Halaman

Rabu, 7 November 2018

Ceritalah Cikgu!



"Ceritalah Cikgu," kamu minta sebaik-baik Cikgu tersembul di muka pintu. Sekarang...

Ke hadapan anakanda bekas murid dan pelajar ayahanda yang dikasihi, didoakan semuanya sihat dan sejahtera belaka (maaf Bro Noramin Mosyi, gua suka stail lu menulis; jadi gua tiru)
Adapun ayahanda di sini sihat-sihat sahaja - sihat orang tua; ada masa turun, ada masa naik.
Adapun tujuan ayahanda menulis warkah ini adalah untuk memaklumkan bahawa manuskrip Sang Pencerita, himpunan 100 anekdot berdasarkan kisah benar termasuk cerita sewaktu bersama anakanda ditolak oleh tiga penerbit besar Malaysia - PTS, Kumpulan Karangkraf dan paling terkini, ITBM.
Manuskrip yang dihantar ke PTS sewaktu ayahanda balik belajar di Manchester (1997) dan pejabat PTS masih di Janda Baik dan Pengurus Penerbitannya Fauzul Naim Ishak tidak pula menyatakan sebabnya.
Kira-kira 10 tahun (setelah dilakukan penambahbaikan) ayahanda usung pula ke Kumpulan Karangkraf. Sewaktu ayahanda menikmati embun awal pagi kota Bukit Tinggi, Sumatera Barat, ternampak di kotak e-mel berita gembira.
Bersama Presiden Bar Council NS, Joseph Mathew
Sang Pencerita ajar Matematik sewaktu Datuk Farid Alias
  Darjah 6
Tengok... sempoinya Datuk Farid bersama rakan sekolah

"Manuskrip tuan sedia diterbitkan dengan syarat tidak dimasukkan kategori Dunia Orang Politik," catat Ruzita Awaludin, editornya.
Pada kira-kira jam 3.00 pagi itu sebagai tanda bersyukur ayahanda berjalan kaki dari hotel untuk mencari alas perut. Ternyata ayahanda silap - Bukit Tinggi bukan Seremban.
Paling terkini geng ayahanda, Rozlan Mohamed Noor sebagai Ketua Jabatan Buku Malaysia, ITBM mengutus warkah "... kami memutuskan manuskrip Tuan yang berjudul Sang Pencerita tidak dapat diterbitkan buat masa ini kerana kurang sesuai dari segi fokus penerbitan ITBM-PENA.
Jadi sekarang ayahanda tak hendak berkias-kias lagi, bantu ayahanda melihat Sang Pencerita: Edisi Pengenalan ceritaapaapasaja jadi kenyataan sebelum nafas akhir dihembuskan.
Rasanya kalau setiap bekas murid/ pelajar ayahanda membeli satu naskhah sahaja pun, kira-kira 50,000 naskhah boleh terjual.
Mari hadapi realiti, `Like' tidak membawa apa-apa erti kepada ayahanda. Ia macam orang kata percaya Allah itu ada tapi dalam masa yang sama mengeluh dan menyalahkan Tuhan macam filem Hindustan apabila gagal.
Sebagai kajian pasaran ayahanda ambil bekas murid/ pelajar Tbs Tampindan Ipg Kampus Raja Melewar sebagai sampel.
Sekiranya ayahanda terbitkan Sang Pencerita dan Runtuhnya Balai Gadang (Antologi Cerpen Persendirian 1976-2018) melalui syarikat sendiri, Studio Sang Pencerita berapa orang sanggup membuat tempahan awal dengan bayaran penuh?
Harganya RM50.00 untuk kedua-dua buku termasuk belanja pos.
Seminggu selepas tariikh tutup tempahan, buku akan dihantar dengan Pos Laju.
Sekolah Rendah Tunku Besar - Datuk Farid Alias (Presiden dan CEO Maybank Malaysia, berapa naskhah nak tempah? Boleh beli banyak kemudian hadiahkan kepada rakan-rakan tanda ingatan kepada ayahanda.
Firdaus Abdullah (orang penting Perdana Menteri) - berapa naskhah?
Takkan dalam ramai-ramai 80% tak beli buku cikgunya

