Halaman

Khamis, 30 Jun 2011

Seorang Lelaki Jepun

Kisah benar ini disampaikan oleh seorang rakan sekitar tahun 1998.
       “Betulkah, Kak Azie?” tanya saya antara percaya dengan tidak sebaik mendengar cerita yang disampaikan oleh Kak Azie.
       “Betul. Dan datuk dia pun melakukan perkara yang sama sejak dia muda lagi,” Kak Azie berkata dengan penuh keyakinan.
       “Kalau begitu, semasa datuk dia muda, tentu sekitar tahun 1900 atau lewat 1890-an tu,” balas saya.
       “Boleh jadi juga,” Kak Azie bersetuju dengan kata-kata saya.       
       Kisah bermula apabila syarikat tempat suami Kak Azie bekerja menerima kunjungan seorang tetamu dari negara Matahari Terbit.  Suaminya dan dua lagi kakitangan syarikat telah ditugaskan membawa tetamu berbangsa Jepun itu melawat ke beberapa tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur seperti Muzium Negara, Menara Kuala Lumpur dan Balai Seni Lukis Negara.  Walaupun mereka sering membawa tetamu-tetamu asing bersiar-siar di Kuala Lumpur, tetamu yang mereka terima kali itu agak berbeza sedikit.
       Apa yang menarik tentang lelaki Jepun berusia lewat 60-an itu ialah sebuah buku lusuh yang tidak pernah lepas dari genggamannya.  Walau ke mana saja dia pergi,  malah ke tandas sekali pun; buku itu akan sentiasa dibawanya.  Lelaki Jepun itu juga akan sentiasa mencatat sesuatu ke dalam buku lusuh itu dari masa ke semasa di sepanjang lawatan tersebut.  Dan lelaki Jepun itu turut melekatkan tiket-tiket atau resit yang diterimanya semasa lawatan ke dalam buku itu.
       Perbuatan lelaki itu menimbulkan tanda tanya di kalangan kakitangan-kakitangan syarikat termasuk suami Kak Azie sendiri.  Akhirnya suami Kak Azie menebalkan muka dan bertanya kepada lelaki Jepun itu.
        Jawapan yang diterima agak mengejutkan.  Rupa-rupanya buku yang lusuh itu adalah sebuah diari.  Dan lelaki Jepun itu sebenarnya sedang mencatat peristiwa-peristiwa penting dan menarik yang berlaku ke atas dirinya saat dan ketika itu.  Untuk menjadikan catatannya lebih menarik, dia melekatkan sekali tiket, resit atau apa saja yang berkaitan dengan peristiwa yang dilaluinya ke dalam diari tersebut. 
       Menurutnya lagi, diari itu kelak boleh dibaca oleh anak, cucu dan cicitnya yang mungkin tidak berpeluang datang ke Malaysia.   Dia akan mewariskan kesemua koleksi catatannya kepada anak-anaknya bila dia meninggal dunia sepertimana yang telah dilakukan oleh datuknya dulu.
       Datuk lelaki Jepun itu yang sudah lama meninggal dunia  turut melakukan perkara yang sama ketika  belajar di United Kingdom.   Kini, lelaki Jepun itu sudah ada hampir dua puluh buah diari yang mencatatkan perjalanan hidupnya dari dulu hingga sekarang. 
       Walaupun bukan saya yang bertemu dengan lelaki Jepun itu, kisahnya yang disampaikan oleh Kak Azie betul-betul meninggalkan kesan dalam diri saya.  Saya juga turut kagum.  Bukan mudah untuk melatih dan mendisiplinkan diri bagi melakukan perkara yang dibuat oleh lelaki Jepun itu.  Semangatnya begitu kental dan disiplinnya kuat.  Tidak hairanlah Jepun mampu menakluki Tanah Melayu dengan hanya menggunakan basikal dan kemudian mampu menakluki dunia dengan teknologi mereka yang canggih. 
       Sekiranya bangsa Melayu mempunyai disiplin kuat dan semangat yang kental seperti lelaki Jepun ini, tidak mustahil suatu hari nanti bangsa Melayu mampu menjadi satu bangsa yang disegani.
oleh: Norehan Mohd Nooh

Cinta Gadis Cina

Seawal penglibatanku dalam bidang penulisan, aku telah mengenali seorang gadis Cina yang mengaku meminati setiap hasil karyaku yang tersiar di akhbar dan majalah. Gadis bermata sepet yang aku panggil Julian itu, kebetulan pula bekerja sebagai seorang pemberita disebuah syarikat penerbitan majalah.
       Tiga bulan perkenalan kami, aku dapati Julian begitu tertarik dengan agama Islam. Setiap kali berjumpa, pasti ada beberapa perkara yang berkaitan dengan Islam yang akan ditanyakan padaku. Dan aku pula akan menjawab atau memberikan penjelasan setakat mana yang aku termampu.
       Namun Julian agak berpuas hati dengan segala penjelasan dan peneranganku. Aku pun bukan jahil sangat dalam soal Islam yang menjadi anutan keluargaku sejak turun- termurun itu. 
       Sebagai sokongan, aku kerap juga menghadiahkan Julian dengan buku-buku yang berkaitan dengan pengajaran agama Islam. Ternyata Julian begitu gembira menerimanya.
       Lebih jauh daripada itu, aku telah memperkenalkan Julian dengan seorang ustazah, untuk Julian  mempelajari ajaran agama Islam dengan lebih mendalam.
       Dengan bimbingan ustazah itu, Julian semakin tekun mempelajari  dan mendalami hukum-hakam Islam. Dan akhirnya terbuka pintu hati Julian untuk memeluk Islam dengan penuh keikhlasan hatinya sendiri.
       Aku pula dalam diam telah menyimpan perasaan cinta terhadapnya. Malah aku sedar, Julian juga mempunyai perasaan yang sama terhadapku. Mungkin dia hanya menunggu aku yang melahirkan perasaan cintaku terhadapnya.
       Aku pula telah berjanji pada diriku sendiri, yang aku akan menjadi seorang pembimbing dan suami yang baik, seandainya aku menjadi suami Julian.
       Namun aku agak terkejut apabila aku sampaikan hasrat murniku itu kepada ibu, kerana ibu agak sukar menerima Julian dalam keluarga kami.
       “Sudah tak ada orang kita lagi ke?” soal ibu padaku, yang agak keberatan menerima kehadiran Julian.
       “Tapi saya cintakan dia, ibu!” aku berterus terang.
       “Cari orang kita dulu. Kalau kamu sukar nak cari, biar ibu tolong carikan,” ujar ibu lagi.
       Aku faham apa yang ibu maksudkan. Aku memang tidak yakin yang aku mampu memnjadi pembimbing yang baik kepada Julian, setelah kami berkahwin nanti.
       “Jangan ingat menjadi suami kepada seorang yang mualaf itu mudah,” kata ibu yang tetap bertegas membantah hasratku untuk memperisterikan Julian.
       Dan sebagai seorang anak yang baik, aku tidak membantah. Aku terpaksa melepaskan Julian dengan baik. Mungkin sudah ditakdirkan tiada jodoh antara kami.
oleh: Mazemie Maz

Rabu, 29 Jun 2011

Di Mana Kasut Aku?

Sejak awal tahun ini aku seringkali menggunakan perkhidmatan bas. Jadi semasa dalam bas, fikiranku melayang, teringat kembali peristiwa-peristiwa lucu semasa berulang alik dengan bas, di waktu dulu-dulu.
       Satu hari aku dan kawanku sedang dalam perjalanan ke bandar. Perjalanan bas itu melalui kampung.
       Sewaktu tiba di satu perhentian, maka naiklah seorang perempuan tua. Dia pun duduklah di satu tempat kosong di dalam bas. Tiada apa keganjilan pada diri perempuan tua itu.
       Selang tidak berapa lama, perempuan tua itu pun memetik loceng bas untuk turun. Setelah bas berhenti, maka perempuan tua itu pun bangun lalu hendak turun.
       Tiba-tiba perempuan tua itu berhenti apabila tiba di tangga bas. Dengan penuh kehairanan, dia bertanya, “Eh, macamana aku nak turun ni, mana kasut aku?”. Dia menoleh ke arah pemandu bas.
       Maka, selamba sahaja pemandu bas bertanya kembali.
       “Kasut? Makcik letak dimana kasut makcik?”
       Jawab perempuan tua itu, dengan bersungguh-sungguh, “tadi aku tinggalkan kasut aku di bawah, semasa hendak naik bas!”
       Mendengar jawapan itu, pemandu dan semua orang yang ada di dalam bas ketawa terbahak-bahak, termasuklah aku dan kawanku.
       Aku terdengar pemandu bas berkata, “ Kasut makcik tinggal di sanalah makcik! Mana ada di sini !”
       Kasihan, perempuan tua tu dengan sedih,terpaksa turun bas dengan berkaki ayam dan kami di dalam bas, terkekek-kekek ketawa. Kasihan perempuan itu.
oleh: Sharifah Intan Thalathiah

Selasa, 28 Jun 2011

TIP2: Di mana Hendak Bermula?

Setelah tahu di mana nak cari cerita (TIP1) dan dah jumpa pula, hari ini saya nak bercerita bagaimana hendak memulakannya. Orang bijak pandai kata, memulakan sesuatu; bermakna telah menyiapkan sebahagian besar kerja.
     Bagi peserta Program Penghayatan Teromba dan Perbilangan yang berlangsung hujung minggu lalu, mari kita ingat-ingatkan semula. Pada malam kedua, kami sebagai fasilitator telah memberi peluang kepada peserta berkaraoke, selepas sesi rasmi pementasan hasil kerja di lobi Seri Menanti Resort.
     Banyak cerita berlaku di sini. Mungkin ada yang kali pertama berkaraoke – apa perasaan pada mulanya? Bagaimana perasaan sewaktu menyanyi (mungkin merasakan lagu terlalu panjang), atau apa pula perasaan apabila lagu selesai? Hendak bernyanyi lagi atau itu mungkin yang pertama dan terakhir.
     Setiap orang mempunyai perasaan berbeza walaupun menghadapi suasana yang sama. Respons terhadap sesuatu perkara berkait rapat dengan latar diri – pelajaran, budaya, persepsi dan pelbagai lagi. Di sini, sekali lagi Allah menunjukkan kekuasaannya – setiap di antara kita walaupun sama (manusia) tetapi berbeza. Inilah yang mengindahkan kehidupan.
     Bayangkan apa akan terjadi sekiranya setiap manusia mempunyai perasaan dan kehendak yang sama? Pasti Sang Lelaki akan berbunuhan untuk mendapatkan Lisa Suriahani atau Sang Wanitanya bertarik-tarik rambut, berebutkan Shahruk atau Amir Khan.
     Bagi saya, sejak sakit lebih setahun lalu, saya tidak berselera untuk berkaraoke. Sebelum itu; biasalah mendendangkan Suci Dalam Debu, Cinta Hampa atau berduet dengan lagu malar segar Sekuntum Bunga Melati atau Saat Bahagia. Lagu-lagu ini adalah national-anthem saya.
     Bagaimanapun pada malam itu, selera terbuka semula. Lebih terangsang apabila tiada peserta yang ingin menawarkan diri walhal pengerusi program, Kak Mahaya telah memberi lampu hijau. “Syaratnya, hanya menyanyikan lagu-lagu berunsur puitis atau lirik yang membina. Syarat kedua, hingga jam 10.30 malam sahaja.”
     Biasalah begitu! Sejak jadi cikgu kira-kira 38 tahun yang lalu, saya berpegang kepada konsep `Cikgu yang perlu memulakan sesuatu. Bagaimana proses pengajaran berlaku, sekiranya cikgu hanya pandai menyuruh, sedangkan dia sendiri tak buat?’
     Dipendekkan cerita, aku segera menemui DJ bertugas dan menawar diri untuk berduet dengan Nen, DJ Negeri FM yang juga salah seorang peserta program itu. Aku berbuat demikian semata-mata untuk merangsang yang lain, untuk mengelakkan suasana suram.
     Sebaik-baik aku menyatakan nama lagu kepada DJ, Mohd Nor Awaludin, seorang lagi peserta menerpa ke meja DJ dan turut menawarkan diri untuk berduet dengan Nen juga. Biasalah! Aku mengalah. Mohd Nor dan Nen yang membuka gelanggang pada malam itu.
     Itu asas ceritanya – cerita biasa. Bagaimanapun ia boleh dikembangkan dengan bumbu-bumbu human-interest. Lihat hasilnya dalam pos kategori Cerita Rakyat Abad 21- Mendapat Janda Mat Non.

Isnin, 27 Jun 2011

TIP1: Di mana Nak Cari Cerita?

