Halaman

Selasa, 31 Mei 2011

Thailand Menggamitku


Tahun 1976. Itu pertama kali aku menjejak kaki ke negara Gajah Putih, Thailand. Sebelum itu memang selalu aku dengar cerita pasal orang Siam. Cerita streotaip yang diceritakan orang muda.
      Bagaimanapun pemergianku ke Thailand tidak dirancang. Pemergianku bersama Bakri ke sana juga secara kebetulan.
      Kami yang masih bertugas di Pahang ketika itu cuba memanfaatkan cuti panjang hujung tahun dengan melancong secara murah – hitch-hiking. Ketika singgah di rumah seorang teman yang belajar satu maktab dulu, dia mengajak kami menyeberang sempadan.
      Rumah Ramli berdekatan Padang Besar. Katanya kami tidak perlukan pasport kerana beliau sudah biasa keluar masuk ke sana. Seorang lagi rakan, Harun turut bersama. Harun menyertai kumpulan kami setelah aku dan Bakri bermalam di rumahnya di Sungai Bakap dua hari sebelum itu.
      Ternyata Ramli hebat. Dia tahu ceruk dan lubuk. Sebagai anak muda yang tinggi rasa ingin tahu dan baru hendak jadi dewasa pula, lawatan sambil belajar yang diketuai Ramli benar-benar berkesan. Banyak benda baru yang kami belajar.
      Sewaktu leka mendengar ajakan seorang lelaki separuh umur untuk naik ke atas bangunan kedainya, tanpa aku sedari Ramli, Bakri dan Harun hilang. Aku panik.
      Dengan cemas aku cuba menjejaknya di beberapa buah kedai yang terletak di hadapan dan kemudiannya berpatah balik ke kedai yang telah kami kunjungi, kelibat mereka masih tidak kelihatan.
      Semasa itu aku teringat pesan beberapa kawan. Kalau masuk ke negara orang cara haram, kalau kena tembak mati katak sahajalah. Aku semakin cemas.
      Agaknya setelah lebih satu jam aku ke sana ke mari dengan peluh menitik di dahi, akhirnya ketiga-tiga mereka kelihatan di hujung jalan sambil bercerita ria.
      Mereka hanya sempat mentertawakan aku. ”Lain kali jangan terlalu kusyuk sangat!”

Penyanyi Nombor Satu

Cikgu Awang Chik Bidin, guru besarku kelihatan cukup ceria sewaktu singgah di mejaku pada awal pagi itu. “Saya dah fikir masak-masak. Kita kena buat juga Malam Gelek Bersama Daud Kilau tu,” katanya mengingatkan aku kepada salah satu agenda Mesyuarat Jawatankuasa PIBG petang esok.
      Sebagai Setiausaha PIBG dan Guru Penolong Kanan, Cikgu Awang Chik memang mengharapkan sokongan aku untuk menjayakan malam yang diharapkan dapat mengumpul dana untuk faedah anak-anak peneroka Felda di sekolah kami.
      Dalam mesyuarat sebelum ini, secara lembut aku membantah cadangan yang dikemukakan oleh Cikgu Awang Chik yang bertaraf ex-officio dalam PIBG. Aku bukan tidak bersetuju dengan matlamat murninya. Cuma aku tidak bersetuju pendekatannya. Adakah untuk beramal perlu panggil penyanyi sahaja? Mengapa sanggup buang masa tiga empat kali mesyuarat, ditambah `paksa’ orang kampung keluar duit semata-mata nak cari duit? Mengapa duit yang mungkin akan digunakan untuk membeli tiket pertunjukan pentas itu digunakan terus untuk mengisi Tabung PIBG? Bukankah pendekatan ini lebih praktikal?
      “Dalam bekerja ni kita tak boleh agresif sangat. Saya tahu Zul masih muda,” Cikgu Awang Chik seolah-olah mengingatkan usia sebenarku yang cuma masih 21 tahun tapi telah mendapat tanggungjawab sebagai orang nombor dua sekolah.
      Akhirnya pada mesyuarat itu, cadanganku ditolak. Aku akur dengan keputusan kolektif. Malam Gelek Bersama M. Daud Kilau akan tetap diadakan dua bulan lagi.
      Sejak itu segala jentera digerakkan. Aura Cikgu Awang Chik Bidin memang hebat. Setiap golongan di Felda Jengka 4 dapat dimotivasi untuk mengisi Tabung PIBG.
      Paling ketara di kalangan ahli jawatankuasa sendiri; Usop Jepun, Husin Gemuk (sekadar menyebut beberapa nama) tidak menang tangan menggerakkan jawatankuasa kecil masing-masing.
      Usop Jepun yang mengetuai Jawatankuasa Kecil Persiapan Pentas telah menyediakan perancangan telitinya. Husin Gemuk, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan berjanji akan memastikan penonton tidak akan berpeluang masuk free. Setiap sudut strategik akan ditempatkan pengawal bagi memastikan pagar sekolah tidak akan dipanjat atau digunting penonton.
      Aku pula mengetuai Jawatankuasa Publisiti. Selain poster kertas mahjong yang ditampal merata tempat lebih awal, dua tiga hari sebelum persembahan sebenar, aku berserta beberapa ahli jawatankuasa berpusing ke hamper semua petempatan di Gugusan Jengka, Felda Ulu Jempol dan sekitarnya. Kami menyewa lori kecil sambil melaung dengan pembesar suara, “Bergeleklah dengan M. Daud Kilau di padang Sekolah Kebangsaan Jengka 4!”
      Senja hari persembahan sebenar (waktu maghrib pun tidak masuk lagi), padang sekolah mula diserbu.
      “Biar roboh pagar sekolah dengan serbuan penonton. Tabung PIBG mesti penuh,” kata Husin Gemuk sambil tersenyum megah. Misai tebalnya bagaikan kelihatan bergoyang.
      Memang benar. Pagar sekolah roboh malam itu. Pagar itu tidak dapat menahan rempuhan pengunjung yang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri di bangunan sekolah berikutan hujan lebat yang turun secara tiba-tiba. Tiket tidak dapat dijual langsung selepas itu.
      Sewaktu mesyuarat post-mortem beberapa minggu kemudian, akaun projek ditutup. Setelah ditolak segala belanja, tentu tidak termasuk kos tenaga, PIBG untuk bersih RM2.45!

Awak Memang Dengki!

Perhimpunan pagi di Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4, Maran, Pahang pagi itu kecoh. Cikgu Fadhil yang baru beberapa bulan sahaja dinaikkan pangkat sebagai guru besar menggunakan hampir setengah jam waktu perhimpunan itu untuk `membelasah’ murid-murid. Kami guru-guru yang tidak sampai 15 orang itu turut menerima bahangnya.
      Cikgu Fadhil tidak habis-habis membebel. “Awak memang dengki! Awak tak boleh lihat orang senang,” bentaknya.
Tubuh bulat pendeknya bagaikan berdiri gagah lagak seorang pejuang di medan perang. Penuh keyakinan. “Awak ingat senang ke saya dapatkan benda tu,” tambahnya lagi mencuka.
      “Awak memang dengki. Orang kita memang tak habis-habis sifat dengki. Tak boleh lihat orang senang,” kata-kata yang hampir serupa diulang. Murid-murid yang mendengar setia kelihatan terpinga-pinga.
      Tamat perhimpunan, kami sesama guru tidak dapat berkata apa-apa, hanya dapat menggeleng-gelengkan kepala. Ini kerana punca Cikgu Fadhil menyinga semata-mata ada seorang dua murid yang mengusik kereta Datsun 120 Y yang baru dibelinya.

Orang Lelaki Tak Boleh Pegang Pet Pet!

