Selasa, 2 Ogos 2011

Abangku Yang Nakal

Md Said dan anggota keluarganya
Aku mempunyai seorang abang yang boleh dikategorikan sebagai budak yang sangat nakal. Dia menjadi popular di Sekolah Kebangsaan Labu Ulu disebabkan oleh kenakalannya itu. Populariti abangku sentiasa meningkat bukan disebabkan kebolehannya dalam bidang pelajaran, tetapi sebaliknya adalah disebabkan kenakalannya yang tidak berkesudahan.
     Satu daripada ‘perangai buruk’ abangku yang tidak dapat aku lupakan ialah dia sangat suka mengusik, memperolok-olok dan mempersendakan orang lain. Mereka yang sering menjadi ‘mangsa’ kepada perbuatan nakal abangku itu ialah rakan-rakan terdekat dan rakan sekolahnya sendiri. Dia akan merasa puas dan seronok apabila ‘mangsa’ kenakalannya itu menjadi terkejut, marah dan sebagainya.
     Aku sendiripun pernah menjaji ‘mangsa’ dengan cara yang sama.  Dia telah berjaya mempersenda dan mempernakalkan aku dengan cara dan modus operandi yang sama. Kejadian itu berlaku sewaktu kami sedang bermain ‘polis sentri’ dengan beberapa rakan yang lain di halaman  rumah.
     Semasa aku mengejar abangku, dia secara tiba-tiba berhenti berlari dan melolong seperti orang dalam kesakitan. “Aduh…! Aduh…! Jari den sakit. Tolong… Tolong….! Jari den sakit”.  Begitulah teriakan abangku sambil menunjukkan jari telunjuk kanannya yang kononnya  ‘sakit’. Seterusnya abangku meminta “tolong picit… tolong picit sikit!”.
     Dengan penuh perasaan simpati, aku memegang jari telunjuk abangku itu dan terus   memicit-micit jari tersebut sebagaimana yang dikehendaki. Sebaik saja jari yang ‘sakit’ itu  dipicit-picit, maka abangku telah melepaskan kentutnya yang ‘power’ dan penuh berbisa.
     Aku terkejut dan tergamam seketika. Belumpun sempat aku melakukan sebarang tindakbalas, abangku telah melarikan diri sambil menjerit-jerit  kesukaan. “Kah…! Kah…! Kah…!”. Dia telah berjaya mempersendakan aku dengan trik yang sedemikian rupa. Dia ketawa berdekah-dekah tanda kegembiraan dan kepuasan.
     Trik yang sama juga turut dilakukan oleh abangku ketika berada di sekolah. Beberapa orang kawan rapatnya  telah turut diperdayakan dengan cara dan modus operandi yang hampir sama.  Kawan-kawannya yang bersimpati dan ikhlas untuk membantu, telah dihadiahkan dengan kentutnya yang ‘power’ dan penuh berbisa.
     Seperti biasa abangku akan melarikan diri sambil ketawa berdekah-dekah tanda kegembiraan dan kepuasan. Misinya untuk mempermain dan mempersendakan rakan-rakan sekolah terus mencapai kejayaan. Seperti biasa abangku akan melarikan diri ke tempat lain, meninggalkan ‘mangsa-mangsanya’ dalam keadaan terkejut, tergamam dan tidak kurang juga yang menyumpah seranah melepaskan geram.  
     Mangsa abangku yang terakhir ialah seorang budak lelaki yang jauh lebih kecil dari segi saiz tubuh badannya. Mungkin murid darjah dua ataupun darjah tiga. Abangku menghampiri  budak lelaki itu ketika budak itu sedang beratur untuk membeli makanan di kantin sekolah. Seterusnya budak itu dipersendakan dengan cara dan modus operandi yang sama.
     Abangku memulakan ‘lakonannya’ dengan mengaduh, “Aduh…! Aduh…! Jari den sakit…! Tolong picit sikit dik…! Jari den sakit,  aduh…aduh…..!”. Dengan perasaan simpati dan penuh keikhlasan untuk membantu, maka budak lelaki itu telah memicit-micit jari abangku sebagaimana yang dikehendaki.
     Seperti biasa, abangku terus berbuat sesuatu yang memang telah direncanakannya terlebih dahulu. Saat yang ditunggu-tunggu telah tiba dan budak lelaki itu mesti dihadiahkan dengan kentut yang ‘power’ dan berbisa.
     Tetapi malangnya, kali ini perencanaan abangku telah menemui kegagalan. Lain yang dihajati lain pula yang terjadi. Kentut yang diharapkan berbunyi, tidak berbunyi seperti yang dikehendaki. Sebaliknya perkara yang di luar jangkaan telah berlaku. Sesungguhnya kali ini bukan sahaja kentut yang kedengaran, malah  ‘isi perut’ abangku turut terkeluar. Akibat tersilap percaturan barangkali, abangku telah terkucil dan seterusnya telah ‘terkantoi’ di depan khalayak yang lebih ramai.
     Ketika itu, kelihatan ketulan-ketulan najis abangku yang telah terkeluar tanpa disengajakan. Mungkin abangku telah terlebih ‘power’ semasa menerankan kentutnya dan  akibatnya ‘isi perut’ abangku turut terkeluar.  Sementelahan pula, abangku cuma memakai seluar pendek yang agak longgar dan tidak pernah berseluar dalam. Maka tidak hairanlah kalau ‘benda’ yang terkeluar itu terjatuh dan bergolekan di atas permukaan jalan di depan kantin sekolah.
     Seperti biasa, abangku akan melarikan diri, meninggalkan tempat kejadian. Tetapi lariannya kali ini tidak sama dengan larian-larian yang terdahulu. Kali ini, larian abangku tanpa dituruti dengan ketawa yang berdekah-dekah iaitu ketawa yang melambangkan kegembiraan dan kepuasannya setelah beroleh kejayaan mempersendakan rakan sekolah. Lariannya kali ini lebih merupakan suatu strategi untuk menyelamatkan diri daripada sebarang kemungkinan yang bakal terjadi.
     Di lokasi kejadian, suasana menjadi sunyi dan hening seketika. Si mangsa dan murid-murid lain di sekelilingnya, masih lagi dalam keadaan terkejut dan tergamam. Namun tidak lama kemudian, mulalah kedengaran suara-suara geram yang melepaskan kemarahan, “Celaka….! Sial…! Setan….! Binawe…! Hiii…jijik…, jijik….! Huek.., huek….!. Budak ni nak mampus agaknya..!” dan bermacam-macam lagi  sumpah seranah, kata nista, dan maki hamun yang berpanjangan.
     Sebagaimana yang telah dilakukan oleh abangku yang nakal, maka aku turut meninggalkan tempat kejadian. Maka tinggallah ketulan-ketulan najis yang bergolekan dan sumpah seranah yang berpanjangan.
oleh: Md Said Bidin

Tiada ulasan: