Halaman

Selasa, 17 Disember 2013

Menunggu Keretapi Dari Wakaf Baru

Hari ini 11.12.13, Rabu bersamaan 8 Safar 1435 Hijriah.  Hari ini juga merupakan hari keputeraan Sultan Selangor.  Aku telah berpagi-pagi di stesen keretapi Kajang ini menanti ketibaan rakanku yang dijangka tiba jam 7.30 pagi.  Memandangkan taklimat biasiswa akan diadakan jam 8.30 pagi di Presint 5, Putrajaya, aku berkira-kira, segalanya sempat ku lalui mengikut aturan dan barisannya.
      Dan tika sinar mentari ini semakin terik mengintai di celah kacamataku, aku semakin keresahan kerana jam telah menunjukkan 9.15 pagi dan keretapi yang kutunggu belum tiba lagi! Waduh, gawat benar ni. Semua perancanganku sudah berantakan! Teringat ibu, suami dan anak-anak di rumah yang belum kubelikan kudapan kerana aku terburu-buru keluar takut kelewatan dan demi mengelakkan kesesakan di bandar Kajang.
      Seingat-ingat aku, kali terakhir aku menaiki keretapi adalah empat tahun lepas bila keluarga sebelah mentua teringin menikmati cabaran dan keseronokan menaiki keretapi bersama-sama anak, menantu dan cucu.  Lantas perjalanan dirancang untuk kami menaiki keretapi dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis dengan destinasi utamanya adalah Pulau Langkawi.  Kami menempah koc berkatil kononnya inginkan keselesaan sambil tidur dalam keretapi. 
      Perjalanan itu bermula jam 9 malam dari stesen keretapi Kuala Lumpur dan kami tiba jam 7.30 pagi di Kuala Perlis keesokannya.  Perjalanan balik, kami semua setuju untuk menaiki kapal terbang sahaja! Cukuplah perjalanan pergi yang seperti tak berpenghujung itu.
      Jadi, pagi ini mengingatkan lagi pengalaman- pengalamanku menaiki dan menunggu Keretapi Tanah Melayu (KTM) sebelum ini.  Banyak lambat dari cepatnya, walaupun aku kira selepas 40 tahun kelahiran aku, dan selepas dasar penswastaan diamalkan, prestasinya masih begitu juga. 
      Malah rupanya pun! Cuba lihat gambar yang sempat aku rakam.  Malah aku rasa, kalau sudah begitu waktu ketibaannya, tidak perlulah nyatakan ia tiba lebih awal.  Kalau memang benar perjalanan dari Wakaf Baru mengambil masa selama 14 jam, nyatakan sahaja begitu, bukan kah lebih mudah?  Ini aku rasa telah ada 5 komuter ke KL dan 5 komuter ke Seremban lalu begitu sahaja di depanku.  Sudah pasti aku jadi bahan andaian Pak Cik Inspektor Keretapi kerana sudah masuk dua jam tetap duduk sopan di bangku stesen.  Ada juga dua tiga orang yang menyapa ingin tahu komuter mana yang kutunggu, mungkin prihatin takut aku tidak tahu atau tidak biasa. 
      Bila aku kata aku menunggu keretapi dari Wakaf Baru, jawapan yang aku terima, " Ooohhh... Biasalah dik, kalau pukul 7.30 pagi tu maknanya pukul 9.30 sampai dah cukup baik, pernah ia sampai jam 10.30,". 
      Hmmm... Begitu rupanya.  Tarikh yang cantik hari ini tidak memberikan aku hari yang lancar rupanya, keluh hatiku.  "Sabarlah ya," aku memujuk hati yang gundah, apatah lagi deringan telefon dari sang suami semakin bertalu-talu bertanyakan khabarku. 
      Semoga KTM akan terus cekap dan efisien selaras dengan dasar penswastaan yang cuba diterapkan seiring dasar pandang ke Timur. - Merhayati Sipon

Rabu, 4 Disember 2013

Budak-budak Tak Pandai Bohong

Hari ini jam 9.45 pagi ke sebuah sekolah di Daerah Rantau.
     Seorang guru pelatih KPLI yang di bawah seliaan saya akan mempraktikkan teori dari bilik kuliah ke kelas dan dalam situasi sebenar.
     Awal-awal lagi dia sudah bimbang. Berkali-kali dia beritahu saya, "Puan, saya nak cakap awal-awal. Budak-budak kelas saya sangat hyper. Mungkin akan ada masalah kawalan kelas nanti..."
     Saya senyum-senyum saja. Kesian lihat muka dia yang risau. Saya beritahu dia jangan tertekan sangat. Buat macam biasa. Saya bukan mahu cari salah. Saya hanya mahu membimbing.
     Saya pun masuk ke kelas tersebut. Makmal ICT sebenarnya. Dingin dan santai. Pelajar duduk di lantai menghadap papan putih. Guru menggunakan teknologi ICT untuk memaparkan set induksi. Menarik. Murid sangat teruja, menyanyi bersama-sama.
     Tapi memang betul kata dia. Budak-budak Tahun 4 itu memang jenis hyper. Langsung tidak boleh diam. Ada yang sampai meniarap-niarap. Ada dua tiga orang menangis-nangis. Puncanya pun hanya kerana berebut helaian edaran. Tapi guru itu pandai juga mengawal kelas.
     Mungkin kerana suaranya yang kuat. Atau kerana dia lelaki.
     Selesai kelas, dia memang agak susah hati. Terlebih masa l5 minit. Saya tahu sebabnya. Dia terpaksa mengambil masa untuk mengawal kelas yang budak-budaknya macam ulat beluncas, atau melompat-lompat macam ulat nangka.
     Sebenarnya itulah realiti di kelas yang betul. Saya memang tiada pengalaman langsung mengajar sekolah rendah. Tapi mengajar di tingkatan satu, saya pernah. Setahun saya mengajar tingkatan satu. Perangai budak-budak masih terbawa-bawa dari sekolah rendah.
     Kelas yang saya pernah ajar itu lagi teruk daripada kelas yang guru pelatih itu ajar. Sekurang-kurangnya kelasnya ada pelajar perempuan. Tidak ramai bilangan pelajarnya.
     Kelas tingkatan satu yang saya ajar? Empat puluh enam orang pelajar lelaki! Kaki gaduh pulak tu. Bertumbuk perkara biasa.Malahan, adakalanya guru terpaksa mengejar pelajar yang keluar masuk sesuka hati ke dalam kelas. Ada peristiwa seorang pelajar, kencing dalam botol air mineral semasa guru sedang mengajar. Pelajar tingkatan satu, bukan tahun satu!
     Itu sebabnya saya hanya senyum-senyum tatkala dia asyik risaukan hal pelajarnya yang hyper. Bagi saya, itu normal. Itu dunia realiti di sekolah. Teori-teori kadang-kadang hanya untuk menjawab peperiksaan atau mengisi kerja kursus sahaja. Praktiknya belum tentu dapat dibuat persis teori.
     Apabila kita menyelia di sekolah menengah, pelajarnya pandai berlakon. Macam tertib sahaja. Semuanya ikut aturan. Tapi di sekolah rendah, budak tidak pandai berlakon. Tak pandai menipu juga. Kalau dia rasa mahu meniarap, dia meniarap sahaja; tidak kira gurunya sedang dicerap atau tidak. Kalau mahu menangis pun, dia menangis saja. Peduli apa dia dengan pensyarah yang tertonggok di belakang kelas!
     "Jangan susah hati..." kata saya. "Ini hal biasa di kelas. Tapi kena rancang strategi supaya mereka dapat dikawal. Jangan bagi banyak sangat aktiviti yang boleh menyebabkan mereka hilang fokus."
     Tapi saya tahu dia penat. Satu jam menangani sekumpulan pelajar yang seperti ulat nangka. Sama sahaja seperti yang saya rasa dahulu. Tapi kerisauannya ialah kerana dia diperhatikan.
     Satu perkara yang saya juga belajar. Budak-budak hatinya bersih. Mereka langsung tak pandai berlakon. - Ratna Laila Shahidin