Anak bongsuku Siti Adibah memang bijak berkata-kata walaupun masih berusia lima tahun. Setiap hari ada saja ideanya untuk bertanya. Setiap hari juga ada saja jawapan diberikan terhadap setiap persoalan.
      Suatu pagi dia tergesa-gesa bangun untuk ke bilik air. Aku segera menanggalkan diapersnya. “Ada kencinglah,” aku berkata.
      “Ada!,” teriaknya kuat.
      Aku lantas membukanya dan kemudian membawanya ke bilik air.
      Macam orang dewasa, Siti Adibah segera menegurku supaya berada jauh darinya. Aku akur.
      “Orang lelaki mana boleh tengok orang perempuan kencing!,” katanya sambil terkencing.
      Selesai saja, Siti Adibah memanggilku untuk segera ke dalam bilik air.
      Aku segera menjawab, “Orang lelaki mana boleh pegang pet pet orang perempuan.”
      Sejak itu, Siti Adibah terpaksa meminta ibunya mencebok.

Anak Pertama

Walaupun anak pertamaku, Siti Haryati baru berusia kira-kira lima tahun tetapi dia agak cepat dewasa. Selain sudah mula tahu membaca, kadang-kadang dia boleh memberi pendapat terhadap masalah yang aku hadapi.
      Dia tahu pada sebelah pagi ayahnya bekerja sebagai cikgu tetapi pada sebelah petang masuk pejabat yang satu lagi untuk membuat cerita.
      Ketika itu aku ingin memenuhkan masa lapangku dengan lebih bermakna, jadi aku memohon jawatan stringer dengan Berita Harian dan ia diterima.
      Setiap hujung bulan Siti Haryati melihat aku mengumpulkan guntingan akhbar tulisanku yang kemudiannya di tampal pada kertas lain sebagai bukti tuntutan.
      “Ooo! Ayah dapat duit nanti ya bila hantar kertas ini?,” kata Siti Haryati membuat rumusan sewaktu aku menjawab pertanyaan demi pertanyaan yang dikemukakan.
      Dia semacam tahu semakin banyak guntingan akhbar itu, semakin banyaklah duit yang akan aku perolehi nanti.
      Begitulah Siti Haryati. Dia gemar bertanya. Dan pertanyaannya tidak pernah berhenti selagi dia tidak berpuas hati. Kadang-kadang letih juga aku dibuatnya.
      Katakanlah untuk kes guntingan akhbar itu, dia akan bertanya lebih kurang begini;
      “Ayah buat apa kertas surat khabar ini?”
      “Ayah hendak hantar ke pejabat.”
      “Apa sebab hantar?”
      “Ayah dapat duit nanti.”
      “Apa sebab ayah dapat duit?”
      “Surat khabar bayar sebab cerita ini ayah yang tulis.”
      “Ooo!,” Begitulah biasanya akhirnya.
      Pada suatu hari Siti Haryati meminta aku membelikan anak patung Garfield sewaktu kami sekeluarga ke Kuala Lumpur. Harganya agak mahal dan aku cuba mencari helah untuk tidak membelinya.
      “Tidak payahlah kita beli. Ayahpun tidak ada duit,” kataku.
      Dia tidak membantah. Mungkin dia menerima alasanku.
      “Tidak apalah ayah. Balik nanti Yati kumpul surat khabar. Ayah gunting dan hantar ke pejabat ayah. Ayah dapatlah duit nanti,” katanya memberi cadangan.
      Aku terdiam.

