Halaman

Khamis, 24 Oktober 2013

Hanya Doa

Aku sembunyikan kegelisahan yang bergelodak dalam diri. Sebagai seorang guru, juga ketua ekspedisi ini, aku cuba sembunyikan kegelisahan itu sebaik mungkin. Hari semakin petang, suara penghuni hutan bersahutan. Kadang-kadang menyeramkan.
    “Macam mana cikgu?”
    “Siapa nak tolong kita.”
    Pelajar seramai 25 orang itu semakin gelisah. Wajah ceria ketika sampai di hutan rekreasi pagi tadi semakin kusam. Aku benar-benar kasihan. Hutan sekeliling mula diserkup kegelapan.
    “Kita teruskan,” kataku dengan senyum yang meyakinkan. Macam-macam yang timbul dalam kepalaku. Pelajar Tingkatan Empat ini amat akrab dengan aku. Semuanya ahli Persatuan Pencinta Alam. Hutan yang sedang aku tempuhi bukan asing, sudah berkali-kali aku meredahnya. Hanya kali ini, aku mengubah haluan perjalanan. Aku cuba mencari jalan baharu ketika menuruni Puncak Bukit Catak tadi.
    Sebagai seorang guru, sebagai pemimpin, pada setiap kali kami berhenti rehat, aku memberi perangsang. Aku memberi keyakinan dan pilihan terakhir serta apa yang patut dilakukan sekiranya kami terpaksa bermalam di dalam hutan. Kedatangan aku bersama ahli rombongan tanpa kebenaran pengetua dan ibu bapa pelajar benar-benar merungsingkan fikiranku. Lazimnya sebelum matahari jatuh, kami sudah pulang ke rumah masing-masing.
    Aku terus mengepalai perjalanan meredah hutan yang semakin gelap. Hanya sekadar berbekalkan keyakinan dan harapan. Aku berpesan agar 15 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan yang bersama-sama dengan aku tidak berputus asa. Semuanya mesti menanamkan keyakinan dan berdoa kepada Tuhan.
    Tiba-tiba salah seorang daripada pelajar lelaki meminta kami semua mendiamkan diri dan memasang telinga. Aku turut menerima arahannya. Dalam kesunyian malam, dia menjerit keriangan. Katanya, “doa kita diterima Tuhan.” Kami mengubah arah perjalanan menuju ke arah matahari naik. Benar seperti yang dijangka. Kami menadah tangan kesyukuran ketika kami menjejakkan kaki ke atas jalan raya.
    Beberapa minit selepas berada di jalan raya, sebuah lori kecil menumpangkan kami dan ketika sampai di sekolah, suasana riuh dengan suara ibu bapa dan pihak pentadbir sekolah. Kepulangan kami disambut dengan penuh kesyukuran. Esoknya aku dipanggil oleh pengetua dan selepas menerangkan perkara sebenar, pengetua menasihati aku agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.
    “Jangan mengambil mudah dalam perkara yang kita rasakan sudah menjadi kebiasaan kepada kita. Kita perlu merancang perjalanan supaya tidak sesat lagi. Kita perlu bertanggungjawab terhadap murid kita dan ibu bapanya sekali,” ujarnya. - Omar Mamat

Nostalgia Ramadan

Saya masih teringat pada tahun 1984 ketika saya mula-mula bertugas sebagai seorang guru di pedalaman negeri Kedah iaitu di Sik. Saya tinggal bersama-sama beberapa orang guru bujang. Ada juga beberapa orang rakan bujang yang bekerja dalam sektor lain. Adat hidup bujang di perantauan, banyak pengalaman pahit manis yang terpaksa saya lalui. 
   Kami menumpang makan di sebuah rumah yang terletak di berhampiran sekolah. Mak Lang Nab, begitulah nama wanita yang kami tumpang. Banyak kenangan semasa kami menjadi pelanggan tetap di rumah Mak Lang Nab. Kalau bukan bulan puasa kami makan tengah hari dan makan malam di rumah Mak Lang Nab. Selain untuk makan, rumah Mak Lang Nab juga menjadi tempat kami berbual-bual dan menonton televisyen. Ketika itu ada lebih kurang sepuluh orang bujang yang makan di situ. Masakan Mak Lang Nab pula tidak kurang hebatnya, sama seperti masakan ibu sendiri.
   Semasa bulan puasa, kami akan datang untuk berbuka puasa dan bersahur. Kadang-kadang kami bertarawih di situ kerana masjid agak jauh. Waktu sahur pula, kami akan berjalan beramai-ramai lebih kurang pada pukul empat pagi menuju ke rumah Mak Lang Nab yang jaraknya hampir satu kilometer dari rumah sewaan kami. Itulah rutin kami sepanjang bulan puasa. 

   Kami menghabiskan masa dalam setengah jam untuk bersahur sambil berborak-borak. Maklumlah orang bujang. Selepas sahur kami akan berjalan balik ke rumah. Suasana hening pagi biasanya dipenuhi dengan suara kami kerana keadaan pinggir pekan Sik waktu itu sangat sunyi.
   Suatu pagi, seperti biasa kami berjalan ke rumah Mak Lang Nab. Sesampai sahaja kami ke rumah kecil itu, keadaannya gelap. Tidak ada tanda-tanda hidangan makanan sudah disediakan. Biasanya pintu rumah kayu separuh konkrit itu telah terbuka sebaik sahaja kami tiba. Azizah yang kami panggil Dik Jah itu anak gadis Mak Lang Nab yang akan melayan kami makan. Akan tetapi pagi itu pintu terkunci kemas.
   Kami mula berpandangan dalam kegelapan pagi. Kami memberi salam berulang-ulang lagi. Diam juga. Ada rakan yang mengetuk pintu rumah Mak Lang Nab beberapa kali, tetapi tidak ada jawapan yang didengari. Setelah lima belas minit, keadaannya masih sama. Rakan saya Cikgu Johari yang agak nakal antara kami mengutip batu di tepi jalan. Dia membaling batu ke atas bumbung rumah. Bunyi dentuman batu di atas bumbung zing memang jelas dan kuat. Cikgu Mail pula membaling kayu ke atas bumbung itu. Namun tidak apa-apa tindak balas. Tidak ada tanda-tanda Mak Lang Nab bangun. Tidak ada lampu yang menerangi bahagian dalam rumah. Gelap.
Dalam kegelapan pagi hening itu, masing-masing mula cemas. Detik waktu kian berlalu. Sebentar lagi waktu imsak akan tiba. Kalau Mak Lang Nab tidak bangun juga, kami akan berpuasa tanpa bersahur. Begitupun, kami tetap setia mencangkung di tepi jalan di depan rumah Mak Lang Nab dengan harapan Mak Lang Nab akan bangun dan memasak untuk kami. Kami berborak sambil duduk di atas jalan. Tidak ada kenderaan yang lalu lalang waktu pagi begitu. Kalau adapun kenderaan tentera yang masuk ke Gubir, sebuah kem tentera di sempadan Malaysia-Thailand. Itupun bukan selalu.
   Akhirnya, setelah lebih setengah jam berusaha untuk membangunkan Mak Lang Nab, kami gagal. Menjelang pukul 5.30 pagi, kami pun bangun dan beransur pulang beramai-ramai. Ada yang ketawa dan ada yang merungut kerana tidak pernah tidak bersahur sebelum ini. Paling tidak pun minum air milo sudah memadai. Peristiwa itu bercampur menjadi peristiwa lucu dan sedih. Ada pula yang bimbang dan tertanya-tanya tentang perkara yang terjadi terhadap Mak Lang Nab. Selama ini dia tidak pernah lewat menyediakan juadah untuk kami memandangkan itulah sumber rezekinya semenjak menjadi janda kematian suami. Kami membayar secara bulanan kepada Mak Lang Nab. Agak lumayan juga kerana waktu itu ramai kakitangan kerajaan bujang yang makan di rumah Mak Lang Nab.
   Begitulah nasib orang bujang di perantauan ketika bulan puasa. Seharian itu kami berpuasa tanpa bersahur. Besoknya, keti
ka kami datang berbuka, Mak Lang Nab sangat-sangat rasa bersalah. dia memohon maaf kerana menyebabkan kami berpuasa tanpa bersahur. Katanya dia terlalu penat kerana baru pulang menziarahi kematian saudaranya di Sungai Patani. Oleh sebab itu dia langsung tidak sedar akan kedatangan kami walaupun makanan sahur telah dimasak sebelum dia tertidur pagi itu.

   Kami juga tidak mengambil hati. Mak Lang Nab telah kami anggap sebagai ibu angkat kami di Sik. Lebih menarik lagi, Cikgu Johari akhirnya menjadi menantu Mak Lang Nab dan hidup bahagia hingga sekarang. Masih ada antara kami yang masih kekal di Sik, berkahwin dan menetap si sana. Ada yang sudah bersara. Saya pula meninggalkan daerah Sik untuk menyambung pelajaran setelah empat tahun bertugas di daerah itu. Setiap kali bulan puasa muncul, kenangan itu tetap kembali segar dalam ingatan. Setiap kali berkesempatan pulang, saya akan ke Sik, walaupun pekan kecil itu sudah banyak berubah. Malah Sik juga banyak menjadi latar dalam karya-karya penulisan saya. -  Ghazali Lateh

Selasa, 22 Oktober 2013

Namaku Sang Bin Pencerita

Namaku Sang. Bapaku Pencerita. Begitulah seperti yang diminta Mr. Google ketika mendaftar akaun Facebook ini; berasaskan akaun Mr. GMail, miliknya.
     Kenapa perlu bernama baharu sedangkan nama lama sudah diberi sejak hampir 60 tahun lalu? Itu pemberian emak tahu? Nama itu idea abah tahu? Susah payah Datuk Hassan mendaftarkan nama itu di Rumah Pasung Batu 8 tahu? Tak sedar diri! Tak sedar dek untung! Biarkan! Biarkan!
