Halaman

Sabtu, 31 Ogos 2013

Caturan Hidup Itu Rupanya Indah


Sebagai manusia, apatah lagi ketika itu di zaman kanak-kanakku, kita tidak menjangkakan ada ketikanya tercapai juga hajat dan hasrat, malah lebih dari keinginan lalu yang dapat kita perolehi.
    Seingat aku di zaman sekolah dulu, apabila ada kunjungan Menteri Besar di sekolah, pengumuman akan dibuat oleh pihak sekolah untuk maklumkan kepada pelajar-pelajar.
    Ketika itu aku begitu teruja untuk berjumpa dengan Menteri Besar, lantas aku terfikir sendiri, “Dapat tak agaknya aku pandang muka Menteri Besar tu dari dekat atau dapat tak agaknya aku bersalam dengan dia?”
    Bila tiba harinya, aku tidak mahu ketinggalan untuk sama-sama berdiri dengan pelajar-pelajar lain untuk bersalaman dengan tetamu VVIP yang ditunggu-tunggu. Hajatku agar dapatlah kiranya aku ditegur sapa dan kalau tidak pun bersalaman. Kalau paling bertuah pun dapat melihat dari jarak dekat wajah Menteri Besar.
    Tapi nasib tidak menyebelahiku, tiada sedikit ruangpun untuk aku mencelah ketika itu, kerana semuanya telah dibooking awal oleh pelajar lain, dan masih ramai lagi yang berebut-rebut mahu berdiri di bahagian paling hadapan, agar dapat bersalaman.
    Sudahnya hajat dan hasratku tidak kesampaian, aku agak kecewa juga, lantas berkata dalam hati, “Siapalah aku nak dipandang oleh orang penting seperti dia, apatah lagi aku cuma anak kecil yang bukan dari kalangan anak seorang pelajar yang ayahnya adalah orang penting sama ada guru besar, guru ataupun barisan kepimpinan sekolah mahupun PIBG di sekolah berkenaan dan bukan pula seorang pelajar yang terpilih sebagai pelajar cemerlang?
    Lantas aku beredar dan cuma dapat melihat dari jauh dan dapat mendengar ucapanpun sayup-sayup saja.
    Namun, kecewaku yang dulu, rupanya terubat juga, apabila ketikanya kini, aku berpeluang bertugas di Pejabat Menteri Besar dan boleh dikatakan kerap juga dapat berjumpa dengan pemimpin negeri yang bergelar Menteri Besar. Walaupun lain nama dan orangnya ketika ini berbanding di zaman sekolahku dulu, namun gelaran ulungnya tetap seorang pemimpin dan seorang Menteri Besar.
    Kalau sebelumnya cuma seorang wartawan yang kerap juga bertanyakan pelbagai soalan kepada Menteri Besar yang memimpin negeri, tapi kini berpeluang pula bertugas di bawah arahannya dan sering kali mengikuti program-program rasmi beliau.
    Pada ketika inilah, setiap kali ada program-program Menteri Besar di sekolah-sekolah ataupun bersama dengan pelajar, aku akan teringat zaman sekolahku dulu. Lantas, aku pernah merasai saat-saat itu seperti mana bila aku melihat pelajar-pelajar yang begitu teruja untuk menemui pemimpin negeri ini.

Oleh: Juriyati Mat Jalil

Jumaat, 30 Ogos 2013

Manggis oh Manggis… Mengungkap Nostalgia Silamku

Melihat hidangan buah manggis di meja makan pada majlis jamuan Hari Raya anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, mengingatkan aku nostalgia lalu di zaman kanak-kanakku.
    “Tay, tolong dekatkan piring yang ada buah manggis tu pada akak. Akak nak ambil gambar lah,” kata ku pada salah seorang wartawan dari China Press.
    Tay lantas menghulurkannya pada ku lalu bertanya, “ Kakak, untuk apa ambil gambar ini buah? makan saja lah.”
    Ketika itu di kalangan wartawan dan jurugambar yang duduk semeja saling berpandangan kehairanan.
    “Ermmm...nanti akak story dalam facebook ye,” kataku sambil tersenyum.
Memulakan kisah, di sebuah perkampungan yang bernama Kampung Dusun Nyior yang terletak di pinggir bandar Seremban, ayahku menyewa sebuah rumah yang agak uzur untuk kami sekeluarga berteduh.
    Adik beradik ramai makan ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ayah bekerja sebagai buruh, duit gaji yang diperolehi setiap bulan pun, cuma cukup-cukup makan jer, belanja sekolah pun 10 sen seorang. Kalau nak beli makanan yang lebih dari harga duit yang diberikan, terpaksalah berusaha sendiri.
    Nasib baik di sekeliling kawasan rumah sewa kami, terdapat banyak pokok manggis. Setiap kali musimnya, tuan sewa rumah akan bercakap kepada saya,
    “Yati, kalau nak duit, poie gait buah manggis yang masak tu dan poie jual, nanti nenek bagi upah 10 sen setiap 10 biji yang berjaya dijual,” kata Nenek Bedah kepada ku.
    Aku apa lagi, menyahut suruhannya tanpa bertangguh. Aku mula belajar panjat pokok manggis. Pokok yang mula-mula aku berani panjat adalah pokok yang mempunyai tunggul banyak pada batangnya kerana itu akan memudahkan aku meletakkan tapak kakiku sebelum terus berjaya tanganku dapat mencapai di salah satu dahan pokok berkenaan untuk berpaut selesa.
    Setelah pandai memanjat, sebelum memulakan operasi mengait buah manggis, aku akan sediakan terlebih dahulu galah pendek dan gendong dari kain guni.
    Selalunya setiap cuti sekolah aku akan bangun awal, dan pergi mengait buah-buah manggis di sekeliling kampung. Sebaik saja buah manggis dapat dikumpulkan, Nenek Bedah akan mengikat buah manggis itu dengan membahagikan sebanyak 10 biji setiap satu ikatan untuk aku jual dengan harga 50 sen seikat.
    Tanpa berlengah, aku akan membawa bakul yang penuh dengan buah manggis yang hendak dijual dengan pergi dari sebuah rumah ke sebuah rumah.
    “Manggis...manggis....50 sen seikat…,” jeritan ku setiap kali mendekati kawasan rumah sewa di luar kampung.
    Sasaran aku di situ sebab, emakku ada berkata, “Ko poie jo kat rumah-rumah sewa tu, sobab askar ramai menyewo kat situ. Kalau pun askar tu tak ado, anak bini eh ado.”
    Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam... bila puas menjerit, tidak ada seorang pun yang sudi membeli manggis yang aku jual. Usahkan nak keluar dari rumah, nak menjengok dari tingkap pun, tak ada sorang pun yang sudi.
    Sudahnya aku akan mengetuk pintu dari satu rumah ke satu rumah. Kalau ada yang membelinya pun secara terpaksa atas dasar kasihan. Nak tak nak terpaksa juga mereka beli bila dah terbuka pintu. Tapi untuk jualan pertamaku tidak mendapat hasil yang lumayan, dari 10 ikat, cuma dua ikat saja yang laku.
    Malamnya, aku berfikir sendiri, macam mana nak buat buah manggis yang ku jual itu boleh laku habis sehingga kosong bakul yang kubawa.
    Lantas aku dapat idea, pergi ke tempat Cina membancuh simen untuk buat longkang konkrit yang ketika itu terletak di Kampung Sungai Landak.
Di tengah terik matahari itu, aku terus menuju ke kawasan yang di sasarkan, ternyata manggis yang kujual habis dibelinya, kerana mereka amat suka buah manggis bagi menghilangkan dahaga apabila bekerja di tengah panas. Akupun apa lagi, balik dengan hati yang paling girang kerana dapat upah banyak dari Nenek Bedah nanti.
    Namun usaha ku tidak berpanjangan, kerana gerak laku ku telah diperhatikan oleh saingan kawan sekampungku yang juga mahukan hasil jualannya turut dibeli.
    Sebelum aku keluar rumah, kawanku telah terlebih dahulu pergi ke lokasi jualan tetapku, dan sudahnya buah manggis aku tidak terjual. Aku pulang dengan kecewa. Aku tidak mampu bersaing sendirian, kerana saingan ku lelaki dan berkumpulan. Aku terpaksa mengalah walaupun hati dan perasaan ku membuak-buak marah.
    Pulang di rumah aku mengadu kepada emak buah manggis yang kujual tak laku walau seikat pun. Aku kecewa dan amat kecewa. Sudahlah penat aku terpaksa berjalan kaki terlalu jauh jaraknya di bawah terik matahari.
    Sudahnya aku terpaksa pulangkan semula buah manggis yang tidak laku itu kepada Nenek Bedah untuk beliau berikan kepada sekumpulan budak-budak lelaki yang mampu menjual habis buah-buah manggis berkenaan.
    Nenek Bedah tetap untung, tapi aku rugilah kerana yang mendapat upah cuma kepada sesiapa yang dapat menjual manggis itu, walaupun yang memanjat dan mengait buah adalah aku. Upah bagi orang yang memanjat dan mengait buah manggis adalah dapat makan buah berkenaan dari atas pokok saja.
     Aku masih ingat lagi, paling serik dan azab apabila memanjat pokok manggis yang banyak kerengga. Badanku sakit kena gigitan, dan mataku pula pedih kena kencing kerengga. Bila dia perasan, ada orang panjat di atas pokok manggis, kerengga di sarang akan keluar dan berderet menyusur dahan pokok menujuk ke arahku untuk bersedia menerima gigitan ataupun acamannya. Aduhh...pedih yang dahsyat kurasakan ketika itu. 
    Bagaimanapun, hari-hari seterusnya, aku tidak perlu lagi menjual buah manggis dari rumah ke rumah ataupun ke mana-manapun, sebab ayahku telah membawa kawannya berbangsa Cina membeli buah-buah manggis yang aku ambil secara borong. Tapi kiraannya, setiap tiga biji manggis yang kecli-kecil saiznya adalah 10 sen....adoiii....nak tak nak terpaksa jual juga...
    Moral cerita ini, pengalaman mengajar aku erti kesusahan dan kepayahan. Lantas aku telah mula belajar hidup berdikari dari keringatku sendiri demi untuk mendapatkan wang saku untuk membeli apa yang aku hajatkan dengan cara yang halal.

