Jumaat, 26 Ogos 2022

Ghulap Khan

Siti Rahmah Mohd Som dan Nor Muhamad Ghulap
Foto: Koleksi Najib Nor Muhamad (sepupu SP)

Pada penghujung tahun 1948, nenek pagi-pagi lagi sudah ke Kampung Pelegong kira-kira dua Kilometer dari rumahnya di Kampung Merbau Condong untuk pergi menoreh getah.

Nenek Siti tidak boleh mengharap sesiapa untuk menyara empat anak termasuk Nor Muhamad  anak kecilnya bersama suami kedua, Ghulap – tentera upahan British yang berpengkalan di Kem Rasah.

Sewaktu bersama arwah suami pertama, Ahmad, nenek melahirkan Salmah, Timah Nor dan Rubiah.

Dalam perutnya pula bakal lahir Razak, manifestasi kecintaan terhadap lelaki sasa berketurunan Pathan yang dikenali paling berani seantero dunia.

Sejak dua hari lalu Ghulap membawa  anak sulung dan anak kedua mereka Yamcik dan Sharnaz tinggal di kuaters.

Setiap hari nenek menjenguk denai di hadapan rumah yang sepelaung dari jalan kereta api Tiroi - Labu.

Waktu itu ada `halt’ (stesen kereta api kecil) berhampiran rumah. Di `halt’ itulah itu tempat Ghulap turun apabila balik ke rumah pada hujung minggu.

Nenek begitu rindukan Yamcik dan Sharnaz yang baharu berusia  empat dan enam tahun. Kedua-dua anaknya itu jelas wajah kacukan Melayu-Pathan.

Sambil menyapu halaman rumah, mata nenek terjenguk-jenguk denai menuju `halt’ apabila kereta api yang mengeluarkan asap tebal dan bunyi bising itu, berhenti sekitar dua minit.

“Agaknya Ghulap, Yamcik dan Sharnazlah tu,” getus hati yang membuak rindu.

Kini, sudah lebih sebulan suami dan dua anak tercintaannya masih tidak pulang. Untuk ke tempat kerjanya bukan satu tugas mudah. Setelah membayar tambang 15 sen dan turun di Stesen Seremban, nenek pula perlu mencari kenderaan menuju Kem Rasah.

Hari demi hari, nenek terus menunggu dan menunggu setia tapi resah hatinya bukan kepalang.

Suatu hari sedang membakar sampah daun-daun rambutan yang gugur, terdengar loceng basikal Raleigh berbunyi.

Benar, posmen Rashid datang membawa surat.

Tanpa berlengah, nenek segera ke rumah Imam Zainudin dengan menyeberang jalan kereta api untuk disuruh membaca kandungan surat yang baharu diterima.

“Saya sudah balik Kabul. Yamcik dan Sharnaz ada di sini.

Jangan susah hati!

Masa lalu depan rumah, saya suruh Yamcik dan Sharnaz tunduk supaya awak tidak nampak kami ada dalam kereta api.”

Nenek tidak dapat menahan sebak lalu meraung sekuat hati.

”Ghulap! Sampai hati kau tinggalkan den!” Imam Zainudin lalu menenangkan.

Foto: Koleksi Najib Muhamad (anak Nor Muhamad Ghulap, sepupu Sang Pencerita yang tinggal berdekatan di Taman Pinggiran Golf, Seremban)

Jumaat, 15 November 2019

Anugerah Sastera & Media: Pemikir dan Pelaksana Di Sebalik Tabir


TERLEBIH dahulu tahniah dan syabas kepada semua pihak yang menjayakan Anugerah Sastera dan Media 2019 - Kerajaan Negeri Sembilan sebagai penganjurnya, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan berserta agensi kerajaan negeri yang berkaitan sebagai urus setianya dan tentunya kepada pemenang anugerah yang menerima faedah langsung daripada penganjuran majlis ini.
Saya sengaja mencatat hal yang berkaitan penganjuran Anugerah Sastera dan Media ini di blog ini kali ini - lari daripada format asal iaitu anekdot - semata-mata untuk dijadikan rujukan sejarah yang telah memungkinkan anugerah ini menjadi realiti kini.
Tanpa hasrat untuk menonjolkan diri, saya layak menulis perkara ini. DALAM BIDANG SASTERA - saya terbabit dalam kegiatan ini melalui Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) sejak 1979 - ahli biasa, ahli jawatankuasa (sejak 1980), kemudiannya Setiausaha II, Setiausaha 1 dan diminta `melepaskan jawatan Ketua II setelah memegang jawatan lebih dua tahun kerana bertaraf muflis (2006 atau 2007?).
DALAM BIDANG MEDIA, di samping bergiat dalam bidang sastera, pada masa yang sama saya turut berkhidmat sebagai stringer Berita Harian/ Kumpulan Utusan lebih 15 tahun turut mengasaskan Kelab Akhbar Negeri Sembilan (KELANA) dan diberi kepercayaan sebagai Timbalan Presiden serta Setiausaha Persatuan Wartawan Melayu Negeri Sembilan.
Saya antara penulis Negeri Sembilan yang berkarya melalui penulisan kreatif iaitu cerpen serta pada masa sama menulis deskriptif (berita dan rencana) yang kemudianya menggabungkan kedua-dua bidang ini melalui skrip dokumentari, filem dan akhirnya menumpukan kepada anekdot berasas kisah benar (pendekatan jurnalisma baharu - new journalism).
Dengan kedudukan ini saya sering menjadi penghubung golongan penulis kreatif dan wartawan dengan Kerajaan Negeri Sembilan, sementalahan saya juga salah seorang redaksi dan pernah dilantik sebagai salah seorang Pengarang di Suara Negeri.
Idea-idea yang dicetuskan agar penulis di beri penghargaan melalui mesyuarat-mesyuarat PEN yang dilihat jelas sewaktu dipimpin Allahyarham Haji Salim Haji Taib; yang kemudiannya diperkukuhkan di bawah pimpinan Mahaya Mohd Yassin dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri melalui hubungan langsung dengan Setiausaha Akhbar Menteri Besar (Allahyarham Shariff Ahmad, sewaktu Menteri Besarnya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan kemudiannyta Mokhtar Haji Alias sewaktu DSU Mohamad Haji Hassan sebagai Menteri Besarnya).
Hal ini semakin mudah menjadi kenyataan dengan adanya hubungan peribadi dengan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Abdul Rauf  Puteh.
Maka pada tahun 2002, ia bermula sebagai Anugerah Seni Negeri yang menawarkan lima kategori - Anugerah Tokoh Seni Negeri, Anugerah Penggerak Seni Muzik, Anugerah Penggerak Seni Tari, Anugerah Penggerak Seni Lakon dan Anugerah Penggerak Bidang Kebudayaan dan Kesenian Lain.
Kemudian, pada tahun 2005 sewaktu Kerajaan Negeri di bawah pimpinan DSU Haji Mohamad Haji Hassan apa yang dihasratkan PEN menjadi realiti - buat pertama kalinya dalam sejarah negeri Malam Anugerah Sastera dan Media diadakan secara besar-besaran.
Pada 17 April 2006 dianjurkan pula Anugerah Kewartawanan Negeri Sembilan yang memberi anugerah tertinggi iaitu Anugerah Pendeta Za'ba di samping Anugerah Wartawan Cemerlang untuk bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil; Anugerah Jurugambar Cemerlang, Anugeerah Wartawan TV Cemerlang, Anugerah Wartawan Radio Cemerlang dan Anugerah Rencana Cemerlang.
Tidak cukup dengan itu di bawah kepimpinan beliau jugalah bermulanya tradisi penulis dan penggiat seni turut dicalonkan sebagai penerima Anugerah Pingat dan Bintang Kebesaran Negeri sehingga bertaraf Dato' Setia Negeri Sembilan (DSNS) yang membawa gelar Dato'.
Antara penerima Dato' Ahmad Mahmud, Dato' Aziz Singah, Dato' Abdul Rahman Kaeh serta pelukis/ penyair A Latiff Mohidin (bagaimanapun beliau tidak menerimanya).
Jadi, apabila anugerah berprestij ini diadakan lagi dua tahun akan datang; pihak penganjur janganlah melupakan kami (kalau belum meninggalkan dunia yang fana ini) - Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, DSU Mohamad Haji Hasan, Abdul Rauf  Puteh, Mahaya Mohd Yassin dan Mokhtar Haji Alias.
Sewaktu majlis-majlis begini, kita lupakan `the school of thaught.'
Ini bukan khilaf Menteri Besarnya tapi tanggungjawab pihak urus setia yang diberi amanah memberi nasihat dan pandangan. Pemikiran bahawa penjawat awam hanya perlu melaksana perintah hanya sesuai sewaktu zaman Parameswara.






Isnin, 30 September 2019

Terima Kasih Telekom Malaysia: SP Pilih UNIFI...

Foto: Shoppee Malaysia
Foto: soyacincau.com
SELARI dengan tagline Radio & TV Sang Pencerita (RTVSP) -`Stesennya Seantero Dunia', SP akan melanggan talian `postpaid' UNIFI untuk telefon pintar di samping sejak adanya Streamix dan kemudiannya bermula era UNIFI, SP adalah pengguna setia produk Telekom Malaysia (TM) itu sejak mula diperkenalkan.
Oleh kerana itulah apabila Studio Sang Pencerita masih dalam peringkat kerja ubahsuai lagi, Pengurus Negeri UNIFI berserta pegawai kanannya datang untuk memberi insentif kesetiaan tanpa mengetahui anak sulung SP sendiri, Siti Haryati adalah `Assistant General Manager' (HR) di TM.
SP banyak terhutang budi dengan TM. Sebaik-baik selesai pengajian peringkat sarjana di Manchester, Siti Haryati yang ikut belajar di sana selepas tamat PMR di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru diterima membuat ijazah pertamanya di Universiti Multimedia, Cyberjaya (second batch) dalam bidang Multimedia Kreatif dengan sijil `O' Levelnya.
Berdasarkan keputusan 12A Sijil Pelajaran Malaysia yang diambil secara persendirian dalam tempoh dua bulan kembali ke Malaysia, dia ditawarkan biasiswa yang pada masa itu yuran pengajiannya RM63,000,00
Sebaik-baik tamat belajar pula dia terus diambil bekerja di Kolej Multimedia, Jalan Semarak dan kemudiannya bertukar ke ibu pejabat di Bangsar sehinggalah `bertukar angin' ke Penerbangan Malaysia (MAS) pada 17 September lalu.
Angka 17 cukup sinonim dengan beliau - tarikh lahirnya dan Toyota RAV4 bernombor pendaftaran BGJ 17 yang SP gunakan kini adalah atas namanya.


Sabtu, 28 September 2019

Zulkifli Abu dan Cik Putri Ada Skandal; Itu Sebab Dapat Melintang?

Guru, pensyarah, pengetua atau bergelar Profesor Madya atau Profesor Ulung - sama sahaja - manusia biasa yang ada lebih dan ada kurangnya.
Sewaktu saya diberi pergerakan gaji melintang ketika Sistem Saraan Baru (SSB) diperkenalkan pada tahun 1991, ada juga dalam kalangan staf akademik yang kurang senang atas keputusan Pengetua, Cik Hajah Putri Kamariah Megat Ramli berserta pasukannya, Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Maktab Perguruan Raja Melewar.