Rabu, 20 November 2013

Lidahnya Putus

Keinginan untuk tinggal di asrama akhirnya menjadi kenyataan juga apabila aku ditugaskan sebagai warden sewaktu melapor diri sebagai seorang guru kira-kira sebulan lalu.
     Walaupun keinginan itu hanya dapat dicapai apabila menjadi guru, bukannya sebagai pelajar tetapi aku tetap bersyukur kerana impianku terlaksana juga. Dengan keinginan untuk menjadi warden yang disenangi oleh pelajar, aku cuba mengenali secara dekat setiap pelajar penghuni Blok Asnita.
     Bagaimanapun tempoh satu bulan sebagai guru lulusan program Kursus Perguruan Lepas Ijazah, adalah tempoh yang masih singkat untuk mengenal profesion ini secara dekat.
     Setiap hari ada sahaja pengalaman baharu yang kutimba. Peristiwa-peristiwa pahit dan manis ini tetap aku anggap pengalaman yang boleh memperkaya kehidupanku.
     Satu pagi Isnin, aku didatangani satu lagi pengalaman yang mungkin tidak dapat aku lupakan sehingga bila-bila.
     Beberapa minit setelah loceng perhimpunan pagi dibunyikan, aku didatangi Asmah yang termengah-mengah memberitahu rakan satu blok dengannya, Zaleha terputus lidahnya.
     “Cikgu! Lidah Zaleha putus,” katanya cemas sambil mengheret tanganku ke arah blok asrama yang berdekatan.
     Dari jauh aku dapat melihat beberapa pelajar sedang mengerumuni Zaleha berhampiran kawasan tangga asrama.
     Sebaik-baik sahaja mendekati mereka, aku dimaklumkan bahawa Zaleha terjatuh di tangga itu sewaku berkejar ke tempat perhimpunan. Mulut Zaleha berdarah. Tangan yang cuba menutup bibirnya turut kelihatan merah. Muka Zaleha pucat. Aku bertinggung dan cuba melihat mulut Zaleha secara lebih dekat.
     “Cikgu, ini dia lidah Zaleha yang telah putus!” beritahu Atiqah sambil menyuakan satu benda yang dibalut dengan kertas tisu yang turut bercampur darah. Benda itu berwarna kehitaman seperti ketulan daging burger.
     Aku segera mengarahkan seorang pelajar memberitahu pemandu van untuk bersiap ke hospital. Setelah memaklumkan kepada Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Pelajar, aku berserta Zaleha yang turut dibantu oleh Atiqah segera ke hospital.
     Sebaik-baik tiba di unit kecemasan, Zaleha terus diarahkan menemui doktor. Tanpa membuang masa, aku segera memaklumkan kepada doktor apa yang berlaku sambil menyuakan ketulan daging yang berbalut kertas tisu itu. Bungkusan itu diletakkan di atas meja.
     “Buka mulut!,” arah doktor muda itu sambil menyuluh mulut Zaleha.
     “Dongak di atas sedikit dan jelirkan lidah,” tambahnya.
     “Sakit…,” suara Zaleha antara kedengaran dengan tidak. Air mata kelihatan masih basah di kelopak mata.
     Setelah beberapa kali diminta menjelirkan lidahnya, doktor muda itu kelihatan tersenyum. “Lidahnya masih ada,” katanya ringkas sambil tangannya segera mencapai bungkusan yang berada berhampirannya.
     Selepas membelek beberapa kali ketulan itu, tiba-tiba doktor itu bersuara sambil tersenyum lebar. “Ini bukan lidah dia. Ini kueh cucur kodok.”
     Aku segera memaling kepada Atiqah. Tanpa diminta, dia tiba-tiba memberitahu.
     “Bila terdengar bunyi loceng pagi tadi, saya dan Zaleha sedang makan kodok pisang cikgu. Cucur kodok tu Zaleha bawa dari kampung semalam,” katanya bersahaja. Aku bagaikan tidak dapat bertentang mata lagi dengan doktor muda di depanku. - Azalina Jamaludin



Sabtu, 9 November 2013

Bakal Jiranku, Mantan Ahli Parlimen

Aku pernah mengenalinya lebih 30 tahun lalu. Waktu itu aku seorang guru sekolah rendah dan dia seorang Ahli Parlimen (MP).
     Sebagai seorang MP, dia cukup dikenali kerana tutur katanya yang lembut dan penuh diplomasi. Sesuai dengan daerah kelahirannya, dialeknya pekat. Lebih menarik, dia sering membahasakan dirinya abang apabila berinteraksi denganku.
     Sebagai seorang pemberita daerah yang mula mendapat tempat dalam akhbar arus perdana, beberapa storyku mengenainya sering juga terbit. Dia seorang MP berjiwa rakyat, kata-kata klise yang sering menjadi tajuk berita ketika itu.
     Baru-baru ini aku bertemu kembali dengannya. Itupun secara kebetulan. Melalui wakil yang dihantarnya (bekas jiranku sendiri) mantan MP ini berminat sangat dengan rumah yang `kubeli’ daripada seorang lagi jiran yang kebetulan namanya sama denganku.
     Rupa-rupanya mantan MP bergelar Dato’ ini berminat sangat dengan kerja-kerja ubahsuai yang aku lakukan sewaktu menghayun kayu golfnya kerana rumah yang baharu kubeli ini (berada hanya selang empat pintu daripada rumahku sedia ada) betul-betul berada di sebelah pagar lubang nombor satu Kelab Golf Antarabangsa Seremban.
     Sewaktu rumah (dijadikan studio kerjaku) itu dilelong kerana wang pendahuluan yang sepatutnya dibayar kepada bank digunakan suami bekas jiranku untuk tujuan lain, Dato’ yang baharu berkahwin kembali kerana kematian isteri itu difahamkan ingin menghadiahkan rumah itu kepada isteri baharunya itu.
     Itu menurut cerita perantaranya. “Cikgu! Terpulang! Dato’ akan tetap berlawan untuk mendapatkan rumah itu walau berapapun harganya,” itu kata perantaranya yang kukatakan awal tadi adalah juga bekas jiranku.
     Akhirnya dalam lelongan awam yang disertai 28 `bidder’ itu aku tumpas. Harga tawaran RM148,000 telah menjadi RM258,000. Pemenangnya sudah tentu mantan MP ini yang menggunakan khidmat agensi.
     Mengakui hakikat kekalahan, aku menyerahkan kunci berkenaan dengan penuh hormat di sebuah restoran milik kawan kami dan sempat juga bernostalgia seketika.
     “Saya sempat membuat liputan beberapa aktiviti Dato’ dahulu sewaktu stringing dengan Berita Harian,” kataku.
     Menyedari hasratku yang disampaikan melalui perantaranya, aku tidak menyebutkannya kembali kepadanya sewaktu bertemu.
     Hasrat itu berbunyi begini, “Andainya saya kalah nanti, saya mohon ihsan supaya diberikan sedikit saguhati kerana saya telah membelanjakan lebih RM70,000 untuk rumah itu.”
     “Cikgu jangan risau. Saya dah beritahu Dato’ dan dia setuju dengan nilai yang Cikgu pinta,” itu kata Sang Perantara. Nilai itu cuma RM20,000. Pada masa yang sama, Sang Perantara telah dapat memujukku untuk memberikan kamera klasikku kepada isteri Dato’ berstatus janda itu.
     “Datin kata anaknya minat fotografi macam Cikgu,” lembut sahaja dia menuturkan kata.
     “Saya juga minat dengan katil rotan Cikgu ini. Klasik. Kebetulan anak lelaki saya hendak kahwin.”
     Akhirnya katil, tilam dan alasnya yang bernilai lebih RM1,000 itu bertukar tangan dengan enam helai not RM50 sahaja.
     “Ini sahaja yang saya ada Cikgu,” kata Sang Perantara setelah menyuruh isterinya menghulurkan wang itu.
     Beberapa minggu kemudian, Sang Perantara menelefon, “Dato’ kata dia akan buat bayaran selepas kerja-kerja ubahsuai siap.”
     Setelah lama menunggu, apa yang dikatakan tidak berlaku lalu aku menelefonnya sendiri.
     “Dato’! Ini Zul, bakal jiran Dato’. Ada tak ... beritahu mengenai permintaan saya mengenai rumah yang Dato’ baharu beli itu?.”
     “Ada. Tunggulah dahulu.”
     “Tunggu sampai bila Dato’?”
     “Kalau ikut law, kau tak ada hak sesen pun mengenai rumah itu.”
     “Saya faham Dato’. Saya pun pergi sekolah juga. Apa yang saya minta cuma ihsan.”
     “Kalau ihsan kau tak boleh telefon seh! Lopeh ni kau jangan telefon-telefon seh lagi,” katanya sambil menamatkan panggilan.
     Sejak dua hari lalu, petanda mula menunjukkan aku akan mendapat jiran baharu. Bakal jiran yang telah memiliki 30 rumah sebelumnya.

Khamis, 24 Oktober 2013

Hanya Doa

Aku sembunyikan kegelisahan yang bergelodak dalam diri. Sebagai seorang guru, juga ketua ekspedisi ini, aku cuba sembunyikan kegelisahan itu sebaik mungkin. Hari semakin petang, suara penghuni hutan bersahutan. Kadang-kadang menyeramkan.
    “Macam mana cikgu?”
    “Siapa nak tolong kita.”
    Pelajar seramai 25 orang itu semakin gelisah. Wajah ceria ketika sampai di hutan rekreasi pagi tadi semakin kusam. Aku benar-benar kasihan. Hutan sekeliling mula diserkup kegelapan.
    “Kita teruskan,” kataku dengan senyum yang meyakinkan. Macam-macam yang timbul dalam kepalaku. Pelajar Tingkatan Empat ini amat akrab dengan aku. Semuanya ahli Persatuan Pencinta Alam. Hutan yang sedang aku tempuhi bukan asing, sudah berkali-kali aku meredahnya. Hanya kali ini, aku mengubah haluan perjalanan. Aku cuba mencari jalan baharu ketika menuruni Puncak Bukit Catak tadi.
    Sebagai seorang guru, sebagai pemimpin, pada setiap kali kami berhenti rehat, aku memberi perangsang. Aku memberi keyakinan dan pilihan terakhir serta apa yang patut dilakukan sekiranya kami terpaksa bermalam di dalam hutan. Kedatangan aku bersama ahli rombongan tanpa kebenaran pengetua dan ibu bapa pelajar benar-benar merungsingkan fikiranku. Lazimnya sebelum matahari jatuh, kami sudah pulang ke rumah masing-masing.
    Aku terus mengepalai perjalanan meredah hutan yang semakin gelap. Hanya sekadar berbekalkan keyakinan dan harapan. Aku berpesan agar 15 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan yang bersama-sama dengan aku tidak berputus asa. Semuanya mesti menanamkan keyakinan dan berdoa kepada Tuhan.
    Tiba-tiba salah seorang daripada pelajar lelaki meminta kami semua mendiamkan diri dan memasang telinga. Aku turut menerima arahannya. Dalam kesunyian malam, dia menjerit keriangan. Katanya, “doa kita diterima Tuhan.” Kami mengubah arah perjalanan menuju ke arah matahari naik. Benar seperti yang dijangka. Kami menadah tangan kesyukuran ketika kami menjejakkan kaki ke atas jalan raya.
    Beberapa minit selepas berada di jalan raya, sebuah lori kecil menumpangkan kami dan ketika sampai di sekolah, suasana riuh dengan suara ibu bapa dan pihak pentadbir sekolah. Kepulangan kami disambut dengan penuh kesyukuran. Esoknya aku dipanggil oleh pengetua dan selepas menerangkan perkara sebenar, pengetua menasihati aku agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.
    “Jangan mengambil mudah dalam perkara yang kita rasakan sudah menjadi kebiasaan kepada kita. Kita perlu merancang perjalanan supaya tidak sesat lagi. Kita perlu bertanggungjawab terhadap murid kita dan ibu bapanya sekali,” ujarnya. - Omar Mamat

Nostalgia Ramadan

Saya masih teringat pada tahun 1984 ketika saya mula-mula bertugas sebagai seorang guru di pedalaman negeri Kedah iaitu di Sik. Saya tinggal bersama-sama beberapa orang guru bujang. Ada juga beberapa orang rakan bujang yang bekerja dalam sektor lain. Adat hidup bujang di perantauan, banyak pengalaman pahit manis yang terpaksa saya lalui. 
   Kami menumpang makan di sebuah rumah yang terletak di berhampiran sekolah. Mak Lang Nab, begitulah nama wanita yang kami tumpang. Banyak kenangan semasa kami menjadi pelanggan tetap di rumah Mak Lang Nab. Kalau bukan bulan puasa kami makan tengah hari dan makan malam di rumah Mak Lang Nab. Selain untuk makan, rumah Mak Lang Nab juga menjadi tempat kami berbual-bual dan menonton televisyen. Ketika itu ada lebih kurang sepuluh orang bujang yang makan di situ. Masakan Mak Lang Nab pula tidak kurang hebatnya, sama seperti masakan ibu sendiri.
   Semasa bulan puasa, kami akan datang untuk berbuka puasa dan bersahur. Kadang-kadang kami bertarawih di situ kerana masjid agak jauh. Waktu sahur pula, kami akan berjalan beramai-ramai lebih kurang pada pukul empat pagi menuju ke rumah Mak Lang Nab yang jaraknya hampir satu kilometer dari rumah sewaan kami. Itulah rutin kami sepanjang bulan puasa. 

