Selasa, 15 November 2011

Kehilangan Zafar

Sejak beberapa hari ini aku tidak melihat Zafar lagi di Restoran Syed Maju. Zafar juga tidak kulihat lagi berjemaah subuh di masjid. Sebagaimana biasa aku menjangka Zafar menziarahi rakan-rakanya di Kuala Lumpur, rakan yang pernah ditumpangi rumahnya sewaktu datang ke sini lebih 10 tahun yang lalu.
     Kelmarin aku terkejut menerima pesanan ringkas pemuda berusia 33 tahun dari Rawalpindi, Pakistan itu. Biarlah aku perturunkan sepenuhnya pesanan itu (jangan perkecilkan ejaan dan tatabahasanya. Bagaimana pula kalau kita diminta menulis dalam bahasa Urdu?).
     “Asslam o alaiqum abang saya sda ke kl. Easo start kirja ke kedai kawan, depan sogo jln tar. Nanti kalu abang dtng k L. mesti jumpa saya! krim slam dgn abang shrif.”
     Entah mengapa aku sendu. Aku bagaikan kehilangan Zafar yang sering menemankan aku bersarapan pagi dan kadang-kadang menjengahnya di restoran pada larut malam malah kadang-kadang di awal pagi di restoran yang dibuka hampir 24 jam itu.
     Lebih aku merasa kehilangannya kerana masih tidak mampu menunaikan hasratnya untuk melakukan satu projek usahasama (biarlah menjadi rahsia dahulu) yang telah dibincangkan sejak Ramadan lalu.
     Apa yang pasti aku bercadang ke Pakistan bersama-sama Zafar dan Shariff. Zafar mengajak kami ke rumahnya di Rawalpindi sekitar Mac atau April depan.
     “Kampung kami penuh dengan bunga ketika itu abang,” cerita Zafar. Aku bukan sekadar ingin melihat bunga malah untuk melihat bunga pujaan Zafar – Rubina.
     Terlalu banyak aku ketahui mengenai Zafar, selain kehadirannya di sini untuk membalut luka kegagalan perniagaan pengangkutannya sehinggalah kisahnya ingin berdikari.
     “Sehingga bila saya mahu kerja dengan gaji RM45 sehari?,” itu yang selalu disebutnya.
     Sedang membelek-belek akhbar harian, aku terkedu seketika. “Warga Pakistan menggantikan warga Indonesia di Jalan Tuanku Abdul Rahman.” Begitu antara tajuk utama.
     Lantas aku akan ke Kuala Lumpur hari ini untuk bertemu Zafar.

`Duit Mangkeh’

Sebagai tanda sayangkan kawan, aku mengingatkan Ehsan mengenai hutangnya yang telah tertunggak sejak hampir dua tahun. Telah beberapa kali Ehsan menjanjikan hutang itu akan dilunaskan tetapi sehingga kini, dia masih tidak berbuat apa-apa.
     “Aku akan bayar separuh dahulu Ahad ini. Jemput datang ke majlis perkahwinan anak aku,” katanya dalam suara penuh yakin.
     “Dengan `duit mangkeh’ (duit pemberian tetamu) nanti dapatlah aku bayar hutang kau,” katanya lagi.
     “Ya Allah! Berikanlah kelapangan kepada rakanku Ehsan supaya dapat `duit mangkeh’ yang banyak,” kataku, masih  dalam perbualan telefon yang berlangsung dalam suasana mesra.
     Memandangkan Ahad lalu, aku ada satu lagi jemputan kahwin, aku ke dewan tempat Ehsan mengadakan resepsi perkahwinan anaknya kira-kira jam 3.45 petang.
     Aku tidak mahu mengganggu Ehsan sewaktu tetamu masih ramai. Ini akan `merosakkan moodnya’ nanti.
     Inilah kali pertama aku ke dewan itu – sebuah dewan yang agak mewah dan terletak dalam satu kompleks agensi kerajaan yang berkaitan dengan pembangunan kekeluargaan.
     Sebaik tiba, aku terus bersalaman dengan Ehsan yang sedang berbual dengan tetamu di meja belakang dewan sambil menghulurkan `duit mangkeh.’
     “Lauk dah banyak habis,” kata Ehsan sambil meminta aku ke bahagian luar dewan sendirian.
     Benar katanya. Lauk cuma tinggal beberapa cebisan rendang tetapi gulai nenas masak kuning masih banyak lagi.
     Setelah tercari-cari pinggan dan cawan, akhirnya aku dapat juga dengan bantuan seorang gadis kecil yang berkemungkinan saudara  Ehsan.
     Ehsan memandang sahaja aku mencari meja kosong sendirian kerana sebahagian daripadanya sedang dikemaskan oleh pihak katerer.
     Setelah selesai makan, aku lihat Ehsan leka melayan beberapa tetamu yang baharu datang,
     Untuk memenuhi waktu, aku ke meja yang menempatkan peralatan karaoke milik kenalanku. Aku perlu bersabar untuk menemui Ehsan yang kujangka telah mengasingkan sebahagian `duit mangkeh’ seperti yang dijanjikan.
     Ternyata Ehsan bagaikan tidak pernah berjanji lalu membiarkan aku pulang dengan tangan kosong sewaktu bersalaman dengannya.
     Untuk memberi peluang untuk `tempoh bertenang’ aku ke pejabatku yang terletak tidak jauh dari situ dan satu pesanan ringkas dihantar.
     “Aku akan berada di pejabat hingga malam. Bila lapang nanti, hantarlah apa yang dijanjikan.”
     Sehingga ke senja, pesanan ringkas itu tidak berbalas malah sewaktu menelefonnya, taliannya tidak diaktifkan.