Isnin, 17 November 2014

Diari Mat Handsome 1

Inilah kebun yang diracun Mat Handsome
TIDAK seperti yang dijanjikan, Mat Handsome dan anaknya yang aku bayar wang jamin RM1,000.00 tidak datang bekerja.
        Sewaktu lalu di bahagian depan rumahnya, aku dengar suara gurau senda Mat Handsome bersama isteri yang diselang-seli dengan sampukan suara satu-satu anaknya, Mat Handsome Junior.
        Aku tidak mahu merosakkan suasana bahagia berkeluarga mereka, lalu pergi.
        Keesokan paginya aku lewat ke kebun – sekitar jam 9.30 pagi. Mat Handsome dan Juniornya tidak terlihat wajahnya. Hanya kira-kira 15 minit kemudian, mereka muncul dari arah baruh.
        Aku menyerahkan racun rumpai yang dibeli.
        “Ji! Pakai RM50.00. Duit rokok tak adalah.”
        “Safri! Kalau saya beri setiap hari, sampai bilapun hutang RM1,000.00 tu tak akan langsai.”
        “Duit makan pun tak ada Ji. Macam mana nak kerja,” Mat Handsome yang mungkin tahu kelemahanku menggunakan buah silat pulut itu.
        Memang aku tak boleh dengar orang tak makan, maka note RM50.00 bertukar tangan.
        “Anak saya Ji. Dia pun tak ada duit rokok.”
        Kesabaranku mula dijentik. Sudahlah sebahagian isi kotak rokokku semakin menipis kerana ditumpang sekaki, kini kena pula beri duit rokok bapa dan anak.
        Pada kira-kira jam 11.30 pagi, Mat Handsome minta kebenaran untuk pulang seketika ke rumahnya yang terletak di baruh kebun.
        “Nak balik minum sekejap Ji.”
        Dan Mat Handsome gagal menghabiskan air minumannya sehingga ke petang. Anaknya juga tidak kelihatan.

Sabtu, 15 November 2014

Apabila Irfan Minta Upah Tolak Lori

MEMANG sukar memisahkan diri daripada kebiasaan. Itulah tugas guru yang mungkin tidak disedari oleh sebahagian anggota masyarakat.
        Walaupun sudah hampir lima tahun bersara, aku masih guru – guru di mana-mana sahaja.
        Sejak 1 Muharam lalu aku sedang `menternak’ (istilah yang diguna pakai Kementerian Pendidikan kini) Ahmad Irfan yang masih berusia 12 tahun itu. Aku tak mahu cakap panjang. Ikuti diari projek CSR syarikatku di blog atau FB Agro Kraf.
        Senja tadi Allah bagai sengaja memilih Irfan sebagai objek ujiannya.
        “Pakcik! Duit upah tolak lori bila nak beri?”
        Soalan itu sudah diulang tiga kali dalam tempoh tidak sampai satu jam tapi aku diamkan sahaja bagai tidak mendengarnya.
        Beberapa minit sebelum azan Maghrib tadi, Irfan bertanya lagi inginkan kepastian.
        “Duit upah tolak lori bila nak beri Pakcik?”
        “Kalau Irfan nak minta upah, Pakcik juga boleh minta upah kerana ambil gambar Irfan masuk blog dan FB. Pakcik bawa jalan-jalan dan makan cendol. Pakcik juga selalu belikan ais krim. Pakcik selalu kata pada orang Irfan semakin berubah. Irfan dah mula nak terkenal di taman perumahan ini.”
        Irfan bagaikan tersentak dan berlalu pergi.