Oleh: Juriyati Mat Jalil

Tugasan Yang Gagal

Sehabis belajar di UM pada Mac 1989, saya ditawarkan kerja sebagai wartawan di Amir Enterprise. Saya bertugas di bahagian majalah, khususnya unit penerbitan majalah Sarina. Waktu itu wartawan Sarina terdiri daripada wartawan senior Kak Webah, Adam Salleh, dan beberapa orang lagi.
    Tugas saya selain daripada mencari dan menulis berita; juga menterjemah. Terjemahan artikel daripada bahasa Inggeris itu lebih banyak tertumpu kepada isu kesihatan wanita.
    Suatu hari ketua editor memberikan saya keratan akhbar The Star mengenai kisah seorang wanita warga emas berketurunan Tionghua yang tinggal bersendirian di sebuah perkampungan setinggan di Setapak. Wanita tersebut sudah uzur dan dilaporkan tidak pernah mandi selama 10 tahun.
    Saya ditugaskan mencari dan mendapatkan berita lanjutan mengenai wanita tersebut.
    Masalahnya, saya hanya diberikan sebuah keratan akhbar.
    Saya cuba menelefon The Star. Tetapi jawapannya mengecewakan. Saya ditugaskan bersama dengan jurukamera, Allahyarham Izi Yahya (yang kemudiannya menjadi pelakon)untuk ke perkampungan tersebut.
    Izi memberitahu saya, "kita kena naik motosikal. Laluan ke perkampungan itu sempit, van syarikat tidak boleh masuk..."
    Saya diam sahaja. Bersetuju pun tidak, tidak bersetuju pun tidak. Naik motosikal  dengan lelaki? Saya teringat ayah. Sebab? Ayah agak Islamik. Meskipun ayah tidak banyak cakap, tapi saya masih ingat teguran-teguran ayah.
    "Tidak apalah," kata saya. "Izi bawa motor perlahan-lahan. Saya ikut belakang.”
    Saya pun berjalan, dengan beg sandang yang berisi nota, pen, alat perakam, juga telefon bimbit yang saiznya hampir memenuhkan beg. Telefon bimbit itu akhirnya saya pegang di tangan, sebab fungsinya waktu itu memang untuk dibimbit. Kalau bawa beg tangan yang kecil, jangan haraplah sebab tidak muat.
    Jenamanya Sony Ericson, berwarna hitam. Berat dan besar. Ada seconet areal seperti walkie-talkie. Kalau ada yang menelefon, hanya keluar perkataan "calling", tiada nombornya pun. Bunyinya juga masih tradisional. Tapi ia dianggap barangan mewah. Wah, kalau naik bas mini, bukan main riak lagi dengan telefon bimbit di tangan. Apalagi jika ia berbunyi. Semua akan memandang kagum.
    Jalan ke perkampungan setinggan Cina itu memang sempit dan penuh lalang di kiri kanan. Saya kira van boleh masuk memang muat-muat sahaja. Izi membawa motor perlahan, menunggu saya yang menyeka peluh sambil laju berjalan.
    Tiba-tiba sekumpulan anjing berada di belakang. Entah dari mana datangnya saya pun tidak tahu. Tapi salakannya sangat menakutkan. Agaknya anjing-anjing itu dapat mengesan bau asing yang sebelum ini tidak ada.
    Melihat anjing-anjing ini mendekat, mencemaskan betul. Saya menggenggam telefon. Rasa-rasanya kalau saya membaling objek itu kepada anjing-anjing tersebut, mahu koma dalam dua tiga hari. Dengan saiz dan beratnya itu, pasti akan berbenjol-benjol kepala anjing itu dibuatnya.
    Masalahnya, telefon itu berharga seribu lebih!
    Kumpulan itu semakin mendekat, sedikit meluru dengan salakan yang kian menjadi-jadi. Saya tiada pilihan lain. Saya terus melompat ke belakang motosikal dan menggesa Izi lekas memecut. Nasib baik berat badan saya pada masa itu barangkali separuh daripada berat saya sekarang. Badan saya kurus waktu itu. Kurus pendek.Nasib baik betul...
    Kalau tidak, mahu terangkat motosikal kapcai si Izi!
    Terlupa sekejap pesanan-pesanan ayah. Tapi saya pasti jika ayah tahu pun, tentu ayah tidak marah kerana situasi saat itu memang sangat bahaya.
    Memang kami terjumpa pondok usang tempat berteduh wanita malang itu. Tapi sebuah pertubuhan telah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, susulan daripada laporan akhbar The Star.
    Tugasan yang gagal. Nasib baik tidak kena marah dengan ketua editor. Tapi sepanjang hari kami diketawakan. Cerita saya yang seperti "superwoman" melompat naik ke atas motor itu, menjadi bahan lelucon para wartawan.
    Tahun-tahun itu telefon bimbit baharu sahaja diperkenalkan. Fungsinya bukan sahaja sebagai alat komunikasi (yang liputannya terbatas!) bahkan juga sebagai senjata terbaik untuk menjaga keselamatan pemiliknya!

