Rabu, 17 Januari 2018

Saya Bahagia Kalau Dapat Membantu

Sejak memegang jawatan Ketua Pusat Sumber di Maktab Perguruan Raja Melewar kira-kira satu semester lalu aku cuba membuat beberapa perubahan yang aku fikirkan boleh menarik minat pelajarku untuk mencintai buku dan seterusnya minat membaca.
     Selain kertas cadanganku untuk menjadikan pameran bertema sebagai acara bulanan di pusat sumber diterima oleh Majlis Profesional, Pengurusan dan Pentadbiran Maktab, beberapa projek yang membabitkan keceriaan pusat sumber turut diterima.
     Dengan tema `Kami Sedia Membantu Dengan Sentuhan Kekeluargaan', aku benar-benar mahu menjadikan pusat sumber sebagai tempat yang selesa dikunjungi.
     Selain susun atur ruang yang telah diubahsuai di sana-sini, aku sering berpesan kepada staf di bawah pentadbiranku agar pelajar-pelajar yang berurusan di pusat sumber diberi layanan yang sebaik-baiknya. Walaubagaimanapun perubahan tidak berlaku sekelip mata.
     Aku masih melihat keadaan di pusat sumber seperti biasa. Pelajar-pelajar lebih gemar membelek-belek akhbar harian pada sebelah pagi dan biasanya kadar pinjaman buku pada paras tinggi apabila tiba musim kerja kursus diberikan kepada mereka.
     "Aaah! Kadang-kadang keluhan pendek itu terkeluar juga. "Mengapa pelajar tidak minat meminjam buku-buku yang agak serius sifatnya dan hanya meminjam buku yang berkaitan dengan tajuk kerja kursus?"
     Kalaulah murid-murid sekolah rendah sering dilihat berkerumun di kaunter pinjaman, mengapakah suasana begini jarang di lihat di maktab perguruan? Beginikah sikap bakal guru yang akan mendidik anak-anak ini nanti? Persoalan-persoalan begini sering juga bermain di kepala.
     Tidak cukup dengan program-program yang bersifat nilai tambah (value-added), aku turut mengambil kira aspek kecil seperti layanan mesra di kaunter sebagai daya tarik ke pusat sumber. Aku memperkenalkan kepada stafku konsep menghargai pelanggan, dengan mengucapkan terima kasih kepada pelajar-pelajar yang meminjam buku.
     Sebagai pegawai yang diamanahkan mengurus pusat sumber, aku juga bertindak sebagai pegawai khidmat pelanggan.
     Untuk mewujudkan suasana yang lebih ramah pengguna, di pintu bilikku sendiri aku letakkan poster yang aku reka sendiri dengan kata-kata yang boleh dilihat dari jauh. "Saya Cukup Bahagia Kalau Dapat Membantu. Silalah Masuk." Poster itu turut memaparkan wajahku yang aku fikir cukup bersifat `menjemput.'
     Pada suatu pagi aku didatangani seorang pelajar Semester 1 yang baharu melapor diri beberapa minggu lalu. Di tangannya terpegang beberapa helaian kertas. Sebelum sempat bercakap panjang, aku mempersilakan dia duduk.
    "Encik! Boleh bantu saya memahami perkataan-perkataan ini? Saya tak faham maksud `hardware', `software', `courseware', `useware'," katanya bersopan.
     "Pensyarah awak tidak jelaskan makna-makna perkataan itu pada awal kuliah?," tanya saya lembut.
     "Dia suruh kami cari sendiri," jawabnya pendek.
     Setelah memberi penerangan, aku terus diajukan soalan-soalan yang bertalu-talu, yang aku fikir boleh menyiapkan satu tugasan.
     "Sebelum saya menjawab, boleh saya tanya awak satu soalan?"
     Dia mengangguk.
     "Pensyarah awak memberikan tugasan ini bagi membolehkan pelajar mendapat kemahiran carian dan mengurus maklumat. Nampaknya awak cuma mendapatkan maklumat daripada saya. Untuk menghasilkan tugasan yang baik, cuba dapatkan maklumat daripada pelbagai sumber. Adunkan maklumat itu sebaik-baiknya untuk menjadikan esei yang menarik," aku memberi kuliah pendek.
     "Tapi Encik, di depan pintu Encik ada sebut Encik suka membantu. Jadi saya mintalah bantuan," katanya bersahaja.
     "Saya hanya boleh membantu bagaimana mendapat dan mengurus maklumat. Bukannya membantu menyiapkan tugasan."
     "Ooohh...! Begitu?," dia melongo.