"Congrat! You deserve to get it," itu kata Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan (tempat saya bernaung), Encik Rohaan Abdullah di tangga Blok A, berhampiran Balai Kerapatan sewaktu pertama kali mengetahui berita itu.
Bagaimanapun dalam pasaran kata-mengata dan mengumpat di bilik pensyarah, terdengar juga di telinga; antara lain.
"Den tak heran Cik Putri beri Zul melintang. Kau bukan tak nampak hubungan intim mereka. Selalu den nampak dio di bilik pengetuo beduo. sampai ko sonjo."
Cerita itu sama naiknya dengan cerita hubungan Nordin Abd Malek, guru pelatih dari Perak (sedaerah dan senegeri dengan Cik Putri).
Dalam Bursa Mengutuk Pensyarah selalu terdengar juga kata-kata ini.
"Cik Putri tu andartu. Nordin hensem. Kau tahu-tahu sendirilah kan! Cik Putri tu tinggal sendirian di bilik ERT.  Tak faham-faham lagi."
Kecoh tak kecohnya cerita Zulkifli Abu dapat melintang sebagai berita utama muka satu Buletin Jam 8.00 pagi MPRM, Rahim Abu yang berjawatan Setiausaha Peperiksaan yang berpejabat sebelah bilik pengetua turut `hilang pertimbangan' .
Suatu hari saya ke pejabat Cik Putri. Sebaik-baik melintas berhampiran meja Puan Musalmah, PA Pengetua, Rahim yang bertubuh rendah itu segera bersuara.
"Bagi den naik gaji melintang tak ponting. Janji BARANG DEN MELINTANG," katanya sinis sambil menunjukkan bahagian bawah perutnya.
Melalui blog ini, buat pertama kali saya ingin menjelaskan perkara ini. Seperti Nordin yang bersifat proaktif, pensyarahnya yang disifatkan sebagai antara mentornya, pasti lebih proaktif.
Dalam kesibukan sebagai pensyarah, antara stringer Berita Harian paling prolifik d Malaysia, pemilik kedai pencetakan - saya masih mempertahankan amanah sebagai pensyarah; sumber pendapatan menyara keluarga.
Walaupun saya mula bertugas di MPRM pada Mac 1991, penilaian pengetua STTJ turut diambil kira kerana sewaktu pengenalan skim ini, markah tiga tahun terakhir dijadikan panduan.
Sewaktu di STTJ, Haji Mazlan memberi saya markah 98.3 peratus manakala Mr V. K. Nair sebelum itu memberi saya 97.6 peratus.
Malah sewaktu Mr Nair memperkenalkan saya kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Encik Hanif (suami Azmi Baharudin) sewaktu datang ke STTJ pada awal tahun 1989, kata-kata ini saya masih ingat.
"Encik Hanif! Ini Encik Zul guru baharu kami. Dia baru tamat belajar di UPM.
"Saya kenal dia. Jaga baik komoditi you ini."

Nota: Sebagai tanda terima kasih atas sumbangan pembangunan kerjaya saya, Cik Putri Kamariah Megat Ramli turut diundang sebagai tetamu pada majlis persaraan saya. Saya meminta anak sulung, Siti Haryati yang tinggal di USJ 2 menjemput dan menghantar pulang Cik Putri yang hingga kini masih menetap di Subang Jaya.
Thank You Very Much My Dear - Cik Putri Kamariah Megat Ramli yang masih solo hingga kini. Aku kangen sama kamu,,,
Lihat videonya di sini:
https://www.facebook.com/sang.pencerita.5/videos/2494257010806233/


WHO'S WHO: Nordin Abd Malek Dari Sudut Pandang Bekas Pensyarahnya...

Bersama-sama Nordin di institut latihannya di Kampung Gajah, Perak
Nordin Abd Malek adalah antara pelajar awal saya sewaktu mula berkhidmat sebagai pensyarah Unit Teknologi Sumber Pengajaran (kemudiannya menjadi Jabatan Teknologi Pendidikan) pada Mac 1991.
Sebagai guru dan kemudiannya pensyarah, sejak awal saya berpegang kepada premis `kalau tidak mampu menghayati murid/ pelajar itu sebagai anak, adik, rakan - lupakan profesyen ini.'
Saya berada di Ipg Kampus Raja Melewar hampir 20 tahun (Mac 1991-Disember 2009) sebelum bersara awal (56 tahun) dan lama sebagai Ketua Pusat Sumber, kata-kata di atas adalah frasa wajib yang saya sampaikan sewaktu sesi memperkenalkan institut pada Minggu Pengurusan Pelajar Baharu.
Tanya bekas pelajar, ayat ini mungkin antara ayat yang `dibenci' sewaktu mereka dalam mood riang gembira apabila dipilih sebagai bakal guru terlatih.
"Sekiranya anda tidak mampu berperanan sebagai ayah, ibu, rakan kepada pelajar kamu lupakan profesyen itu. Sudah lama kami memelihara citra `an honourable job' ini. Jangan sesekali LACURKAN profesyen yang mulia ini. Saudara-saudari belum mengisi borang perjanjian. Masih ada waktu untuk keluar dalam sistem kami!"
Di sini J.W.W Birch dibunuh; Kami ingin `membunuh' persepsi...

Saya mengenali Nordin secara dekat apabila ditugaskan sebagai Pensyarah Penasihat Persatuan Teknologi Pendidikan oleh pengetua ketika itu Cik Hajah Putri Kamariah Megat Ramli. Pengalaman panjang sebagai penulis kreatif dan deskriptif kerana masih berkhidmat sebagai stringer Berita Harian memungkinkan saya mengesan bakatnya dalam `soft skill' ini.
Tanpa berfikir panjang saya memberi tanggungjawab kepada Nordin sebagai Ketua Editor buletin`Info' antara pembaharuan yang saya bawa ke Maktab Perguruan Raja Melewar. Ia tentunya berkait rapat dengan hasrat Naib Pengetua ketika itu, Haji Elias Md Hanafiah yang `datang meminang saya' sebagai pensyarah sewaktu bertugas sebagai guru siswazah di Sekolah Teknik Tuankui Jaafar (STTJ nama kecintaan pelajar ketika itu).
Haji Elias tahu pembabitan saya dalam bidang penulisan dan penerbitan - Setiausaha Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), stringer Berita Harian, pemilik (proksi) syarikat penerbitan/ pencetakan.
Ternyata pilihan saya tepat. Nordin pelajar yang proaktif - tidak perlu disuruh dan dipantau - `Info' buletin bulanan (antara pembaharuan yang saya bawa) mampu terbit sepanjang Nordin berada di MPRM.
Di samping itu saya turut membantu Persatuan Bahasa Melayu yang diurus seorang lagi Cik iaitu Cik Hajah Sabariah Maarof dan Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin (yang kemudiannya menjadi Ketua Satu PEN dan saya Ketua Duanya).  
Sekali lagi saya bergaul rapat dengan Nordin - membantu pasukan bahas maktab dalam pertandingan peringkat kebangsaan di Batu Pahat.
Saya masih ingat benar, Nordin, Eh Ding (Din! Tolong ingatkan saya nama penuh rakan pasukan bahas kamu yang cun berketuruinan Siam tu) menangis apabila gagal menjadi johan sedangkan semua mata tertumpu kepada Nordin dan Eh Ding yang mempunyai citra seorag orator yang luar biasa pada peringkat umur itu.
Menariknya dalam kehidupan peribadi, Nordin kemudiannya menjadi pesaing ketat saya untuk mencuri perhatian seorang wanita yang masih belum berumah tangga - pengetua kami - Cik Hajah Putri Kamariah Megat Ramli, ibu saudara Timbalan Menteri Megat Junit Megat Ayob.
Kalau saya sering dipanggil ke pejabatnya untuk urusan rasmi yang kemudiannya (selepas habis waktu pejabat hingga nak masuk waktu Maghrib) bertukar sebagai rakan, Nordin mempunyai kelebihan - dia tinggal di asrama dan Cik Putri tinggal di bilik Makmal Unit  Ekonomi Rumah Tangga.
Setelah meninggalkan maktab, saya mendapat tahu Nordin yang kemudiannya berkahwin dengan Zamnah Khalil (budak Johol) rakan sekuliahnya menamatkan perkhidmatan sebagai guru lepasan maktab, menyambung pengajian peringkat universiti, sering menulis di akhbar, membuka Institut Skilltech; kemudiannya I-Grow, datang ke syarikat percetakan milik adik saya uintuk menempah sijil, beg dan sebagainya, menjadi Pengerusi Persatuan Institut Latihan Swasta, rapat dengan Musa Aman, rapat dengan Najib Razak, rapat dengan Tun Mahathir dan etc. etc.
Ternyata sebagai `talent scouter' yang baik telahan saya pada 1991 terhadap Nordin Abd Malek adalah tepat. Dalam usia yang relatif masih muda saya berkeyakinan penuh, Nordin bakal menjadi pemimpin pada peringkat yang lebih tinggi nanti.
Bagi saya bekas pensyarahnya, Nordin Abd Malek adalah model seorang guru yang bukan sahaja `TIDAK MELACURKAN THIS AN HONOURABLE JOB' tapi menepati frasa yang sering saya `suapkan' kepada pelajar-pelajar saya malah turut termuat dalam `visual biography' saya `Sang Pencerita.mp4' di saluran Zulkifli AbuYouTube.
"A Teacher Teach. A Good Teacher Explain. An Excellent  Teacher, Inspired" Itulah Nordin.

Isnin, 9 September 2019

Kenangan Semalam

Sebermula sekitar hujung 80-an, aku diminta Kelab Kakitangan Bank Bumiputra, Seremban menguruskan terbitan buku cenderamata sempena Pertandingan Sepak Takraw anjuran bank berkenaan.
Mereka memilih aku tentunya atas cadangan jiran sebelah rumahku di Jalan Kedidi 4, Taman Paroi Jaya - sama ada Jo atau Rosli yang bekerja di bank itu. Maka seringlah aku ke bank yang terletak di Jalan Datuk Bandar Tunggal itu untuk mendapatkan bahan kandungan buku.
Sebetulnya aku juga pelanggan bank berkenaan dan sebelum itu sering berurusan sama ada dengan `teller' di kaunter atau pengurus sendiri kerana aku ada akaun semasa di situ. Antara `teller' yang rapat dengan aku di situ tentunya Abdul Ghani Hassan (striker nombor satu  skuad Negeri Sembilan yang juga adik mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan). Hampir setiap hari namanya aku tulis kerana ketika itu aku bertugas sebagai stringer Berita Harian.Untuk buku itu aku selalu berurusan dengan pengerusinya Ros Sahar (Allahyarham, yang kemudiannya jadi pegawai khas ADUN Ampangan), Setiausahanya Hafiz (anak Allahyarham Cikgu Jaafar Mulop yang juga stringer Berita Harian) dan  Mubarak (bendahari).
Pada masa yang sama di Berita Harian aku paling banyak melaporkan berita krisis pelantikan Undang Luak Sungai Ujong yang memakan masa bertahun-tahun.
Aku banyak menulis berita berkenaan kerana sumber utama yang cukup berpengetahuan dalam bidang ini ialah orang kampung aku sendiri, Datuk Johan Razali yang tinggal di Kampung Pelegong.
Aku tidak perlu mencarinya kerana beliau sendiri yang sering mencari aku di pejabat Berita Harian di Jalan Yam Tuan.
Kalau mengikut giliran, Datuk Johan tetap berpegang dengan calon pilihannya iaitu yang menetap di Pantai. Datuk Ishak Ismail yang juga berasal dari Pantai turut tercalon tapi mengikut Datuk Johan, Allahyarham ada cacat-cidanya.
Kampung Pantai yang terletak kira-kira 12 Kilometer dari Seremban juga tidak asing bagiku. Selain ada emak saudara isteri yang tinggal di sana, isteriku juga adalah Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Pantai. Kadang-kadang aku turut menemankannya ke sana dan turut hadir di Malam Amal mencari wang untuk Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
Malam itu aku terlihat Hafiz yang macho itu turut menyumbangkan suara secara trio. Dia menyanyikan lagu-lagu Inggeris yang malar segar seperti daripada kumpulan The Beatles, lagu Cliff Richard dan lain-lain.  Antara rakan trionya ialah Mubarak yang juga berasasal dari situ.
Kini aku tidak boleh memanggilnya Mubarak lagi kerana Ke Bawah Kaus adalah Yang Teramat Mulia Undang Luak Sungai Ujong - Dato' Klana Petra Dato' Haji Mubarak bin  Dohak.
Maaf YTM! Hamba Dato' terangkat ibu jari tanda jempolan atau tahniah sewaktu YTM memandang hamba Dato' dalam senyuman sewaktu membuat FB Live dari Sungei Ujong Walk, malam kelmarin.





Jumaat, 6 September 2019

Warkah Untuk Seniman (1)

Ke hadapan saudaraku Mohd Faizal Rahmat. Teliti tawaran ini dan keputusan di tangan saudara. Tawaran dibuat bukan kerana simpati tapi kerana bakat saudara.

Studio Sang Pencerita
323 Jalan Angsana 1,
Taman Pinggiran Golf. 70400 Seremban.                                                      6 September 2019

Kepada,
Mohd Faizal Rahmat.

Tawaran Sebagai Karyawan Tamu Sepenuh Masa
dan Rakan Bisnes Pintar (The Smart Partnership)
Studio Sang Pencerita.

Dengan segala hormatnya , perkara di atas dirujuk.

2.      Saudara ditawarkan sebagai Karyawan Tamu Sepenuh Masa dan Rakan Bisnes Pintar dan ia boleh dimulakan pada bila-bila masa sahaja mengikut kesesuaian saudara.

3.     Di sini dinyatakan antara kemudahan yang ditawarkan dan saudara boleh meminta apa sahaja selagi di bawah keupayaan kewangan syarikat.

3.1 Tempat tinggal (Kamar Sang Pencerita)
3.2 Makan Minum
3.34 Peralatan - Power Mac, pencetak bersaiz A3 (sekiranya mahu saiz yang lebih besar kita akan cetak di luar)
3.4 Bayaran untuk semua kerja di studio.
3.5 Pembahagian keuntungan 50-50 untuk produk yang dihasilkan berasaskan kerja seni saudara. Contoh `artwork' Kota Melaka yang akan dijadikan kalendar, bahan cenderamata seperti hiasan pinggan mangkuk eksklusif dan seumpamanya.

4.    Sekiranya saudara menerima tawaran ini, SILA HENTIKAN JUALAN `ARTWORK' yang terlalu MURAH dan tanpa kawalan HAKCIPTA itu. Mari Kita Menjadi Seniman Bermaruah. `Kassim Selamat' menantu `Ibu Mertuaku' Sudah Lama Meninggal Dunia.

Sekian, terima kasih.

Saya yang menjalankan amanah,
t.t.
(SANG PENCERITA)

Selasa, 2 Julai 2019

Nen Tebabo Yang Tidak Mata Duitan

APABILA menulis mengenai Penasihat Studio Sang Pencerita, Rauf Puteh di Facebook awal pagi tadi banyak kenangan silam yang silih berganti tiba di kepala.
Apatah lagi ia membabitkan selebriti popular di Negeri Sembilan - DJ Radio Malaysia Kawasan Tengah (RMKT), kemudiannya bernama Radio Malaysia Negeri Sembilan (RMNS)  dan terkini bertukar nama menjadi Negeri FM.
Sewaktu bernama RMKT, stesen radio ini terletak di kawasan Taman Bunga Seremban iaitu di bahagian belakang Allson Klana Resort. Kini ia sudah bertukar menjadi dewan dan boleh ke sana melalui jalan singkat berhampiran Gerai Makan Jalan Penghulu Chantik.
Sebagai Timbalan Presiden Kelab Akhbar Negeri Sembilan (KELANA) dan stringer Berita Harian ketika itu, SP memang rapat dengan DJnya - Adam Tahir, Salleh Abdul Rahman, Daud Abdullah, Gee Fazidah, Amy, Rauf Derahman dan tentunya juga termasuk pengarahnya Abu Samah Mahat yang kemudiannya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Johol.
Banyak juga SP dapat duit RTM ketika itu. Rauf pernah panggil SP sebagai tetamunya untuk bercerita kehidupan menangkap ikan di Jengka, Gee Fazidah pula penerbit rancangan bahasa dan sastera yang SP antara perantaranya, selain Mahaya Mohd Yassin, Radzali Ghani dan Nisah Haron.
Paling banyak beri SP job tentunya Amy anak Sabah yang manis itu. SP diberi kepercayaan menulis skrip dan menyampaikan sejarah kehidupan Pendeta Za'ba sempena pembukaan Teratak Za'ba.
Sewaktu membuat ijazah di UKM, Amy menjalani latihan industrinya di Studio Sang Pencerita yang ketika itu beroperasi di bangunan milik sendiri di Seremban 2.
Masih jelas dalam ingatan SP beri Amy markah `A'.
Sewaktu Studio Sang Pencerita beroperasi di Jalan Haruan 5/6, Oakland Commercial Centre ini DJ yang paling rajin datang adalah Adam Tahir yang kemudiannya menambah Rumba di belakangnya.
Mana datangnya perkataan Rumba itu? Ia tercipta di Studio Sang Pencerita.
Adam tertarik dengan koleksi lagu-lagu berirama rumba yang sering SP mainkan sewaktu sendirian di studio. Adam bukan sekadar belajar menari rumba dengan SP malah dia sering `bergolek bante' atau orang sekarang panggil `berkubang'  kalau tidak ada kerja.
Adam juga selalu tidak balik rumah dan tidur bersama SP di studio. Sebahagian perancangan rancangan radionya dibuat di Studio Sang Pencerita. Tulisan-tulisannya itu masih ada dalam komputer SP.
Suatu hari Adam bawa Nen yang baharu bekerja ke studio. Itu pertemuan pertama kami.Nama Tebabo juga timbul selepas kedatangannya.
"Bang! Pokok dek abanglah. Se tak boleh. Nen panggil se Uncle," Adam bagaikan berbisik sewaktu menuju Aeon (Jusco)
Atas permintaan Adam, selepas makan-makan di Restoran Steamboat, Adam ajak SP `shopping'.
"Nen! Pilih Nen! Pilih.," Adam bagaikan dialah Sang Pembayar bil apabila menyuruh Nen memilih pakaian di kedai yang turut menjual jeans berjenama.
SP cuma memerhati dari jauh.
"Bang! Dah!," Begitulah biasanya. Panggilan abang dengan suara manjanya menyebabkan jantung SP `bedorau'.
Apa baju yang dipilih Nen di kedai berjenama itu?
Nen cuma memilih T Shirt yang diberi diskaun 70%
Harganya cuma RM7.00
Hingga kini masih terbayang T Shirt berwarna hijau `rumput tua yang nak mati' tu.
Foto: Hasil `tembakan' Canon EOS 400D di Studio Sang Pencerita, Seremban 2..

Nota: Sewaktu kejadian, Nen Tebabo berstatus `janda meletop anak satu.'

Khamis, 16 Mei 2019

Jangan Menghina Orang Miskin

Ratna Laila Shahidin
"Cikgu Bayah masih ada?" tanya saya.
"Masih. Suaminya Cikgu Yaya yang dah meninggal. Hari tu Nyah tumpangkan dia. Rasa macam mahu cakap sesuatu je..."
Saya memandang kakak.
"Anak-anaknya?" tanya saya lagi.
"Yang kecik itulah yang nak kahwin ni. Dah 40 umurnya. Mereka suami isteri memilih. Anak-anaknya juga memilih. Kalau yang datang itu orang biasa-biasa, diludah-ludahkannya. Tak setaraf, kata mereka. Anak-anak yang lain tak menjadi juga. Mak ayahnya dulu zalim sangat..."
Cepat saya menoleh ke arah kakak. Kakak saya spesis tulus dan berterus-terang.
"Yang ingat tak apa yang mereka pernah buat kat kita?" soal kakak menduga daya ingat saya.
Saya menggeleng. Kalau masih ingat pun, cuma fitnah mereka terhadap saya dahulu, sehinggakan ayah dan emak pun hampir percaya akan "kesombongan" saya.
Ceritanya begini...
Waktu di Ipoh, saya bersekolah di MGS, anak mereka muda setahun daripada saya bersekolah di RPS. Kebetulan MGS ada dua buah asrama. Saya ditempatkan di asrama Kinta, asrama lama. Pelajar-pelajar junior ditempatkan di asrama baharu, yang berdekatan pula dengan asrama RPS.
Jarak asrama lama dan baharu sangat jauh. Kami di jalan Gopeng, mereka pula di tempat lain, Jalan Raja Perempuan. Haluannya pun berbeza. Emak mahu mengirim barang kepada saya. Jadi, emak mengirimkannya kepada kedua-dua suami isteri itu. Rupa-rupanya apabila balik, mereka membuat cerita bahawa saya enggan turun dan sangat sombong tidak mahu menemui mereka.
Sebenarnya mereka memang tidak suka emak mengirim-ngirim barang kepada saya. 
Marahlah emak dan ayah. Saya kebingungan apabila pulang bercuti. Emak dan ayah terkilan dengan sikap saya. Hampir menangis saya menerangkan bahawa saya dan anak cikgu-cikgu itu bukan di asrama yang sama. Jaraknya pun jauh, kena naik bas untuk sampai ke asrama baharu. Malahan saya tidak tahu pun mereka ke Ipoh bertemu dengan anak mereka.
Kembali kepada cerita kakak.
Kata kakak, oleh sebab kami miskin; kedua-dua cikgu itu sangat memandang hina. Kami akan diasingkan daripada pelajar-pelajar lain. Apa saja kebolehan kami, akan dinafikan. Pernah sekali, kata kakak; dia diarahkan berdiri di luar kelas berjam-jam kerana kepalanya dijangkiti kutu. Akibatnya, saya pun diarah juga berdiri di luar.
Mujur saja ada guru lain yang bersimpati.
Malahan kata kakak, banyak sekali kata-kata hinaan yang keluar daripada mulut cikgu-cikgu suami isteri itu. Maklumlah, ayah jatuh sakit dan emak yang terpaksa mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga. Kami memang sangat miskin waktu itu. Pakaian lusuh dan tidak berganti. Buku yang diminta pun tidak mampu kami beli.
Saya memang selalu lupa, sebab kasihan melihat cikgu itu yang sudah tua. Jalan pun terhegeh-hegeh. Tetapi kakak masih terlalu ingat. Dia seperti enggan memaafkan walaupun episod duka itu sudah lama berlalu.
Tetapi perkara itu memberi teladan kepada kita. Apa sahaja perlakuan kita, akan selalu dikenang orang. Jangan menghina orang miskin kerana kita tidak tahu nasibnya di kemudian hari. Kita juga tidak tahu untung nasib kita kelak.
Apalagi sebagai guru. Ketika kita sudah terhegeh-hegeh akibat ketuaan dan uzur, pelajar yang pernah kita hina itulah akhirnya yang sanggup memimpin kita. Seperti Cikgu Bayah itu, di mana mahu dia sorokkan mukanya apabila terpaksa menumpang kereta pelajar yang tidak pernah dipandangnya dulu?  Sedangkan dahulu, bukan main sombong dan angkuh lagi dia.
Macamlah gaji guru waktu itu sehebat gaji pemilik gedung Harrods!