   Kami menghabiskan masa dalam setengah jam untuk bersahur sambil berborak-borak. Maklumlah orang bujang. Selepas sahur kami akan berjalan balik ke rumah. Suasana hening pagi biasanya dipenuhi dengan suara kami kerana keadaan pinggir pekan Sik waktu itu sangat sunyi.
   Suatu pagi, seperti biasa kami berjalan ke rumah Mak Lang Nab. Sesampai sahaja kami ke rumah kecil itu, keadaannya gelap. Tidak ada tanda-tanda hidangan makanan sudah disediakan. Biasanya pintu rumah kayu separuh konkrit itu telah terbuka sebaik sahaja kami tiba. Azizah yang kami panggil Dik Jah itu anak gadis Mak Lang Nab yang akan melayan kami makan. Akan tetapi pagi itu pintu terkunci kemas.
   Kami mula berpandangan dalam kegelapan pagi. Kami memberi salam berulang-ulang lagi. Diam juga. Ada rakan yang mengetuk pintu rumah Mak Lang Nab beberapa kali, tetapi tidak ada jawapan yang didengari. Setelah lima belas minit, keadaannya masih sama. Rakan saya Cikgu Johari yang agak nakal antara kami mengutip batu di tepi jalan. Dia membaling batu ke atas bumbung rumah. Bunyi dentuman batu di atas bumbung zing memang jelas dan kuat. Cikgu Mail pula membaling kayu ke atas bumbung itu. Namun tidak apa-apa tindak balas. Tidak ada tanda-tanda Mak Lang Nab bangun. Tidak ada lampu yang menerangi bahagian dalam rumah. Gelap.
Dalam kegelapan pagi hening itu, masing-masing mula cemas. Detik waktu kian berlalu. Sebentar lagi waktu imsak akan tiba. Kalau Mak Lang Nab tidak bangun juga, kami akan berpuasa tanpa bersahur. Begitupun, kami tetap setia mencangkung di tepi jalan di depan rumah Mak Lang Nab dengan harapan Mak Lang Nab akan bangun dan memasak untuk kami. Kami berborak sambil duduk di atas jalan. Tidak ada kenderaan yang lalu lalang waktu pagi begitu. Kalau adapun kenderaan tentera yang masuk ke Gubir, sebuah kem tentera di sempadan Malaysia-Thailand. Itupun bukan selalu.
   Akhirnya, setelah lebih setengah jam berusaha untuk membangunkan Mak Lang Nab, kami gagal. Menjelang pukul 5.30 pagi, kami pun bangun dan beransur pulang beramai-ramai. Ada yang ketawa dan ada yang merungut kerana tidak pernah tidak bersahur sebelum ini. Paling tidak pun minum air milo sudah memadai. Peristiwa itu bercampur menjadi peristiwa lucu dan sedih. Ada pula yang bimbang dan tertanya-tanya tentang perkara yang terjadi terhadap Mak Lang Nab. Selama ini dia tidak pernah lewat menyediakan juadah untuk kami memandangkan itulah sumber rezekinya semenjak menjadi janda kematian suami. Kami membayar secara bulanan kepada Mak Lang Nab. Agak lumayan juga kerana waktu itu ramai kakitangan kerajaan bujang yang makan di rumah Mak Lang Nab.
   Begitulah nasib orang bujang di perantauan ketika bulan puasa. Seharian itu kami berpuasa tanpa bersahur. Besoknya, keti
ka kami datang berbuka, Mak Lang Nab sangat-sangat rasa bersalah. dia memohon maaf kerana menyebabkan kami berpuasa tanpa bersahur. Katanya dia terlalu penat kerana baru pulang menziarahi kematian saudaranya di Sungai Patani. Oleh sebab itu dia langsung tidak sedar akan kedatangan kami walaupun makanan sahur telah dimasak sebelum dia tertidur pagi itu.

   Kami juga tidak mengambil hati. Mak Lang Nab telah kami anggap sebagai ibu angkat kami di Sik. Lebih menarik lagi, Cikgu Johari akhirnya menjadi menantu Mak Lang Nab dan hidup bahagia hingga sekarang. Masih ada antara kami yang masih kekal di Sik, berkahwin dan menetap si sana. Ada yang sudah bersara. Saya pula meninggalkan daerah Sik untuk menyambung pelajaran setelah empat tahun bertugas di daerah itu. Setiap kali bulan puasa muncul, kenangan itu tetap kembali segar dalam ingatan. Setiap kali berkesempatan pulang, saya akan ke Sik, walaupun pekan kecil itu sudah banyak berubah. Malah Sik juga banyak menjadi latar dalam karya-karya penulisan saya. -  Ghazali Lateh

Selasa, 22 Oktober 2013

Namaku Sang Bin Pencerita

Namaku Sang. Bapaku Pencerita. Begitulah seperti yang diminta Mr. Google ketika mendaftar akaun Facebook ini; berasaskan akaun Mr. GMail, miliknya.
     Kenapa perlu bernama baharu sedangkan nama lama sudah diberi sejak hampir 60 tahun lalu? Itu pemberian emak tahu? Nama itu idea abah tahu? Susah payah Datuk Hassan mendaftarkan nama itu di Rumah Pasung Batu 8 tahu? Tak sedar diri! Tak sedar dek untung! Biarkan! Biarkan!
     Aku sudah tidak mahu lagi dikenali dengan nama lama itu. Sudahlah salah dieja, Zolkpli (tiada bunyi suku kata), jantinaku dalam surat kelahiran turut tidak menjawab soalan – Jantina: Lelaki/ Perempuan – tapi dicatat JANTAN (tak percaya? – lihat buktinya di sini: http://www.youtube.com/watch?v=s7D7GwAKYew&feature=c4-overview&list=UUpny9hZFFSFueFSGVdvCD5Q
    Nama adalah jenama atau `brand’ kata orang bisnes (orang bisnes juga cipta mitos baharu “Hari ini kita tidak jual barang. Hari ini kita jual `brand’ atau jenama).
     Kalau begitu bagaimana mahu jual nama ikut jenama lama? Jenama lama itu bukan sahaja tidak komersial malah ia telah rosak. Rosak teruk.
     Nama itu mengaitkan cerita `dia tu bankrap! Dia tu pernah disiasat BPR! Dia tu rasuah kerana itulah dia mampu punya tujuh kereta; dua Mercedes pula.”
     Nama itu jugalah yang meminta dirinya melepaskan jawatan Ketua Dua Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) “Untuk mengelakkan persatuan ini dibatalkan pendaftarannya kerana tuan seorang muflis, mesyuarat memutuskan supaya tuan meletakkan jawatan. Sebagai tanda penghargaan, terimalah cek bernilai RM500 ini.”
     Benar! Zolkpli bin Abu bertaraf muflis hampir enam tahun kerana menjadi penjamin bekas bosnya yang membeli dua kereta serentak tetapi tidak menjelaskan ansuran bulanannya.
     Tidak cukup dengan itu, rumah yang dibeli melalui pinjaman kerajaan `hilang’ apabila sebahagian duit jualan terpaksa `menutup gelaran Si Bankrap’ dan sudah tidak dapat bersama isteri dan anak-anak lagi dalam enam `oversea trip' tahunan keluarga tajaan Rohani Mohamed Sdn Bhd.
     Nama itu membawa konotasi Pegawai Kebajikan Masyarakat (setiap kali berniaga, orang hendak percuma). Setiap kali melakukan perkongsian perniagaan berlaku `permusuhan’. Rakan sudah tidak dapat membezakan lagi yang bercakap itu Zulkifli Abu sebagai dirinya atau rakan kongsinya.
     Sewaktu bekerja dahulu, sewaktu Zulkifli Abu berani menegur bosnya (untuk menunaikan amanah jawatannya) manusia bernama Zulkifli Abu itu dikatakan `kurang ajar’ walhal yang bercakap itu ialah Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan (jawatan yang dipinjamkan selagi masih menjadi penjawat awam).
     Nama itu juga telah mencipta pelbagai `permusuhan’ sewaktu menawarkan bantuan ketika rakan tunduk merayu. Sewaktu kata sepakat dicari, semuanya indah di mulut dan di kertas. Sejak dahulu `school of thought’ mereka mengatakan `berniaga itu semuanya untung. Jadi untung perlu dikongsi bersama. Bila rugi, pembawa idea kena tanggung sendiri.”
     Sudahlah bagai nak mampus mengusahakan syarikat milik bersama sendirian, bila rugi `kau pulangkan balik modal aku!’ Untuk `memuaskan’ mereka duit graduiti hasil kerja 35 tahun, bertukar tangan.
     Oleh kerana tertancap kuatnya logo Jabatan Kebajikan Masyarakat di dahi jenama lama itu juga, teman rapat yang manis mulutnya sewaktu meminta bantuan; sudah tidak pandai lagi menjawab telefon; sudah tidak tahu lagi mengira tempoh dua minggu seperti dijanjikan untuk melunaskan hutangnya.
     Lebih buruk daripada itu, teman yang sering memuji kebaikan jenama lama itu sudah `tidak berasa berdosa’ lagi menjual buku yang dibiayai percetakannya yang nilainya sekitar RM50,000 kepada tauke `surat khabar lama’ kerana dianggap mencemarkan ruang tempat letak keretanya yang diubahsuai dan dimegahkan dalam akaun Facebooknya.
     Dalam pada itu pandai pula dia berfalsampah itu, ini bagai sewaktu mengendalikan majalah yang memang gila-gila itu.
     Jiran yang dipercayai tanpa tanda tangan sewaktu membeli rumahnya untuk dijadikan Studio Sang Pencerita juga `hilang’ kerana janjinya untuk membayar sebahagian wang diberikan kepada bank, tidak dibuat demikian. Maka terlelonglah studio itu setelah hampir RM100,00 dibelanjakan.
     Sang Pencerita tumpas dalam lelongan awam kepada seorang Dato’ yang dikenali (mantan Ahli Parlimen) yang mampu menjadikan bekas studio itu rumah ke-31nya dengan membida RM258,000 sedangkan harga bukanya cuma RM148,000.
     “Nantilah saya siapkan kerja-kerja ubahsuai dahulu. Nanti Ese bayarlah sebahagian daripada duit yang you belanjakan untuk kerja ubahsuai dahulu.”
     Apabila dihubungi sewaktu kerja telah siap, Sang Dato’ menjawab telefon “Ikut mahkamah, you tak ada hak langsung pasal rumah tu. You jangan telefon saya lagi.”
     Aaaah! Bencinya aku dengan jenama lama aku itu.
     “Haji Zainal (Zainal Buang Hussein) tolong buat karikatur aku. Nama aku kini ialah Sang Pencerita. Tak payahlah pakai `bin’! Tak komersial…”

