Dengan peguam Melayu ini aku memberi khidmat
konsultansi dan kerja-kerja editorial manakala yang dua lagi kerana urusan
penjualan pejabatku di Seremban 2.
Biarlah aku dahulukan kisah Simon dan Jerry
dahulu. Simon baharu menamatkan pengajiannya di Dublin dalam bidang guaman dan
berminat membeli pejabatku dengan harga RM65,000.
Sewaktu hendak menandatangani S&P, aku
berterus-terang dengan Simon bahawa aku berstatus Si Bankrap lalu dalam
perjanjian yang hendak ditandatangani satu klausa ditambah: dengan syarat
penjual tidak ada apa-apa urusan tindakan mahkamah.
Sepanjang bertemu atau bercakap melalui
telefon, Simon sering menekankan bahawa dalam kehidupan ini semuanya memerlukan
dokumen.
“Kerana tidak ada dokumenlah you dibankrapkan oleh kawan baik you sendiri,” begitu selalu ditegaskan.
Aku pula cuba memberi satu pemikiran di luar
kotak bahawa karenah pentadbiran boleh diminimumkan sekiranya kita berlaku
jujur dan menepati janji.
“Saya seorang yang bersifat praktikal. Saya
hendak jual ofis, you hendak beli,
harga telah dipersetujui. Bayar sahajalah,” kataku.
“Hei Zul! Ini bukan mahu beli rokok,”
katanya memperli.
“Saya baharu sahaja menjual rumah dan atas
rasa kepercayaan, semua urusan formaliti akan dibuat setelah saya dilepaskan
daripada gelaran Si Bankrap. Transaksi yang dibuat bernilai dua kali ganda
daripada harga ofis ini,” aku mula berang.
Setelah mendapat pelepasan mahkamah dengan
membayar RM30,000 (sebahagian duit jualan rumah) Rabu lalu, aku menelefon
Jerry, peguam yang digunakan khidmatnya oleh Simon.
“Hello Jerry! Boleh saya ambil cek
pendahuluan 10% itu. Saya sudah mendapat pelepasan mahkamah hari ini,” aku
menghubunginya melalui telefon.
“Bawa dokumen yang mengesahkan you sudah dilepaskan,” katanya pendek.
“Saya tidak ada dokumen itu. You boleh telefon sahaja Puan Rosmawati
di Jabatan Insolvensi untuk pengesahan,” aku memberi cadangan.
“Tak apa, saya akan ke mahkamah nanti untuk
mendapat salinan penghakiman. Saya peguam, saya kena jaga kepentingan kedua-dua
belah pihak. Petang nanti saya telefon,” katanya.
Oleh kerana petang itu aku ada berhampiran
pejabat Jerry, aku langsung singgah.
“Apa perkembangannya?,” aku terus melontar
soalan setelah lama menunggu bagai orang tak laku di ruang tamu.
“Saya tidak sempat pergi mahkamah lagi.”
“Mengapa perlu ke mahkamah. Kita ada
teknologi. Telefon sahaja.”
“Saya perlu melihat dokumen. Ini
undang-undang!,” bentak Jerry semacam marah.
“Semua mahu dokumen?,” aku memprovokasi.
“Memanglah. Ini negara ada undang-undang.”
“Jerry! Saya mahu tanya you, masa you cari
pelacur, ada tak you tengok dokumen
yang mengesahkan dia ada siplis. Masa you
nak kahwin ada tak you tengok dokumen
yang isteri you masih dara,” aku
terus meninggalkan ruang pejabatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan