Halaman

Khamis, 27 Oktober 2016

Dah nak mati dah!














Dah nak masuk umur 63 tahun baharu aku dapat peluang masak untuk kuantiti yang besar – lebih 50 orang. Sebetulnya cerita bab masak, yang kecil-kecilan pun aku jarang. Sejak bersara aku tinggal sendirian di rumah kerana isteri masih bekerja. Apa lagi pandai-pandailah bawa diri. 
Walaupun aku Penyelaras Suluk (kalau dalam cerita dunia; aku bos nombor satu selepas Sheikul sebagai pentadbir utama) Aku sengaja menawarkan diri membantu Khalifah Syawal yang kali ini keseorangan kerana sebahagian besar Khalifah masih bekerja. 
Selain aku yang sudah bersara, Khalifah Edrus peniaga sayur di Pasar Besar Seremban akan menguatkan skuad kami. Tugasnya di pasar diserahkan kepada anaknya. Sesekali Khalifah Hadid yang masih dalam rawatan hospital turut datang meringankan tulang. 
Begitu juga dengan imam Khalifah Azizul yang sibuk bertugas di KLIA sanggup datang pada sebelah malam untuk meringankan tugas kami.
Khalifah Yusof pastinya tidak boleh diganggu sama sekali kerana sebagai Qossim, beliau adalah pentadbir utama aspek kerohanian - mengajar dan membimbing para salik.
Untunglah dalam jemaah sufi ini, kami hanya dibenarkan makan satu lauk sebagai tanda memfakirkan diri.
Walaupun begitu sebagai Penyelaras Suluk aku diminta memastikan para salik jangan sesekali membantu; hatta untuk membasuh cawan sendiri.
Jadi, bertugaslah kami hampir 24 jam sehari. Selain sarapan pagi pihak Zawiyah meminta kami menyediakan makan tengah hari, minum petang, makan malam dan minum malam. Kopi O dan Teh O tersedia 24 jam – bagi memudahkan para salik yang berzikir dalam kelambu dan di surau dalam keheningan malam itu.
Namanya sahaja macam ada `supper’ tapi cuma roti atau sesekali cekodok tepung; tanpa ikan bilis. Sewaktu suluk kami tidak dibenarkan makanan berdarah – ikan, daging hatta ikan bilis.

Hari pertama bertugas cukup merisaukan. Aku lihat nasi yang dimasak Shawal tidak akan cukup untuk 52 mulut mengikut congakanku.
“Wal macam mana ni?,” aku cemas. Walaupun hanya beberapa jemaah yang belum makan kerana sedang melaporkan warid kepada Sheikul Haji Zainal Hamzah; tapi nasi itu mula kelihatan bahagian keraknya di dasar periuk,
“Jangan risaulah. Cukup!,” dengan jelas Shawal mengungkapkan keyakinan.
“Alamak! Malu kepada orang Melaka nanti. Hari pertama lagi mereka sudah tidak makan,” hatiku berbolak-balik.
Kerisauan lebih dirasakan kerana lebih 90% jemaaah adalah mereka yang baharu berbai’ah dari Melaka yang diketuai Tuan Guru Abdul Rahman Jaafar dan mereka adalah kenalan baharu kami.
Kalau kenalan setaman, kerisauan itu pasti tidak timbul.
Apabila beberapa kali aku mengungkapkan kerisauan yang sama, Shawal bagai tidak dapat mengawal amarahnya.
“Kau tak percaya ke tentang rezeki Allah? Bukankah setiap orang ada bahagiannya,” Shawal yang berwajah lelaki gagah dan macho itu bagai kecewa dengan sikapku.
Untuk menenangkan diri, aku duduk berhampiran periuk nasi bagi melayan lapan salik yang terakhir.
Tiba-tiba dadaku sebak. Air jernih mengalir di kelopak mata. Nasi itu cukup-cukup untuk jemaah yang terakhir itu.
Keesokan harinya menurut persepsiku Shawal sengaja cari masalah.
“Apa salahnya Wal kau masih lebih sikit. Kalau tak habispun boleh digunakan untuk makan malam,” aku cuba menyalahnya lagi.
“Apa yang Haji risaukan sangat ni? Haji masih tak percaya iradat Ilahi ke,” Shawal bagai memperli.
Memang aku jahil. Setelah dua kali Allah membuktikan setiap insan ciptaannya ada rezeki masing-masing; hanya pada kebimbangan kali keempat pada hari kelima Suluk, baharu hatiku cair.
“Ya Allah! Mengapa degil sangat aku ini? Sejak sekolah rendah dah belajar benda yang paling asas ini; maka sukar sangat aku meyakininya?”
“Ini yang akan kita dapat melalui suluk ini – meletakkan diri serendah-rendahnya bagai tanah lumpur yang dipijak dan diinjak; fakir yang tidak memiliki apa-apa. Semuanya hanya pinjaman. Dah nak mati dah, tidak juga sedar diri,”kata Edrus dalam perjalanan pulang daripada membeli sayur-sayuran di pasar. menyebabkan aku tersentak dan dadaku sebak.
“Ya Allah!,” aku bagai menjerit melepaskan tangis yang terkumpul. Maluku terbang. 

Rabu, 26 Oktober 2016

Maafkan Hamba!

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Menjelang subuh yang hening ini, hamba yang fakir, hina-dina dan sentiasa bergelumang dalam lautan dosa ini memohon maaf batin dan lahiriah kepada mereka yang pernah hadir dalam hidup hamba sehingga menjelang usia 63 tahun Disember ini. Sebelum Malaikalmaut memanggil pulang, halalkan apa yang termakan terminum atau wang ringgit dan sekiranya ingin menuntutnya kemukakan melalui WhatsApp 013-3997395.
Kepada mereka yang berhutang pula, tunaikan tanggungjawab sebelum turut bersama-sama hamba ke Alam Barzah.Daripada segi angka, jumlah hutang hamba tidak sampai 10% daripada jumlah mereka yang berhutang. Hamba sedar, ini adalah sebahagian kifarah kerana tidak menunaikan zakat harta pada tahun-tahun terakhir perkhidmatan.
Kepada semua murid dan pelajar (SK Felda Jengka 4, Sekolah Rendah Tunku Besar, Tampin, SK Felda LB Johnson, Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, dan IPG Kampus Raja Melewar) maafkan cikgu. Mungkin ada janji dan tanggungjawab tidak tertunaikan.
Begitu juga dengan rakan sekerja di institusi pendidikan yang dinyatakan serta akhbar Berita Harian sewaktu berkhidmat sebagai stringer. Begitu juga dengan rakan-rakan yang pernah berhubung dengan hamba.
nota: Wadah Facebook ini terpaksa digunakan untuk memudahkan hamba cepat menemui khalayak sasaran.
Hamba tidak berdaya untuk merangkak bertahun-tahun untuk menuntut maaf sekiranya dilakukan secara perseorangan.
Ya Allah sucikanlah hamba daripada segala dosa dan maksiat. Hanya kepadaMu hamba berserah!