing kesayanganku dulu. Rasanya belum ada
aku terjumpa baik kawan-kawan atau mana mana sahabat yang jujur dan setia seperti
anjingku dahulu. Itulah pengalaman yang sedih
dalam hidup ku bersama saekor anjing yang sering dipandang hina dan
najis oleh masyarakat.
Oleh: Anuar Hashim