Ditipu Hidup-hidup Anak Kontraktor Turap Jalan


APABILA merasa diri berpengaruh kerana ada payung politik, orang boleh buat apa sahaja dan janji manis yang diberikan hanya penyedap kata. Mereka tidak rasa bersalah sedikitpun walaupun untuk menipu dalam siang.
       Itulah yang terjadi dalam tempoh seminggu ini apabila anak Asyraf, mamak yang menang tender turap jalan Majlis Perbandaran Seremban untuk Taman Pinggiran Golf yang mungkin berfikir aku ini hanyalah peminta sedekah batu kuari panasnya.
       Ceritera bermula pada hari pertama, anak kontraktor yang mungkin ahli KIMMA ini bermanis mulut untuk menumpangkan jentera pemampat jalan kecil yang dikatakan berharga lebih RM300,000 itu.
       “Bang! Boleh tak saya tumpangkan mesin ini di rumah abang malam ini? Nampak sahaja kecil tapi harganya hampir setengah juta,” kata si anak Asyhraf lalu aku cadangkan ia di simpan di bahagian belakang rumah yang menghadap Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) itu agar tidak dilihat `pencopet’.
       Besoknya pula, mesin itu naik taraf apabila tanpa minta persetujuan ia diletakkan di parkir di sebelah rumah; yang juga rumahku sehingga isteriku terpaksa beralah memparkir keretanya dalam hujan di bahagian terbuka.
       Sewaktu aku menegurnya keesokan hari, si anak Asyraf berjanji akan menurap bahagian depan pintu kedua-dua rumahku yang terletak bersebelahan. Aku pula memintanya menurap kedua-dua rumah jiranku supaya tidak kelihatan janggal.
       Oleh kerana Jalan Angsana 1 tidak termasuk dalam kontrak untuk diturap walaupun ia jalan utama, itu tidak sangat menjadi persoalan. Aku akur bahawa mungkin jalan itu masih baik dan ia pernah diturap semula sebelum ini sedangkan lorong yang lain tidak.
       Sekurang-kurangnya empat hari aku dan jiran sebelah rumah, Akhiri Mokhtar susah kerana janji anak Asyraf.
       Kami terpaksa mengalihkan kereta di bahagian belakang rumah pada sebelah petangnya dengan menjangkakan kerja-kerja turap semula itu menyusahkan mereka kerana kereta kami mengganggu.
       Pada hari ketiga, aku terpaksa mencari anak Asyraf pada sebelah petangnya untuk menuntut janji.
       “Kerja itu perkara kecil sahaja bang! Besok saya buatlah!,” itu kata-kata yang diulang sehinggalah pada hari akhir kerja mereka disiapkan.
       Seperti biasa aku percaya apa yang orang kata.
       “Takkan dibuatnya! Percayalah kata saya,” pada petang hari kelima isteri bersuara.
       Oleh kerana ingin membuktikan kepadanya bahawa itu lebih bersikap prejudis, aku sengaja mencari anak Asyraf senja itu. Setelah berpusing di setiap lorong, ternyata kata isteriku benar. Anak Asyraf meninggalkan Taman Pinggiran Golf tanpa menunaikan janjinya.
       Mungkin kerana melihat keadaanku selekeh kerana setiap kali kami bertemu aku baharu kembali dari kebun; anak Asyraf memperlekehkan aku. Lebih jelik, dia mungkin melihatku bagai peminta sedekah batu panas yang tak seberapa harganya itu.
       “Kurang asam! Mungkin itu sebab KIMMA tak disokong masuk BN,” aku bagai membentak. Maaf, aku agak rasis! 

Jumaat, 7 November 2014

Percakapan Dua Penulis

Sewaktu mudanya, orang tua ini pernah dipinjamkan Allah jawatan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Negeri Sembilan (KELANA), Setiausaha 1 dan Ketua Dua Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Setiausaha Persatuan Wartawan Melayu Negeri Sembilan.
“Zul! Lama aku tak nampak nama kau dalam surat khabar?”
“Aku tak hantar. Tak adalah story.”
“Aku juga lama tak nampak muka kau dalam majlis-majlis persatuan penulis?”
“Aku dah tua.”
“Aku tahu kau masih menulis. Aku baca blog kau. Aku juga baca komen-komen kau dalam FB. Kau masih macam dulu, selamba sahaja mengutuk orang.”
“Orang politikpun kau pulun semacam.”
“Sejak zaman Pak Sako, zaman A. Samad Ismail lagi penulis pulun orang politik.”
“Kau tak takut ke?”
“Apa lebih, apa kurangnya dia dengan kita. “Dia orang makan petai juga.”
“Kah! Kah! Kah!”
“Kebelakangan ini aku tengok kau dah jadi pekebun. Terdaya ke?”
“Alhamdulillah! Aku lebih sihat dengan berkebun. Aku lebih bahagia bercakap dengan pokok.”
“Hai! Macam merajuk je?”
“Apa yang nak dirajuk?”
“Tua-tua begini aku lebih suka menyendiri.”
“Ada orang nampak kau selekeh sangat sekarang. Tak macam dulu, pakai tai, pakai jaket kulit buatan Perancis.”
“Tak kan aku nak pakai tai pergi kebun.”
“Kah! Kah! Kah!”
“Pasal blog kau, aku dengar ramai ahli persatuan tak sambut ajakan kau untuk bersama-sama membangun ceritaapaapasaja kau. Betul ke?”
“Tak tahulah. Sesiapa sahaja boleh berkongsi cerita dalam blog aku. Aku tak paksa.”
“O.K.lah Zul. Hari ini aku hendakkan kepastian. Betulkah kepimpinan persatuan tidak berselera dengan pendekatan blog kau? Mereka kata blog kau menyebar keburukan dan mengata orang; yang jelas sekali bertentangan  dengan nilai agama.”
“Tulis cerpen dan sajak tu tak bercerita dan memburukkan orang ke?”
“Itu lain Zul. Kritikan sosial dalam cerpen dan sajak ada nilai estetika.”
“Nilai estetika apa ke benda? Bendanya sama sahaja. Aku menggunakan pendekatan mudah secara new-journalisme manakala mereka berkelok-kelok, beranalogi, bermetafora dan mengambil masa yang panjang untuk mencapai matlamat yang sama – perubahan positif.”
“Mereka berjiwa seni Zul!”
“Bukan seni! Penulis kreatif itu pengecut. Mereka tetap mengata orang dan sanggup pula bersusah payah mencari kata dan ayat supaya orang tak mengata mereka mengata.”
Tak dapat ditahan-tahan lagi, rakan penulisku meledakkan deraian ketawa yang tidak mampu dihentikan lagi. Suis ketawanya jam. Kah! Kah! Kah! Kah! Kah! Kah! Kah!...

Khamis, 6 November 2014

Apa Dimegah Hartanya Orang...

Tanah isteri Anjung terletak bersebelahan rumah adikku Rusni; tempat tinggal emak dan abah kini.
KEHADIRAN kambing, lembu dan babi hutan ke kebun dan memusnahkan tanaman serba sedikit menurunkan darjah kerajinanku. Jangan bercerita mengenai pokok tahun seperti nangka atau mangga yang ditanam oleh Leman lebih dua tahun yang lalu, sebodoh-bodoh pokok untuk menanamnya seperti ubi dan kelapa yang kutanam juga hidup segan mati tak mahu.
    Batang ubi Medan yang aku ambil dari tanah Anjung, sepupuku kering dan mati akhirnya bahana air liur kambing yang aku boleh agak siapa pemiliknya.
    Aku juga terpaksa bersilat pulut dengan babi hutan. Hari ini aku tanam kelapa mataq yang kubeli dari rakan lamaku, Dino Agro di Pasar Tani Paroi Jaya, dua tiga hari kemudian disondolnya. Aku tanam kembali, dia sondol lagi.
    Sebagai pengubat duka buat sementara, aku membersihkan kebun Anjung yang hanya terletak bersebelahan rumah adikku Rusni, tempat tinggal kedua-dua ibu bapaku sekarang. Kebunnya semak dan mengganggu pandangan.
    Selepas membantu emak memandikan abah, aku menyarung but lalu meminjam parang panjang milik Mak Lang yang tinggal sebelah rumah dan buat beberapa hari pokok ubi yang sudah lintang-pukang keadaannya, aku bersihkan.
    “Jung! Apa tak pungut pucuk ubi kau? Sayang, terbiar sahaja,” suatu pagi sebelum kerja-kerja pembersihan bermula, telefon mohon kebenaran dibuat.
    Anjung adalah sepupuku (emak kami adik-beradik) dan pernah tinggal bersamaku kerana emak dan abahnya meninggal dunia sewaktu mereka kecil.
    Dia bukan sekadar sepupu tetapi bagai abangku (dia tua setahun) dan dua lagi adiknya turut tinggal bersama – Tapa dan Mansur.
    Setiap kali aku menelefon Anjung, dia akan segera menyerahkan butir perbincangan kepada isterinya.
    “Cakap dengan Kak Ngah kau!,” begitu dia selalu memberi alasan.
    Aku tahu tanah pusaka seluas 1/8 ekar itu dibeli dari bahagian abangnya Along Amat tapi Kak Ngah yang membayarnya. Jadi tanah itu bukanlah milik Anjung sebenarnya tapi milik Kak Ngah.
    Itu bukan persoalan bagiku. Aku sememangnya tidak berminat dengan tanah pusaka.
    Apa yang menjadi tanda tanya kepadaku cuma sikap Anjung yang tidak mahu pulang lagi ke rumah kami sejak sekian lama. Abah pula terlalu uzur dan sudah lama tidak boleh berjalan kerana penyakit sarafnya.Rumahnya pun bukan jauh; cuma sekitar 15Kilometer iaitu di Bandar Baru Nilai.
    Menurut empunya cerita, Anjung kecil hati dengan kedua-dua ibu bapaku. Puncanya tak pernah diketahui.
    “Masa kerja tukang dengan dia; bukan bayar gajipun,” itu antara komplen Anjung terhadap abah.
    Dua minggu lalu Anjung pulang ke kampung memungut pucuk ubi yang subur hasil pangkasanku.
    Kak Ngah sahaja yang buat kerja tu sedangkan dia berbual panjang di rumah sepupu sebelah ayahnya, Fendi yang rumahnya sebelah rumah Rusni.
    “Tak ada ke dia jenguk abah dan emak?,” tanyaku pada suatu pagi.
    Emak menggeleng hambar.
    Beberapa hari kemudian Anjung dan Kak Ngah datang membersihkan kebunnya lagi. Kali ini mereka turut mengajak Md. Zain menantu Tajum yang bisu untuk meninggikan pagar tempat aku menyeberang selalu.
    Sebagai orang tua, aku faham. Anjung tak mahu aku mengusik kebunnya lagi dan pada masa yang sama mungkin dia terlupa bahawa kebun isteriku jauh lebih luas daripadanya.
    Bezanya selama ini aku tetap tidak berubah pegangan sejak dahulu. Harap-harap begitu – harta itu boleh menjamin syurga ke? Harta itupun bukan harta kita.