     Aku sudah tidak mahu lagi dikenali dengan nama lama itu. Sudahlah salah dieja, Zolkpli (tiada bunyi suku kata), jantinaku dalam surat kelahiran turut tidak menjawab soalan – Jantina: Lelaki/ Perempuan – tapi dicatat JANTAN (tak percaya? – lihat buktinya di sini: http://www.youtube.com/watch?v=s7D7GwAKYew&feature=c4-overview&list=UUpny9hZFFSFueFSGVdvCD5Q
    Nama adalah jenama atau `brand’ kata orang bisnes (orang bisnes juga cipta mitos baharu “Hari ini kita tidak jual barang. Hari ini kita jual `brand’ atau jenama).
     Kalau begitu bagaimana mahu jual nama ikut jenama lama? Jenama lama itu bukan sahaja tidak komersial malah ia telah rosak. Rosak teruk.
     Nama itu mengaitkan cerita `dia tu bankrap! Dia tu pernah disiasat BPR! Dia tu rasuah kerana itulah dia mampu punya tujuh kereta; dua Mercedes pula.”
     Nama itu jugalah yang meminta dirinya melepaskan jawatan Ketua Dua Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) “Untuk mengelakkan persatuan ini dibatalkan pendaftarannya kerana tuan seorang muflis, mesyuarat memutuskan supaya tuan meletakkan jawatan. Sebagai tanda penghargaan, terimalah cek bernilai RM500 ini.”
     Benar! Zolkpli bin Abu bertaraf muflis hampir enam tahun kerana menjadi penjamin bekas bosnya yang membeli dua kereta serentak tetapi tidak menjelaskan ansuran bulanannya.
     Tidak cukup dengan itu, rumah yang dibeli melalui pinjaman kerajaan `hilang’ apabila sebahagian duit jualan terpaksa `menutup gelaran Si Bankrap’ dan sudah tidak dapat bersama isteri dan anak-anak lagi dalam enam `oversea trip' tahunan keluarga tajaan Rohani Mohamed Sdn Bhd.
     Nama itu membawa konotasi Pegawai Kebajikan Masyarakat (setiap kali berniaga, orang hendak percuma). Setiap kali melakukan perkongsian perniagaan berlaku `permusuhan’. Rakan sudah tidak dapat membezakan lagi yang bercakap itu Zulkifli Abu sebagai dirinya atau rakan kongsinya.
     Sewaktu bekerja dahulu, sewaktu Zulkifli Abu berani menegur bosnya (untuk menunaikan amanah jawatannya) manusia bernama Zulkifli Abu itu dikatakan `kurang ajar’ walhal yang bercakap itu ialah Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan (jawatan yang dipinjamkan selagi masih menjadi penjawat awam).
     Nama itu juga telah mencipta pelbagai `permusuhan’ sewaktu menawarkan bantuan ketika rakan tunduk merayu. Sewaktu kata sepakat dicari, semuanya indah di mulut dan di kertas. Sejak dahulu `school of thought’ mereka mengatakan `berniaga itu semuanya untung. Jadi untung perlu dikongsi bersama. Bila rugi, pembawa idea kena tanggung sendiri.”
     Sudahlah bagai nak mampus mengusahakan syarikat milik bersama sendirian, bila rugi `kau pulangkan balik modal aku!’ Untuk `memuaskan’ mereka duit graduiti hasil kerja 35 tahun, bertukar tangan.
     Oleh kerana tertancap kuatnya logo Jabatan Kebajikan Masyarakat di dahi jenama lama itu juga, teman rapat yang manis mulutnya sewaktu meminta bantuan; sudah tidak pandai lagi menjawab telefon; sudah tidak tahu lagi mengira tempoh dua minggu seperti dijanjikan untuk melunaskan hutangnya.
     Lebih buruk daripada itu, teman yang sering memuji kebaikan jenama lama itu sudah `tidak berasa berdosa’ lagi menjual buku yang dibiayai percetakannya yang nilainya sekitar RM50,000 kepada tauke `surat khabar lama’ kerana dianggap mencemarkan ruang tempat letak keretanya yang diubahsuai dan dimegahkan dalam akaun Facebooknya.
     Dalam pada itu pandai pula dia berfalsampah itu, ini bagai sewaktu mengendalikan majalah yang memang gila-gila itu.
     Jiran yang dipercayai tanpa tanda tangan sewaktu membeli rumahnya untuk dijadikan Studio Sang Pencerita juga `hilang’ kerana janjinya untuk membayar sebahagian wang diberikan kepada bank, tidak dibuat demikian. Maka terlelonglah studio itu setelah hampir RM100,00 dibelanjakan.
     Sang Pencerita tumpas dalam lelongan awam kepada seorang Dato’ yang dikenali (mantan Ahli Parlimen) yang mampu menjadikan bekas studio itu rumah ke-31nya dengan membida RM258,000 sedangkan harga bukanya cuma RM148,000.
     “Nantilah saya siapkan kerja-kerja ubahsuai dahulu. Nanti Ese bayarlah sebahagian daripada duit yang you belanjakan untuk kerja ubahsuai dahulu.”
     Apabila dihubungi sewaktu kerja telah siap, Sang Dato’ menjawab telefon “Ikut mahkamah, you tak ada hak langsung pasal rumah tu. You jangan telefon saya lagi.”
     Aaaah! Bencinya aku dengan jenama lama aku itu.
     “Haji Zainal (Zainal Buang Hussein) tolong buat karikatur aku. Nama aku kini ialah Sang Pencerita. Tak payahlah pakai `bin’! Tak komersial…”

Jurulatih Kaki Bangku

Semasa menuntut di maktab perguruan, saya telah dipermainkan oleh kawan-kawan apabila dilantik menjadi pengerusi kelab bola sepak maktab. Mereka mengetahui bahawa saya bukanlah seorang yang aktif bersukan. Lebih tepat, bolehlah dikatakan sebagai kaki bangku.
    Tahun pertama mengajar di sebuah sekolah di Kedah, sekali lagi saya menggelabah dan tergamam. Dalam mesyuarat pertama tahunan sekolah, saya telah disenaraikan sebagai jurulatih pasukan bola sepak bawah 15 tahun.
    Hendak menolak tugas, tidak berani. Latihan perlu dimulakan seawal minggu kedua persekolahan. Ini satu cabaran. Puas juga saya bertanya ke sana ke mari bagaimana hendak mengendalikan latihan. Buku-buku mengenai kejurulatihan bola sepak tiada di pasaran ketika itu. Akhirnya dengan bantuan seorang saudara yang menuntut di London, saya terpaksa berbelanja bagi mendapatkan buku-buku tersebut. Terpaksalah saya menelaah buku itu tanpa mengira siang atau malam. Pengetahuan itu sedikit sebanyak meyakinkan saya.
    Pertandingan awal kejohanan peringkat daerah bermula. Pasukan kami terpaksa mempertahankan kejuaraan kejohanan peringkat itu yang disandang sejak dua tahun yang lalu. Hati saya begitu bimbang. Harapan sekolah terlalu tinggi. Kebolehan saya amat terbatas.
    Satu demi satu pasukan lawan tewas. Gelaran juara berpihak kepada kami. Kami mencipta hatrik. Puji-pujian mencurah datang, kembang juga hati dibuatnya.
    Cabaran paling getir adalah apabila pasukan kami bertanding dalam perlawanan akhir peringkat negeri bertemu Kolej Sultan Abdul Hamid, satu nama besar dalam bidang sukan di Kedah. Pemain-pemain saya berasa kecut perut.
    Sebenarnya saya sendiri lebih kecut daripada mereka, tetapi terpaksalah saya berlakon meyakinkan mereka.
    Seperti yang diduga, perlawanan akhir memang berat sebelah. Bola sentiasa berlegar-legar di depan gawang kami. Serangan lawan bertalu-talu, bola datang bagai peluru. Mujurlah penjaga gawang kami bertindak cekap menggagalkan semua percubaan lawan.
    Entah macam mana pasukan kami mendapat tendangan percuma di tengah padang. Ketua pasukan mengambil tendangan itu. Bola melambung tinggi melepasi pemain. Penjaga gawang lawan melompat cuba menangkap bola itu. Tiba-tiba dia terjatuh. Bola menerjah gawang.
    “Gol! gol!” saya melaung sekuat hati.
    Tanpa disedari saya berlari masuk ke padang. Sedar-sedar saya terbaring dihempap pemain-pemain kami di pintu gawang pasukan lawan. Pengadil mengarahkan saya keluar padang.     
    Beberapa minit kemudian wisel penamat ditiup. Kami bergelar juara bola sepak 15 tahun peringkat negeri Kedah. Kegembiraan kami tidak dapat dibayangkan. Saya dijulang para pemain dan rakan-rakan. Puji-pujian melimpah ruah.
    Dalam hati saya berkata, “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Juara Bola Sepak Bawah 15 Tahun Negeri Kedah tahun ini dibimbing oleh jurulatih kaki bangku.” - Ghazali Lateh
  