oleh: Ratna Laila Shahidin

Rabu, 15 Mei 2019

Mari Berkongsi Pengalaman Peribadi

TANPA SEDAR `meniru'  iaitu belajar melalui pengalaman orang lain (experiential learning) adalah antara proses belajar yang tidak dikenakan bayaran dan berlaku secara semulajadi pula.
     "Belajar melalui pengalaman juga ialah proses belajar dan proses perubahan yang menggunakan pengalaman sebagai media belajar atau pemelajaran. Apa-apa yang dialami secara aktif dan diusahakan untuk proses pemahaman, mencari makna daripada pengalaman tersebut ialah pemelajaran melalui pengalaman." (http://lamanartikel.dbp.my/?p=90)
     Cerita (tak kisahlah ia bernama anekdot, cerpen, teater atau filem) sejak sekian lama turut membantu kita membentuk dan membangun keperibadian.
     Nah! Sesuai benarlah dengan prolog blog ini,
     "Manusia suka bercerita. Manusia suka dengar, baca dan tengok cerita. Sewaktu manusia tidak tahu tulis baca, mulut jadi alatnya. Cerita yang sama diturunkan dari masa ke masa. Waktu berubah, teknologi bertukar. Hasilnya, cerita boleh dikongsi dalam bentuk apa sahaja. Cerita ada dalam tv. Cerita ada dalam CD. Manusia sanggup berasak di panggung untuk tengok cerita. Manusia sanggup bayar tinggi untuk ketawa dan takutkan dirinya. Apa kata kita kongsi cerita? ceritaapaapasaja."
     Jadi, mari kita berkongsi pengalaman peribadi iaitu kisah benar yang pernah singgah dalam kehidupan kita - cerita duka, cerita bahagia atau apa-apa sahaja.
     Tak timbul dakwaan atau tuduhan, berkongsi pengalaman peribadi; bermakna membuka aib sendiri atau menyebar aib orang.
     Kalau benarlah dengan berkongsi pengalaman diri, ini premisnya - campakkan sahaja novel, tutup sahaja tv sewaktu sinetron yang menuntut waktu untuk menontonnya atau `biarkan sahaja panggung sama ada teater atau bioskop' mati sendiri.
     Studio Sang Pencerita amat memerlukan perkongsian pengalaman peribadi yang ditulis dalam bentuk/ format anekdot untuk diterbitkan.
     Selepas kumpulan anekdot `Cerita Saya: Edisi Pengenalan' yang menghimpun 100 anekdot tulisan Sang Pencrita yang akan diterbitkan dalam masa terdekat, akan menyusul pula 100 anekdot yang berkisar mengenai `Dunia Orang Politik'.
     Sewaktu membangun kandungan, Sang Pencerita memang mengharapkan sumbangan penulis luar untuk memastikan siri buku (dahulunya dirancang `ceritaapaapasaja') `Cerita Saya'  akan terus `hidup' seperti apa yang berlaku kepada `Chicken Soup For The Soul.'
     Bagi Kategori `Dunia Orang Politik' tentu kita `dapat belajar' lebih berkesan sekiranya anekdot itu ditulis oleh `orang politik' sendiri - tak kisahlah mereka cuma ahli biasa sebuah parti atau seorang Perdana Menteri.
     Anekdot atau `certot' menurut definisi Menteri Pendidikan kita adalah penerusan tradisi lisan yang dahulunya disampaikan secara verbal dari generasi ke generasi; dengan tokok tambah dan diberikan pewarnaan setempat (local colouring).
     Hantar cerita ke zulkifliabu@gmail.com sebelum 20 Julai 2019 bagi memastikan Antologi Anekdot `Cerita Saya: Dunia Orang Politik' berada dalam pasaran Malaysia dan Indonesia pada 15 Ogos 2019.
     Keterangan lanjut mengenai format, panjang-pendek anekdot atau ingin menyertai Bengkel Penulisan Anekdot anjuran Studio Sang Pencerita, sila nyatakan hasrat melalui ruang komen makluman atau pemberitahuan di akaun Facebook Sang Pencerita dari masa ke masa.
     Selamat Berkarya!


Isnin, 22 April 2019

Assalamualaikum Ustaz!

SEPERTUA, diceritakan orang, di sebuah negeri di bawah jajahan takluk negara Antah Berantah terdapatlah seorang Pak Guru yang tinggal sendirian di hujung kampung. Agak lama juga dia sendirian di situ; tinggal di pondok buluh yang masih kuat ikatan rotan di gelegarnya.
Pak Guru bukannya bujang tapi sudah memiliki empat orang anak, hasil pernikahannya dengan anak Demang Sintuk Limau yang terkenal garangnya.
Hanya tanpa disedari, Pak Guru dalam ligkungan umur awal 40-an itu tidak sengaja terlafaz `aku ceraikan engkau' semata-mata masak lomak lado api ikan baung yang dimasak isterinya kurang garam.
Kata-kata itu turut terdengar oleh Demang Sintuk Limau yang sedang menyirih di anjung rumah.
"Apa yang kau lafazkan tadi lebai? Apa yang kau katakan tadi lebai," dua kali diulang jerkah kemarahannya.
Sejak itulah Pak Guru membawa diri di hujung kampung dan membina sendiri pondok buluh aur itu.
Dipendekkan cerita, tak sampai dua minggu Pak Guru mula berasa lain macam. "Adakah dia sudah sampai naik ke kepala?," tanya fitrah kelelakiannya.
Hari demi hari, Pak Guru bagai sudah tidak tenteram lagi. Setiap hari dia bagai menyumpah dirinya kerana terlafaz kata-kata yang menjatuhkan tarafnya buat sementara waktu daripada suami kepada duda.
Entahlah. Dia tidak tahu. Menurut rakan baiknya yang sama berguru di pondok dahulu; amarah Pak Guru kebelakangan ini bagaikan tidak terkawal. Ada sahaja salah orang di matanya. Orang tuai padi tengah malam kerana banjir besar dijangka tiba sehari dua, orang itu `dijatuhkan hukum menurut agama' sebagai gila.
Ada orang yang memberi pandangan yang berbeza dengannya, orang itu senang-senang sahaja dikatakan bodoh. Lebih parah, dia yang bercerai talak satu; habis semua orang di desa itu dikatakan sudah bercerai.
Oleh kerana itulah, kepimpinan tua peringkat negara Antah Berantah membuat keputusan melarang Pak Guru mengajar di madrasah lagi.
Masa yang panjang kerana tidak sibuk lagi memungkinkan Pak Guru berfikir yang bukan-bukan. Ah! Air sudah naik ke kepala.
Pada suatu malam yang dingin, Pak Guru dengan berpakaian yang diagak tidak dikenal orang melakukan ziarah juga ke tempat terlarang; nun jauh... jauh.. di hujung tanjung.
Dipendekkan cerita lagi, dalam keadaan yang tidak terkawal, dia segera menanggalkan pakaian samarannya.
"Assalamualaikum Ustaz!," kata wanita yang masih berpakaian lengkap.
"Saya Teratai. Saya selalu bertanya Ustaz dalam kuliah agama mengenai hukum isteri yang ditinggalkan hanya kesalahan kecil," kata janda anak satu itu.
Tiba-tiba, kesemua milik Pak Guru jatuh.

Isnin, 18 Februari 2019

Apabila Pendakwah Nak Jadi Emak Bapak Kita?


duit pencen hj setiap bulan p mana? RM4500
Hari ini aku beritahu. Itu pun kau tanya. Aku infakkan ....
utk apa??? infaq tu sunat. hutang tu wajib
ramai orang complain pasal hj kat saya
Aku dah tak ada tanggungan lain kecuali Adibah. Ibunya tak perlu wang. Komplen pasal apa?
tidak kan adibah perlukan rm4500 tiap2 bulan
Kalau boleh merosakkan nama Majlis Dakwan Negara, aku undur diri. Aku lebih senang bergerak sendirian dengan cara aku.
(Masih dalam suasana perbincangan akademik tanpa membabitkan perasaan).
sy bukan suka nak buang org sesuka hati. hj kena confront dgn sy. apa aktiviti hj.

OK,Tunggu saya balik.
dah la amik baiah dgn guru sesat
sy kenal syeikhul zainal tu
Aku dah lama keluar.
siapa guru hj sekarang?
Ini buikan forumnya. First thing first. Aku minta bantuan. Kalau tak nak bantu, aku tak paksa. Serah kunci itu pada Sam. Tiga hari lalu aku suruh Sam buka dengan menjolok penyangkutnya. TQ. Bye!
cikgu sam sendiri tidak bantu hj. dia call sy
la ni sy tidak nak hj buat loan lagi
kata istri jutawan. p la berbaik dgn dia.
Aku ada maruah dan digniti. Biar aku susah, aku tak pinjam sejak dulu.
itu bukan pertahankan maruah. tapi bertuhan ego. tidak cari titik persamaan untuk selesai dan berdamai.
Sorry! Aku sedang berurusan dengan seseorang sekarang. Bye!
jawab la sekarang. direct to the point
Assalamualaikum
ustaz salleh nak balik kemboja esok
hj kata ada al-quran & duit infaq utk kemboja kan
kena bagi kat dia malam ni
Wow! Nak balik baru jumpa. Koleksi eksklusif rotan dan rotan sintetik hasil tangan anak Indonesia yang terkenal kreatif dan inovatif. Dalam usaha membangun 'portal' ala Lazada, sesuai dengan konsep syarikat, Studio Sang Pencerita akan membuat pilihan dan penilaian produk dan perkhidmatan sebelum membuat 'endorsement. ' Ini antara produk awal 'Pilihan Sang Pencerita. '
Zed terlepas sembang video anda.
10 Februari 2019 11:08 PTG

Di mana? Boleh saya dapatkan kereta saya balik? Saya dah sampai pukul 6.00 pagi tadi.
Zed terlepas sembang video anda.
10 Februari 2019 11:24 PTG

Zed terlepas sembang video anda.
11 Februari 2019 7:41 PAGI

Zed terlepas panggilan anda.
11 Februari 2019 7:41 PAGI

Zed terlepas panggilan anda.
11 Februari 2019 7:46 PAGI

Anda menelefon Zed.
11 Februari 2019 7:54 PAGI

Assalamualaikum hj zul
nanti sy serahkan
kereta ada di mawarku
Sesi Perbualan Tamat