Soalan ini sering ditanyakan kepada saya sewaktu sesi latihan penulisan rencana, anekdot ataupun cerpen. Kata mereka, tanpa idea asas, bagaimana hendak memulakannya?
    Benar kata mereka. Inilah halangan pertama bagi penulis, khususnya penulis baru. Bagaimanapun ini adalah salah satu lagi mitos yang dibina sendiri oleh mereka yang tidak ingin mencuba.
    Dalam konteks menulis anekdot untuk blog ini, cerita tidak perlu dicari. Setiap detik berdenyut, cerita baru berlaku. Cuba ingatkan kembali peristiwa hari ini sahaja. Apa yang telah kita lakukan sejak pagi sehingga membaca blog ini. Banyakkan?
    Sebagai contoh mudah, sewaktu melihat foto ketika bertugas di SRK Tunku Besar Tampin (TBS) pada tahun 1979-1981, terbayang wajah murid-murid saya ketika itu. Ia lebih diperkuatkan dengan kemunculan sebahagian mereka ke Facebook saya.
    Wajah Norlaila, Satish, Maswati, Monaliza, Nor Aslina, Johana, Lee Swee Ching, Adrian, Bhalinder Jit Kaur dan ramai lagi jelas di mata saya. Sewaktu Nor Aslina bertanya kepada saya (chatting), adakah saya masih mengingatinya – tanpa merujuk fotonya saya terus membuat deskripsi ringkas dan yakin tepat – bertubuh gempal, berambut kerinting dan suka bercakap (becok).
    Tanya rakan-rakan sekelasnya, betul ataupun tidak deskripsi yang saya berikan, walaupun peristiwa itu telah berlaku kira-kira 30 tahun yang lalu.
    Dan tentunya saya tidak dapat melupakan Shantini, murid Darjah 6 Nila yang kisahnya sentiasa menjadi modal Minggu Orientasi Pelajar Baru di IPG Kampus Raja Melewar. Cerita ini yang saya tulis dalam blog ini, sewaktu membelek-belek foto di TBS.
    Baiklah. Sebagai panduan awal kali ini, ingatkan kisah-kisah yang pernah berlaku di antara kita dengan orang terdekat (nenek, datuk, emak, ayah, adik, abang dan kakak); takkan tidak ada satupun kisah yang boleh menjadi cerita. Apa yang penting, cerita itu mesti ada nilai moral yang boleh dimanfaatkan pembaca. Ia mungkin sedih, lucu, sinis atau apa-apa sahaja. Jumpa lagi pada sesi lain.

Ahad, 26 Jun 2011

pelancaran road tour ceritaapaapasaja



25 Jun 2011 di Seri Menanti Resort, Negeri Sembilan - road tour ceritaapaapasaja bermula untuk menemui penulis dan pembaca. Dengan matlamat untuk mengumpul 1,010 cerita terbaik dalam tempoh tiga bulan; tidak cukup sekadar bertemu di alam maya. Pendekatan tradisional masih diperlukan; dan tentunya pada peringkat ini untuk mencari penulis terlebih dahulu. Sepuluh kategori akan diterbitkan sekitar Oktober nanti. Pastinya antara kategori yang mendapat perhatian ialah Semasa Kecilku, Di Sekolah Dulu, Sewaktu di Maktab/ Kolej, Ceritera di U, Apabila Jatuh Cinta, Kisah Rumah Tangga, Di Tempat Kerja, Dunia Bisnes, Dunia Orang Politik dan Di Luar Negara. Sehubungan itu Kongsi Cerita di ceritaapaapasaja!  

Sabtu, 25 Jun 2011

Akar Tradisi Menjadi Terapi





Sebaik-baik masuk ke pintu utama Seri Menanti Resort, bangunan  Istana Lama segera mengingatkan aku kembali bahawa lebih setahun aku tifdak ke sini. Dan lebih setahun juga aku hampir tidak ke mana-mana – terperap di rumah sejak Mac tahun lalu.
       Entahlah! Aku tidak tahu kenapa? Apa yang pasti segala-gala yang kupandang, dilihat hambar, kosong, nihil dan gersang. Telah tibakah aku di penghujung jalan?
       Bagaimanapun kedatanganku ke sini dengan anak bongsuku, Siti Adibah awal pagi tadi seolah-olah menyuntik nafas baru. Nafas segar, sesegar suasana di perkampungan Diraja ini.
       Program Penghayatan Teromba dan Perbilangan yang dianjurkan Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN); mengingatkan aku bahawa aktiviti-aktiviti beginilah yang aku lakukan sejak muda.
       Ternyata – perhimpunan, perbincangan dan persekitaran yang memusatkan perhatian kepada akar tradisiku boleh saja menjadi terapi penyakit yang entah apa sepatutnya diberi nama.

Menepati Waktu

Menepati waktu satu aspek menepati janji. Jadual waktu adalah ‘Memorandum of Understanding.’ MOU persekolahan adalah satu perjanjian yang wajib  dipatuhi.
       Khalthum Mohamad, mantan Pengetua, Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka (MPPM) sentiasa menepati waktu. Kali pertama, Allahyarhamah mempengerusikan  Mesyuarat Staf Akademik di Dewan Tun  Fatimah, semua staf terkedu dengan perubahan budaya itu.
       Beliau memulakan mesyuarat tepat waktunya,  jam 3.00 petang dengan ucapan “Bismillah… “ tanpa mempedulikan kehadiran staf.  Kadang-kadang kehadiran staf, baharu seperempat sahaja. Ramai yang bergegas masuk.
       Mesyuarat tamat pun tepat pada waktunya - tidak meleret-leret. Sungguh profesional.  Pada mesyuarat seterusnya, semua staf hadir  lima minit sebelum bermula.
       Suatu ketika Puan Khaltum mengikut  aku mencerap praktikum Bahasa Melayu  Tingkatan Satu di SMK Dol Said, Alor Gajah. Aku jangka  naik kereta dia atau van maktab tetapi kereta aku, Toyota Corolla GL, NT 8679 yang menjadi kuda kami.
       Jarak MPPM dengan Alor Gajah, 25 Km atau 30 minit perjalanan. Dalam kepala aku, apa yang hendak aku bualkan bersama Puan Khaltum sepanjang perjalanan itu. Dia bukan kaki bual. Aku juga bukan kaki bual atau kaki cong. Aku buka soalan dia jawab. Senyap. Akhirnya habis modal aku. Sepanjang perjalanan lebih banyak bisu daripada berbual.
       Apabila sampai jam 10.25 pagi  kami  terus masuk kelas Tingkatan Satu. Kelas berakhir pada jam 11,30 pagi.
       Apabila pencerapan tamat, pengetua sekolah menyediakan jamuan di biliknya kerana meraikan Puan Khaltum. Puan Khaltum menolak  dengan alasan ada Majlis Pelancaran Program KBSR,  di Dewan Besar MPPM jam 12.00 tengah hari.
       Aku lihat di meja  sudah terhidang jamuan. Ada mi  goreng dan air minuman, Nescafe susu sudah di tuang dalam cawan. Hatiku berkata rezeki jangan di tolak,  bukan senang dapat rezeki macam ini. Perutku sudah berkeroncong kerana belum bersarapan pagi.
       Aku lantas  melompat masuk, menyebabkan Puan Khaltum terpaksa menerima jemputan pengetua sekolah. Kami  berbual ringkas sambil menjamah hidangan.
       Habis jamuan jam 12.00 tengah hari. Kami bergegas balik ke maktab. Puan Khalthum senyap seribu bahasa, sepanjang perjalanan balik ke maktab. Marahkah dia pada aku? Aku tidak pasti.
       Kami  sampai di maktab lewat 30 miinit. Semua warga maktab  sudah bersedia berpeluh duduk di kerusi Dewan Besar, MPPM.
       “ Mana kau bawa, Pengetua,  Mad,”  tanya kawan pensyarah,  Abu Bakar Jaafar atau gelaran, “Bakar Feb”.
       “ Pusing-pusing Melaka,” jawabku sambil ketawa kecil.
       Hatiku berkata, hari ini, satu hari dalam sejarah hidupku. Pertamanya, seorang Pengetua MPPM, bertenggek  kereta burukku. Kedua, orang pertama berjaya memecah  dengan sengaja dan sedar prinsip menepati waktu pengetua. Hatiku ketawa puas. 
       Memang terniat aku melambatkan Pengetua demi memecah prinsip menepati waktu dia dengan masuk berjamuan dengan Pengetua SMK DOl Said; dan memandu perlahan balik berbanding pergi ke Alor Gajah paginya.
       Namun, akhirnya aku insaf bahawa prinsip menepati waktu asas yang paling baik dituruti oleh setiap guru sekolah. Ia lantas mempengaruhi hidupku, dalam semua urusan hidup. Bagi aku, semua guru mesti menepati waktu. 
       Jadual waktu adalah MOU yang wajib dipatuhi oleh semua guru. Selain menepati janji atau MOU, menepati waktu juga turut mendisiplinkan diri dan murid-murid kita.
       Kita harus sedar tidak menepati janji merupakan satu ciri orang munafik. Amalan menepati janji  adalah amalan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah swt. Insya-Allah. Semoga Allahyarhamah Khaltum yang telah memberi satu pengajaran kepadaku itu sentiasa mendapat rahmatNya. Al Fatihah! 
oleh:  Mohamad Abd Ghani

Jumaat, 24 Jun 2011

Catatan Kesyukuran

Subuh, Jumaat, 24 Jun 2011; Sujud syukur atas nikmat Allah yang tidak henti-henti diterima. Hasrat menjadikan blog ini untuk berkongsi cerita mula membuahkan hasilnya. Terima kasih dihulurkan, tanda persahabatan.
Menjelang sembahyang Jumaat, 24 Jun 2011. Rezeki terus menjenguk. Ujian hampir setahun diserang blackout pulih sepenuhnya. Syukur atas ujian itu. Allah! Terlalu banyak yang kau berikan; manakan mampu aku membalasnya!




Tahi Burung Lagi!

Sejak aku pos cerita tahi burung di Masjid Kariah Paroi Jaya – aku pula diuji Allah. Kali ini bukan sahaja Kamarul; tanganku juga tertekan tahi burung sewaktu sujud. Bagaimanapun tahi ini sudah kering. Agaknya apa mahu dilakukan setelah menyedarinya, sedangkan jemaah sedang berlangsung?
       Sewaktu mengikuti kuliah maghrib malam keesokannya, di depanku kelihatan beberapa tahi burung lagi. Shahimi, rakanku menudingkan jarinya. Aku segera mencari berus berserta bekasnya untuk mengatasi masalah. Selepas puas berpusing sekeliling masjid, aku tidak menemuinya; lantas helaian iklan satu institusi yang terletak di atas almari Al-Quran menjadi mangsa.
       Maka tertunduk-tunduklah aku mencarinya satu persatu kerana Isyak menjelang tiba. Apa yang tidak seronoknya, selepas Isyak, rakan karibku Ali Petronas sempat mengusik. “Hai! Tawaf keliling masjid nampak? Apa hal?,” katanya.
       Terfikir di hati, mengapa masalah ini tidak terfikir dulu sewaktu kerja-kerja membesarkan masjid yang membabitkan belanja jutaan ringgit dan masa lebih setahun itu.
       Rekabentuk masjid perlu turut diubahsai ketika itu. Dom yang diletakkan di atas kerangka besi yang terbuka luas; tidak sesuai lagi. Ruang kosong dan haba yang terhasil; menyebabkan suhu lambat sejuk sejak masjid di pasang pendingin hawa.
       Aku tahu, ia pernah diusulkan jawatankuasa masjid tapi pihak JKR tidak mahu menanggung risiko. Tapi, bukankah ada banyak cara menyelesaikan masalah? Antaranya,,  tutup sahaja bahagian atas dengan siling plaster - ruang akan semakin kecil dan masjid akan cepat sejuk. Struktur utama dan dom yang ada tidak terganggu. Untuk melakukan kerja-kerja ubahsuai lagi tentu membazir.
       Ah!, rengusku. Kerana pertimbangan kecil, kesannya berpanjangan.

Khamis, 23 Jun 2011

Siapa Budak TBS Berbaju Biru?

Hari menyalang di rumah pengantin lelaki pada 13 April 1980. Bersama-sama pengantin, rakan-rakan dari Tampin - Abdul Razak Arshad (kemudiannya Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Tampin), Shaharman Abu Mansor (jurufoto), Marzuki (pengarah teater), Waad Mansor (kemudiannya Exco Kanan Kerajaan NS) dan jiran termasuk...

Selasa, 21 Jun 2011

Darjah 6 Merah, SRK Tunku Besar Tampin, 1980

Guru kelas Darjah 6 Merah SRK Tunku Besar Tampin, 1980. Ramai di antara mereka yang mula mengunjungi facebook saya cuba menguji ingatan - mana saya dalam foto ini? Mari kita main teka-teka. Dari kanan duduk - Azizah, Annie Seow (Serani), Noraslina, Kaur, Zalina, ..., Adrian, Joseph). Antara mereka yang sering menjadi bahan usikan saya ialah Eddie Azman, Rosman, Noraslina, Bhalinder Jit Kaur, June Lee Ching, Monaliza, Hafizahasni dan ramai lagi.

Guru-guru SRK Tunku Besar Tampin, 1980

Siapa Lelaki Bermisai Itu; Berkasut John Travolta?

Dari kiri: Ustazah Marziah (ibu Dr. Hasnah, IPG Kampus Raja Melewar), pembantu klinik gigi sekolah, Allahyarhamah Cikgu Noriah dan murid-murid TBS, 1980

Jay Jay Punya Pasal


Seperti dalam cerita sebelum ini, murid Darjah 6 Kuning menghimpunkan murid terpandai di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Besar Tampin (TBS). Antara yang menyerlah, pastinya Norlaila, Johana, Maswati, Eddie Azman (budak handsome), Shatish dan ramai lagi.
       Walaupun masih berusia sekitar 12 tahun, mereka terdedah dengan perkembangan semasa. Apatah lagi, mereka murid-murid yang berotak cerdas.
       Sesi pembelajaran bersama-sama mereka berlaku dalam suasana ceria setiap hari. Ada sahaja soalan dan pertanyaan yang tidak dijangka yang terbit daripada mulut mereka.
       Sebagai bujang kecil dan gadis sunti, mereka tidak dapat lari mengikuti perkembangan dunia artis. Jay Jay merupakan antara penyanyi pujaan mereka selain Sharifah Aini dan Kathy Ibrahim.
       Antara mereka, Norlaila cukup rapat denganku. Selain bertemunya di sekolah, Norlaila, jiranku di Taman Clonlee. Bapanya, Pilus dan ibunya mempunyai hubungan akrab denganku. Pilus berkerja di Balai Polis Tampin manakala emaknya suri rumah sepenuh masa. Keluarga Pilus turut hadir dalam majlis perkahwinanku di Kampung Pelegong.
       Benarlah kata tokoh pendidikan, anak-anak yang mendapat penuh kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapanya akan menjadi anak yang berjaya. Apatah lagi kalau anak-anak ini sentiasa diberi perhatian. Setahu aku, cuma Norlaila, anak pasangan yang berasal dari Melaka ini.
       Sewaktu bertandang ke rumah mereka di waktu petang, ada sahaja cerita mengenai Norlaila. Pilus dan isteri benar-benar tahu luar dan dalam mengenai anaknya yang agak montel dan berkulit putih dan gebu itu.
       “Dia gilakan sangat Jay Jay, cikgu!,” begitulah cerita emaknya. “Pantang dengar lagu Rindu Bayangan, nasipun ditinggalkan,” tingkah bapanya dalam suasana ceria.
       Begitulah kehidupan keluarga kecil itu. Mereka sentiasa kulihat bahagia dan sering bersiar-siar dengan kereta Honda Civicnya, di waktu lapang.
       Suatu petang ketika bertandang ke rumahnya yang bersebelahan dengan rumah sewaan Waad Mansor yang kemudiannya menjadi Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Norlaila tiada di ruang tamu.
       “Norlaila mana?,” tanyaku seperti biasa.
       Pilus dan isterinya terdiam seketika.
       “Dia ada di dalam biliknya cikgu,” suara Pilus agak rendah.
       “Dia tengah menangis tu,” celah ibunya sambil matanya mengarah ke bilik.
       “Mengapa?,” tanyaku, ingin tahu benar.
       “Apa lagi! Pasal Jay Jaylah,” sahut emaknya.
       “Jay Jay! Kenapa?”
       “Alah! Tadi, surat khabar yang ada gambar Jay Jay tu diberakkan oleh ayam, jiran sebelah,” jawab ibunya jujur.
       Tiba-tiba sahaja perutku bagaikan hendak pecah menahan ketawa.