Sabtu, 19 Oktober 2013

Kerana Senaskah Cerpen

MENGAJAR di sebuah sekolah berasrama penuh tidak pernah terlintas di fikiran. Saya tidak pernah membayangkan yang saya akan menjadi seorang guru di sebuah sekolah ternama. Saya akui dan saya tidak boleh mendustai diri sendiri apabila menatap surat tawaran penempatan. “Sekolah Alam Shah!” getus hati kecil dan jiwa saya mula berkocak.
    Setelah melaporkan diri dan berkenalan dengan Pengetua, saya diberikan tugas mengajar Bahasa Melayu tingkatan lima serta menjadi guru penolong kaunseling. Sebulan, dua  bulan sehinggalah masuk bulan ketiga, saya telah diminta oleh Pengetua untuk menyelesaikan masalah seorang pelakar “projek khas”.
    “Tolong selesaikan masalahnya.” Itulah arahan pertama Pengetua kepada saya. Saya menerima tugasan tersebut dengan dada terbuka kerana saya yakin saya boleh menyelesaikannya.
    Setelah mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pelajar tingkatan empat itu, saya sering berjumpa dan menjadikannya seorang kawan. Kekerapan memantau perkembangan akademiknya menjadikannya bertambah yakin. Berbekal pengalaman peribadi, saya memberanikan diri bertanya kepadanya.
    “Cikgu Rabita kata awak boleh menulis dengan baik. Betul ke?” tanya saya pada suatu petang di bilik kaunseling.
    Dia diam. Barangkali dia sedang memikirkan apakah kaitan soalan itu dengan masalah yang sedang dihadapinya. Dia merenung muka saya beberapa ketika. Akhirnya dia mengangguk.
    “Kemiskinan bukan penghalang seseorang untuk berjaya. Ayah saya seorang penoreh getah, dan emak saya pula suri rumah sepenuh masa. Tetapi saya boleh belajar hingga ke universiti tanpa terlalu membebankan ayah dan emak saya.” Saya memulakan kata-kata dengan menjadikan saya sebagai model.
    “Macam mana cikgu?” dia mencelah percakapan saya.
    “Saya menggunakan bakat yang Tuhan berikan kepada saya. Saya memilih untuk menjadi seorang penulis.” Saya menyambung cerita. Saya mengeluarkan senaskhah majalah ‘Dewan Siswa.’- Shamsuddin Othman

Naik Gajah

Aku masih teringat peristiwa aku terpaksa menulis perkataan, “ada pun lalat binatang yang pengotor” sehalaman muka surat sebagai satu dendaan kerana tidak patuh kepada arahan guru Bahasa Melayu di kelasku.
    Malu rasanya aku apabila terpaksa menuliskan ayat tersebut pada ketika rakanku yang lain mendapat pujian guru. Bukan aku tidak patuh kepada arahannya malahan aku telah pun menyiapkan karangan tersebut.
    Cuma aku tidak memulakan karanganku dengan perkataan “ada pun” seperti arahannya. Aku sengaja mencari kelainan. Aku tidak menyangka dengan meninggalkan dua patah perkataan tersebut, sudah menjadi kesalahan.   
Hukuman inti mencabar perasaanku. Membakar semangatku. Semuanya tersimpan di dalam hatiku, aku berjanji akan membuktikan bahawa suatu hari nanti, aku mahu menjadi penulis yang disegani.
    Suatu hari aku berkesempatan mengikut rombongan setelah melawat Bandar Raya Kuala Lumpur. Salah satu destinasi lawatan ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. Editor majalah kanak-kanak Dewan Bahasa memberi penerangan dan menghadiahkan senaskhah majalah kepadaku.
    Editor tersebut memberitahu bahawa semua kanak-kanak yang berminat menulis boleh menghantar karya untuk diterbitkan di dalam majalah tersebut. Setiap karya yang diterbitkan, penulisnya akan mendapat majalah percuma.
    Sekembali dari lawatan itu, aku menulis sebuah karangan tentang lawatan tersebut. Aku sangat berharap supaya karangan itu dapat disiarkan dan aku akan mendapat sebuah majalah percuma. Lebih daripada itu aku ingin mengembalikan maruah diriku yang dihukum hanya ingin mencuba sesuatu yang berlainan daripada rakan-rakan.
    Suatu hari ketika perhimpunan sekolah, guru Bahasa Melayu tersebut memanggil aku supaya berdiri di hadapan. “Bustam, cuba kamu bacakan karangan ini,” pinta guru sambil menunjukkan ruangan yang perlu dibaca. “Naik Gajah,” aku membacakan tajuk karangan itu dengan jelas,
    Aku tergamam. Baru aku tersedar bahawa karangan itu adalah karyaku. Namun aku teruskan bacaan sehingga selesai. Aku mengakhiri bacaan dengan menyebut nama penulis: Bustam bin Kamri. Sekolah Kebangsaan Panchor, Muar, Johor. - Dr. Bustam Kamri



Aku Belum Dapat Hidayah...

Aku berkira-kira untuk menjual salah satu insurans kepunyaanku.  Di kepala sudah terbayang kereta baharu yang aku idam-idamkan.  "Hello, Chew, I ingat nak juallah insurans I yang RM50 tu, sambil tu I nak upgrade manfaat insurans yang RM120," kataku pada Chew dalam telefon.  
    Aku ada membeli dua polisi insurans dari Chew sejak tahun pertama aku bekerja.  Chew memang pandai memujuk dan bagus pula cakap dan hujahnya.  Jarang aku dapat menang bila bercakap dengan dia.  
   
Mungkin kerana dia amat berpengetahuan dalam bidangnya. "Hello, ok lah and kalau you nak upgrade better I jumpa you, you ada kat mana sekarang? I boleh datang jumpa you sebab I ada kat KL sekarang," maklum Chew bersemangat.
    Kebetulan yang sangat tepat,  dia ada berdekatan ketika aku menelefon. Maka petang itu kami bertemujanji di Subway. Aku seorang sahaja yang mengunyah sandwich chicken teriyaki dengan lahap kerana tengah hari itu aku hanya minum segelas susu.  
    Chew, bila kutanya katanya sudah kenyang makan di hotel, atau sebenarnya Chew takut agak nya kalau-kalau dia kena belanja aku makan. Ya, kadang-kadang aku rasa Chew ni sedikit bakhil orangnya.  Selepas berbelas tahun, aku rasa itu lah Chew yang kukenal.
    "Mer, you nak upgrade macam mana?  I cadang you upgrade medical plan you supaya banyak manfaat dapat diterima," Chew tanpa berlengah memulakan penerangannya sebaik sahaja aku melabuhkan punggungku ke kerusi.  
    Lalu Chew menerangkan perbandingan di antara skim insurans perubatan yang lama dengan yang baharu dia tawarkan.  "Ini bagus wooh untuk you maa, ia termasuk dengan ladycare tau, bulan-bulan you bayar RM300 sahaja," Chew terus memujuk.
    "Macam mana dengan insurans yang I nak jual tu?," aku bertanya merujuk kepada tujuan utama aku berjumpa dengannya petang itu.
    "Sebenarnya, insurans di beli bukan untuk di jual sesuka hati, manfaat pelan insurans hanya dapat dinikmati selepas tempoh matang, pendek cerita, insurans ni lebih kurang sama dengan pencen la, that is why they did not encourage client to sell their insurance,  You punya yang RM50 sebulan tu akan matang dalam 7 tahun lagi, kalau dicampur antara simpanan, keuntungan dan bonus, you boleh dapat lebih kurang RM24K, kalau you jual sayanglah," terang Chew panjang lebar sampai sempat aku habiskan sadwich ku.  Sepanjang Chew bercakap tanpa henti, aku pula sibuk mengunyah tanpa henti. 
    "Lagi kan, ini ada satu lagi plan perlindungan tau, sesuai untuk you yang suka insuran islamik, I-Amal, pernah dengar tak?...ia bagus tau...ikut takaful, you tau takaful?," soal Chew padaku, cikgulah katakan, tengok anak murid leka sahaja cepat-cepat menyoal.  
    " Erk, salah satu  kaedah perniagaan insurans?," aku meneka.   "Hah, pandai pun, so plan ini islamik, bukan konvensional, confirm halal dan tidak ada riba'...bla...bla...manfaat haji..manfaat korban...manfaat hospital sepanjang haji...untuk anak pun boleh...bla...bla...," sambung Chew lagi panjang lebar.  
    Aku hanya menggangguk tanda setuju dan menggeleng bila tak setuju.  "Chew, jika you tau banyak tentang sistem kewangan Islam ini, you tak ingin ke masuk Islam?," aku tiba-tiba bertanya membuatkan Chew menghentikan 'ceramahnya' pada ku.  
    "Aaaaa...aku belum dapat hidayah," jawab Chew tersengih-sengih.

Quote from the Holy Quran, Al-Hajj (22:16) 
وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَٰهُ ءَايَٰتٍۭ بَيِّنَٰتٍ وَأَنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يُرِيدُ 
Wakathalika anzalnahu ayatin bayyinatin waanna Allaha yahdee man yureedu

    "Dan demikianlah pula Kami menurunkan Al-Quran itu sebagai ayat-ayat keterangan yang jelas nyata; dan sesungguhnya Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan dan undang-undangNya)" – Merhayati Sipon

Rabu, 16 Oktober 2013

Kita Pun Bakal Tua

Orang tua dan kanak-kanak wajar disantuni. Sebabnya orang tua merupakan gambaran masa akan datang kita, kanak-kanak pula gambaran masa lalu kita.
    Berbanding kanak-kanak, saya lebih gemar menyantuni orang tua.
    Saya jatuh hati dengan suami saya sekarang ini pun kerana melihat dia menyantuni seorang tua yang tidak dikenali.
    Peristiwanya?
    Seorang lelaki tua sedang bersusah payah mengeluarkan dari dalam kereta, isterinya yang sangat uzur untuk dibawa ke klinik di seberang jalan. Anak lelaki pasangan itu ada, tetapi kelihatan bermalas-malasan untuk membantu mengangkat ibunya. Uzur sekali nenek tua itu. Badannya lembik, langsung tidak mampu berdiri. Lama juga suaminya bertungkus-lumus sehingga kelihatan mula berputus asa.
    Tiba-tiba suami bangun. Tanpa berkata apa-apa, dia meninggalkan saya. Dia menyeberangi jalan, menuju ke arah pasangan itu. Dia bercakap-cakap sebentar dengan lelaki tua itu, untuk memohon keizinan. Lantas tangannya mencempung nenek tua dan terus mengangkatnya ke klinik. Petugas di klinik terus memberi laluan kepada nenek itu kerana keadaannya yang kritikal.
    Esoknya, saya pun menamatkan penantian suami yang sudah bertahun-tahun itu dan bersetuju untuk berkahwin!
    Kenapa saya selalu berasa orang tua lebih wajar disantuni berbanding anak-anak kecil?
    Semua orang berasa "geram" kalau melihat bayi. Pipinya dicubit lembut, didukung dan dimanjai. Orang tua? Adakah kita "geram" melihat wajah orang tua? Picit pipinya? Dukung dia?
    Kadang-kadang kita sampai hati memalingkan muka apabila melihat orang tua. Maklumlah sudah tidak cantik. Muka berkedut-kedut, rambut sudah beruban dan nipis, kulit tangan pun berkedut, jalan pun terbongkok-bongkok!
    Malahan ada juga yang merasakan orang tua hanya menyusahkan hidup kita!
    Orang-orang yang semacam itu agaknya berfikir bahawa mereka berada di syurga, tidak akan tua selama-lamanya. Kulit akan terus tegang, rambut akan terus hitam!
    Satu hari nanti kita akan merasai semuanya itu jika Allah mengurniakan usia panjang. Kita akan membebel-bebel seperti  itulah. Saat itu, kita tahulah betapa sedihnya hati jika tidak dipedulikan.
    Dahulu, ada juga seorang tua yang rumahnya di atas bukit. Saya pula sempat bertugas sebagai seorang guru di kampung. Tidak lama, dalam dua tahun begitu. Jika saya dalam perjalanan ke pekan, selalu saya nampak orang tua ini dengan tongkatnya menunggu kereta sapu atau bas di tepi jalan.
    Kadang-kadang dia menunggu di bawah panas matahari kerana di situ tiada pondok menunggu bas. Saya selalu berhenti dan mengajaknya naik ke kereta buruk saya. Mahu naik kereta pun dia mengambil masa. Maklumlah dia sudah tua, tetapi masih belum dapat melupakan kebiasaan dan ketagihannya minum kopi di pekan.
    Anak-anak saya pun sudah tahu waktu-waktunya dia akan menunggu di tepi jalan. Anak-anak saya masih kecil saat itu, baru di tadika. Mereka akan sama-sama membantu saya menolak lelaki tua itu mendaki bukit menuju ke rumahnya. Walaupun kepenatan kerana keadaan bukit yang curam, tetapi saya selalu beritahu anak, itu merupakan satu latihan kecergasan.
    Mereka pun tidak pernah merungut, malahan membantu menolak atuk itu dengan bersungguh-sungguh.
    Apabila saya berpindah meninggalkan kampung, ayah selalu beritahu yang lelaki tua itu kerap bertanyakan saya. Dia selalu menunggu di tepi jalan tetapi kelibat saya dan anak-anak sudah tidak ada.
    Lebih kurang beberapa tahun sebelum ayah meninggal dunia, atuk itu pun dijemput pergi. Ayah memberitahu saya, Atuk itu diabaikan anak-anaknya. Rumahnya diambil dan atuk itu hampir dihantar ke rumah orang-orang tua. Tetapi dia tetap mahu menghabiskan hayat di rumah yang menjadi kenangan dia dan arwah isterinya. Allah mengabulkan doanya dan dia meninggal di rumahnya itu. - Ratna Laila

Selasa, 15 Oktober 2013

Tak logiklah, Cikgu!

