Jumaat, 29 Julai 2011

Gadis Mat Saleh

Gadis Inggeris memang peramah. Kalau silap haribulan, kita menyangkakan mereka syok pada kita semata-mata cara mereka melayan kita. Ini pastinya berlaku sewaktu bertemu mereka untuk bertanyakan sesuatu ketika di luar universiti atau sewaktu membeli-belah.
      Di universiti kita tidak tahu yang mana satu gadis Inggeris sejati. Wajah mereka hampir serupa – tidak kira yang dari Itali, Peranchis, Belanda dan sebagainya. Bagaimanapun seramah-ramah mereka, kita boleh menjangka bahawa layanan itu diberikan hanya untuk berkomunikasi. Tidak lebih daripada itu.
      Sewaktu bersembang-sembang kosong di universiti sementara menunggu waktu kuliah seterusnya, kami pelajar-pelajar tua dari Malaysia mengisi masa dengan cerita-cerita yang boleh dikategorikan sex-harrasment di UK. Dakwaan yang boleh senang-senang membawa kita ke mahkamah.
      ”Geng! Itu saiz kau,” aku mengusik Zul Maulud yang tinggi luncai sambil menunjuk gadis yang kujangka dari Scotland yang tinggi dan berwatakan keras (The Bravehard) itu.
      ”Wi (aku merujuk Mohd Zawawi Hasan), kau pula sesuai dengan yang itu,” aku menjuih mulut ke arah gadis yang aku agak berasal dari Greece (bertubuh gempal bulat macam Zawawi).
      ”Kau pandai-pandai saja menjudukan orang,” sahut kedua-dua hampir serentak.
      ”Tengok tu... tengok tu. Choi! Itu kau punya,” Zawawi segera membalas serangan dengan menunjuk gadis yang agak rendah kecil (saiz aku) yang aku agak dari Itali.
      Masa tu terfikir juga bagaimana ada gadis Inggeris yang terpaut dengan pelajar Malaysia sehingga sanggup meninggalkan tanah air setelah berkahwin. Biasanya mereka semacam diberi layanan istimewa pula sewaktu bermastautin di Malaysia. Selain jawatan suami agak tinggi (maklumlah lulusan luar negara), taraf `orang putih’ mereka mungkin salah satu sebab dipandang tinggi.
      Mereka lebih dipandang tinggi apabila menjadi isteri menteri, apatah lagi Ketua Menteri. Tidak kisahlah mereka kecil rendah atau gemuk pendek manakala isterinya tinggi luncai. Apabila berada dalam kedudukan itu, semuanya jadi charming dan lawa segala.
      Maka, menjadi cover girllah isteri-isteri mereka walaupun kalau mengikut piawaian biasa, wajah itu tidak sewajarnya menjadi `pengumpan pembeli.’
      Bagaimanapun tanggapan yang pernah turut ada pada diriku tercalar juga apabila ke rumah seorang bekas pelajar Malaysia yang kini menetap terus di suatu petempatan elit di Manchester. Aku diajak ke sana oleh seorang kenalan.
      Sebelum tamat belajar, dia telah berkahwin dengan anak seorang hartawan tempatan. Mungkin telah teresap budaya Inggeris, bekas pelajar Malaysia ini juga tinggi sifat berterus-terangnya. Setiap pertanyaanku, dijawab tanpa berselindung. 
     Lebih mengejutkan, beliau mengaku sebelum bertolak ke England lagi beliau telah menetapkan hasrat `menakluk’ gadis Inggeris seolah-olah ingin membalas kembali penaklukan British di Malaya.
      Sewaktu leka melihat perabot mewah dalam banglo besar itu, terkeluar juga pertanyaan yang pernah aku simpan. Soalan cepu emas. Soalan itupun berani aku lafazkan setelah mengukur kejujurannya.
      ”Peliknya bila kahwin gadis Inggeris, mereka sanggup ikut suami ke Malaysia tapi you pula terbalik – terus kekal di sini? ”
      Sekali lagi sifat terus-terangnya memeranjatku.
      ”Yang ikut balik itu gadis yang dijumpa di bar atau night club.
      ”Aku pula berusaha keras memastikan dia yang syokkan aku; bukan aku syokkan dia. Aku yang jajah mereka. Bukan mereka terus-terusan menjajah kita!,” katanya sinis dalam nada ketawa.
      Aku bungkam dan tidak terkata-kata.

Tiada ulasan: