Khamis, 26 Januari 2012

Tolong Seorang Kawan, Hilang Ramai Kawan

Hukum Matematik tidak boleh diaplikasi dalam semua aspek kehidupan.
    “Orang perempuan memang tamak. Dia ingin memiliki 100% apa yang difikirkan itu milik penuhnya. Tidak ada orang perempuan yang mengizinkan suaminya tambah satu lagi dengan andaian kasih yang bernilai 100% itu dibahagi dua jadi 50%.
    “Kasih sayang tidak boleh guna hukum Matematik. Mungkin suami yang berkahwin dua memberi 150% kasih sayangnya kepada kedua-dua isterinya. Bukankah ini bertambah 50% bagi isteri pertama,” aku sering membuat provokasi kepada pelajar-pelajarku yang sebahagian besarnya sudah berumah tangga.
    “Hok laing boleh kongsi Cikgu, hok so tu dok,” seorang pelajar perempuan dari Terengganu tiba-tiba bersuara yang diikuti deraian ketawa.
    Hukum Matematik juga mungkin tidak boleh digunakan dalam persahabatan. Satu lagi peristiwa hitam membelit diriku hingga kini. Kerana menolong seorang rakan yang telah lama hilang dan tiba-tiba muncul kembali yang kusedari bukan dirinya dahulu, aku hilang rakan kongsi, kakitangan, pelanggan dan tempat aku mengadu sewaktu kesempitan wang.         
    Matematiknya mudah. Bermula dengan modal RM100,000 pada 1 Ramadan tahun lalu, aku mula kembali berniaga dengan modal rakan kongsi dan adik bongsu yang `mengorbankan’ wang ASBnya.
    Apabila hampir kesemua modal digunakan untuk projek rakan tadi, aku tiada lagi modal pusingan dan terpaksa melalui sepak terajang berniaga – buka lubang tutup lubang, pinjam sana, pinjam sini.
    Matematik ini tidak sesukar mana untuk diatasi tapi kerana satu janji `aku akan bayar sebelum Raya nanti’ tapi hingga kini masih tidak dilunasi, sifirku lari.
    Setiap bulan, wang pencen lebih dahulu dinikmati stafku daripada diriku sendiri. Staf yang juga rakan kongsi tidak boleh bertahan lagi lalu berhenti dan sempat menempelak, sudah dua kali Uncle buat begini. Dia yang sepatutnya sama-sama mengatasi masalah (dan patutnya turut bersabar) kerana bisnes ini juga miliknya, angkat kaki.
    “Jangan makan seorang! Bukankah ini perkongsian? Sama-samalah bahagi keuntungan!.”
    Begitulah biasanya sikap rakan kongsi. Pernahkah mereka berfikir sebaliknya. “Setelah akaun ditutup berakhir 31 Disember, kita rugi RM100,000. Boleh pulakah kita kongsi kerugian?”

Cerita Sang Peminjam

Buat pertama kali dalam sejarah, dia terlebih dahulu membuat panggilan telefon mengingatkan janjitemu.
    “Saya ada di kedai mamak tempat kita minum dahulu,” katanya. Dalam keadaan terpisat-pisat kerana dikejutkan dengan panggilan itu, aku cuma sempat menjawab, “O.K! O.K! Aku datang.”
    Melihat jam yang sudah menunjukkan angka 9.45 pagi, aku terus bingkas bangun daripada tertidur kerana kesejukan hujan pagi.
    Sewaktu sedang berpusing-pusing mencari parkir, satu sms singgah di Nokia Xpress Musicku. “In the office now.”
    Aku terpaksa menapak hampir 200 meter menuju Jabatan Insolvensi Negeri Sembilan, berhadapan Arkid MARA, Seremban. Aku tidak berasa malu lagi menjengah masuk jabatan ini kerana ia sudah dikunjungi berkali-kali sejak berada di Wisma Persekutuan lagi.
    Aku segera ke kaunter dan memohon maaf kerana beberapa minit melepasi waktu janjitemu.
    “Encik duduk dahulu. Puan Rosmawati sudah minta kawan Encik mengisi borang sebelum berjumpa,” katanya.
    Sementara menunggu rakanku itu menunaikan tugasnya, aku sempat membaca beberapa halaman akhbar The Star yang ada di situ.
    Aku tertarik dengan kolum baharu akhbar itu yang mengisahkan bagaimana seseorang itu boleh merubah kehidupannya sekiranya berusaha. Allah maha adil, hati kecilku berkata.
    Setelah diminta masuk oleh Puan Rosmawati, sesi konsultansi bermula. Aku cukup tertarik dengan cara pegawai muda ini berkomunikasi – berhemah dan memancarkan sikap seorang profesional.
    Baharu aku tahu pagi itu bahawa Si Peminjam tidak pernah membayar sesen pun sejak peristiwa hitam 2005 itu. Paling mengejutkan dia tidak pernah melalui sesi mesyuarat pertama malah `kad keahlian’ berwarna hijau itu baharu diwujudkan untuknya.
    Sebetulnya aku tidak perlu ke jabatan itu lagi kerana Mahkamah Tinggi telah memberi pelepasan setelah membayar RM30,000 tanggunganku pada 18 Januari lalu. Malah pagi esok, Cik Vanaja, pegawai mahkamah telah memberi jaminan dokumen penghakiman akan siap esok.
    Dengan dokumen ini aku menjadi manusia bebas kembali – dapat menggunakan kembali dua kereta dan satu motosikal yang disenaraihitamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan lebih besar daripada itu pasport antarabangsaku akan dikembalikan.
    Benarlah kata orang, wang dan harta benda milik sendiri tidak membawa apa-apa makna kerana segala-galanya dikawal oleh Jabatan Insolvensi.
    Aku simpati dengan peminjam yang selama ini mengambil mudah liabiliti yang tertanggung di pundaknya. Sewaktu aku boleh menyimpan segala dokumen yang berkaitan yang aku failkan cermat untuk dokumentasi, Si Peminjam baharu hendak memulakan bayaran pertama yang bermula Februari  ini.
    “Baca The Star hari ini. Setidak-tidaknya cerita Tauke Perabot itu boleh menjadi pedoman. Hari masih panjang. Kalau tidak memulakan sesuatu, bila pula untuk melihat pengakhirnya,” kataku sambil mengusap belakang Si Peminjam, bekas bosku.
    “Terima kasih Bang!,” aku lihat langkah Si Peminjam tidak selembik tadi lagi.  

Trauma

Sekitar pertengahan 60-an.
Aku sedar sangat kesulitan abah dan emak. Awal pagi lagi setelah menyediakan teh `o’ dan ubi rebus atau apa yang ada sebagai sarapan kami sebelum ke sekolah, mereka menuju ke kebun getah di sempadan hutan.
    Abah atau emak tidak ada kebun sendiri, jadi mereka menoreh di kebun orang dan hasilnya di bahagi dua. Pada sebelah petangnya pula mereka ke sawah di baruh; dan hasilnya dibahagi dua juga.
    Walaupun masih di darjah empat atau lima, sebagai anak sulung aku cepat mengerti keperitan hidup mereka. Aku akur dengan keadaan yang wujud tapi aku tidak dapat menerima tingkah laku Nek Jenab, pangkat sepupu nenekku ketika berurusan dengan emak.
    Entah apa dosanya, aku sering melihat emak dihina oleh Nek Jenab yang kami kenali sebagai orang paling berada di Kampung Pelegong. “Tengok tu! Itulah rupanya orang bangsat!,” celupar sangat mulut Nek Jenab bertubuh gempal itu mencerca emak.
    Sebagai anak yang terdidik dengan kelembutan, sifat kurang ajar Nek Jenab sering menjengkelkan. Aku pernah bertanya dengan emak, adakah apa-apa kesalahan yang dilakukan olehnya hingga dendam Nek Jenab bagai tidak berkesudahan.
    “Seingat-ingat emak tidak ada. Biarlah dia bercakap, kalau kita tidak buat, apa pula yang hendak dirisaukan,” begitulah selalunya emak memberi alasan.
    Hinggakan emak dituduh meracun Tok Godang, ayah kepada Nek Jenab sendiripun, emak tidak ambil pusing.
    “Biarlah dia tuduh. Allah tahu mana yang benar,” bersahaja emak meluahkan kata.
    “Aaaaaah! Kita ada maruah mak! Sampai bila emak sanggup dihina. Kalau kita tidak menyatakannya, orang akan terus-terusan menganggap itu BENAR,” kesabaranku hilang.
    Kesabaranku ranap seranap-ranapnya apabila pada suatu petang, aku dan emak yang dalam perjalanan pulang dari sawah dihina secukup-cukupnya oleh Nek Jenab. Di atas jambatan berhampiran rumah Nek Sekrah, kemiskinan kami dijadikan bahan cercaan.
    “Tengoklah orang tak berharta. Motong, gotah orang. Sawah, tanah orang. Inilah orang bangsat!”
    Sambil menggetap bibir dan menggigil menahan kesabaran, aku tidak sedar cangkul di tangan terlayang ke kepala Nek Jenab.

Awal 2012
Kes 1
“Aku dah masuk nama pencetak dan jilid balik buku itu. Aku tidak mahu pembeli tertipu.”
    “Baguslah sikap begitu tapi kau awal-awal lagi sudah menipu aku. Berapa kali janji nak bayar, tapi sudah masuk lima bulan, tidak ada apa-apa pun. Teruk, apabila penulis sudah lupa makna kosa kata mudah – sebelum Raya dan `dua minggu lagi aku bayar.’
Kes 2
“Kau datang rumah aku sekarang juga!  Sekarang! Aku hendak duit aku balik!”
    Bagai orang bodoh, aku segera menghidupkan enjin motosikal dan tidak lama kemudian sudah berada di depan pintu rumahnya.
    “Kau memang mementingkan diri. Sudah sebulan aku minta duit tu… Mana broadband tu? Tahu pinjam, tahulah pulangkan” (kalau hendak menjadi budak-budak, mahu sahaja dinyatakan barang aku yang kaupinjam dan lebih tinggi nilainya seperti buku rujukan, tidak kau pulangkan langsung) dan pelbagai kata nista lagi dihambur. Dua tiga peristiwa hampir serupa yang kulihat sebelum ini, terjadi ke atasku pula.
Kes 3
Buku yang minta telah dicetak  dan dihantar ke pejabatnya tanpa deposit. Tuntutan RM3,500. Hanya beberapa hari kemudian baharu dapat bayaran. Itupun RM2,000. Sebelum ini aku pernah tidak tidur untuk menyiapkan bukunya tapi satu senpun tidak dibayar atas alasan tidak cukup muka surat, walhal itulah naskhah akhir yang sudah disahkannya.
    Setelah ditanyakan beberapa kali, mengenai baki bayaran, ini antara jawapannya.
    “Bakinya tunggulah pihak... bayar kepada saya.”
    “Saya berurusan dengan Dato’, bukan dengan … Jangan jadikan saya peminta sedekah titik peluh saya sendiri. Pejuang Melayu  jenis apa ni?”
    Hanya beberapa minit kemudian telefon bimbit berbunyi, “Apa yang Tuan Haji cakap ni…”. dan diungkitlah beberapa perkara.Tidak lama kemudian, satu pesanan ringkas singgah.
    “Jaga etika dan bahasa tuan.”
    Aku segera membalas. “Terima kasih. Saya trauma dengan penghinaan.”

Nota: Jangankan orang, hatta isteri, anak, menantu, adik, adik iparpun jangan sesekali cuba menghina. Wajah Nek Jenab yang berkain batik tanpa baju segera melintas lalu ketika aku diperlakukan begini.
Bagi yang pernah menerima suasana tidak terduga walhal semua orang tahu darjah kesabaranku tinggi, aku pohon maaf zahir batin.

Ahad, 22 Januari 2012

Kisah Tiga Peguam (2)


Seperti mukadimah entri sebelum ini, peguam Melayu ini agak dikenali di sini. Selain sudah bertahun sebagai peguam, dia banyak juga terbabit dalam pertubuhan sukarela. Antara pertubuhan yang digemarinya ialah yang berkaitan dengan perjuangan maruah Melayu.
     Mengikut profil dirinya dalam Facebook dan halaman belakang buku serta kertas seminar, dia sudah banyak membentang kertas kerja mengenai dunia Melayu sama ada peringkat tempatan dan antarabangsa.
     “Melayu perlu dimartabatkan sama ada dalam bidang politik, pendidikan atau dunia bisnes. Membujur lalu, melintang patah: Jangan ada pihak memperkecilkan maruah kami,” itu antara kata yang dapat dipetik dalam salah satu kertas kerja terbaharunya.
     Bagaimanapun sejak mengenalinya secara dekat Oktober lalu, aku mula keliru dengan diri sebenar peguam ini. Aku bagaikan tidak percaya dia `segagah dan seberani’ seperti kata-kata yang terungkap dalam kertas kerja.
     Menurut persepsiku, dia `slow’ – tutur kata yang diungkapkan bagaikan tidak kedengaran malah aku bosan juga kerana dia terlalu berhati-hati sehinggakan setiap naskhah yang aku sunting, terpaksa dibetulkan berkali-kali sebelum diterbitkan.
     Oh ya, terlupa aku nyatakan secara jelas. Sejak Oktober lalu aku dan seorang teman `disewa’ (hire) sebagai penulis hantu (ghost writer). Silapnya aku juga kerana ingin bereksperimen untuk memperkenalkan antara perkhidmatan syarikat kami, sebagaimana yang dilakukan di Amerika atau United Kingdom.
     Mengikut kontrak, kami akan menjadi dirinya bukan sahaja dalam blog, kertas kerja malah Facebook.
     Agaknya begitukah perangai peguam? Walaupun secara prinsipnya MOU perlu dipatuhi apabila ada persefahaman kedua-dua belah pihak, peguam ini seolah-olah menentukan semua tindakan.
     Sudahlah kami diminta mengurangkan kos perkhidmatan, dijimatkan masanya dengan kami sendiri mengadap di pejabatnya, dia sesenang hati meminta kami melanjutkan tempoh perkhidmatan dengan bayaran yang sama.
     Lebih teruk dia ingin memuatkan apa sahaja bahan dalam blog yang kami bangunkan walhal ianya tidak berkaitan.
     “Dato’! Selain di luar kontrak, setiap blog yang dibangunkan perlu dipertahankan konsepnya. Bukan boleh muatkan apa sahaja,” beberapa kali aku mengingatkan.
     Aku bagaikan hilang sabar dengan sikapnya yang tidak mengamalkan bidang praktisnya apabila dia dengan mudah tidak mahu membayar perkhidmatan yang kami berikan.
     Ceritanya dia menghantar kertas kerjanya kira-kira jam 12.00 tengah malam dan diperlukan pada jam 7.00 pagi keesokan harinya untuk dibentangkan di Melaka.
     Di samping kerja-kerja suntingan dan menambah bahan, kami diminta mencetak 100 salinan untuk diedarkan kepada peserta. Tidak tidur aku semalaman itu dan tup! tup! dia tidak mahu bayar atas alasan ada satu halaman yang tertinggal; walhal kertas kerja berformat .docx itulah yang aku import ke perisian InDesignku.
     Kesabaran itu hilang sepenuhnya apabila dia cuma membayar RM2,000 daripada RM3,500 yang telah dikurangkan daripada RM3,700 yang kami tuntut setelah menghantar 1,000 naskhah ke pejabatnya.
     Sewaktu mengingatkan wang itu pagi tadi, dengan mudah dia berkata, “bukankah kita bersetuju baki RM1,500 itu dibayar apabila saya dapat tuntutan daripada pihak agensi kerajaan.”
     “Bukan kita! Itu Dato’ yang tetapkan. Terus-terang, kami bukan badan kebajikan. Kami peniaga yang perlu bayar gaji pekerja dan sebagainya.”
     Sebentar tadi aku menyemak sama ada baki bayaran telah dimasukkan ke dalam akaun seperti yang diminta pagi tadi. Masuk? Tiada.
     Pesanan ringkas yang dihantar yang berbunyi “Wang hanya bernilai sewaktu diperlukan,” juga tidak dijawab.
     Maka tiba-tiba wajah Dato’ yang turut memakai gelar Dr. itu aku lihat sedang berucap dalam satu perhimpunan besar Melayu bertaraf kebangsaan.
     “Mari kita perjuangkan maruah Melayu. Kalau kita tidak membantu peniaga kecil bangsa kita, bila pula mereka hendak besar!” Ternyata kata-kata yang diucapkan bagaikan hendak keluar anak tekak itu disambut dengan tepukan gemuruh.
     “Bullshit!,’ aku tiba-tiba menyeranah.

Kisah Tiga Peguam (1)

Dalam tempoh tiga bulan ini aku berurusan secara dekat dengan tiga peguam. Seorang peguam Melayu yang agak dikenali kerana  penglibatannya dalam NGO manakala dua lagi peguam Cina.
    Dengan peguam Melayu ini aku memberi khidmat konsultansi dan kerja-kerja editorial manakala yang dua lagi kerana urusan penjualan pejabatku di Seremban 2.
    Biarlah aku dahulukan kisah Simon dan Jerry dahulu. Simon baharu menamatkan pengajiannya di Dublin dalam bidang guaman dan berminat membeli pejabatku dengan harga RM65,000.
    Sewaktu hendak menandatangani S&P, aku berterus-terang dengan Simon bahawa aku berstatus Si Bankrap lalu dalam perjanjian yang hendak ditandatangani satu klausa ditambah: dengan syarat penjual tidak ada apa-apa urusan tindakan mahkamah.
    Sepanjang bertemu atau bercakap melalui telefon, Simon sering menekankan bahawa dalam kehidupan ini semuanya memerlukan dokumen.
    “Kerana tidak ada dokumenlah you dibankrapkan oleh kawan baik you sendiri,” begitu selalu ditegaskan.
    Aku pula cuba memberi satu pemikiran di luar kotak bahawa karenah pentadbiran boleh diminimumkan sekiranya kita berlaku jujur dan menepati janji.
    “Saya seorang yang bersifat praktikal. Saya hendak jual ofis, you hendak beli, harga telah dipersetujui. Bayar sahajalah,” kataku.
    “Hei Zul! Ini bukan mahu beli rokok,” katanya memperli.
    “Saya baharu sahaja menjual rumah dan atas rasa kepercayaan, semua urusan formaliti akan dibuat setelah saya dilepaskan daripada gelaran Si Bankrap. Transaksi yang dibuat bernilai dua kali ganda daripada harga ofis ini,” aku mula berang.
    Setelah mendapat pelepasan mahkamah dengan membayar RM30,000 (sebahagian duit jualan rumah) Rabu lalu, aku menelefon Jerry, peguam yang digunakan khidmatnya oleh Simon.
    “Hello Jerry! Boleh saya ambil cek pendahuluan 10% itu. Saya sudah mendapat pelepasan mahkamah hari ini,” aku menghubunginya melalui telefon.
    “Bawa dokumen yang mengesahkan you sudah dilepaskan,” katanya pendek.
    “Saya tidak ada dokumen itu. You boleh telefon sahaja Puan Rosmawati di Jabatan Insolvensi untuk pengesahan,” aku memberi cadangan.
    “Tak apa, saya akan ke mahkamah nanti untuk mendapat salinan penghakiman. Saya peguam, saya kena jaga kepentingan kedua-dua belah pihak. Petang nanti saya telefon,” katanya.
    Oleh kerana petang itu aku ada berhampiran pejabat Jerry, aku langsung singgah.
    “Apa perkembangannya?,” aku terus melontar soalan setelah lama menunggu bagai orang tak laku di ruang tamu.
    “Saya tidak sempat pergi mahkamah lagi.”
    “Mengapa perlu ke mahkamah. Kita ada teknologi. Telefon sahaja.”
    “Saya perlu melihat dokumen. Ini undang-undang!,” bentak Jerry semacam marah.
    “Semua mahu dokumen?,” aku memprovokasi.
    “Memanglah. Ini negara ada undang-undang.”
    “Jerry! Saya mahu tanya you, masa you cari pelacur, ada tak you tengok dokumen yang mengesahkan dia ada siplis. Masa you nak kahwin ada tak you tengok dokumen yang isteri you masih dara,” aku terus meninggalkan ruang pejabatnya.

Kalau Tidak Hendak Hilang Kawan (2)

Kawan yang telah `Menjejak Kasih’ aku dengan teman yang tidak ditemui lebih 20 tahun ini juga bukan sehari dua aku kenali. Sebagai rakan penulis, kami sering berbicara mengenai dunia kami.
    Sewaktu aku bercadang untuk mempopularkan anekdot yang berasaskan kisah benar selepas bersara, dia turut mencadangkan nama siri ini.
    “Ji, apa kata Haji namakan `cerita apa sahaja’,” katanya sewaktu bertemu di sebuah pusat beli-belah sewaktu menanti isteri kami menguruskan urusan mereka.
    Aku terima cadangannya dengan sedikit pengubahsuaian – ceritaapaapasaja – ia lebih kasual.
    Sebagai penulis sepenuh masa, kawanku ini memang banyak idea. Pengalamannya sebagai editor majalah terkemuka banyak memberi input kepada aku dan kawanku yang juga kawannya untuk bekerjasama mengedar buku terbitan syarikat kami.
    Ia. Masing-masing telah ada syarikat penerbitan sendiri. Kekangan utama cuma masalah pengedaran.
    “Saya telah lama membuat kajian. Sejak zaman SITC, yang tulis buku Melayu, yang sunting buku Melayu, yang desain buku Melayu TAPI yang kaya siapa?,” kataku membakar semangat kedua-dua rakan ini yang memang sudah sedia bersemangat.
    Bagaimanapun dalam bersemangat itu, wajah Ainon Mohamad, pemilik PTS melintas lalu.
    Dalam wajah sinisnya, dia berkata, “Bukan mudah menjadi self-publisher. Banyak buku nanti terperap di bawah tangga.”
    Mungkin kerana terkesan dengan nostalgia, maka termetrilah MOU. Buat permulaan kami akan edarkan buku terbitan syarikat kawan Sang Editor Buku, kemudiannya terbitan syarikat Sang Editor Majalah dan akhirnya buku terbitan Sang Pencerita.
    Set buku lapan judul aku biaya pencetakannya – 3,000 set semuanya. Maka kami akan memasarkan 1,000 set setiap seorang dan Sang Editor Buku yang memutuskan kawasan pasaran. Aku diberikan Melaka, Johor dan Perak.
    Sewaktu mengingatkan bayaran kos cetak pada tempoh yang telah dipersetujui, mudah sahaja Sang Editor Majalah menghantar satu sms mudah. Itupun setelah beberapa sms dihantar dan panggilan yang dibuat tidak lagi disambut.
    “Seperti yang pernah dijanjikan, tunggu dapat duit.”
    Terfikir di hati, bila pula kandungan baharu MOU ini termetri? Sekiranya frasa `tunggu dapat duit’ jadi pegangan, `tunggu dapat duit’ yang mana? Duit jualan buku? Kalau mengharapkan duit jualan buku, bagaimana hendak mendapat duit sedangkan buku tidak dijual?

Kalau Tidak Hendak Hilang Kawan (1)

Kawan yang sudah lebih 20 tahun tidak ditemui ini tiba-tiba muncul di kilang pencetakan adik beberapa hari menjelang puasa tahun lalu. Dia dibawa oleh temannya yang juga temanku yang sudah menetap di Seremban kerana isterinya bertugas di sini.
    “Ji, kawan saya ini hendak mencetak buku terbitan syarikatnya yang baharu ditubuhkan. Haji berilah harga yang berpatutan,” kata kawan yang beristerikan seorang selebriti tempatan.
    Aku terkejut badak kerana kawan yang dimaksudkan adalah kawan sejak bujangku sewaktu aku mula berjinak dengan dunia penulisan. Dia bertugas sebagai editor dan banyaklah tulisanku yang diterbitkan oleh syarikat tempatnya bertugas.
    Bagaimanapun sehingga hari ini aku tidak pasti sama ada suami selebriti ini mengetahui lebih awal bahawa aku juga adalah kawan kepada kawannya itu – Wallahualam.
    Sebagai pernyataan kegembiraan kerana sudah lama tidak bertemu, aku membawa kedua-duanya berserta adik iparku (pemilik kilang pencetakan) ke Allson Klana Resort untuk makan tengah hari.
    Kawan lamaku ini aku lihat bagai tidak lalu makan dan asyik menunjukkan beberapa pesanan kerajaan (Local Order) yang telah diterimanya setelah aku menyatakan persetujuan untuk membantunya menjadi penerbit sewaktu dalam perjalanan.
    “Tak perlu tunjukkan LO itu. Kalau kawan tidak menolong kawan, siapa lagi?,” beberapa kali aku `memarahinya.’
    “Zul, sampai bila kita hendak menjadi penulis sahaja? Kita sudah tua. Penerbit tulisan-tulisan kita sudah lama kaya raya. Kita macam ini juga,” katanya sambil menguntum senyum yang boleh meruntuhkan hati ribuan gadis sewaktu mudanya.
    “Apa kata kita jadi penerbit pula?,” sarannya sambil menunjukkan angka ribu-ribu pada LO yang terbentang di meja.
    “Hussamuddin (Karangkraf), Ainon (PTS) semuanya sudah jutawan,” dia berkali-kali membuat penegasan.
    Ideanya aku kembangkan. “Apa kata kita menjadi self-publisher? Beberapa penerbit kecil milik penulis ini bergabung tenaga dan menubuhkan syarikat pengedaran sendiri.”
    “Betul tu Ji. Saya lama jadi editor. Yang kaya raya mamak pengedaran majalah kami,” kata suami selebriti.
    Dengan janji untuk melunaskan modal yang aku dahulukan sebelum Hari Raya (kira-kira sebulan) aku bersetuju untuk bekerjasama.
    “Long, jangan silap lagi! Along sudah selalu kena tipu oleh kawan-kawan Along sendiri. Cukuplah,” itu pesan adik iparku sewaktu aku menghantarnya pulang ke kilangnya.
    Hari ini, tanggal 22 Januari 2012 (bukan sahaja Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji pun sudah lepas dan telah masuk tahun baharu pula), wang modal hampir RM100,000 yang aku kongsi bersama seorang sahabat lama dan wang Amanah Saham Bumiputera adik bongsuku masih belum tiba.
    “Zul! Saya beri jaminan duit kau akan dibayar minggu depan. Bayaran agak lambat bukan masalah saya tapi dia orang yang buat cek.” Itu antara pesanan ringkas yang dihantarnya pada 21 September 2011.
    Tertanya di hati. Sudah tidak tahu lagikah kawanku ini mengira tempoh satu minggu? 

Jumaat, 20 Januari 2012

Gugurnya Gelaran Si Bankrap


TIDAK ada sesiapapun yang gemar dengan gelaran ini. Gelaran yang hanya memungkinkan penerimanya berselipar (tidak boleh bersepatu) suatu ketika dahulu. Gelaran yang membawa konatasi hina, tidak berduit malah secara perundangannya tidak boleh meninggalkan negara apatah lagi untuk urusan yang berkaitan dengan kewangan. Gelaran apakah itu? Ia, gelaran Si Bankrap.
    Gelaran itulah yang terpakai padaku tanpa dipinta sejak 23 Jun 2005. Malu? Secara legalnya memang cukup memalukan. Mengapa tidak? Gelaran itu telah dipakaikan tanpa makluman, sewaktu sedang bergembira bersama keluarga untuk ke Hong Kong. Di awal pagi itu, mesin pengesan maklumat pasportku memancarkan warna merah dan mengeluarkan bunyi isyarat sewaktu hendak melepasi kaunter Imigresen KLIA.
    “Maaf! Anda dilarang meninggalkan negara.” Bayangkan perasaan isteri dan anak-anak yang ingin memenuhi antara acara kegemaran keluarga – melancong ke luar negara.
    Sejak itu enam trip ke luar negara keluarga tanpa ketua yang bernama  suami atau ayah. “Tak seronoklah pergi tanpa ayah!,” begitu sering diungkapkan Siti Atiqah dan Siti Adibah setiap kali aku menghantar mereka ke lapangan terbang.
    Bagaimanapun daripada segi moralnya, aku sedikitpun tidak berasa malu. Mengapa perlu malu? Aku hanya menjadi mangsa seorang rakan baik – menjadi penjamin kepada peminjam yang tidak bertanggungjawab.
    “Selesaikan masalah tu. Mengapa dibiarkan terlalu lama? Ia mengganggu imej you,” begitulah antara saran teman dan taulan. Kata-kata yang aku anggap meaningless. Kata yang bermakna adalah kata yang diiringi sesuatu yang konkrit dan boleh menyelesaikan masalah.
    Besar sangatkah tanggungan itu? Bukankah kau baharu dapat duit graduiti? Bayar sahajalah!
    Tidaklah besar sangat – cuma RM75,896.68 – cukup untuk membiayai persekolahan seorang anak yatim.

    Sebelum ini aku membiarkan sahaja masalah ini berlalu. Aku tidak perlu pinjaman bank. Aku tidak perlu kad kredit. Tapi… yang satu ini amat mengganggu – melancong.
    Kesedaran untuk menanggalkan gelaran ini hanya mula berputik kembali setelah aku mengenali Puan Rosmawati Abdul Ghani, Pegawai Insolvensi yang baharu ditempatkan di Seremban beberapa bulan yang lalu.
    Entah kenapa kata-kata pegawai muda ini cukup meyakinkan dan aku dapat rasakan keikhlasannya untuk menyelesaikan masalahku. Dengan konsultansinya, aku terpanggil untuk mendapatkan pelepasan di mahkamah.
    “Encik Zul tidak ada pilihan lain. Bayar sahaja. Apa yang saya boleh bantu, angkanya dikurangkan. Boleh tak cari RM30,000?”
    Dalam redha tak redha, aku menyediakan bank draf bernilai RM30,000 dan menyerahkannya di kaunter Jabatan Insolvensi Negeri Sembilan.
    Kelmarin, tanggal 18 Januari 2012 di Mahkamah Tinggi Seremban, gelaran yang disarungkan tanpa diminta, telah ditanggalkan.
    “Zolkpli bin Abu. Anda diberi pelepasan sebagai Si Bankrap,” kata wanita muda bergelar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di kamarnya.