Jurulatih Kaki Bangku

Semasa menuntut di maktab perguruan, saya telah dipermainkan oleh kawan-kawan apabila dilantik menjadi pengerusi kelab bola sepak maktab. Mereka mengetahui bahawa saya bukanlah seorang yang aktif bersukan. Lebih tepat, bolehlah dikatakan sebagai kaki bangku.
    Tahun pertama mengajar di sebuah sekolah di Kedah, sekali lagi saya menggelabah dan tergamam. Dalam mesyuarat pertama tahunan sekolah, saya telah disenaraikan sebagai jurulatih pasukan bola sepak bawah 15 tahun.
    Hendak menolak tugas, tidak berani. Latihan perlu dimulakan seawal minggu kedua persekolahan. Ini satu cabaran. Puas juga saya bertanya ke sana ke mari bagaimana hendak mengendalikan latihan. Buku-buku mengenai kejurulatihan bola sepak tiada di pasaran ketika itu. Akhirnya dengan bantuan seorang saudara yang menuntut di London, saya terpaksa berbelanja bagi mendapatkan buku-buku tersebut. Terpaksalah saya menelaah buku itu tanpa mengira siang atau malam. Pengetahuan itu sedikit sebanyak meyakinkan saya.
    Pertandingan awal kejohanan peringkat daerah bermula. Pasukan kami terpaksa mempertahankan kejuaraan kejohanan peringkat itu yang disandang sejak dua tahun yang lalu. Hati saya begitu bimbang. Harapan sekolah terlalu tinggi. Kebolehan saya amat terbatas.
    Satu demi satu pasukan lawan tewas. Gelaran juara berpihak kepada kami. Kami mencipta hatrik. Puji-pujian mencurah datang, kembang juga hati dibuatnya.
    Cabaran paling getir adalah apabila pasukan kami bertanding dalam perlawanan akhir peringkat negeri bertemu Kolej Sultan Abdul Hamid, satu nama besar dalam bidang sukan di Kedah. Pemain-pemain saya berasa kecut perut.
    Sebenarnya saya sendiri lebih kecut daripada mereka, tetapi terpaksalah saya berlakon meyakinkan mereka.
    Seperti yang diduga, perlawanan akhir memang berat sebelah. Bola sentiasa berlegar-legar di depan gawang kami. Serangan lawan bertalu-talu, bola datang bagai peluru. Mujurlah penjaga gawang kami bertindak cekap menggagalkan semua percubaan lawan.
    Entah macam mana pasukan kami mendapat tendangan percuma di tengah padang. Ketua pasukan mengambil tendangan itu. Bola melambung tinggi melepasi pemain. Penjaga gawang lawan melompat cuba menangkap bola itu. Tiba-tiba dia terjatuh. Bola menerjah gawang.
    “Gol! gol!” saya melaung sekuat hati.
    Tanpa disedari saya berlari masuk ke padang. Sedar-sedar saya terbaring dihempap pemain-pemain kami di pintu gawang pasukan lawan. Pengadil mengarahkan saya keluar padang.     
    Beberapa minit kemudian wisel penamat ditiup. Kami bergelar juara bola sepak 15 tahun peringkat negeri Kedah. Kegembiraan kami tidak dapat dibayangkan. Saya dijulang para pemain dan rakan-rakan. Puji-pujian melimpah ruah.
    Dalam hati saya berkata, “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Juara Bola Sepak Bawah 15 Tahun Negeri Kedah tahun ini dibimbing oleh jurulatih kaki bangku.” - Ghazali Lateh
  

