Jumaat, 15 November 2019

Anugerah Sastera & Media: Pemikir dan Pelaksana Di Sebalik Tabir


TERLEBIH dahulu tahniah dan syabas kepada semua pihak yang menjayakan Anugerah Sastera dan Media 2019 - Kerajaan Negeri Sembilan sebagai penganjurnya, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan berserta agensi kerajaan negeri yang berkaitan sebagai urus setianya dan tentunya kepada pemenang anugerah yang menerima faedah langsung daripada penganjuran majlis ini.
Saya sengaja mencatat hal yang berkaitan penganjuran Anugerah Sastera dan Media ini di blog ini kali ini - lari daripada format asal iaitu anekdot - semata-mata untuk dijadikan rujukan sejarah yang telah memungkinkan anugerah ini menjadi realiti kini.
Tanpa hasrat untuk menonjolkan diri, saya layak menulis perkara ini. DALAM BIDANG SASTERA - saya terbabit dalam kegiatan ini melalui Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) sejak 1979 - ahli biasa, ahli jawatankuasa (sejak 1980), kemudiannya Setiausaha II, Setiausaha 1 dan diminta `melepaskan jawatan Ketua II setelah memegang jawatan lebih dua tahun kerana bertaraf muflis (2006 atau 2007?).
DALAM BIDANG MEDIA, di samping bergiat dalam bidang sastera, pada masa yang sama saya turut berkhidmat sebagai stringer Berita Harian/ Kumpulan Utusan lebih 15 tahun turut mengasaskan Kelab Akhbar Negeri Sembilan (KELANA) dan diberi kepercayaan sebagai Timbalan Presiden serta Setiausaha Persatuan Wartawan Melayu Negeri Sembilan.
Saya antara penulis Negeri Sembilan yang berkarya melalui penulisan kreatif iaitu cerpen serta pada masa sama menulis deskriptif (berita dan rencana) yang kemudianya menggabungkan kedua-dua bidang ini melalui skrip dokumentari, filem dan akhirnya menumpukan kepada anekdot berasas kisah benar (pendekatan jurnalisma baharu - new journalism).
Dengan kedudukan ini saya sering menjadi penghubung golongan penulis kreatif dan wartawan dengan Kerajaan Negeri Sembilan, sementalahan saya juga salah seorang redaksi dan pernah dilantik sebagai salah seorang Pengarang di Suara Negeri.
Idea-idea yang dicetuskan agar penulis di beri penghargaan melalui mesyuarat-mesyuarat PEN yang dilihat jelas sewaktu dipimpin Allahyarham Haji Salim Haji Taib; yang kemudiannya diperkukuhkan di bawah pimpinan Mahaya Mohd Yassin dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri melalui hubungan langsung dengan Setiausaha Akhbar Menteri Besar (Allahyarham Shariff Ahmad, sewaktu Menteri Besarnya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan kemudiannyta Mokhtar Haji Alias sewaktu DSU Mohamad Haji Hassan sebagai Menteri Besarnya).
Hal ini semakin mudah menjadi kenyataan dengan adanya hubungan peribadi dengan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Abdul Rauf  Puteh.
Maka pada tahun 2002, ia bermula sebagai Anugerah Seni Negeri yang menawarkan lima kategori - Anugerah Tokoh Seni Negeri, Anugerah Penggerak Seni Muzik, Anugerah Penggerak Seni Tari, Anugerah Penggerak Seni Lakon dan Anugerah Penggerak Bidang Kebudayaan dan Kesenian Lain.
Kemudian, pada tahun 2005 sewaktu Kerajaan Negeri di bawah pimpinan DSU Haji Mohamad Haji Hassan apa yang dihasratkan PEN menjadi realiti - buat pertama kalinya dalam sejarah negeri Malam Anugerah Sastera dan Media diadakan secara besar-besaran.
Pada 17 April 2006 dianjurkan pula Anugerah Kewartawanan Negeri Sembilan yang memberi anugerah tertinggi iaitu Anugerah Pendeta Za'ba di samping Anugerah Wartawan Cemerlang untuk bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil; Anugerah Jurugambar Cemerlang, Anugeerah Wartawan TV Cemerlang, Anugerah Wartawan Radio Cemerlang dan Anugerah Rencana Cemerlang.
Tidak cukup dengan itu di bawah kepimpinan beliau jugalah bermulanya tradisi penulis dan penggiat seni turut dicalonkan sebagai penerima Anugerah Pingat dan Bintang Kebesaran Negeri sehingga bertaraf Dato' Setia Negeri Sembilan (DSNS) yang membawa gelar Dato'.
Antara penerima Dato' Ahmad Mahmud, Dato' Aziz Singah, Dato' Abdul Rahman Kaeh serta pelukis/ penyair A Latiff Mohidin (bagaimanapun beliau tidak menerimanya).
Jadi, apabila anugerah berprestij ini diadakan lagi dua tahun akan datang; pihak penganjur janganlah melupakan kami (kalau belum meninggalkan dunia yang fana ini) - Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, DSU Mohamad Haji Hasan, Abdul Rauf  Puteh, Mahaya Mohd Yassin dan Mokhtar Haji Alias.
Sewaktu majlis-majlis begini, kita lupakan `the school of thaught.'
Ini bukan khilaf Menteri Besarnya tapi tanggungjawab pihak urus setia yang diberi amanah memberi nasihat dan pandangan. Pemikiran bahawa penjawat awam hanya perlu melaksana perintah hanya sesuai sewaktu zaman Parameswara.