Nenek dan Milo

Sewaktu hubungan abah-emak meruncing gara-gara janda Orang Putih, Nenek Siti mengajakku tinggal di rumahnya yang terletak kira-kira dua Kilometer dari rumahku.
         “Kau tinggal di rumah nenek saja. Tahun ini kau ambil periksa,” katanya memujuk suatu hari.
         Aku akur. Setelah mengemaskan buku, baju sekolah dan pakaian harian, aku mengikut nenek berjalan kaki ke rumahnya.
         Rumah nenek lebih dekat dengan pekan Batu 8, Labu tempat aku menunggu bas ke sekolah. Di rumahnya ketika itu cuma ada Mansur, sepupuku yang telah kematian emak dan bapanya. Mansur hanya bersekolah sehingga darjah enam saja.
         Walaupun tidak pernah ke sekolah, nenek tahu pentingnya pelajaran. Setiap hari dia menggesaku membaca buku. “Kau tu nak ambil periksa tahun ini. Baca buku!,” pujuknya setiap hari.
         Seperti sejak di sekolah rendah, aku bukannya spesis yang suka mengulangkaji. Malah aku tidak pernah kenalpun istilah study-hard. Balik saja dari sekolah, aku akan mencampakkan beg di sebalik almari dan mengutipnya kembali keesokan paginya.
         Aku lebih suka berangan-angan. Setelah dewasa baru aku dapat tahu, gaya belajarku adalah secara visual. Study-smart bukannya study-hard.
         Apa yang pasti, sejak darjah satu lagi hinggalah ke tingkatan lima, tempat dudukku adalah di depan sekali. Aku akan mengikuti pelajaran dengan tekun dan cuba memahami konsep dan teori.
         Apabila menghadapi keraguan, tanpa malu dan segan, aku akan bertanya guru. Dalam konsep moden, aku mengamalkan pembelajaran aktif. Apabila konsep dan teori difahami, apa saja soalan yang diberikan dapat diselesaikan.
         “Minum Milo tu! Kau akan jadi cergas dan pandai nanti,” itulah dialog nenek hampir setiap pagi.
         Bagi nenek, Milo adalah lambang minuman kecergasan walaupun dia hanya mampu membelinya hasil bantuan replanting kebun getahnya. Milo itupun hanya sesekali mampu dicampur susu.

Atok dan Ilmu KBKK

Tok Kasan. Ayah abahku ini memang pemimpin kampung yang disegani. Di kalangan cucu, dia amat disayangi. Dia sanggup mengambil masa panjang untuk melayan keletah kami.
         Oleh kerana sesekali saja berpeluang untuk bertemu datuk kerana dia tinggal di Beranang, aku dapat merasakan kemesraan yang cukup tinggi.
         Aku dapat mengesan, Tok Kasan suka memprovokasiku sewaktu datang berkunjung. Rasa-rasanya dialah yang membentuk keperibadianku supaya mampu membuat justifikasi bagi setiap tindakan.
         Ilmu Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) telah dipupuk ke atas diriku sejak kecil.
         “Abah kau tak sekolah dulu. Dia terlalu manja dengan neneknya. Pasal jarinya diketuk cikgu kerana kuku yang panjang, abah kau cuma dua minggu di sekolah,” ceritanya.
         “Itu dulu. Kau dah sekolah sekarang. Kalau tak pergi sekolah macam abah kau, apa akan jadi pada kau nanti?
         “Abah kau cuma jadi tukang rumah. Kau nak jadi tukang juga ke?,” tanya datuk.
         Walaupun masih di sekolah rendah, aku telah dapat membayangkan situasi orang yang tidak berpelajaran ketika itu.
         Apabila di sekolah menengah, provokasi datuk sudah berada di aras tinggi. Soalan-soalan yang dikemukakan memerlukan aku berfikir lebih panjang.
         Provokasi datuk setiap kali berkunjung ke rumahnya inilah membuatkan aku sentiasa menjadi orang yang berfikir.
         Ia menepati ilmu bantu yang kupelajari setelah dewasa. `How To Make Other People Say Yes,” mengakui bahawa kemahiran memujuk penting.
         Dale Carnegie pula mampu menjual bukunya yang berjudul `How To Influence People’ sehingga jutaan naskhah. Bezanya datuk tidak membukukan ideanya.
         Ilmu yang diasaskan oleh Tok Kasan inilah memungkinkan aku meminati bidang KBKK sehingga terpilih sebagai jurulatih di maktab perguruan.