Selasa, 16 Januari 2018

Wal `Asri

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran serta saling menasihati agar tetap sabar."
     Diam tak diam sudah lebih enam bulan aku menyendiri; lari daripada kebiasaan  - tanpa kawan, tanpa komputer, tanpa blog, tanpa Facebook, tanpa rokok.
     Sesekali sewaktu menjengah FB; cuma melalui Asus Zenfonku, terlihat juga beberapa catatan bekas pelajarku yang bertanya sesama sendiri - di mana Cikgu Zul sekarang? Lama tak nampak di FB. Sihat tak dia sekarang?
     Lebih jauh daripada itu, sesekali berjumpa kawan di majlis perkahwinan, seperti biasa tidak kurang yang menjerkah tanpa berselindung - mano lamo tak nampak, ingatkan dak tak do.
     Dan menariknya malam tadi, tidak lama entri terbaharu blog ini dipos, beberapa rakan - Mohd Nasir, Mohammad Abd Ghani, Hanapiah Embot, Samsudin Hamidan, Zakir Z Rich, Mohd Noor Awang, Eddie Azman, Johari Kassim Aju, Tok Mat (Mohamad Haji Musip) - terus memberi reaksi.
     Di mana dan kenapa menghilang? Itu  antara pertanyaan mereka - tanda ingat dan sayang.
     Untuk menjawab pertanyaan itu, setidak-tidaknya tiga peristiwa penting memungkinkan perkara itu berlaku. Paling utama dalam tempoh enam bulan ini aku lebih memberi tumpuan kepada keluarga terutama emak yang terlantar di hospital dan di rumah.
     Sebagai satu-satunya anak lelaki emak, aku ingin bersamanya pada hari-hari terakhirnya.
     Ternyata hajatku dikabul Allah. Dua hari sebelum emak dipanggil pulang, aku diminta berbaring di sisinya di katil.
     "Zul! Tolong emak Zul," katanya sendu lalu aku memeluknya sambil diperhatikan adik-beradik dan sanak-saudara yang memenuhi ruang tamu; datang ziarah.
     Puas aku memikirkannya apa yang dimaksudkan minta tolong itu. Setelah berbincang dengan adik-beradik malam itu kami mengadakan majlis bacaan Yaasin dan meminta pihak masjid mengulanginya untuk dua malam lagi.
     Keesokan harinya, teringat aku pesan emak sejak kecil - amalkan ayat Lakod Jaakum. Kalau hari itu kita tidak lancar, itu antara petanda kita akan mati.
     Maka aku membaca surah At-Taubah. Dua ayat terakhir surah itulah  (ayat 128 dan 129) ayat yang dimaksudkan oleh emak.   
     Sekitar jam 12.00 tengah hari, di hadapan kesemua anaknya, emak menarik nafas terakhir. Alhamdulillah! Aku dapat memimpinnya  melafaz Laila Ha Il Allah buat kali terakhir.
     Dalam tempoh sendirian ini juga aku mengambil kesempatan mencampak jauh salah satu habit burukku - merokok. Dengan `tidak berkawan' dalam tempoh edah kecanduan setelah menyertai Klinik Berhenti Merokok; setidak-tidaknya aku dapat mengelak dihulur rokok oleh teman.
    Tak jemu dan sunyike? Memang jemu. Memang sunyi.
     Jadi, apa dibuat untuk mengisi lapang secara bermakna?
    Sesudah menimbang-terima, aku akan kembali ke dunia asalku.
     Apa dia?
     Kalau dapat aku tunaikan kehendak ayat Wal `Asri yang pendek ini pun, ia sudah cukup bermakna.

Isnin, 15 Januari 2018

Kami Lepasan Amerika

Mendengar keluhan beberapa orang rakan yang telah berinteraksi dengan pelajar-pelajar Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) ambilan pertama itu membuatkan aku terfikir-fikir juga bagaimana hendak memulakan kuliah dengan mereka jam 10.00 pagi ini.
     Mereka adalah pelajar perintis yang diperkenalkan oleh Bahagian Pendidikan Guru dan sebahagian besar mereka adalah lulusan luar negara. Rata-rata mereka berkelulusan sarjana berasaskan sains tetapi oleh kerana pasaran kerja dalam bidang itu terbatas kerana keadaan ekonomi negara yang merudum, mereka memilih profesion perguruan.
     "Mereka angkuh! Mereka ingat belajar di luar negara besar sangat," rungut salah seorang rakanku. Tidak kurang juga yang bercerita sikap sebahagian besar mereka yang masih mengagung-agungkan sistem pendidikan yang mereka lalui setelah bertahun-tahun di luar negara.
     Memanglah. Sebahagian besar mereka dihantar ke luar negara setelah mendapat kelulusan baik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan berpeluang menamatkan pengajian peringkat sarjana tanpa perlu dipanggil pulang selepas tamat pengajian peringkat ijazah pertama.
     Aku mengenepikan prejudis itu dan melangkah masuk dengan tenang ke bilik kuliah pagi itu. Selepas memberikan salam, aku memulakan kuliah Falsafah Pendidikan dengan meminta mereka memberi maklum balas mengenai apa tujuan belajar dan apa itu ilmu?
     Menarik juga mendengar pendapat mereka yang diasaskan daripada beberapa teori baharu. Ternyata mereka terdedah juga dengan bahan bacaan terkini.
    "Apa tujuan kita belajar?, aku cuba meminta mereka membuat rumusan.
    "Untuk hidup."
     "Apa tujuan kita berilmu?, tanya aku kembali.
     "Juga untuk hidup."
     "Apa komen saudara terhadap suasana ekonomi negara semasa?"
      Seorang pelajar yang bertubuh agak tinggi tiba-tiba berdiri dan berhujah.
     "Pemimpin kita gagal mentadbir negara dengan baik. Kita ada sumber berharga tapi gagal menjadi negara maju. `Hanky-panky' ada di mana-mana. Kami sendiri adalah mangsa ini," ayat terakhir itu disuarakan dengan kuat.
      "Apa maksud saudara?", aku mencelah.
     "Kami telah membuang masa bertahun-tahun tapi kerajaan gagal menyediakan peluang pekerjaan untuk kami," sampuk seorang pelajar yang berada di baris belakang.
     Ternyata kata-kata itu mendapat tepukan gemuruh. Aku tidak segera panik dengan provokasi itu, lantas menyejukkan keadaan dengan sebuah anekdot pendek.
     "Seorang murid saya di sekolah rendah dahulu hanya sempat belajar sehingga Tahun 6. Bapanya seorang pemilik kedai basikal. Dengan ilmu asas membaca, menulis dan mengira, dia membantu bapanya di kedai setelah berhenti sekolah.
     "Kini hanya selepas kira-kira lapan tahun, dia telah mempunyai kedai basikal sendiri di sebuah kawasan perumahan baharu di kampung saya."
     Ternyata pelajar-pelajarku tertarik dengan cerita itu. Aku mendapat kesan itu apabila melihat mereka mendengar dengan tekun kata-kataku. Melihat keadaan itu, aku meneruskan cerita.
     "Seorang sepupu saya seorang sarjana Fizik lulusan Amerika. Bapa dan emak saudara saya sering sahaja bercerita mengenai kerisauannya. Sepupu saya itu masih tidak bekerja walaupun telah lebih tiga tahun pulang. Dia juga seperti sebahagian saudara-saudara, sering sahaja menyalahkan kerajaan."
     Pelajar-pelajarku mula kelihatan menundukkan kepala.
     "Sekarang mari kita fikirkan bersama. Siapakah sebenarnya yang dapat memanfaatkan ilmu? Murid saya yang hanya belajar setakat Tahun 6 atau sepupu saya yang telah menghabiskan kira-kira suku abad usianya untuk belajar?"
      Oleh kerana tiada yang memberi reaksi, aku cuba menutup kuliah itu.
     "Ahad lalu saya bertemu bapa saudara saya di kampung. Dia bercerita mengenai sepupu saya lagi; masih duduk di rumah menanti surat lamaran kerja. Apa kata bapa saudara saya lagi?"
     Sehingga di situ aku berhenti berkata-kata seketika.
     Sewaktu kulihat pelajar-pelajarku bagai ingin tahu apa terjadi seterusnya, aku meneruskan cerita.
     "Bapa saudara saya berkata, dia dahulu dapat menyara lapan orang anak walaupun tidak bersekolah tapi anak-anak hari ini bukan sahaja tidak mampu membantu ibu-bapanya malah tidak mampu menyara hidup sendiri walaupun sering bermegah dengan lulusan sarjana luar negaranya."
     Aku meninggalkan bilik kuliah yang bagaikan tidak berpenghuni lagi.