Shantini


Oleh kerana sudah tidak cukup warna asas, kelas terlemah di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Besar Tampin (TBS) diberi nama nila. Sewaktu mula-mula melapor diri di situ, aku berasa hairan juga, bagaimana rupanya warna nila itu. Akhirnya aku merumus sendiri – warna nila itu ialah warna nila yang digunakan untuk mencelup pakaian berwarna putih agar dilihat kebiruan.
       Sewaktu datang pada Januari 1979, aku ditugaskan mengajar darjah satu (waktu itu tidak disebut tahun lagi. Tahun hanya digunakan di universiti) dan darjah enam. Mata pelajarannya Bahasa Melayu dan Matematik – memang itupun mata pelajaran kegemaranku.
       Aku diberikan Darjah 6 Kuning, Darjah 6 Merah dan 6 Putih. Sebahagian besar murid sekolah itu adalah anak-anak Polis Hutan yang tinggal di kem bersebelahan sekolah di samping anak-anak tempatan; termasuk yang tinggal di estet berdekatan.
       Darjah 6 Kuning menghimpunkan budak-budak terpandai di sekolah itu; kemudiannya di ikuti 6 Merah dan tentunya kelas terlemah Darjah 6 Nila. Apabila menyebut Darjah 6 Nila, tanyalah budak-budak TBS – semuanya tahu. Selain kelas paling bising; bukan sesuatu yang menghairankan kalau melihat mereka melompat-lompat dan menari di atas meja. Tanpa prejudis ras, sebahagian besar mereka berbangsa India.
       Lebih malang, mereka mendapat guru kelas yang lemah pengurusannya. Dia Cikgu Ismail Julis, rakan yang sama belajar di maktab dahulu. Cikgu Ismail memang cool. Dia sentiasa dilihat tersenyum walaupun melihat murid-muridnya melompat dan menari di hadapan matanya.
       Minggu itu Cikgu Ismail tidak datang. Aku diarahkan sebagai guru ganti mata pelajaran Bahasa Melayu. Nah! Sama sahaja. Waktu pertama bersama mereka, cukup memeningkan. Aku mula memikirkan strategi baru; strategi yang sering aku gunakan sewaktu menghadapi murid lemah.
       “Siapa pandai menyanyi?,” tanyaku kepada mereka sebaik-baik memasuki kelas pada waktu terakhir itu.
       Diam. Sunyi dan sepi. Tidak ada seorangpun yang berani tampil ke depan.
       “Cikgu tahu, murid-murid kelas ini semuanya pandai menyanyi,” bodekku seperti selalu.
       Diam dan masih sunyi dan sepi.
       Tidak lama kemudian, terdengar satu suara. “Cikgu! Shantini pandai menyanyi,” kata suara seorang budak lelaki sambil menunjukkan Shantini yang berada di barisan hadapan.
       “Tak adalah cikgu. Saya tak pandai,” kata gadis sunti bertubuh kecil dan rendah pula.
       “Memang dia pandai nyanyi cikgu.” Kelas riuh apabila sebahagian besar murid menyokong saranan awal.
       “Tak adalah cikgu,” kata Shantini lagi merendah diri.
       Setelah digosok dan dipujuk, akhirnya Shantini menyerah. Sambil terkedek-kedek dia datang ke depan kelas.
       Tepukan gemuruh tiba-tiba menyelubungi kelas dan terdengar juga beberapa siulan.
       Tepukan itu benar-benar menyuntik semangat Shantini. Sebaik-baik aku mengira “1, 2, 3” Shantini terus berlagu.
       “Tak keni di tak keni tum kali tum.
       Tak keni di tak keni ca kali ca (ulang 2 kali)
       Ye do! …(chorus)
       Lebih kurang begitulah senikatanya yang masih aku ingat. Dan ternyata Shantini menjadi star pada tengah hari itu. Selepas sesi nyanyian, aku memulakan pengajaran dan ternyata mereka lebih memberi perhatian.
       Sebelum pulang, aku meminta mereka menyanyi beramai-ramai. Aku mahukan mereka pulang dengan riang dan riang juga untuk kembali ke sekolah pada keesokan paginya.
       Esoknya, sebaik-baik ucapan “Selamat Tengah Hari”, mereka segera berteriak,” Nyanyi cikgu!”
       Ternyata umpanku dimakan ikan. Lalu, sesi menyanyi bermula lagi.
       “Hari ini siapa pula mahu menyanyi?,” pancingku.
       Mulalah suasana tolak-menolak nama berlaku.
       “Cikgu! Rajan pandai cikgu!”
       Murid yang dipanggil Rajan tersipu-sipu malu dan dengan terkedek-kedek juga dia datang ke depan.
       “Tak da la cikgu! Saya tak pandai nyanyi,” katanya terlintuk-lintuk.
       “Dia pandai cikgu!,” rakan-rakannya menyokong.
       Setelah beberapa minit usaha memujuk dan provokasi berlaku, Rajan kecundang.
       “Sarangani. Sarangani.
       Sarangani di malo balawa wa.. wa..
       Malo malo, malo malo (ulang 2 kali)
       Malo di balawa….”
       Kelas hampir pecah dengan tempikan dan sorakan.
       Setelah suasana agak tenang, aku ingin meneruskan pelajaran tetapi diganggu Shantini.
       “Saya mahu nyanyi cikgu!,” pada wajahnya terpancar keceriaan. Untuk tidak menghampakannya, apatah lagi mahu membalas jasanya yang sanggup menjadi bahan ujikajiku, aku mengizinkannya.
       “Tak keni di tak keni tum kali tum.
       Tak keni di tak keni ca kali ca (ulang 2 kali)
       Ye do! …(chorus)
       Ah!!! Ingat lagu baru, getus hatiku sambil geli menggeletek hati.
       Sejak itu, hampir setiap hari sehingga Cikgu Ismail datang bertugas kembali, Shantini tetap menawarkan diri untuk menyanyi. Lagunya…
       “Tak keni di tak keni tum kali tum.
       Tak keni di tak keni ca kali ca (ulang 2 kali)
       Ye do! …(chorus).