Oleh: Ratna Laila Shahidin

Cute Story


sumber:
Book of Quote

Wayang Bisu Di Malam Ambang Merdeka

Encik Rauf Puteh

Naza
Setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan sejak kira-kira 15 tahun lalu, selain dapat mengingat kembali betapa penuh warna-warninya sambutan; peristiwa pahit di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) tetap tidak luput dalam ingatan.
    Waktu itu aku baharu kembali dari Manchester kerana melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dalam bidang Pembelajaran Berbantu Komputer (Computer-Assisted Learning) dan `kepakaranku’ itu dimanfaatkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Persembahan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri, Encik Rauf Puteh.
    “Haji! Apa kata kita buat pembaharuan tahun ini? Kita buat dokumentari dan tayangkan pada sambutan Malam Ambang Merdeka nanti,” cadang Encik Rauf, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan ketika itu.
    “Haji pun belajar bidang produksi multimedia. Bila lagi nak tunjuk `belang’,” usik Encik Rauf lagi yang turut ditemani Nazarudin Hashim dari Naza Entertainment yang diberi kepercayaan menguruskan kerja-kerja sistem audio-video, penataan cahaya dan persembahan bunga api itu.
    “Bajet RM30,000 cukup Ji?,” tanya Encik Rauf sebelum membawa kertas cadangan ke mesyuarat peringkat Jawatankuasa Induk. Aku cuma menjawab dengan anggukan.         
    “Ji! Saya baharu beli capture-board Matrox dan perisian Adobe Premier dari Singapura. Gunakanlah,” celah Naza pula di pejabat Encik Rauf di Jalan Tunku Hassan.
    Seperti biasa, aku jarang menolak cabaran. Perit-getir mengecap pengalaman baharu sentiasa dinanti untuk memperkukuh peribadi.
    Seperti biasa aku juga menggunakan `pendekatan gurila’ bagi penghasilan dokumentari berdurasi tujuh minit itu.
    Akulah penyelidik, akulah penulis skrip, akulah jurufoto, akulah videografer, akulah penyunting imej, akulah editor video, akulah Sang Narator dan aku jugalah yang melakukan kerja-kerja posproduksi dengan menggunakan Adobe Premier, milik Naza.
    Dokumentari berjudul `Makna Merdeka’ itu siap dalam tempoh tidak sampai dua minggu.
    Dua hari sebelum sambutan, kami telah melakukan raptai penuh untuk semua peserta yang terbabit.
    Produksi video yang aku hasilkan ternyata memberi kepuasan kepada Encik Rauf. Encik Rauf yang terkenal dengan senyum manis dan sifat tenangnya itu sentiasa meenguntum senyum.
    Pada tanggal 30 Ogos (hari ini genap 15 tahun), senja lagi padang MPS telah mula dibanjiri manusia; tidak kira tua muda; Melayu, Cina, India. Semangat cintakan negara membuak di dada.
    Mengikut jadual, tetamu utama Dato’ Mohd Isa Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan hanya akan tiba pada kira-kira jam 11.00 malam dan sebelum kedatangannya pihak penganjur telah menyusun persembahan pelbagai pertubuhan sukarela.
    Sebaik-baik beliau tiba, `Makna Merdeka’ akan ditayangkan. Itulah perancangannya.
    Aku, Encik Rauf dan Naza telah bersedia di platform tinggi yang terletak berhampiran pagar Dewan Perbandaran Seremban. Platform itu menempatkan pemain video Super-VHS dan projektor LCD dengan teknik pancaran dari belakang.
    Audio keluar dari pemain video pula disambung ke sistem audio yang dikendalikan oleh staf Naza Entertainment di tengah-tengah padang, yang jaraknya kira-kira 200 meter.
    Subramaniam a/l Arunagiri, jurukamera Maktab Perguruan Raja Melewar pula aku tugaskan merakam video.
    “Ji. Saya yakin apa yang kita buat ini akan menggembirakan MB. Ini suatu pembaharuan,” kata Encik Rauf sambil bertenggong di sisi platform.
    Encik Rauf yang sentiasa bersikap positif terhadap apa yang dikerjakan kelihatan relaks setelah memastikan krew produksi telah bersiap siaga.
    Entah dari mana datangnya idea minit terakhir, beberapa minit sebelum masa tayangan, aku meminta Subramaniam menyambung sistem audio keluar dari pemain video ke kamera videonya untuk mendapatkan audio yang `bersih’ rakamannya nanti.
    Sebaik-baik Othman Jantan (OJ) yang ditugaskan sebagai pengacara mengumumkan, “………………..hayatilah “Makna Merdeka’ mengikut tafsir Zulkifli Abu melalui dokumentari ini”, lampu projektor yang mula menyala beberapa minit lebih awal mula menayangkan montajnya.
    Setelah beberapa saat video ditayangkan, aku dapat mengesan persembahan video itu bisu, tanpa audio.
    Dalam video asal, montaj yang bermula dengan muzik latar berunsur patriotik yang kuat itu diharap dapat segera menarik perhatian audien tetapi ternyata ia tiada.
    Aku segera memeriksa sambungan pada alat pemain video; kabel dicucuk betul. Naza pula segera mengarahkan krew yang mengawal sistem audio utama melalui walkie-talkie untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Tayangan terus berjalan. Encik Rauf mula kelihatan resah. Dalam tenang aku segera menghubungi Subramaniam untuk memeriksa kabel sambungan pada kameranya. “Ok boss. Tak ada masalah,” katanya sambil memberi isyarat jempolan.
    Dalam keadaan terkial-kial mencari punca masalah, tempoh tujuh miinit berakhir dan berakhir jugalah tayangan `dokumentari bisu’ itu.
    Insiden itu benar-benar mengajarku. “Jangan sesekali membuat pindaan pada saat-saat akhir walhal sewaktu raptai ia telah diikenalpasti mengikut perancangan.”