Sabtu, 19 Oktober 2013

Kerana Senaskah Cerpen

MENGAJAR di sebuah sekolah berasrama penuh tidak pernah terlintas di fikiran. Saya tidak pernah membayangkan yang saya akan menjadi seorang guru di sebuah sekolah ternama. Saya akui dan saya tidak boleh mendustai diri sendiri apabila menatap surat tawaran penempatan. “Sekolah Alam Shah!” getus hati kecil dan jiwa saya mula berkocak.
    Setelah melaporkan diri dan berkenalan dengan Pengetua, saya diberikan tugas mengajar Bahasa Melayu tingkatan lima serta menjadi guru penolong kaunseling. Sebulan, dua  bulan sehinggalah masuk bulan ketiga, saya telah diminta oleh Pengetua untuk menyelesaikan masalah seorang pelakar “projek khas”.
    “Tolong selesaikan masalahnya.” Itulah arahan pertama Pengetua kepada saya. Saya menerima tugasan tersebut dengan dada terbuka kerana saya yakin saya boleh menyelesaikannya.
    Setelah mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pelajar tingkatan empat itu, saya sering berjumpa dan menjadikannya seorang kawan. Kekerapan memantau perkembangan akademiknya menjadikannya bertambah yakin. Berbekal pengalaman peribadi, saya memberanikan diri bertanya kepadanya.
    “Cikgu Rabita kata awak boleh menulis dengan baik. Betul ke?” tanya saya pada suatu petang di bilik kaunseling.
    Dia diam. Barangkali dia sedang memikirkan apakah kaitan soalan itu dengan masalah yang sedang dihadapinya. Dia merenung muka saya beberapa ketika. Akhirnya dia mengangguk.
    “Kemiskinan bukan penghalang seseorang untuk berjaya. Ayah saya seorang penoreh getah, dan emak saya pula suri rumah sepenuh masa. Tetapi saya boleh belajar hingga ke universiti tanpa terlalu membebankan ayah dan emak saya.” Saya memulakan kata-kata dengan menjadikan saya sebagai model.
    “Macam mana cikgu?” dia mencelah percakapan saya.
    “Saya menggunakan bakat yang Tuhan berikan kepada saya. Saya memilih untuk menjadi seorang penulis.” Saya menyambung cerita. Saya mengeluarkan senaskhah majalah ‘Dewan Siswa.’- Shamsuddin Othman

Naik Gajah

Aku masih teringat peristiwa aku terpaksa menulis perkataan, “ada pun lalat binatang yang pengotor” sehalaman muka surat sebagai satu dendaan kerana tidak patuh kepada arahan guru Bahasa Melayu di kelasku.
    Malu rasanya aku apabila terpaksa menuliskan ayat tersebut pada ketika rakanku yang lain mendapat pujian guru. Bukan aku tidak patuh kepada arahannya malahan aku telah pun menyiapkan karangan tersebut.
    Cuma aku tidak memulakan karanganku dengan perkataan “ada pun” seperti arahannya. Aku sengaja mencari kelainan. Aku tidak menyangka dengan meninggalkan dua patah perkataan tersebut, sudah menjadi kesalahan.   
Hukuman inti mencabar perasaanku. Membakar semangatku. Semuanya tersimpan di dalam hatiku, aku berjanji akan membuktikan bahawa suatu hari nanti, aku mahu menjadi penulis yang disegani.
    Suatu hari aku berkesempatan mengikut rombongan setelah melawat Bandar Raya Kuala Lumpur. Salah satu destinasi lawatan ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. Editor majalah kanak-kanak Dewan Bahasa memberi penerangan dan menghadiahkan senaskhah majalah kepadaku.
    Editor tersebut memberitahu bahawa semua kanak-kanak yang berminat menulis boleh menghantar karya untuk diterbitkan di dalam majalah tersebut. Setiap karya yang diterbitkan, penulisnya akan mendapat majalah percuma.
    Sekembali dari lawatan itu, aku menulis sebuah karangan tentang lawatan tersebut. Aku sangat berharap supaya karangan itu dapat disiarkan dan aku akan mendapat sebuah majalah percuma. Lebih daripada itu aku ingin mengembalikan maruah diriku yang dihukum hanya ingin mencuba sesuatu yang berlainan daripada rakan-rakan.
    Suatu hari ketika perhimpunan sekolah, guru Bahasa Melayu tersebut memanggil aku supaya berdiri di hadapan. “Bustam, cuba kamu bacakan karangan ini,” pinta guru sambil menunjukkan ruangan yang perlu dibaca. “Naik Gajah,” aku membacakan tajuk karangan itu dengan jelas,
    Aku tergamam. Baru aku tersedar bahawa karangan itu adalah karyaku. Namun aku teruskan bacaan sehingga selesai. Aku mengakhiri bacaan dengan menyebut nama penulis: Bustam bin Kamri. Sekolah Kebangsaan Panchor, Muar, Johor. - Dr. Bustam Kamri



Aku Belum Dapat Hidayah...

Aku berkira-kira untuk menjual salah satu insurans kepunyaanku.  Di kepala sudah terbayang kereta baharu yang aku idam-idamkan.  "Hello, Chew, I ingat nak juallah insurans I yang RM50 tu, sambil tu I nak upgrade manfaat insurans yang RM120," kataku pada Chew dalam telefon.  
    Aku ada membeli dua polisi insurans dari Chew sejak tahun pertama aku bekerja.  Chew memang pandai memujuk dan bagus pula cakap dan hujahnya.  Jarang aku dapat menang bila bercakap dengan dia.  
   
Mungkin kerana dia amat berpengetahuan dalam bidangnya. "Hello, ok lah and kalau you nak upgrade better I jumpa you, you ada kat mana sekarang? I boleh datang jumpa you sebab I ada kat KL sekarang," maklum Chew bersemangat.
    Kebetulan yang sangat tepat,  dia ada berdekatan ketika aku menelefon. Maka petang itu kami bertemujanji di Subway. Aku seorang sahaja yang mengunyah sandwich chicken teriyaki dengan lahap kerana tengah hari itu aku hanya minum segelas susu.  
    Chew, bila kutanya katanya sudah kenyang makan di hotel, atau sebenarnya Chew takut agak nya kalau-kalau dia kena belanja aku makan. Ya, kadang-kadang aku rasa Chew ni sedikit bakhil orangnya.  Selepas berbelas tahun, aku rasa itu lah Chew yang kukenal.
    "Mer, you nak upgrade macam mana?  I cadang you upgrade medical plan you supaya banyak manfaat dapat diterima," Chew tanpa berlengah memulakan penerangannya sebaik sahaja aku melabuhkan punggungku ke kerusi.  
    Lalu Chew menerangkan perbandingan di antara skim insurans perubatan yang lama dengan yang baharu dia tawarkan.  "Ini bagus wooh untuk you maa, ia termasuk dengan ladycare tau, bulan-bulan you bayar RM300 sahaja," Chew terus memujuk.
    "Macam mana dengan insurans yang I nak jual tu?," aku bertanya merujuk kepada tujuan utama aku berjumpa dengannya petang itu.
    "Sebenarnya, insurans di beli bukan untuk di jual sesuka hati, manfaat pelan insurans hanya dapat dinikmati selepas tempoh matang, pendek cerita, insurans ni lebih kurang sama dengan pencen la, that is why they did not encourage client to sell their insurance,  You punya yang RM50 sebulan tu akan matang dalam 7 tahun lagi, kalau dicampur antara simpanan, keuntungan dan bonus, you boleh dapat lebih kurang RM24K, kalau you jual sayanglah," terang Chew panjang lebar sampai sempat aku habiskan sadwich ku.  Sepanjang Chew bercakap tanpa henti, aku pula sibuk mengunyah tanpa henti. 
    "Lagi kan, ini ada satu lagi plan perlindungan tau, sesuai untuk you yang suka insuran islamik, I-Amal, pernah dengar tak?...ia bagus tau...ikut takaful, you tau takaful?," soal Chew padaku, cikgulah katakan, tengok anak murid leka sahaja cepat-cepat menyoal.  
    " Erk, salah satu  kaedah perniagaan insurans?," aku meneka.   "Hah, pandai pun, so plan ini islamik, bukan konvensional, confirm halal dan tidak ada riba'...bla...bla...manfaat haji..manfaat korban...manfaat hospital sepanjang haji...untuk anak pun boleh...bla...bla...," sambung Chew lagi panjang lebar.  
    Aku hanya menggangguk tanda setuju dan menggeleng bila tak setuju.  "Chew, jika you tau banyak tentang sistem kewangan Islam ini, you tak ingin ke masuk Islam?," aku tiba-tiba bertanya membuatkan Chew menghentikan 'ceramahnya' pada ku.  
    "Aaaaa...aku belum dapat hidayah," jawab Chew tersengih-sengih.

Quote from the Holy Quran, Al-Hajj (22:16) 
وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَٰهُ ءَايَٰتٍۭ بَيِّنَٰتٍ وَأَنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يُرِيدُ 
Wakathalika anzalnahu ayatin bayyinatin waanna Allaha yahdee man yureedu

    "Dan demikianlah pula Kami menurunkan Al-Quran itu sebagai ayat-ayat keterangan yang jelas nyata; dan sesungguhnya Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan dan undang-undangNya)" – Merhayati Sipon

Rabu, 16 Oktober 2013

Kita Pun Bakal Tua

Orang tua dan kanak-kanak wajar disantuni. Sebabnya orang tua merupakan gambaran masa akan datang kita, kanak-kanak pula gambaran masa lalu kita.
    Berbanding kanak-kanak, saya lebih gemar menyantuni orang tua.
    Saya jatuh hati dengan suami saya sekarang ini pun kerana melihat dia menyantuni seorang tua yang tidak dikenali.
    Peristiwanya?
    Seorang lelaki tua sedang bersusah payah mengeluarkan dari dalam kereta, isterinya yang sangat uzur untuk dibawa ke klinik di seberang jalan. Anak lelaki pasangan itu ada, tetapi kelihatan bermalas-malasan untuk membantu mengangkat ibunya. Uzur sekali nenek tua itu. Badannya lembik, langsung tidak mampu berdiri. Lama juga suaminya bertungkus-lumus sehingga kelihatan mula berputus asa.
    Tiba-tiba suami bangun. Tanpa berkata apa-apa, dia meninggalkan saya. Dia menyeberangi jalan, menuju ke arah pasangan itu. Dia bercakap-cakap sebentar dengan lelaki tua itu, untuk memohon keizinan. Lantas tangannya mencempung nenek tua dan terus mengangkatnya ke klinik. Petugas di klinik terus memberi laluan kepada nenek itu kerana keadaannya yang kritikal.
    Esoknya, saya pun menamatkan penantian suami yang sudah bertahun-tahun itu dan bersetuju untuk berkahwin!
    Kenapa saya selalu berasa orang tua lebih wajar disantuni berbanding anak-anak kecil?
    Semua orang berasa "geram" kalau melihat bayi. Pipinya dicubit lembut, didukung dan dimanjai. Orang tua? Adakah kita "geram" melihat wajah orang tua? Picit pipinya? Dukung dia?
    Kadang-kadang kita sampai hati memalingkan muka apabila melihat orang tua. Maklumlah sudah tidak cantik. Muka berkedut-kedut, rambut sudah beruban dan nipis, kulit tangan pun berkedut, jalan pun terbongkok-bongkok!
    Malahan ada juga yang merasakan orang tua hanya menyusahkan hidup kita!
    Orang-orang yang semacam itu agaknya berfikir bahawa mereka berada di syurga, tidak akan tua selama-lamanya. Kulit akan terus tegang, rambut akan terus hitam!
    Satu hari nanti kita akan merasai semuanya itu jika Allah mengurniakan usia panjang. Kita akan membebel-bebel seperti  itulah. Saat itu, kita tahulah betapa sedihnya hati jika tidak dipedulikan.
    Dahulu, ada juga seorang tua yang rumahnya di atas bukit. Saya pula sempat bertugas sebagai seorang guru di kampung. Tidak lama, dalam dua tahun begitu. Jika saya dalam perjalanan ke pekan, selalu saya nampak orang tua ini dengan tongkatnya menunggu kereta sapu atau bas di tepi jalan.
    Kadang-kadang dia menunggu di bawah panas matahari kerana di situ tiada pondok menunggu bas. Saya selalu berhenti dan mengajaknya naik ke kereta buruk saya. Mahu naik kereta pun dia mengambil masa. Maklumlah dia sudah tua, tetapi masih belum dapat melupakan kebiasaan dan ketagihannya minum kopi di pekan.
    Anak-anak saya pun sudah tahu waktu-waktunya dia akan menunggu di tepi jalan. Anak-anak saya masih kecil saat itu, baru di tadika. Mereka akan sama-sama membantu saya menolak lelaki tua itu mendaki bukit menuju ke rumahnya. Walaupun kepenatan kerana keadaan bukit yang curam, tetapi saya selalu beritahu anak, itu merupakan satu latihan kecergasan.
    Mereka pun tidak pernah merungut, malahan membantu menolak atuk itu dengan bersungguh-sungguh.
    Apabila saya berpindah meninggalkan kampung, ayah selalu beritahu yang lelaki tua itu kerap bertanyakan saya. Dia selalu menunggu di tepi jalan tetapi kelibat saya dan anak-anak sudah tidak ada.
    Lebih kurang beberapa tahun sebelum ayah meninggal dunia, atuk itu pun dijemput pergi. Ayah memberitahu saya, Atuk itu diabaikan anak-anaknya. Rumahnya diambil dan atuk itu hampir dihantar ke rumah orang-orang tua. Tetapi dia tetap mahu menghabiskan hayat di rumah yang menjadi kenangan dia dan arwah isterinya. Allah mengabulkan doanya dan dia meninggal di rumahnya itu. - Ratna Laila

Selasa, 15 Oktober 2013

Tak logiklah, Cikgu!

Sang Pencerita bersama Dr. Merhayati Sipon, bekas pelajar STTJ
Tok...tok...tok... "Assalammualaikum Ustaz Amar, Cikgu Ariff nak jumpa dengan Anis di Makmal Sains sekarang," seorang murid lelaki, yang kutebak mungkin murid tingkatan satu, berdiri di muka pintu kelasku.  Mukanya agak takut-takut ketika menyampaikan pesanan.  Almaklumlah, Ustaz Amar garang juga orangnya.  
    "Baik, terima kasih, ok Anis, saya beri izin kamu keluar sebentar, bila dah selesai, segera balik ke kelas semula," pesan Ustaz Amar sedikit tegas.  "Ya, ustaz, terima kasih," jawab kupantas sambil segera bergegas keluar.  
    "Apahal pulak ni, bukan Cikgu Ariff tak tahu aku ada kelas sekarang ni, pentingkah?," aku tertanya-tanya di dalam hati sambil langkah kuayun laju menuju ke Makmal Sains.
    "Masuk," suara Cikgu Ariff yang sedikit garau kedengaran di balik pintu makmal sebaik pintu kuketuk perlahan.  "Assalammualaikum cikgu," aku memberi salam sebaik daun pintu kukuak perlahan.  
    "Waalaikumsalam, sila duduk," balas Cikgu Ariff sambil  tangannya menunjuk ke kerusi di hadapan mejanya.  Anak kelahiran Felda itu sederhana tinggi serta berkulit sawo matang.  Rambutnya ikal dan menyimpan kumis nipis.  
    Cikgu Ariff guru mata pelajaran Sains Pertanian sejak aku di Tingkatan Satu.  Walaupun aku bukan ketua kelas, tetapi  aku selalu menjadi sasarannya bila dia hendak menyampaikan pesan buat rakan sekelas, mungkin kerana aku pengawas sekolah.  
    Aku pun tidak pasti tetapi dia tampak senang berurusan denganku walhal kakak-kakak senior Tingkatan Empat dan Lima selalu bergosip sesama mereka mengatakan yang Cikgu Ariff, guru baharu yang sedikit pendiam.
    Namun apabila berbual denganku dia nampak sangat ramah,  sambil sesekali bercerita tentang keluarganya di Pahang.  Sebagai anak yang sulung, Cikgu Ariff sangat bertanggungjawab terhadap adik-adiknya yang masih kecil.  Memandangkan adik-beradikku kesemuanya perempuan, Cikgu Ariff sudah seperti abang kandung yang aku tidak pernah ada.
    "Nah, yang ini untuk Anis," senyum Cikgu Ariff sambil menghulur sepapan coklat Cadbury kepadaku.  
    "Wah, terima kasih, terima kasih cikgu," aku melemparkan senyum lebar sambil hatiku kegirangan kerana coklat memang kegemaranku dan Cikgu Ariff tidak pernah lupa tentang itu setiap kali aku dipanggil untuk berjumpa dengannya.  
    "Ini yang buat Anis lagi sayang kat cikgu, kalau tolong sikit, mesti dapat hadiah, kawan-kawan Anis mesti jealous nanti ni," jawabku sedikit keletah.
    "Sebenarnya, kenapa cikgu panggil Anis? Cikgu tahu tak sekarang ni kelas Ustaz Amar, nasib baik moodnya agak baik hari ini, Ustaz Amar tak banyak soal ketika nak bagi izin keluar kelas, itu pun dia dah pesan bila selesai balik semula ke kelas segera," mulut kubecok berbicara sambil  menggesa Cikgu Ariff menerangkan tujuannya kerana tidak mahu membuat Ustaz Amar bising kalau aku lambat masuk ke kelas.  
    Lama Cikgu Ariff merenung aku. "Eh, kenapa Cikgu Ariff pandang Anis macam tu? Anis ada buat salahkah?," tanyaku sedikit gusar sambil memikir takut-takut aku ada terlupa menyampaikan pesan Cikgu Ariff kepada kawan-kawan sekelas.  
    "Erk, tak, cikgu, cikgu nak cakap sesuatu pada Anis, aah, kalau cikgu belanja Anis sate, nak tak?," balas Cikgu Ariff sambil berterusan memandang tepat ke mataku.
    "Alah, cakaplah dari tadi cikgu nak belanja kami sate, ingat Anis ada buat salah ke?, buat Anis suspense je," lega hatiku mendengar jawapan Cikgu Ariff.  
    "Tapi kenapa cikgu nampak pelik hari ini, yang asyik tenung aku ni kenapa," hatiku berdetik sambil jariku sibuk menekan kepala pen untuk menutup kegelisahan yang semakin menjelma.  
    "Bukan 'kami', tapi Anis seorang sahaja, boleh?," renung Cikgu Ariff lagi. Kali ini, sah aku sudah mula rasa lain macam.
    "Erk, tak bolehlah cikgu, nanti kawan-kawan Anis ejek Anis 'bodek' cikgu, selalu kan cikgu ajak satu kelas," soalku lagi sedikit keliru dengan permintaan Cikgu Ariff.  
    Kali ini aku betul-betul renung muka Cikgu Ariff.  Aku rasa sedikit hairan bila Cikgu Ariff kurang bercakap hari ini.  
    "Cuba awak baca ni Anis," pinta Cikgu Ariff sambil menghulurkan satu lipatan kertas A4 kepada ku.  Aku segera mengambilnya dari tangan Cikgu Ariff.  
    "Ohhh, ini yang cikgu nak bagi tahu Anis dari tadi, laaa, biasa lah cikgu, apatah lagi kalau guru baru kat sekolah ni," jawabku sambil tertawa kecil.
    "Anis tak rasa cemburu ke?," soal Cikgu Ariff menghentikan tawaku.
    "Ish, buat apa nak cemburu? Baguslah cikgu ada secret admirer kat sekolah ni, lagi pun Kak Salmi ni cantik tahu cikgu," jawabku sambil bergosip tentang Kak Salmi, kakak senior Tingkatan Lima di sekolahku.  
    "Betul Anis tak rasa cemburu?," soal Cikgu Ariff lagi.  Aku lihat ada redup di matanya.
    "Eh, kenapa pula? Cikgu macam runsing je, tak sihat kah?," jawabku makin keliru.  
    "Apa kena Cikgu Ariff ni? Dah lah berdua-duaan dalam Makmal Sains, matilah aku kalau Ustaz Amar tahu," hatiku dah mula gelisah sambil bibir tersengih-sengih untuk menutup keresahan yang makin menggila.
    Aku rasa Cikgu Ariff seperti mengelamun sambil tunduk seolah-olah cuba membaca buku di hadapannya.  Perlahan-lahan dia mengangkat muka merenung mukaku.
    "Anis tak pernah rasa apa-apa pada cikgu?," kali ini kulihat renungan Cikgu Ariff seperti mengharap.  
    "Alah...janganlah, janganlah, janganlah cakap yang itu," hatiku sudah menggelabah bila aku sudah mula menebak tujuan Cikgu Ariff pagi itu.  Aku semakin membundarkan mataku. "Erk, rasa apa cikgu?," tanyaku kembali pura-pura tak faham.  
    "Saya cinta dan sayangkan Anis sejak Anis di Tingkatan Satu lagi," jawab Cikgu Ariff sambil matanya terus-terusan merenungku.  Kali ini, aku sudah terasa peluh jantan mula menitik, ketiak pun dah mula rasa lekit.
    "Cikgu! Cikgu tahu tak cikgu tak patut cakap macam tu, Anis kan anak murid cikgu. Sebagai guru cikgu tak patut jatuh cinta dengan anak murid sendiri, budak bawah umur pulak tu, tapi kalau anak murid tak pe jatuh cinta kat cikgu, tu biasa, lagi pun umur cikgu hampir 10 tahun jaraknya dengan Anis, kalau nak bercinta dengan adik cikgu bolehlah, tak logik lah kalau Anis nak bercinta dengan cikgu, lagi pun Anis anggap cikgu macam abang sahaja, sayang macam abang sahaja," jawabku nyaring.  
    Itu kali pertama aku meninggi suara pada Cikgu Ariff.  Dalam menggelabah itu aku dah mula melalut, sudahlah aku juga terkenal dengan keceluparannya  di kalangan kawan-kawan setingkatan.  
    Apa sahaja yang terlintas di kepala terus aku luahkan pada Cikgu Ariff.  "Cikgu, maafkan Anis, minta diri dulu, Anis nak balik ke kelas," terus aku menyambung kata-kata bila kulihat Cikgu Ariff seperti terkedu dengan tindakan ku.  
    Mungkin dia tidak menyangka kata-kata seperti itu boleh keluar dari mulutku yang selalu manja.   Aku segera bangun dan menolak daun pintu makmal sedikit kasar.  Aku ingin segera keluar dari situ.  Aku takut nanti kena tangkap khalwat dengan Ustaz Amar pula, kecoh jadinya nanti.  
    Aku tidak tahu sama ada Cikgu Ariff tersinggung atau tidak, aku tidak mahu tahu dan sudah tidak peduli.   "Tak logik betul! Memang tak logik, tak sangka Cikgu Ariff begitu, patut lah baik sangat dengan aku selama ini," aku tak berhenti mengomel sambil langkah semakin laju. 
    Dalam hati aku terkilan juga sebab coklat pemberian Cikgu Ariff tadi ku tinggal begitu sahaja di atas meja. – Merhayati Sipon