Khamis, 16 Mei 2019

Jangan Menghina Orang Miskin

Ratna Laila Shahidin
"Cikgu Bayah masih ada?" tanya saya.
"Masih. Suaminya Cikgu Yaya yang dah meninggal. Hari tu Nyah tumpangkan dia. Rasa macam mahu cakap sesuatu je..."
Saya memandang kakak.
"Anak-anaknya?" tanya saya lagi.
"Yang kecik itulah yang nak kahwin ni. Dah 40 umurnya. Mereka suami isteri memilih. Anak-anaknya juga memilih. Kalau yang datang itu orang biasa-biasa, diludah-ludahkannya. Tak setaraf, kata mereka. Anak-anak yang lain tak menjadi juga. Mak ayahnya dulu zalim sangat..."
Cepat saya menoleh ke arah kakak. Kakak saya spesis tulus dan berterus-terang.
"Yang ingat tak apa yang mereka pernah buat kat kita?" soal kakak menduga daya ingat saya.
Saya menggeleng. Kalau masih ingat pun, cuma fitnah mereka terhadap saya dahulu, sehinggakan ayah dan emak pun hampir percaya akan "kesombongan" saya.
Ceritanya begini...
Waktu di Ipoh, saya bersekolah di MGS, anak mereka muda setahun daripada saya bersekolah di RPS. Kebetulan MGS ada dua buah asrama. Saya ditempatkan di asrama Kinta, asrama lama. Pelajar-pelajar junior ditempatkan di asrama baharu, yang berdekatan pula dengan asrama RPS.
Jarak asrama lama dan baharu sangat jauh. Kami di jalan Gopeng, mereka pula di tempat lain, Jalan Raja Perempuan. Haluannya pun berbeza. Emak mahu mengirim barang kepada saya. Jadi, emak mengirimkannya kepada kedua-dua suami isteri itu. Rupa-rupanya apabila balik, mereka membuat cerita bahawa saya enggan turun dan sangat sombong tidak mahu menemui mereka.
Sebenarnya mereka memang tidak suka emak mengirim-ngirim barang kepada saya. 
Marahlah emak dan ayah. Saya kebingungan apabila pulang bercuti. Emak dan ayah terkilan dengan sikap saya. Hampir menangis saya menerangkan bahawa saya dan anak cikgu-cikgu itu bukan di asrama yang sama. Jaraknya pun jauh, kena naik bas untuk sampai ke asrama baharu. Malahan saya tidak tahu pun mereka ke Ipoh bertemu dengan anak mereka.
Kembali kepada cerita kakak.
Kata kakak, oleh sebab kami miskin; kedua-dua cikgu itu sangat memandang hina. Kami akan diasingkan daripada pelajar-pelajar lain. Apa saja kebolehan kami, akan dinafikan. Pernah sekali, kata kakak; dia diarahkan berdiri di luar kelas berjam-jam kerana kepalanya dijangkiti kutu. Akibatnya, saya pun diarah juga berdiri di luar.
Mujur saja ada guru lain yang bersimpati.
Malahan kata kakak, banyak sekali kata-kata hinaan yang keluar daripada mulut cikgu-cikgu suami isteri itu. Maklumlah, ayah jatuh sakit dan emak yang terpaksa mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga. Kami memang sangat miskin waktu itu. Pakaian lusuh dan tidak berganti. Buku yang diminta pun tidak mampu kami beli.
Saya memang selalu lupa, sebab kasihan melihat cikgu itu yang sudah tua. Jalan pun terhegeh-hegeh. Tetapi kakak masih terlalu ingat. Dia seperti enggan memaafkan walaupun episod duka itu sudah lama berlalu.
Tetapi perkara itu memberi teladan kepada kita. Apa sahaja perlakuan kita, akan selalu dikenang orang. Jangan menghina orang miskin kerana kita tidak tahu nasibnya di kemudian hari. Kita juga tidak tahu untung nasib kita kelak.
Apalagi sebagai guru. Ketika kita sudah terhegeh-hegeh akibat ketuaan dan uzur, pelajar yang pernah kita hina itulah akhirnya yang sanggup memimpin kita. Seperti Cikgu Bayah itu, di mana mahu dia sorokkan mukanya apabila terpaksa menumpang kereta pelajar yang tidak pernah dipandangnya dulu?  Sedangkan dahulu, bukan main sombong dan angkuh lagi dia.
Macamlah gaji guru waktu itu sehebat gaji pemilik gedung Harrods!

oleh: Ratna Laila Shahidin

Rabu, 15 Mei 2019

Mari Berkongsi Pengalaman Peribadi

TANPA SEDAR `meniru'  iaitu belajar melalui pengalaman orang lain (experiential learning) adalah antara proses belajar yang tidak dikenakan bayaran dan berlaku secara semulajadi pula.
     "Belajar melalui pengalaman juga ialah proses belajar dan proses perubahan yang menggunakan pengalaman sebagai media belajar atau pemelajaran. Apa-apa yang dialami secara aktif dan diusahakan untuk proses pemahaman, mencari makna daripada pengalaman tersebut ialah pemelajaran melalui pengalaman." (http://lamanartikel.dbp.my/?p=90)
     Cerita (tak kisahlah ia bernama anekdot, cerpen, teater atau filem) sejak sekian lama turut membantu kita membentuk dan membangun keperibadian.
     Nah! Sesuai benarlah dengan prolog blog ini,
     "Manusia suka bercerita. Manusia suka dengar, baca dan tengok cerita. Sewaktu manusia tidak tahu tulis baca, mulut jadi alatnya. Cerita yang sama diturunkan dari masa ke masa. Waktu berubah, teknologi bertukar. Hasilnya, cerita boleh dikongsi dalam bentuk apa sahaja. Cerita ada dalam tv. Cerita ada dalam CD. Manusia sanggup berasak di panggung untuk tengok cerita. Manusia sanggup bayar tinggi untuk ketawa dan takutkan dirinya. Apa kata kita kongsi cerita? ceritaapaapasaja."
     Jadi, mari kita berkongsi pengalaman peribadi iaitu kisah benar yang pernah singgah dalam kehidupan kita - cerita duka, cerita bahagia atau apa-apa sahaja.
     Tak timbul dakwaan atau tuduhan, berkongsi pengalaman peribadi; bermakna membuka aib sendiri atau menyebar aib orang.
     Kalau benarlah dengan berkongsi pengalaman diri, ini premisnya - campakkan sahaja novel, tutup sahaja tv sewaktu sinetron yang menuntut waktu untuk menontonnya atau `biarkan sahaja panggung sama ada teater atau bioskop' mati sendiri.
     Studio Sang Pencerita amat memerlukan perkongsian pengalaman peribadi yang ditulis dalam bentuk/ format anekdot untuk diterbitkan.
     Selepas kumpulan anekdot `Cerita Saya: Edisi Pengenalan' yang menghimpun 100 anekdot tulisan Sang Pencrita yang akan diterbitkan menjelang lebaran, akan menyusul pula 100 anekdot yang berkisar mengenai `Dunia Orang Politik'.
     Sewaktu membangun kandungan, Sang Pencerita memang mengharapkan sumbangan pihak luar untuk memastikan siri buku (dahulunya dirancang `ceritaapaapasaja') `Cerita Saya'  akan terus `hidup' seperti apa yang berlaku kepada `Chicken Soup For The Soul.'
     Bagi Kategori `Dunia Orang Politik' tentu kita `dapat belajar' lebih berkesan sekiranya anekdot itu ditulis oleh `orang politik' sendiri - tak kisahlah mereka cuma ahli biasa sebuah parti atau seorang Perdana Menteri.
     Anekdot atau `certot' menurut definisi Menteri Pendidikan kita adalah penerusan tradisi lisan yang dahulunya disampaikan secara verbal dari generasi ke generasi; dengan tokok tambah dan diberikan pewarnaan setempat (local colouring).
     Hantar cerita ke zulkifliabu@gmail.com sebelum 15 Jun 2019 bagi memastikan Antologi Anekdot `Cerita Saya: Dunia Orang Politik' berada dalam pasaran Malaysia dan Indonesia pada 15 Julai 2019.
     Keterangan lanjut mengenai format, panjang-pendek anekdot atau ingin menyertai Bengkel Penulisan Anekdot anjuran Studio Sang Pencerita, sila nyatakan hasrat melalui ruang komen makluman atau pemberitahuan di akaun Facebook Sang Pencerita dari masa ke masa.
     Selamat Berkarya!