Khamis, 29 Ogos 2013

“Cikgu Nak Pistol”

Pada suatu pagi, setelah membeli surat khabar di Kedai Wahab, aku menghampir pesara guru berusia 74 tahun, Cikgu Hassan Ismail yang baru habis ‘jogging’ di Padang Majlis Daerah Rembau.
    Cikgu Hassan suka bercerita pengalamannya semasa berkhidmat  sebagai guru. Satu demi satu cerita pengalaman sebenar yang dilaluinya, diceritakan. Kebanyakannya, kisah-kisah yang melucukan.
    Semasa, berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Nuri, Kuala Pilah, Cikgu Hassan menjadi Guru Penolong Kanan. Pada satu ketika, Sekolah Kebangsaan Nuri, Kuala Pilah, menjadi tuan rumah Sukan Sekolah-Sekolah Zon Johol. Dalam satu mesyuarat sukan, Guru Besar tiba-tiba bersuara, “ Sukan pada tahun ini tidak ada pistol. Kita gunakan wisel sahaja. Pihak polis tak dapat membekalkan pistol.”
    “ Cikgu nak pistol. Saya jamin saya akan dapatkannya,” kata Cikgu Hassan. Dalam pemikirannya beliau sudah terfikir beliau akan mendapat pertolongan. orang yang menjadi tempat mengadunya ialah Jaila Singh, Pegawai Sukan, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.
    “Pistol tak ada sebab tak ada peluru kapur,”  jawab Jaila Singh. Cikgu Hassan menjadi cemas kerana telah memberi  jaminan kepada Guru Besar.
    “Saya sudah jumpa polis. Polis kata pistol ada tetapi peluru tak ada. Cari peluru,” tambah Jaila Singh. Cikgu Hassan bertambah cemas, takut malu nanti kerana sudah memberi  jaminan. Beliau berfikir serius kepada siapa boleh mendapat pertolongan.
    Akhirnya, Cikgu Hassan pergi  mengadap seorang pegawai kanan angkatan tentera, Brigedier General Zakaria Dahalan, Pegawai Pemerintah Kem Rasah.
    “Mana ada. Tak boleh, “ jawapan berupa ugutan Dahalan. Hassan cemas. Hassan merayu minta pertolongan daripada Dahalan.
    “Berapa kau nak?” tanya Zakaria.
    “Hanya untuk darjah 4, 5 dan 6 sahaja,” jawab Cikgu Hassan Ismail lega.
    “Kau tunggu jer lah... ese datang. Jangan beritahu sesiapa,” keputusan dan pesanan Brigedier General Zakaria Dahalan.
    Pada Hari Sukan Zon Johol  di Sekolah Kebangsaan Nuri, lapan orang anggota tentera beruniform datang. Guru Besar hairan dan berasa cemas.
   “Apa halnya, asykar datang, Cikgu Hassan?” tanya Guru Besar kepada Cikgu Hassan.
    “Cikgu nak pistol kan?,” tanya Cikgu Hassan yakin.
    Guru Besar terdiam.