Joseph Mathews - Presiden Majlis Peguam MyNegeri Sembilan Full
IPG Kampus Raja Melewar - Nordin Abd Malek (Pengerusi Persatuan Pengusaha TVET Malaysia - berapa naskhah
Hanapiah Bin Embot orang kuat kesatuan guru - berapa mahu pesan?
Begitu juga bekas murid di SK Felda Jengka 4, AK Felda LBJ dan SekolahTeknik Tuanku Jaafar

Ahad, 28 Oktober 2018

Abah! Tolong Aisyah

Perkara pertama dilakukan untuk membantu Aisyah
Sang Pencerita, membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Masjid,
Ahad lalu
Sebaik-baik turun daripada Bas KKKL Ekspres yang membawa pulang Sang Pencerita dari Johor Bahru, aku terus ke gerai kecil Terminal 1, Seremban untuk membeli rokok. Semua pemilik gerai dengan selamba memberi jawapan yang sama,” Kami tak jual rokok yang Encik minta.” Maka teh tarik yang diminta menutup bera.
          Sementara menanti teh tarik yang diminta siap, seorang wanita mendekati Sang Pencerita. “Encik cari apa? Dari tadi saya lihat melilau dari gerai ke gerai.”
          “Saya cari rokok,” aku menjawab ringkas.
          “Semua gerai tu jual rokok. Encik hisap rokok apa?”
          “Rokok kretek.”
          “Oh! Patutlah tak jumpa. Kami tak jual rokok seludup. Salah Encik.”
          Aku bungkam malu.
          “... tapi kalau Encik ketagih sangat, biar Aisyah belikan. Kedai hujung tu ada jual sebatang, sebatang tapi Dunhill saja tahu!”
          Dengan pantas duit diserahkan. “Beli dua batang.”
          Sambil menanti, terfikir juga karakter pelik Aisyah – baru kali pertama berjumpa, mesranya macam kenal lama.
          “Nah!,” tiba-tiba dia menyergah sambil menghulur dua batang rokok Dunhill.
          “Encik nak makan apa-apa ke? Aisyah tolong kakak tu berniaga. Cekodok masih panas Encik.”
Aisyah membantu Puan Megawati,
pemilik Warung D'Masjid
          “Buat sementara ni, biar dulu,” kataku pendek kerana tumpuan utama lebih ke arah rokok yang cuma dihisap dua batang di Hentian Sebelah Senawang sebentar tadi.
          “Jangan main-main geng! Tak pernah berlaku dalam tempoh tujuh lapan bulan ini tak hisap rokok lebih tiga jam,” aku berlelucon sendiri. Kah! Kah! Kah!
          “Encik!,” sekali lagi Aisyah menghampiri. 
“Maaf Encik ya Aisyah mengganggu. Aisyah tak tahu nak minta tolong dari siapa.
          “Aisyah ni bodoh Encik. Ada kad OKU. Pada kad ditulis OKU Masalah Pembelajaran.
          Aku semakin keliru.
          “Encik percaya tak dengan orang Cina?” satu lagi soalan yang ditembak boleh membuatkan kita menggelupur.
          “Aisyah Hokkian tapi masuk Islam bila kahwin Melayu.
          “Sejak dahulu saya sentiasa percaya kepada semua orang – tak kira bangsa dan agama,” aku menjawab selamba sambil melepaskan kepulan asap kepuasan. 
          “Keluarga dah buang Aisyah Encik.”
          “Aisyah juga dah cerai dengan suami.”
          “Sejak bila?”
Aisyah dihantar pulang ke bilik sewanya
oleh Sang Pencerita dan Haji Mohd Zin
Abdullah, SU Masjid Kariah Paroi Jaya 2019/20
          “Dah tiga tahun. Kami hanya sempat bersama, tiga tahun juga.
          “Dia jahat Encik. Masa kahwin dengan dia, saya ada duit simpanan RM40,000 tapi semua dah habis dia gunakan.
          “Bila duit habis, dia ceraikan saya," Aisyah mula sendu.
          “Lepas dia ceraikan saya, orang kata saya gila Encik. Mungkin betul juga. Sudahlah keluarga buang saya, suami juga begitu.
          Nasib baik kakak yang saya tolong ini sekarang bantu. Saya tak minta gaji dengan dia Encik. Saya hanya minta diberi makanan, itu sudah cukup.”
          Suasana hening seketika.
          “Encik! Lepas ini saya tak tahu nak pergi mana. Hujung bulan ni kakak tak berniaga lagi. Dia kena jaga emaknya yang sakit. Ke mana saya hendak pergi Encik?
          Keharuan melanda dan ia semakin parah apabila Aisyah menyambung kata.
          “Oh  ya! Boleh tak saya panggil Encik, abah?”
          Tanpa mengambil masa panjang, aku terus memberi jawapan.
          “Panggillah Aisyah,” nada suara kebapaanku jelas.
          “Abah! Boleh tolong Aisyah tak?”
          “Tolong macam mana?”
          “Sewa bilik tak bayar RM250.00 Aisyah tak da duit abah.”
          Sekali lagi aku terkedu.
          “Bila masuk Islam saya diajar orang Islam itu baik. Orang Islam itu sentiasa nak tolong orang tapi...,” suara Aisyah terhenti di situ.
          Belum sempat nak sendu, Aisyah menyambung kata.
          “Nak tengok abah. Abah buat tak macam Islam suruh. Nak buktinya sekarang juga.
          Tanpa perlu membuang masa seperti biasa, wang segera bertukar tangan. Angkanya biarlah dirahsiakan – sedangkan tangan kiri tidak boleh tahu apa yang tangan kanan beri.
          “Terima kasih abah,” Aisyah segera mengundur diri kerana menyambung kerja.
          Sebagai mantan pensyarah, kami sering melakukan kajian tindakan sebelum bertindak – maka tiga orang pemandu bas yang duduk semeja (tentunya turut mendengar perbualan kami) ditanya.
          “Betulkah apa kata Aisyah tadi?”
          “Betul Encik. Dia tu budak lurus. Mungkin semua yang ada di sini tahu kisahnya; dia bukan perempuan jahat.
          “Hairan juga saya. Dengan Encik dia berani cakap macam tu.”
          Walaupun mengikut teori, tindakan perlu dibuat setelah permasalahan yang dikenal pasti perlu disahkan melalui penyelidikan susulan; Sang Pencerita terus membuat rumusan segera – Aisyah perlu dibantu. Sang Pencerita tidak mahu imej buruk Islam terus-terusan menggunung. SangPencerita ingin sangat menyumbang saham ke arah `Orang Islam Itu Bikin Apa Yang Dicakapnya.’

Jumaat, 19 Oktober 2018

Gadis Sunti, Kereta Api Pagi

Kalau ikut petunjuk gadis sunti itu, rumahnya berhampiran Masjid Terapung Salmah Khamis sekarang; kampung mentua Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Dari kiri: Sang Pencerita, Jamaludin Jani, rakan serumah
di Jalan Noja off Jalan Dapat, Johor Bahru (1972-73)
Latar: Awal 70-an

Kereta api perjalanan Johor Bahru – Padang Besar pada pagi Jumaat itu cukup sesak. Selain penumpang biasa, kebanyakan gerabak dipenuhi pelajar sekolah berasrama atau guru pelatih dua maktab perguruan – Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim dan Pusat Latihan Guru Johor Bahru.  Ini cuti penggal pertama tahun 1972.
Walaupun pernah menggunakan khidmat Kereta Api Tanah Melayu (KTM) sewaktu di sekolah rendah dahulu kerana mengikut sepupu bercuti di rumah keluarga mereka di Clementy Estate, Singapura; suasana pagi ini cukup berbeza. Hiruk-pikuknya bagaikan pasar. Cuaca agak berbahang.
Sewaktu kereta api tiba dari Stesen Tanjung Pagar, Singapura dan kemudiannya bertolak pada jam 10.00 pagi; kami tidak ada pilihan. Sebahagian besar kami terpaksa berdiri.
Sebagai anak muda berusia kira-kira 18 tahun, kerinduan kepada emak, abah dan adik-adik cukup kuat. Pada hari sebelumnya, tanda sayang kepada mereka telah dibelikan – epal dan laici dalam tin – dibeli di Woodlands. Untuk emak dan abah dibelikan tuala mandi – warna biru untuk emak dan kuning untuk abah. Kalau tak silap RM1.50 harganya sehelai.
Kehidupan awal di maktab cukup mengujakan. Ini kali pertama pandai mengurus kehidupan sendiri – berpakat mencari rumah sewa dan tentunya ini kali pertama tinggal di rumah batu yang ada bekalan elektrik dan paip.
Satu sahaja yang kurangnya. Keinginan untuk bercinta mula tumbuh; selari dengan mula tumbuhnya jerawat dan misai.
Di maktab, peluang bagai tertutup awal-awal lagi. Sewaktu Minggu Orientasi baharu aku tahu, aku pelajar termuda iaitu 18 tahun 20 hari. Ia diperkukuhkan dengan tubuhku yang kecil. Kalau tak silap, ketinggianku cuma 4 kaki 11 inci. Bukan sekadar rakan-rakan satu ambilan, malah sewaktu di Tahun Dua pada tahun berikutnya, juniorku juga lebih tua.
“Macam mana nak mengurat rakan se maktab? Semuanya membahasakan dirinya kakak,” jentik mindaku.
Nah! Cerita nak terjadi. Tambahan pula waktu di sekolah menengah dahulu gila tengok wayang Hindustan. Sewaktu mencari-cari tempat duduk apabila sampai di sesuatu stesen, aku terpandang seorang gadis sunti – masih dalam pakaian seragam sekolahnya.
Inikah sentuhan panggilan cinta? Tiba-tiba pertanyaan menyapa hati bagaikan Rajesh Khanna pada pertemuan kali pertamanya dengan Hema Malini.
Sambil mata menyembunyikan malu, aku terlihat lencana di bajunya – Sekolah Menengah Vokasional Azizah, Johor Bahru.
Inilah kelemahan aku. Walaupun adik-adikku semuanya perempuan; aku mesti menggigil untuk menyapa budak perempuan kecuali rakan sekolah dahulu.
Bagaimanapun mata bertembung. Dia membalas sengihku. Oleh kerana kedudukan kami berada di bahagian penyambung antara gerabak; terasa suasana berangin juga. Cuma bau hancing menyesak hidung.
Tak sempat nak bercerita panjangpun. Kalau tak silap, namanya pun aku tak berani tanya. Maklumat peribadinya yang aku tahu dia berada di Tingkatan Lima dalam jurusan Urusan Rumah Tangga dan keluarganya tinggal di Masjid Tanah, Melaka.
“Turun di mana?,” baharu aku mula memberanikan diri untuk bertanya.
“Tampin,” katanya sambil melemparkan senyum manis.
“Masjid Tanah kat mana?”
“Kalau dari Alor Gajah, lepas empangan batu menuju Solok Duku,” jawabnya ramah.
Tak sempat menghantar soalan susulan, gerabak mula riuh dengan teriakan.
“Stesen Tampin! Stesen Tampin!”
Aku benar-benar dipanah sesal. Mengapa tak tegurnya lebih awal tadi; setidak-tidaknya selepas Stesen Segamat?
Bagaimanapun kekesalan itu aku balas segera. Bagaikan Shashi Kapoor, aku menghantarnya turun di platform. Sewaktu dia melambai pergi, entah kenapa aku berasa betul-betul kehilangan. Sewaktu cuba menjenguk selepas wisel dibunyikan; tanda kereta api akan bertolak pergi – wajahnya tidak kelihatan lagi. Bunyi enjin kereta api semakin menderu tapi bunyi itu aku dengar semakin menjauh.

Rabu, 17 Januari 2018

Saya Bahagia Kalau Dapat Membantu

Sejak memegang jawatan Ketua Pusat Sumber di Maktab Perguruan Raja Melewar kira-kira satu semester lalu aku cuba membuat beberapa perubahan yang aku fikirkan boleh menarik minat pelajarku untuk mencintai buku dan seterusnya minat membaca.
     Selain kertas cadanganku untuk menjadikan pameran bertema sebagai acara bulanan di pusat sumber diterima oleh Majlis Profesional, Pengurusan dan Pentadbiran Maktab, beberapa projek yang membabitkan keceriaan pusat sumber turut diterima.
     Dengan tema `Kami Sedia Membantu Dengan Sentuhan Kekeluargaan', aku benar-benar mahu menjadikan pusat sumber sebagai tempat yang selesa dikunjungi.
     Selain susun atur ruang yang telah diubahsuai di sana-sini, aku sering berpesan kepada staf di bawah pentadbiranku agar pelajar-pelajar yang berurusan di pusat sumber diberi layanan yang sebaik-baiknya. Walaubagaimanapun perubahan tidak berlaku sekelip mata.
     Aku masih melihat keadaan di pusat sumber seperti biasa. Pelajar-pelajar lebih gemar membelek-belek akhbar harian pada sebelah pagi dan biasanya kadar pinjaman buku pada paras tinggi apabila tiba musim kerja kursus diberikan kepada mereka.
     "Aaah! Kadang-kadang keluhan pendek itu terkeluar juga. "Mengapa pelajar tidak minat meminjam buku-buku yang agak serius sifatnya dan hanya meminjam buku yang berkaitan dengan tajuk kerja kursus?"
     Kalaulah murid-murid sekolah rendah sering dilihat berkerumun di kaunter pinjaman, mengapakah suasana begini jarang di lihat di maktab perguruan? Beginikah sikap bakal guru yang akan mendidik anak-anak ini nanti? Persoalan-persoalan begini sering juga bermain di kepala.
     Tidak cukup dengan program-program yang bersifat nilai tambah (value-added), aku turut mengambil kira aspek kecil seperti layanan mesra di kaunter sebagai daya tarik ke pusat sumber. Aku memperkenalkan kepada stafku konsep menghargai pelanggan, dengan mengucapkan terima kasih kepada pelajar-pelajar yang meminjam buku.
     Sebagai pegawai yang diamanahkan mengurus pusat sumber, aku juga bertindak sebagai pegawai khidmat pelanggan.
     Untuk mewujudkan suasana yang lebih ramah pengguna, di pintu bilikku sendiri aku letakkan poster yang aku reka sendiri dengan kata-kata yang boleh dilihat dari jauh. "Saya Cukup Bahagia Kalau Dapat Membantu. Silalah Masuk." Poster itu turut memaparkan wajahku yang aku fikir cukup bersifat `menjemput.'
     Pada suatu pagi aku didatangani seorang pelajar Semester 1 yang baharu melapor diri beberapa minggu lalu. Di tangannya terpegang beberapa helaian kertas. Sebelum sempat bercakap panjang, aku mempersilakan dia duduk.
    "Encik! Boleh bantu saya memahami perkataan-perkataan ini? Saya tak faham maksud `hardware', `software', `courseware', `useware'," katanya bersopan.
     "Pensyarah awak tidak jelaskan makna-makna perkataan itu pada awal kuliah?," tanya saya lembut.
     "Dia suruh kami cari sendiri," jawabnya pendek.
     Setelah memberi penerangan, aku terus diajukan soalan-soalan yang bertalu-talu, yang aku fikir boleh menyiapkan satu tugasan.
     "Sebelum saya menjawab, boleh saya tanya awak satu soalan?"
     Dia mengangguk.
     "Pensyarah awak memberikan tugasan ini bagi membolehkan pelajar mendapat kemahiran carian dan mengurus maklumat. Nampaknya awak cuma mendapatkan maklumat daripada saya. Untuk menghasilkan tugasan yang baik, cuba dapatkan maklumat daripada pelbagai sumber. Adunkan maklumat itu sebaik-baiknya untuk menjadikan esei yang menarik," aku memberi kuliah pendek.
     "Tapi Encik, di depan pintu Encik ada sebut Encik suka membantu. Jadi saya mintalah bantuan," katanya bersahaja.
     "Saya hanya boleh membantu bagaimana mendapat dan mengurus maklumat. Bukannya membantu menyiapkan tugasan."
     "Ooohh...! Begitu?," dia melongo.

Selasa, 16 Januari 2018

Wal `Asri

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran serta saling menasihati agar tetap sabar."
     Diam tak diam sudah lebih enam bulan aku menyendiri; lari daripada kebiasaan  - tanpa kawan, tanpa komputer, tanpa blog, tanpa Facebook, tanpa rokok.
     Sesekali sewaktu menjengah FB; cuma melalui Asus Zenfonku, terlihat juga beberapa catatan bekas pelajarku yang bertanya sesama sendiri - di mana Cikgu Zul sekarang? Lama tak nampak di FB. Sihat tak dia sekarang?
     Lebih jauh daripada itu, sesekali berjumpa kawan di majlis perkahwinan, seperti biasa tidak kurang yang menjerkah tanpa berselindung - mano lamo tak nampak, ingatkan dak tak do.
     Dan menariknya malam tadi, tidak lama entri terbaharu blog ini dipos, beberapa rakan - Mohd Nasir, Mohammad Abd Ghani, Hanapiah Embot, Samsudin Hamidan, Zakir Z Rich, Mohd Noor Awang, Eddie Azman, Johari Kassim Aju, Tok Mat (Mohamad Haji Musip) - terus memberi reaksi.
     Di mana dan kenapa menghilang? Itu  antara pertanyaan mereka - tanda ingat dan sayang.
     Untuk menjawab pertanyaan itu, setidak-tidaknya tiga peristiwa penting memungkinkan perkara itu berlaku. Paling utama dalam tempoh enam bulan ini aku lebih memberi tumpuan kepada keluarga terutama emak yang terlantar di hospital dan di rumah.
     Sebagai satu-satunya anak lelaki emak, aku ingin bersamanya pada hari-hari terakhirnya.
     Ternyata hajatku dikabul Allah. Dua hari sebelum emak dipanggil pulang, aku diminta berbaring di sisinya di katil.
     "Zul! Tolong emak Zul," katanya sendu lalu aku memeluknya sambil diperhatikan adik-beradik dan sanak-saudara yang memenuhi ruang tamu; datang ziarah.
     Puas aku memikirkannya apa yang dimaksudkan minta tolong itu. Setelah berbincang dengan adik-beradik malam itu kami mengadakan majlis bacaan Yaasin dan meminta pihak masjid mengulanginya untuk dua malam lagi.
     Keesokan harinya, teringat aku pesan emak sejak kecil - amalkan ayat Lakod Jaakum. Kalau hari itu kita tidak lancar, itu antara petanda kita akan mati.
     Maka aku membaca surah At-Taubah. Dua ayat terakhir surah itulah  (ayat 128 dan 129) ayat yang dimaksudkan oleh emak.   
     Sekitar jam 12.00 tengah hari, di hadapan kesemua anaknya, emak menarik nafas terakhir. Alhamdulillah! Aku dapat memimpinnya  melafaz Laila Ha Il Allah buat kali terakhir.
     Dalam tempoh sendirian ini juga aku mengambil kesempatan mencampak jauh salah satu habit burukku - merokok. Dengan `tidak berkawan' dalam tempoh edah kecanduan setelah menyertai Klinik Berhenti Merokok; setidak-tidaknya aku dapat mengelak dihulur rokok oleh teman.
    Tak jemu dan sunyike? Memang jemu. Memang sunyi.
     Jadi, apa dibuat untuk mengisi lapang secara bermakna?
    Sesudah menimbang-terima, aku akan kembali ke dunia asalku.
     Apa dia?
     Kalau dapat aku tunaikan kehendak ayat Wal `Asri yang pendek ini pun, ia sudah cukup bermakna.