Hoi! Jangan Main Dalam Kain

Sesekali dapat balik ke kampung nenek di Jalan Enam Kaki, Beranang amat menyeronokkan. Apa tidaknya. Selain dapat menemui Nek Indut dan Tok Kasan, aku juga dapat bertemu sepupuku Sani, Tipah, Zainab, Zainal, Amin dan lain-lain.
         Hubungan kami cukup akrab. Biasanya aku datang ke sini sewaktu cuti sekolah.  Datang menaiki bas Foh Hup yang berwarna hijau itu. Bila cuti, tentulah dapat berlama di sini.
         Permainan sorok-sorok adalah antara permainan yang kami gemari. Kami bergilir menjadi tukang cari manakala yang lain akan bersembunyi di balik pintu, di bawah katil, di balik dapur atau di mana saja.
         Tidak menghairankan ada pada masanya, kami bersembunyi di dalam kain atau di bawah tilam bagi menyukarkan si tukang cari. Dalam keriuhan inilah biasanya nenek bertempik.
         “Nak main-mainlah tapi jangan sampai dalam kain,” katanya menyinga. Tubuh kecilnya segera menghampiri kami.
         Hingga kini jelas benar pengajaran nenek. Walaupun kami sepupu, sesuatu perhubungan itu ada hadnya. Usia kami yang menghampiri awal baligh boleh memungkinkan sesuatu yang buruk berlaku. Aku teladani pengajaran nenek hingga kini.

Peminat Pertama

Kegemaran membacaku agak tergganggu juga pada tahun pertamaku sewaktu mula bertugas sebagai guru terlatih di Pahang dulu. Felda Jengka 4 bukan saja tidak ada kedai buku malah kedai jual surat khabarpun tidak ada.
      Waktu itu kegemaran menulis sudah bermula. Selain ingin mengetahi perkembangan semasa, aku ingin tahu juga sama ada tulisan yang aku hantar ke akhbar atau majalah tersiar atau sebaliknya.
      Pekan paling dekat ketika itu ialah Maran yang terletak kira-kira 32 Kilometer dari petempatan Felda yang baru saja dibuka ketika itu. Bas ke Maran pula bermasa; kira-kira dua jam sekali.
      Sewaktu di dalam kelas, aku bertanya kepada murid-muridku kalau-kalau ada abang, kakak, ayah, ibu atau sesiapa saja yang ke Maran setiap hari bagi membolehkanku  membeli akhbar mealuinya.
      Seorang murid berdiri. “Cikgu! Kakak saya ke Maran setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad. Dia masuk kelas menaip,” katanya.
      Melalui murid itu aku menyerahkan wang beberapa ringgit untuk harga akhbar selama lima hari dan meminta dia membawa akhbar itu pada keesokan harinya.
      Mulai lusanya, aku cukup gembira kerana dapat membaca akhbar harian seperti biasa walaupun terpaksa lewat sehari.
            Masa beredar, waktu berlalu. Aku terus-terusan mendapat bekalan akhbar harian dan kadang-kadang majalah yang aku gemari melalui kakak muridku.
      Sesekali aku menerima usikan rakan-rakan. “Jangan kau buat hubungan dengan pembeli surat khabar kau cukup. Budak tu baru habis tingkatan lima!,” kata mereka.
      Benarlah kata mereka. Sebagai petempatan yang baru dibuka, penerokanya muda-muda belaka. Habis tinggi umur anak pertama mereka  sekitar bawah 20 tahun saja.
      Oleh kerana itulah, sepanjang berada di situ kami bukan saja tidak berpeluang bercampur gaul dengan gadis pada usia yang sepatutnya malah tidak pernahpun melihatnya. Kalau ada melihatnya pun mungkin kalau ada adik atau anak buah peneroka yang datang bertandang.
      Berbalik kepada cerita gadis sunti pembeli surat khabarku tadi, kiriman akhbar pada keesokan  paginya cukup mendebarkanku.
      Dalam lipatan akhbar itu terselit surat bertulisan rapi  dan berbau wangi pula. Helaian dua halaman itu membuatkan aku bungkam. Gadis itu mencurahkan rasa hatinya.
      Walaupun baru berusia 20 tahun tidak semudah itu pula aku menerimanya. Secara terus-terang aku tidak berkenan dengan gadis itu lalu aku mendiamkannya saja.
      Keesokan harinya dan beberapa hari kemudian aku masih menerima surat yang bernada serupa. Aku masih tidak membalasnya. Hanya pada minggu berikutnya, aku menerima surat terakhirnya; tanpa kata puitis dan tanpa kertas berbau wangi:
      “Saya tidak hendak membeli surat khabar cikgu lagi!”
Sejak itu aku tidak dapat bekalan akhbar harianku lagi.