Sang Pencerita bersama Dr. Merhayati Sipon, bekas pelajar STTJ
Tok...tok...tok... "Assalammualaikum Ustaz Amar, Cikgu Ariff nak jumpa dengan Anis di Makmal Sains sekarang," seorang murid lelaki, yang kutebak mungkin murid tingkatan satu, berdiri di muka pintu kelasku.  Mukanya agak takut-takut ketika menyampaikan pesanan.  Almaklumlah, Ustaz Amar garang juga orangnya.  
    "Baik, terima kasih, ok Anis, saya beri izin kamu keluar sebentar, bila dah selesai, segera balik ke kelas semula," pesan Ustaz Amar sedikit tegas.  "Ya, ustaz, terima kasih," jawab kupantas sambil segera bergegas keluar.  
    "Apahal pulak ni, bukan Cikgu Ariff tak tahu aku ada kelas sekarang ni, pentingkah?," aku tertanya-tanya di dalam hati sambil langkah kuayun laju menuju ke Makmal Sains.
    "Masuk," suara Cikgu Ariff yang sedikit garau kedengaran di balik pintu makmal sebaik pintu kuketuk perlahan.  "Assalammualaikum cikgu," aku memberi salam sebaik daun pintu kukuak perlahan.  
    "Waalaikumsalam, sila duduk," balas Cikgu Ariff sambil  tangannya menunjuk ke kerusi di hadapan mejanya.  Anak kelahiran Felda itu sederhana tinggi serta berkulit sawo matang.  Rambutnya ikal dan menyimpan kumis nipis.  
    Cikgu Ariff guru mata pelajaran Sains Pertanian sejak aku di Tingkatan Satu.  Walaupun aku bukan ketua kelas, tetapi  aku selalu menjadi sasarannya bila dia hendak menyampaikan pesan buat rakan sekelas, mungkin kerana aku pengawas sekolah.  
    Aku pun tidak pasti tetapi dia tampak senang berurusan denganku walhal kakak-kakak senior Tingkatan Empat dan Lima selalu bergosip sesama mereka mengatakan yang Cikgu Ariff, guru baharu yang sedikit pendiam.
    Namun apabila berbual denganku dia nampak sangat ramah,  sambil sesekali bercerita tentang keluarganya di Pahang.  Sebagai anak yang sulung, Cikgu Ariff sangat bertanggungjawab terhadap adik-adiknya yang masih kecil.  Memandangkan adik-beradikku kesemuanya perempuan, Cikgu Ariff sudah seperti abang kandung yang aku tidak pernah ada.
    "Nah, yang ini untuk Anis," senyum Cikgu Ariff sambil menghulur sepapan coklat Cadbury kepadaku.  
    "Wah, terima kasih, terima kasih cikgu," aku melemparkan senyum lebar sambil hatiku kegirangan kerana coklat memang kegemaranku dan Cikgu Ariff tidak pernah lupa tentang itu setiap kali aku dipanggil untuk berjumpa dengannya.  
    "Ini yang buat Anis lagi sayang kat cikgu, kalau tolong sikit, mesti dapat hadiah, kawan-kawan Anis mesti jealous nanti ni," jawabku sedikit keletah.
    "Sebenarnya, kenapa cikgu panggil Anis? Cikgu tahu tak sekarang ni kelas Ustaz Amar, nasib baik moodnya agak baik hari ini, Ustaz Amar tak banyak soal ketika nak bagi izin keluar kelas, itu pun dia dah pesan bila selesai balik semula ke kelas segera," mulut kubecok berbicara sambil  menggesa Cikgu Ariff menerangkan tujuannya kerana tidak mahu membuat Ustaz Amar bising kalau aku lambat masuk ke kelas.  
    Lama Cikgu Ariff merenung aku. "Eh, kenapa Cikgu Ariff pandang Anis macam tu? Anis ada buat salahkah?," tanyaku sedikit gusar sambil memikir takut-takut aku ada terlupa menyampaikan pesan Cikgu Ariff kepada kawan-kawan sekelas.  
    "Erk, tak, cikgu, cikgu nak cakap sesuatu pada Anis, aah, kalau cikgu belanja Anis sate, nak tak?," balas Cikgu Ariff sambil berterusan memandang tepat ke mataku.
    "Alah, cakaplah dari tadi cikgu nak belanja kami sate, ingat Anis ada buat salah ke?, buat Anis suspense je," lega hatiku mendengar jawapan Cikgu Ariff.  
    "Tapi kenapa cikgu nampak pelik hari ini, yang asyik tenung aku ni kenapa," hatiku berdetik sambil jariku sibuk menekan kepala pen untuk menutup kegelisahan yang semakin menjelma.  
    "Bukan 'kami', tapi Anis seorang sahaja, boleh?," renung Cikgu Ariff lagi. Kali ini, sah aku sudah mula rasa lain macam.
    "Erk, tak bolehlah cikgu, nanti kawan-kawan Anis ejek Anis 'bodek' cikgu, selalu kan cikgu ajak satu kelas," soalku lagi sedikit keliru dengan permintaan Cikgu Ariff.  
    Kali ini aku betul-betul renung muka Cikgu Ariff.  Aku rasa sedikit hairan bila Cikgu Ariff kurang bercakap hari ini.  
    "Cuba awak baca ni Anis," pinta Cikgu Ariff sambil menghulurkan satu lipatan kertas A4 kepada ku.  Aku segera mengambilnya dari tangan Cikgu Ariff.  
    "Ohhh, ini yang cikgu nak bagi tahu Anis dari tadi, laaa, biasa lah cikgu, apatah lagi kalau guru baru kat sekolah ni," jawabku sambil tertawa kecil.
    "Anis tak rasa cemburu ke?," soal Cikgu Ariff menghentikan tawaku.
    "Ish, buat apa nak cemburu? Baguslah cikgu ada secret admirer kat sekolah ni, lagi pun Kak Salmi ni cantik tahu cikgu," jawabku sambil bergosip tentang Kak Salmi, kakak senior Tingkatan Lima di sekolahku.  
    "Betul Anis tak rasa cemburu?," soal Cikgu Ariff lagi.  Aku lihat ada redup di matanya.
    "Eh, kenapa pula? Cikgu macam runsing je, tak sihat kah?," jawabku makin keliru.  
    "Apa kena Cikgu Ariff ni? Dah lah berdua-duaan dalam Makmal Sains, matilah aku kalau Ustaz Amar tahu," hatiku dah mula gelisah sambil bibir tersengih-sengih untuk menutup keresahan yang makin menggila.
    Aku rasa Cikgu Ariff seperti mengelamun sambil tunduk seolah-olah cuba membaca buku di hadapannya.  Perlahan-lahan dia mengangkat muka merenung mukaku.
    "Anis tak pernah rasa apa-apa pada cikgu?," kali ini kulihat renungan Cikgu Ariff seperti mengharap.  
    "Alah...janganlah, janganlah, janganlah cakap yang itu," hatiku sudah menggelabah bila aku sudah mula menebak tujuan Cikgu Ariff pagi itu.  Aku semakin membundarkan mataku. "Erk, rasa apa cikgu?," tanyaku kembali pura-pura tak faham.  
    "Saya cinta dan sayangkan Anis sejak Anis di Tingkatan Satu lagi," jawab Cikgu Ariff sambil matanya terus-terusan merenungku.  Kali ini, aku sudah terasa peluh jantan mula menitik, ketiak pun dah mula rasa lekit.
    "Cikgu! Cikgu tahu tak cikgu tak patut cakap macam tu, Anis kan anak murid cikgu. Sebagai guru cikgu tak patut jatuh cinta dengan anak murid sendiri, budak bawah umur pulak tu, tapi kalau anak murid tak pe jatuh cinta kat cikgu, tu biasa, lagi pun umur cikgu hampir 10 tahun jaraknya dengan Anis, kalau nak bercinta dengan adik cikgu bolehlah, tak logik lah kalau Anis nak bercinta dengan cikgu, lagi pun Anis anggap cikgu macam abang sahaja, sayang macam abang sahaja," jawabku nyaring.  
    Itu kali pertama aku meninggi suara pada Cikgu Ariff.  Dalam menggelabah itu aku dah mula melalut, sudahlah aku juga terkenal dengan keceluparannya  di kalangan kawan-kawan setingkatan.  
    Apa sahaja yang terlintas di kepala terus aku luahkan pada Cikgu Ariff.  "Cikgu, maafkan Anis, minta diri dulu, Anis nak balik ke kelas," terus aku menyambung kata-kata bila kulihat Cikgu Ariff seperti terkedu dengan tindakan ku.  
    Mungkin dia tidak menyangka kata-kata seperti itu boleh keluar dari mulutku yang selalu manja.   Aku segera bangun dan menolak daun pintu makmal sedikit kasar.  Aku ingin segera keluar dari situ.  Aku takut nanti kena tangkap khalwat dengan Ustaz Amar pula, kecoh jadinya nanti.  
    Aku tidak tahu sama ada Cikgu Ariff tersinggung atau tidak, aku tidak mahu tahu dan sudah tidak peduli.   "Tak logik betul! Memang tak logik, tak sangka Cikgu Ariff begitu, patut lah baik sangat dengan aku selama ini," aku tak berhenti mengomel sambil langkah semakin laju. 
    Dalam hati aku terkilan juga sebab coklat pemberian Cikgu Ariff tadi ku tinggal begitu sahaja di atas meja. – Merhayati Sipon

Sabtu, 5 Oktober 2013

Kisah Cerek Penyelamat

Dalam situasi kecemasan di laut atau dalam air, terutamanya yang mana di saat itu, seseorang amat memerlukan alat bantuan kecemasan untuk membantunya menyelamatkan diri daripada lemas, pelbagai peralatan boleh membantu.   
    Peralatan itu mungkin sahaja adalah pelampung, sebatang kayu besar, papan, tong dram, tali, beg besar dan sebagainya, tetapi bagi diriku sendiri  ia adalah sebuah cerek.  Tak masuk akal kan?  
    Jadi aku ingin membawa kamu semua menelusuri kisah pengalamanku ini dan ya, di akhir cerita kamu semua bebas membuat penghakimannya, sama ada setuju atau tidak dengan pernyataan tajuk ceritaku ini.
    Kisah ini terjadi di pertengahan tahun 80-an, ketika aku masih lagi belasan tahun, empat belas tahun untuk lebih tepat.  Ya, waktu itu aku masih muda, ceria, bersemangat dan tidak gentar, zaman remaja, zaman di mana naluri eksplorasi dan ingin tahu amat tinggi.  
    Sesuai dengan sifatku yang sukakan aktiviti lasak, aku mendaftar diri dalam pasukan pengakap di sekolah sejak tingkatan satu lagi (walaupun sifat itu hanya menyumbang 60% manakala keinginan untuk selalu melihat abang senior kegemaranku setiap petang Jumaat  turut menyumbang 40% daripada keseluruhan keinginan untuk menjadi ahli pengakap).   
    Ahli Pengakap di sekolahku amat aktif dan kami sering mengadakan perkhemahan, sama ada di dalam atau  di luar sekolah, termasuklah aktiviti mendaki bukit dan juga menelusuri  sungai dan paya.  
    Ketika itu, jika nama Lord Baden-Powell disebut sahaja, dengan segera kami akan mendabik dada dan berjalan tegak, kerana itulah Bapa Pengakap, kedua penting mungkin, selepas Bapa Kemerdekaan, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj.  
    Begitulah ketaasuban kami dengan pengasas pengakap ketika itu, yang mungkin pada hari ini, apabila kematangan diri mengajar aku muhasabah dan juga menelusuri sejarah, aku tidak ingin begitu taasub dengan Lord Baden-Powell yang mungkin di antara penggerak kepada penjajahan British di Malaya.
    Usai tamat perbarisan kawad di suatu petang Jumaat di sekolah, Cikgu Roslai yang kacak dan berasal dari utara tanah air itu menyampaikan pengumumannya, “Murid-murid, hujung tahun ini, pasukan pengakap sekolah akan mengadakan ‘grand’ perkhemahan yang kita panggil ‘Ekspedisi Utara’, ekspedisi ini akan melibatkan perjalanan menaiki bas dari sekolah ke Kuala Lumpur, dari Kuala Lumpur menaiki kereta api ke Perlis dan penghujung ekspedisi adalah menjelajah Pulau Langkawi,  jadi sesiapa yang berminat boleh mula mendaftar nama pada Ari mulai hari ini ya, jangan lupa untuk membuat persediaan perkhemahan seperti biasa,”. “Horeeeeee!,” ucapan panjang lebar Cikgu Roslai disambut dengan sorakan keriangan oleh semua ahli pengakap terutamanya aku.   
    Dalam hati aku dah mula mengira berapa tabungan yang perlu kukumpul  untuk membolehkan aku mengikuti ekspedisi dan yang paling penting ayat-ayat pemanis untuk dapat keizinan abah, penting tu!
    Dipendekkan cerita, bulan November datang sekelip mata, peperiksaan telah pun ditempuh dan keputusan yang cemerlang menjadi lesen besar untuk abah memberi keizinannya padaku. 
    Bas bertolak tepat jam 4 petang dari sekolah kerana Cikgu Roslai telah mengatur untuk kami menaiki Ekspres Senandung Malam.  Cuaca agak mendung kerana ketika itu musim tengkujuh sudah mula melanda Semenanjung.  
    Ketika kami sampai di Kuala Lumpur hujan telah turun selebat-lebatnya.  “Murid-murid, bas hanya dapat menghantar kita setakat Masjid Negara sahaja, selepas solat nanti kita terpaksa menempuh hujan sambil berjalan kaki menuju stesen kereta api, kamu semua pastikan berjalan dalam barisan dan jangan tinggalkan kawan ya,” pesan Cikgu Roslai dengan muka agak kerisauan.  
    “Tak mengapa cikgu, usah risau, kami semua pengakap muda, setakat air ni boleh saja kami tempuh,” Ari , selaku Ketua Pengakap, membalas dengan semangat.  
    “Ya, ya tapi jangan lupa berhati-hati ya,” balas Cikgu Roslai sambil tersenyum menampakkan lesung pipitnya.  Aku segera mencapai beg galas yang menampung keperluan pakaianku untuk seminggu; di tepi kanan beg ku gantungkan lampu ayan buat menerangi khemah kami nanti, di sebelah kiri beg ku gantungkan cerek kecil untuk memasak air nanti.  
    Maka, dengan mimik muka pendekar bersemangat membara dan berpakaian seragam pengakap lengkap dengan topi, skarf dan wogelnya, kami  melangkah kemas dalam barisan menempuh hujan lebat  menuju ke Stesen Besar Kereta Api Kuala Lumpur.   
    Deretan kereta yang kesesakan dek kerana paras air yang mula melebihi buku lali, semakin panjang di atas jalan.  Sesekali ada pemandu yang kurang sabar, membawa kereta laju begitu hampir ke bibir jalan menyebabkan air menyimbah ke kami.  
    “Nasib baik hujan lebat, tidaklah nampak macam baru lepas kena simbah dengan air lecak,” gerutuku dalam hati sekadar menggeleng kepala mengenangkan sikap pemandu yang kurang sopan itu sehingga aku lupa melihat hadapan.
    “Tolong cikguuuuu!,” aku menjerit sambil seteguk dua air telah masuk ke mulutku.  Aku tidak tahu ke mana pergi beg sandangku tapi yang pasti cerek ku sedang terapung-apung di dalam air.  
    Aku  segera berpaut pada cerek itu, sementelahan pula aku terasa kakiku tidak menjejak dasar.  Rakan-rakanku semua panik.  Cikgu Roslai yang sudah jauh ke hadapan segera berlari menuju kepadaku.
    “Kat mana dia, mana? Mana?, “ suara Cikgu Roslai tenggelam timbul dalam hujan lebat itu.  
    “Kat sana cikgu, yang pegang cerek tu, hati-hati cikgu, dalam tu,” kata Ari sambil tangannya menghulur tongkat kayunya ke arah ku.  
    Ya, cerek tu menjadi penanda lokasiku berada ketika itu.  Maka, dalam kepayahan aku ‘berenang’ (sebenarnya gaya renang yang lebih teruk daripada itik berenang) untuk mencapai hujung kayu yang Ari hulurkan.  
    Sebelah tangan lagi kupaut tangan Cikgu Roslai.  “Kot ya pun nak berenang, tunggulah bila kita sampai ke Langkawi, bukannya kat dalam longkang tepi jalan Kuala Lumpur ni, pegang tangan cikgu kuat-kuat, lepas ni hati-hati ya,” dalam kekalutan itu sempat juga Cikgu Roslai melemparkan usikan sinis pada ku.  
    “Aduhai cikgu, sempat lagi,” dengusku geram di dalam hati.  Nasib baik aku sedang terketar-ketar menggigil kesejukan, kalau tidak...
    Rupanya Ida dan Awa berjaya menyelamatkan beg sandangku yang hanyut sekejap di bawa arus longkang yang agak deras. Aku bersyukur kepada Allah kerana tidak berlaku sebarang kemudaratan, dan lebatnya hujan tika itu berjaya menghilangkan bau hanyir longkang di seluruh pakaianku dan mukaku.  
    Tatkala kaki menjejak platform Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, semua mata memandang kami, untungnya semua orang basah dan cerita terjatuh dalam longkang itu seolah-olah tak pernah terjadi.  Ya, itulah semangat Pengakap Muda. - oleh Merhayati Sipon

Mana Mak?

MANA MAK?

Renung-renungkan:  Jam 6.30 petang. Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.Ayah tanya Mak, “Along mana?" Mak jawab, “Ada di dapur tolo...


 Sharekan pada yg lain andai anda sayang ibu anda.
* Notes copy paste yang Datuk CEO Karangkraf emelkan kepada semua karyawan.
* Gambar daripada Google.
Jam 6.30 petang. Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama.
    Ayah baru balik dari sawah.Ayah tanya Mak, “Along mana?" Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.” Ayah tanya Mak lagi, "Angah mana?” Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
    Ayah tanya Mak, “Ateh mana?” Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?” Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
    Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
    Dua puluh tahun kemudian pada jam 6.30 petang.
    Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
    Ayah tanya Along, “Mana Mak?”Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah. Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
    Ateh menjawab, “Entah.”Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah. Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”Alang tidak jawab. Alang hanya menggoncang bahu tanda tidak tahu.
    Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.
    Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
    Tiba-tiba adik bongsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!”
    Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.
    Mereka akan tanya, "Mana Mak?,” apabila dapat nombor satu atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.
    Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"
    Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang daripada bibir anak-anak Mak .
    Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
    Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
    Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan.
    Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua-dua bibir Mak diketap rapat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.
    Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
    Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.
    Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik, namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.
    Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."
    Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.
    Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
    Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.
    Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
    Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.
    Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.
    Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
    Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telefon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telefon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."
    Mak minta Mak Uda telefon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta baharunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.
    Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telefon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
    Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.
    Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan. Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
    Beberapa tahun kemudianMak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
    Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.
    Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
    Dalam esakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
    Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telefon untuk beritahu mak sakit tenat.
    Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
    Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak.
    Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
    Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah, "Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
    Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?"
    Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."
    "Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh.
    Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"
    Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.