Isnin, 15 Januari 2018

Kami Lepasan Amerika

Mendengar keluhan beberapa orang rakan yang telah berinteraksi dengan pelajar-pelajar Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) ambilan pertama itu membuatkan aku terfikir-fikir juga bagaimana hendak memulakan kuliah dengan mereka jam 10.00 pagi ini.
     Mereka adalah pelajar perintis yang diperkenalkan oleh Bahagian Pendidikan Guru dan sebahagian besar mereka adalah lulusan luar negara. Rata-rata mereka berkelulusan sarjana berasaskan sains tetapi oleh kerana pasaran kerja dalam bidang itu terbatas kerana keadaan ekonomi negara yang merudum, mereka memilih profesion perguruan.
     "Mereka angkuh! Mereka ingat belajar di luar negara besar sangat," rungut salah seorang rakanku. Tidak kurang juga yang bercerita sikap sebahagian besar mereka yang masih mengagung-agungkan sistem pendidikan yang mereka lalui setelah bertahun-tahun di luar negara.
     Memanglah. Sebahagian besar mereka dihantar ke luar negara setelah mendapat kelulusan baik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan berpeluang menamatkan pengajian peringkat sarjana tanpa perlu dipanggil pulang selepas tamat pengajian peringkat ijazah pertama.
     Aku mengenepikan prejudis itu dan melangkah masuk dengan tenang ke bilik kuliah pagi itu. Selepas memberikan salam, aku memulakan kuliah Falsafah Pendidikan dengan meminta mereka memberi maklum balas mengenai apa tujuan belajar dan apa itu ilmu?
     Menarik juga mendengar pendapat mereka yang diasaskan daripada beberapa teori baharu. Ternyata mereka terdedah juga dengan bahan bacaan terkini.
    "Apa tujuan kita belajar?, aku cuba meminta mereka membuat rumusan.
    "Untuk hidup."
     "Apa tujuan kita berilmu?, tanya aku kembali.
     "Juga untuk hidup."
     "Apa komen saudara terhadap suasana ekonomi negara semasa?"
      Seorang pelajar yang bertubuh agak tinggi tiba-tiba berdiri dan berhujah.
     "Pemimpin kita gagal mentadbir negara dengan baik. Kita ada sumber berharga tapi gagal menjadi negara maju. `Hanky-panky' ada di mana-mana. Kami sendiri adalah mangsa ini," ayat terakhir itu disuarakan dengan kuat.
      "Apa maksud saudara?", aku mencelah.
     "Kami telah membuang masa bertahun-tahun tapi kerajaan gagal menyediakan peluang pekerjaan untuk kami," sampuk seorang pelajar yang berada di baris belakang.
     Ternyata kata-kata itu mendapat tepukan gemuruh. Aku tidak segera panik dengan provokasi itu, lantas menyejukkan keadaan dengan sebuah anekdot pendek.
     "Seorang murid saya di sekolah rendah dahulu hanya sempat belajar sehingga Tahun 6. Bapanya seorang pemilik kedai basikal. Dengan ilmu asas membaca, menulis dan mengira, dia membantu bapanya di kedai setelah berhenti sekolah.
     "Kini hanya selepas kira-kira lapan tahun, dia telah mempunyai kedai basikal sendiri di sebuah kawasan perumahan baharu di kampung saya."
     Ternyata pelajar-pelajarku tertarik dengan cerita itu. Aku mendapat kesan itu apabila melihat mereka mendengar dengan tekun kata-kataku. Melihat keadaan itu, aku meneruskan cerita.
     "Seorang sepupu saya seorang sarjana Fizik lulusan Amerika. Bapa dan emak saudara saya sering sahaja bercerita mengenai kerisauannya. Sepupu saya itu masih tidak bekerja walaupun telah lebih tiga tahun pulang. Dia juga seperti sebahagian saudara-saudara, sering sahaja menyalahkan kerajaan."
     Pelajar-pelajarku mula kelihatan menundukkan kepala.
     "Sekarang mari kita fikirkan bersama. Siapakah sebenarnya yang dapat memanfaatkan ilmu? Murid saya yang hanya belajar setakat Tahun 6 atau sepupu saya yang telah menghabiskan kira-kira suku abad usianya untuk belajar?"
      Oleh kerana tiada yang memberi reaksi, aku cuba menutup kuliah itu.
     "Ahad lalu saya bertemu bapa saudara saya di kampung. Dia bercerita mengenai sepupu saya lagi; masih duduk di rumah menanti surat lamaran kerja. Apa kata bapa saudara saya lagi?"
     Sehingga di situ aku berhenti berkata-kata seketika.
     Sewaktu kulihat pelajar-pelajarku bagai ingin tahu apa terjadi seterusnya, aku meneruskan cerita.
     "Bapa saudara saya berkata, dia dahulu dapat menyara lapan orang anak walaupun tidak bersekolah tapi anak-anak hari ini bukan sahaja tidak mampu membantu ibu-bapanya malah tidak mampu menyara hidup sendiri walaupun sering bermegah dengan lulusan sarjana luar negaranya."
     Aku meninggalkan bilik kuliah yang bagaikan tidak berpenghuni lagi.