Adakah Itu Cinta?

Tumbesaran tubuhku agak lambat dulu. Sewaktu di tingkatan empat di Sekolah Menengah Dato’ Mohd Said, Nilai pada tahun 1969, ketinggianku cuma 4 kaki 11 inci. Oleh itu adalah tidak menghairankan, Rakib salah seorang pelajar mengulang sewaktu di Tingkatan Lima gemar sangat membuliku ketika itu.
         Kesannya cukup besar. Self-esteemku cukup rendah. Untunglah pencapaian cemerlangku dengan kedudukan top three dari darjah satu hingga tingkatan lima menjadi pengimbang.
         Menyebut pasal cinta, aku tidak ingat sangat bagaimana mulanya aku berkenalan dengan istilah itu. Apa yang pasti, ia cukup lambat berlaku.
         Di sekolah menengah aku tidak mengenalinya. Begitu juga di maktab perguruan. Sewaktu di tahun satu, aku menjadi pelajar termuda kerana aku lahir di hujung tahun.
         Sewaktu aku di tahun dua pula, Bahagian Latihan Guru ketika itu membuat dasar baru mengambil pelajar yang tercicir dari pantai timur untuk diberi latihan mengisi kekosongan. Maknanya, walaupun mereka juniorku tapi umur mereka lebih tinggi.
         Sekali lagi aku tidak berpeluang untuk bercinta. Bagaimana hendak bercinta sedangkan mereka membahasakan diri mereka sebagai kakak belaka?
         Apabila sudah bergelar guru terlatih, aku dihantar pula ke Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4, Pahang. Waktu itu petempatan Felda ini baru dibuka. Jadi, anak-anak peneroka ini semuanya masih bersekolah. Kalau dapat melihat anak dara orang, cuma sesekali iaitu sewaktu ada sanak-saudara peneroka yang bertandang.
         Biasanya mereka ditemui samar-samar sewaktu menonton wayang pacak. Sekali lagi fitrah semulajadi lelakiku untuk bercinta terhalang.
         Hanya menjelang akhir tahun di situ, aku menemui Khadijah. Itupun dalam suasana malu-malu. Aku menemuinya sebagai pelajar tingkatan lima, salah sebuah sekolah agama di Melaka di Zoo Negara sewaktu membawa rombongan sekolah.
         Kami sering berutus surat selepas itu. Aku rasa hubungan kami ada chemistry. Khadijah aku senangi kerana sifat innocentnya. Tugasnya menghalau burung di sawah juga turut dijadikan bahan suratnya.
         Menyebut pasal surat, kami guru yang masih muda – Latif dan Baijuri - mempelajarinya daripada Cikgu Malik. Guru yang berasal dari Pekan ini telah berusia tetapi masih belum berkahwin. Dia cukup dikenali di Kuantan sebagai pengarah teater disegani. Apatah lagi, dia juga Setiausaha Parti Sosialis Rakyat Malaysia, Pahang.
         Cikgu Maliklah yang banyak memberi tip bagaimana menghasilkan surat yang pasti dibalas.
         “Apa yang penting bahasa mesti puitis. Pilih perkataan yang benar-benar boleh menusuk kalbu.
         “Perempuan pasti akan resah. Dia pasti tak boleh makan dan tak boleh minum selagi belum menjawab surat kau,” katanya bersungguh-sungguh yang diikuti derai ketawa ala Koesno Soejarwadi, pelakon Indonesia pujaanku ketika itu.
         Sehingga kini aku tidak pasti – tip Cikgu Malikkah yang membuatkan Khadijah resah atau kehebatan bahasaku sendiri. Aku ingin bertanya kepada Khadijah tetapi kini dia telahpun menjadi nenek tiga orang cucu.