Oleh: Mohamad Abd Ghani

Radio Saya

Pernah tak terjumpa dengan orang yang suka bercakap? Orang yang bercakap non-stop?
    Hujan pun berhenti kalau sudah penat mencurahkan air ke bumi. Tapi ada orang yang memang dilahirkan untuk bercakap. Entah di mana silapnya, orang ini tidak ditakdirkan menjadi peguam. Kalau tidak, pasti sahaja dia asyik menang kalau bertarung di mahkamah.
    Kerjaya orang yang suka bercakap ini ada tiga. Juruhebah radio (atau sekarang dipanggil DJ), peguam atau penjual ubat (teringat drama Tok Perak; saya pernah mementaskan drama ini). Kalau zaman saya kecil dahulu, orang yang suka bercakap tanpa henti ini digelar "radio malaya" atau "laudspika" (loud-speaker).
    Saya kenal dengan orang yang suka bercakap. Kerjayanya pun memang memerlukan dia banyak bercakap meskipun dia bukan DJ, peguam atau penjual ubat. Ada sahaja idea untuk dia bercakap.
    Kadang-kadang saya seperti mahu terlena mendengar dia bercakap. Sudah macam dengar lagu-lagu balada atau lagu irama Malaysia. Kadang-kadang macam dengar ceramah politik di padang sekolah tahun-tahun 70-an dahulu. Kalau sudah penat mengiyakan, saya akan mengangguk-angguk. Penat sebenarnya mendengar dia bercakap.
    Saya pernah bertanya begini,"tak penat ke asyik bercakap?"
   Dia menjawab tidak... dan kemudian kembali menyambung percakapan. Sepanjang perjalanan dua jam setengah, dia bercakap sahaja. Macam-macam isu, macam-macam cerita kelakar. Walaupun penat, saya dengar juga. Apa boleh buat, takkan saya mahu menyumbat telinga saya dengan kapas.
    Kadang-kadang bila dia tidak ada, saya sunyi pula. Sebab tak dapat dengar lagi dia bercakap. Waktu-waktu seperti itu, saya rindu pula mendengar kisah-kisah lucunya. Itulah, waktu dia ada dan asyik bercakap; rasa macam pekak telinga saya. Tapi apabila dia tidak ada, saya buka laptop dan dengar rakaman video dia bercakap!
    Pelik betul!
    Saya cakap dengan dia, "nasib baik abang bukan perempuan. Kalau tak, mesti laki cabut lari sebab bercakap sahaja 24 jam..."
    "Agaknya bidan yang sambut abang dulu, spesis radio malaya kut?"
    "Tak pun, abang kenan burung murai..."
    Cakap saya yang macam itu pun, dia boleh buat modal untuk mengulas atau buka cerita lucu.
    Dengan budak jaga tol pun dia boleh jadi kawan dengan menjual cerita lucu. "Kesian," katanya, "budak tu mengantuk, kerja dalam kotak kecil macam tu. Hari tu sampai abang kejutkan sebab dia tertidur"
    Sampai sekarang, budak jaga tol itu sudah kenal dan sentiasa menunggu pak cik kereta xxx sampai ke plaza tol dan menghilang kantuknya dengan cerita lucu.
    Nasib baik anak-anak ikut saya. Tak ada yang berbakat menjadi "radio malaya" atau "laudspika".
   Tapi terus-terang, saya susah hati kalau tiba-tiba dia diam tidak bercakap. Pasti ada perang dingin yang tercetus, menyebabkan dia diam sahaja. Tapi saya tahu dalam hatinya membuak-buak keinginan untuk bercakap. Oleh sebab itu, perang sedingin mana pun akan berakhir dengan cepat.
    Sebab dia radio saya...
    Hidup akan sunyi tanpa mendengar lagu-lagu balada dan irama Malaysia daripada radio saya...
    Radio kesayangan saya!
    Maka hargailah orang-orang yang ada di sisi kita, biar pun mereka spesis radio atau pun tidak!

Oleh: Ratna Laila Shahidin

Selasa, 27 Ogos 2013

Latihan 3 (Cerita Berasaskan Beborak di Facebook)

Conversation started Friday
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif1:06am
M
salam kenalan pcik...apa kabar
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif1:06am
Baik adanya,,,
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif1:07am
M
saya minat nk kenalan dgn pcik..boleh ke
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif1:08am
Boleh tapi masa ini saya sedang mengemaskini blog saya. Maaf ya!
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif1:09am
M
Ingat nk ajak sembang2 tadi..dok sorang sunyi ni
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif1:10am
Maaf sekali lagi. Bye!
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif1:10am
M
Ok..mlm ni boleh sambung ke
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif1:10am
Saya bangun semata-mata untuk mengemaskini blog. Sorry!
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif1:11am
M
Ok..next time..good night
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif1:11am
Night!
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif1:11am
M
Muuuuaahhh
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif2:17am
M
salam.. M tk tido lagi..pcik boleh ke kite sembang , M suka kat org tua2 dah berumur sejak zaman sekolah lagi..pc suka tak.. M  minat kat pcik?
Sunday
https://fbstatic-a.akamaihd.net/rsrc.php/v2/y4/r/-PAXP-deijE.gif10:09pm
M
salam pcik malam ok ke
Minat kat pcik...