Ahad, 2 November 2014

Beri Seposeng, Minta Seria

Antara kerja kursus di MPIK: Kami cetak sendiri foto
yang diambil, di Bilik Gelap, bersebelahan bilik S. Karthigesu dibunuh.
CAKAP-CAKAP mengenai kegagalan pensyarah yang baharu pulang dari Amerika Syarikat itu menguruskan subjeknya sudah tidak menjadi rahsia di kalangan kami; pelajar Kursus Khas Setahun Bidang Teknologi Pendidikan.
    Perasan benar kami dia tidak menguasai bidang itu tapi untuk menutup kelemahannya, dia sering menggunakan jargon bahasa Inggeris dan mengutip bahan dari buku yang diterbitkan di Amerika (mungkin buku yang terpaksa dibeli untuk menyiapkan tesis ijazah pertamanya).
    Kami juga perasan pensyarah ini menyiapkan bahan pengajarannya berasaskan buku semata-mata sedangkan kami pelajarnya pengguna tegar Teknologi Pendidikan sewaktu bertugas di sekolah.
    (Kemudiannya sewaktu di universiti, aku juga temui pensyarah yang begini – membawa timbunan buku ke bilik kuliah; petik dua ayat dari buku ini dan dua tiga ayat dari buku lain untuk menunjukkan berlakunya rujukan silang.)
    “Guana orang macam ni boleh luluh universiti,” Wan Abdullah peserta dari Terengganu kedengaran suatu hari membebel sewaktu kami mengumpat pensyarah itu di belakangnya.
    Dan sebagaimana biasa, pelajar kolej atau universiti memang tidak berani cakap depan-depan mengenai prestasi pensyarahnya – siapa nak cari penyakit kerana markahnya bulat-bulat terletak pada pen (hari ini di komputer) pensyarahnya.
    Maka berlakulah pelbagai cara mudah untuk menarik perhatian pensyarahnya – rajin bertanya ke biliknya, lemparkan senyuman paling manis (lebih-lebih kalau perempuan) dan  paling koman bila balik dari kampung titipkan pensyarah kita dengan keropok. Tentunya berbeza markah di antara keropok kering dengan keropok lekor.
    Apa yang dapat kami kesan lagi, banyak cara pensyarah menutup kelemahan diri; untuk mengaku tidak bersedia jauh sekali – “Aku ada sarjana, aku ada PhD dan dari luar negara pula.”
    “Pensyarah pandai bersyarah sahaja. Buat tak tentu lagi!,” Wan Abdullah memuntahkan tembakannya lagi.
    Kah! Kah! Kah! Ledakan ketawa kedengaran sewaktu aku membuka rahsia bahawa hampir sebahagian besar bahan kuliah Penulisan Skrip Untuk Bahan Audio-Video seorang pensyarah lain yang tinggal berdekatan, aku yang beri.
    Pagi itu bilik kuliah yang hanya terletak bersebelahan sebuah sekolah berasrama penuh itu menjadi saksi; pensyarah juga perlu diberitahu mengenai prestasinya oleh pelajar untuk membaiki diri. Kalau tidak, perasan hebat akan terus-terusan hingga pencen. Dan paling ruginya negara.
    Sewaktu pensyarah itu memberi komennya mengenai kerja kursus kami yang dikatakan di bawah par, kami berpandangan sesama sendiri.
    Wan Abdullah sudah terbang sabarnya. Bagaikan bertempik dia menggunakan peluru tembaga (biasanya orang yang menuntut ilmu kebal tidak mati kalau ditembak dengan peluru biasa) dan tanpa perlu membedek juga, picu pistolnya dilepaskan.
    “Guana nak boleh hasil baik. Beri seposeng, minta seria!”


nota: Beri seposeng, minta seria! (beri 10 sen, minta RM1.00)

Sabtu, 1 November 2014

Umpanku Dimakan

Sewaktu bekerja diusung dan disanjung. Lepas bersara dia tidak berharga lagi?
AKU memang mengharapkan reaksi sewaktu menulis catatan pengalaman mengunjungi semula tempat kerja lamaku – IPG Kampus Raja Melewar melalui blog ini semalam.
Aku hanya sempat menjenguk FB sekitar jam 9.50 malam iaitu sebentar tadi (seperti biasa aku berada di kampung sejak pagi dan hari ini pulang waktu Maghrib) dan terlihat reaksi sahabat lamaku.
Jangan copek melatah bang. Satu dua pandangan itu, bukan pengukurnya terus kita buat natijah. Kita mesti yakin dgn kebolehan rakan pensyarah yg ada. Wallahualam.”
Dan aku segera memberi reaksi tulisannya pula.
“Bukan melatah. Banyak sangat dilihat dan didengar mengenai keupayaan guru muda di sekolah. Dalam tempoh 10 tahun terakhir saya berpeluang menjadi AJK PIBG di dua buah sekolah rendah ternama di Seremban. Setelah dua tahun memegang jawatan Naib Yang DiPertua (sekolah perempuan) dan tiga tahun di sekolah berhampiran rumah; saya berani membuat inferen; mereka bukan macam zaman kita dahulu. Pensyarah pula ramai yang `Play Safe' - untuk cover kelemahan diri dan mengejar angka dan huruf 48, 52 dan C.”
Antara rumusan yang boleh aku buat mengenai guru hari ini adalah seperti berikut; tak mahu bersusah, penakut, tidak ada sikap urgensi, terima apa sahaja arahan Guru Besar walaupun tahu ia tak berapa betul, main selamat, bersikap Sang Maha Tahu tapi sebenarnya tak berapa tahu.
Selain pengalaman langsung sebagai AJK PIBG, aku juga mendapat `siaran langsung’ fakta daripada dua sumber yang tidak akan berbohong. Pertamanya daripada anak yang masih bersekolah rendah dan isteriku pula diamanahkan dalam bidang Penaziran dan Jaminan Kualiti.
Bukanlah mereka suka sangat membuka cerita benar tapi kadang-kadang terkeluar juga. 
Bagi Guru Besar sekolah rendah pula sikap Sang Maha Tahunya berdarjah tinggi. Di kedua-dua sekolah yang pernah aku menganggotai PIBGnya; cukup ketara.
Tahun lalu aku minta tidak dicalonkan lagi sebagai AJK dalam mesyuarat akhir. Secara terus-terang aku katakan kehadiranku tidak membawa apa-apa makna kerana hampir segala-galanya ditentukan oleh Guru Besar dan kami hanya `diminta mengangguk’ untuk pemanis minit mesyuarat.
Sabarku hilang apabila Guru Besar ini tidak berani mengambil tindakan terhadap  penjual makanan ringan di kawasan sekolah sewaktu kubawa dalam mesyuarat.
“Cakap terang-terang Ji. Saya tak berani. Saya takut kena busung nanti. Saya nak bersara dua tahun lagi.”
Moto sekolah ini ialah `Sasaranku Juara.’ Tertanya juga di hati, murid diminta jadi juara tapi Guru Besar Cemerlangnya pengecut. Hipokrit! Lebih baik aku letak jawatan.
Mengenai dakwaan aku cepat melatah, ini jawapanku secara spesifik. Ini bukan pasal orang pencen itu mudah kecil hati atau selalu dijadikan bahan ketawa sebagai `gila talak’.
Memang tak patut. Waktu sama-sama bekerja cukup mesra. Mesra hilang, tak sampai seminggu lepas bersara.
Masa bekerja rajin bertelefon. Dan nombor telefon kawan hilang selepas dia pencen.
Isnin lalu lebih menyakitkan hati. Staf di tempat lama kerjaku bagai hilang sikap reaktifnya. Lama sudah aku lihat pentas dan kedai fotostat hadiah persaraanku tidak digunakan.
    Lama sudah tali penghalang dipasang tanda tidak membenarkan pelajar berada di pentas kerana dikatakan`uzur’ dan kedai fotostat kelihatan mengganggu kerana tidak beroperasi lagi.
Benda itu mudah sahaja. Kalau tidak boleh atau tidak mahu digunakan lagi; buang sahaja.
Kalau itupun tiada masa, izinkan orang yang membuatnya, membukanya semula. Bagaimana?