Isnin, 9 September 2019

Kenangan Semalam

Sebermula sekitar hujung 80-an, aku diminta Kelab Kakitangan Bank Bumiputra, Seremban menguruskan terbitan buku cenderamata sempena Pertandingan Sepak Takraw anjuran bank berkenaan.
Mereka memilih aku tentunya atas cadangan jiran sebelah rumahku di Jalan Kedidi 4, Taman Paroi Jaya - sama ada Jo atau Rosli yang bekerja di bank itu. Maka seringlah aku ke bank yang terletak di Jalan Datuk Bandar Tunggal itu untuk mendapatkan bahan kandungan buku.
Sebetulnya aku juga pelanggan bank berkenaan dan sebelum itu sering berurusan sama ada dengan `teller' di kaunter atau pengurus sendiri kerana aku ada akaun semasa di situ. Antara `teller' yang rapat dengan aku di situ tentunya Abdul Ghani Hassan (striker nombor satu  skuad Negeri Sembilan yang juga adik mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan). Hampir setiap hari namanya aku tulis kerana ketika itu aku bertugas sebagai stringer Berita Harian.Untuk buku itu aku selalu berurusan dengan pengerusinya Ros Sahar (Allahyarham, yang kemudiannya jadi pegawai khas ADUN Ampangan), Setiausahanya Hafiz (anak Allahyarham Cikgu Jaafar Mulop yang juga stringer Berita Harian) dan  Mubarak (bendahari).
Pada masa yang sama di Berita Harian aku paling banyak melaporkan berita krisis pelantikan Undang Luak Sungai Ujong yang memakan masa bertahun-tahun.
Aku banyak menulis berita berkenaan kerana sumber utama yang cukup berpengetahuan dalam bidang ini ialah orang kampung aku sendiri, Datuk Johan Razali yang tinggal di Kampung Pelegong.
Aku tidak perlu mencarinya kerana beliau sendiri yang sering mencari aku di pejabat Berita Harian di Jalan Yam Tuan.
Kalau mengikut giliran, Datuk Johan tetap berpegang dengan calon pilihannya iaitu yang menetap di Pantai. Datuk Ishak Ismail yang juga berasal dari Pantai turut tercalon tapi mengikut Datuk Johan, Allahyarham ada cacat-cidanya.
Kampung Pantai yang terletak kira-kira 12 Kilometer dari Seremban juga tidak asing bagiku. Selain ada emak saudara isteri yang tinggal di sana, isteriku juga adalah Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Pantai. Kadang-kadang aku turut menemankannya ke sana dan turut hadir di Malam Amal mencari wang untuk Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
Malam itu aku terlihat Hafiz yang macho itu turut menyumbangkan suara secara trio. Dia menyanyikan lagu-lagu Inggeris yang malar segar seperti daripada kumpulan The Beatles, lagu Cliff Richard dan lain-lain.  Antara rakan trionya ialah Mubarak yang juga berasasal dari situ.
Kini aku tidak boleh memanggilnya Mubarak lagi kerana Ke Bawah Kaus adalah Yang Teramat Mulia Undang Luak Sungai Ujong - Dato' Klana Petra Dato' Haji Mubarak bin  Dohak.
Maaf YTM! Hamba Dato' terangkat ibu jari tanda jempolan atau tahniah sewaktu YTM memandang hamba Dato' dalam senyuman sewaktu membuat FB Live dari Sungei Ujong Walk, malam kelmarin.





Jumaat, 6 September 2019

Warkah Untuk Seniman (1)

Ke hadapan saudaraku Mohd Faizal Rahmat. Teliti tawaran ini dan keputusan di tangan saudara. Tawaran dibuat bukan kerana simpati tapi kerana bakat saudara.

Studio Sang Pencerita
323 Jalan Angsana 1,
Taman Pinggiran Golf. 70400 Seremban.                                                      6 September 2019

Kepada,
Mohd Faizal Rahmat.

Tawaran Sebagai Karyawan Tamu Sepenuh Masa
dan Rakan Bisnes Pintar (The Smart Partnership)
Studio Sang Pencerita.

Dengan segala hormatnya , perkara di atas dirujuk.

2.      Saudara ditawarkan sebagai Karyawan Tamu Sepenuh Masa dan Rakan Bisnes Pintar dan ia boleh dimulakan pada bila-bila masa sahaja mengikut kesesuaian saudara.

3.     Di sini dinyatakan antara kemudahan yang ditawarkan dan saudara boleh meminta apa sahaja selagi di bawah keupayaan kewangan syarikat.

3.1 Tempat tinggal (Kamar Sang Pencerita)
3.2 Makan Minum
3.34 Peralatan - Power Mac, pencetak bersaiz A3 (sekiranya mahu saiz yang lebih besar kita akan cetak di luar)
3.4 Bayaran untuk semua kerja di studio.
3.5 Pembahagian keuntungan 50-50 untuk produk yang dihasilkan berasaskan kerja seni saudara. Contoh `artwork' Kota Melaka yang akan dijadikan kalendar, bahan cenderamata seperti hiasan pinggan mangkuk eksklusif dan seumpamanya.

4.    Sekiranya saudara menerima tawaran ini, SILA HENTIKAN JUALAN `ARTWORK' yang terlalu MURAH dan tanpa kawalan HAKCIPTA itu. Mari Kita Menjadi Seniman Bermaruah. `Kassim Selamat' menantu `Ibu Mertuaku' Sudah Lama Meninggal Dunia.

Sekian, terima kasih.

Saya yang menjalankan amanah,
t.t.
(SANG PENCERITA)