Bagi Latihan 3, penulis diberi kebebasan sepenuhnya untuk menghasilkan cerita. Untuk latihan ini, saya cuma memberi  judul dan sedikit maklumat apa yang berlaku di akhir perbualan ini.
Judul: Foto Yang Menggamit Ghairah
Di akhir cerita: M telah menghentak papan kekunci sebanyak lapan kali perkataan yang sama kerana katanya,  `tidak tahan’ melihat foto di bawah. 

Latihan 2 (Menghasilkan Anekdot Berdasarkan Catatan di Facebook)

Sejak dahulu saya percaya, 1001 cerita ada di sekeliling kita (bagi menjawab keluhan yang sering dilontarkan oleh mereka yang baharu menjinakkan diri dalam bidang penulisan kreatif).
    Untuk latihan kali ini, saya masih memilih catatan di FB sebagai modal cerita. Sebagai penulis, kita perlu melatih diri untuk peka dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Bagi penulis, satu insiden kecil yang dilihat oleh orang biasa sebagai tiada apa-apa tapi bagi penulis ia mungkin satu perkara yang mengguris nubarinya.
    Sebagai contoh, seorang lelaki tua yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada Disember ini, saya cukup terganggu dengan ajakan-ajakan untuk beborak apatah lagi di tengah malam.
    Pada waktu-waktu yang begini, mungkin lelaki tua itu sedang mengemaskini blognya sebelum `menyerahkan waktu 2/3 malamnya untuk yang Maha Khalik.’
    Masa baginya teramat berharga. `Hari-hari Terakhir Seorang Seniman’nya ingin dimanfaatkan sepenuhnya sebelum dipanggil pulang. Jadi mengapa perlu diganggu dengan skrip-skrip yang klise sifatnya.
    Selalunya, ajakan-ajakan ini bermula dengan baik. Antara skrip yang sering digunakan, “Assalamualaikum Pakcik! Apa khabar?”
    Bagaimanapun skrip yang berikutnya, mula ke arah yang meloyakan.
L   
Assalam abg apa kbr ye..
abg ade kt mane tu..
6:35pm
Di rumah.
Dan hendak ke studio.
6:35pm
L
oo..
klu mcm tu hati2 ye abg..
6:35pm
Ok. Tq!
class="img _9h" v:shapes="_x0000_i1028">6:36pm
L
abg bg no tel abg sbb hr tu dh hilng la..hehehe
trm ksh abg..
6:36pm
013-399 7395
6:36pm
L
ok trm ksh no L abg ade ke..
nanti klu l nk gi rmh blh ye abg
trm ksh..
7:11am
L
hr ni apa program abg ye
7:35am
L
abg ku sayang apa kbr ye,abg ade kt mane tu..

    Mark Elliot Zuckerberg (born May 14, 1984) mencipta Facebook untuk memudahkan dia dan rakan-rakan seuniversitinya berhubung untuk kemajuan pelajarannya, BUKAN untuk….
    Berdasarkan maklumat yang ada di atas, sila tulis anekdot yang dapat menyampaikan mesej yang ingin disampaikan oleh saya yang mencetuskan idea asas ini. Anekdot anda di nanti! Hantarkan ke zulkifliabu@gmail.com

catatan:
Sebagai penulis, kita perlu kaya pengalaman kendiri. Pembelajaran melalui pengalaman langsung adalah antara kaedah terbaik untuk lebih memahami sesuatu (Experiential learning is the process of making meaning from direct experience, i.e., "learning from experience".[1]
Experiential learning can exist without a teacher and relates solely to the meaning making process of the individual's direct experience. However, though the gaining of knowledge is an inherent process that occurs naturally, for a genuine learning experience to occur, there must exist certain elements.[1] According to David A. Kolb, an American educational theorist, knowledge is continuously gained through both personal and environmental experiences.[8] He states that in order to gain genuine knowledge from an experience, certain abilities are required:
·      The learner must be willing to be actively involved in the experience;
·      The learner must be able to reflect on the experience;
·      The learner must possess and use analytical skills to conceptualize the experience; and
·      The learner must possess decision making and problem solving skills in order to use the new ideas gained from
      the experience.

From Wikipedia, the free encyclopedia