Ahad, 28 Oktober 2018

Abah! Tolong Aisyah

Perkara pertama dilakukan untuk membantu Aisyah
Sang Pencerita, membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Masjid,
Ahad lalu
Sebaik-baik turun daripada Bas KKKL Ekspres yang membawa pulang Sang Pencerita dari Johor Bahru, aku terus ke gerai kecil Terminal 1, Seremban untuk membeli rokok. Semua pemilik gerai dengan selamba memberi jawapan yang sama,” Kami tak jual rokok yang Encik minta.” Maka teh tarik yang diminta menutup bera.
          Sementara menanti teh tarik yang diminta siap, seorang wanita mendekati Sang Pencerita. “Encik cari apa? Dari tadi saya lihat melilau dari gerai ke gerai.”
          “Saya cari rokok,” aku menjawab ringkas.
          “Semua gerai tu jual rokok. Encik hisap rokok apa?”
          “Rokok kretek.”
          “Oh! Patutlah tak jumpa. Kami tak jual rokok seludup. Salah Encik.”
          Aku bungkam malu.
          “... tapi kalau Encik ketagih sangat, biar Aisyah belikan. Kedai hujung tu ada jual sebatang, sebatang tapi Dunhill saja tahu!”
          Dengan pantas duit diserahkan. “Beli dua batang.”
          Sambil menanti, terfikir juga karakter pelik Aisyah – baru kali pertama berjumpa, mesranya macam kenal lama.
          “Nah!,” tiba-tiba dia menyergah sambil menghulur dua batang rokok Dunhill.
          “Encik nak makan apa-apa ke? Aisyah tolong kakak tu berniaga. Cekodok masih panas Encik.”
Aisyah membantu Puan Megawati,
pemilik Warung D'Masjid
          “Buat sementara ni, biar dulu,” kataku pendek kerana tumpuan utama lebih ke arah rokok yang cuma dihisap dua batang di Hentian Sebelah Senawang sebentar tadi.
          “Jangan main-main geng! Tak pernah berlaku dalam tempoh tujuh lapan bulan ini tak hisap rokok lebih tiga jam,” aku berlelucon sendiri. Kah! Kah! Kah!
          “Encik!,” sekali lagi Aisyah menghampiri. 
“Maaf Encik ya Aisyah mengganggu. Aisyah tak tahu nak minta tolong dari siapa.
          “Aisyah ni bodoh Encik. Ada kad OKU. Pada kad ditulis OKU Masalah Pembelajaran.
          Aku semakin keliru.
          “Encik percaya tak dengan orang Cina?” satu lagi soalan yang ditembak boleh membuatkan kita menggelupur.
          “Aisyah Hokkian tapi masuk Islam bila kahwin Melayu.
          “Sejak dahulu saya sentiasa percaya kepada semua orang – tak kira bangsa dan agama,” aku menjawab selamba sambil melepaskan kepulan asap kepuasan. 
          “Keluarga dah buang Aisyah Encik.”
          “Aisyah juga dah cerai dengan suami.”
          “Sejak bila?”
Aisyah dihantar pulang ke bilik sewanya
oleh Sang Pencerita dan Haji Mohd Zin
Abdullah, SU Masjid Kariah Paroi Jaya 2019/20
          “Dah tiga tahun. Kami hanya sempat bersama, tiga tahun juga.
          “Dia jahat Encik. Masa kahwin dengan dia, saya ada duit simpanan RM40,000 tapi semua dah habis dia gunakan.
          “Bila duit habis, dia ceraikan saya," Aisyah mula sendu.
          “Lepas dia ceraikan saya, orang kata saya gila Encik. Mungkin betul juga. Sudahlah keluarga buang saya, suami juga begitu.
          Nasib baik kakak yang saya tolong ini sekarang bantu. Saya tak minta gaji dengan dia Encik. Saya hanya minta diberi makanan, itu sudah cukup.”
          Suasana hening seketika.
          “Encik! Lepas ini saya tak tahu nak pergi mana. Hujung bulan ni kakak tak berniaga lagi. Dia kena jaga emaknya yang sakit. Ke mana saya hendak pergi Encik?
          Keharuan melanda dan ia semakin parah apabila Aisyah menyambung kata.
          “Oh  ya! Boleh tak saya panggil Encik, abah?”
          Tanpa mengambil masa panjang, aku terus memberi jawapan.
          “Panggillah Aisyah,” nada suara kebapaanku jelas.
          “Abah! Boleh tolong Aisyah tak?”
          “Tolong macam mana?”
          “Sewa bilik tak bayar RM250.00 Aisyah tak da duit abah.”
          Sekali lagi aku terkedu.
          “Bila masuk Islam saya diajar orang Islam itu baik. Orang Islam itu sentiasa nak tolong orang tapi...,” suara Aisyah terhenti di situ.
          Belum sempat nak sendu, Aisyah menyambung kata.
          “Nak tengok abah. Abah buat tak macam Islam suruh. Nak buktinya sekarang juga.
          Tanpa perlu membuang masa seperti biasa, wang segera bertukar tangan. Angkanya biarlah dirahsiakan – sedangkan tangan kiri tidak boleh tahu apa yang tangan kanan beri.
          “Terima kasih abah,” Aisyah segera mengundur diri kerana menyambung kerja.
          Sebagai mantan pensyarah, kami sering melakukan kajian tindakan sebelum bertindak – maka tiga orang pemandu bas yang duduk semeja (tentunya turut mendengar perbualan kami) ditanya.
          “Betulkah apa kata Aisyah tadi?”
          “Betul Encik. Dia tu budak lurus. Mungkin semua yang ada di sini tahu kisahnya; dia bukan perempuan jahat.
          “Hairan juga saya. Dengan Encik dia berani cakap macam tu.”
          Walaupun mengikut teori, tindakan perlu dibuat setelah permasalahan yang dikenal pasti perlu disahkan melalui penyelidikan susulan; Sang Pencerita terus membuat rumusan segera – Aisyah perlu dibantu. Sang Pencerita tidak mahu imej buruk Islam terus-terusan menggunung. SangPencerita ingin sangat menyumbang saham ke arah `Orang Islam Itu Bikin Apa Yang Dicakapnya.’

Jumaat, 19 Oktober 2018

Gadis Sunti, Kereta Api Pagi

Kalau ikut petunjuk gadis sunti itu, rumahnya berhampiran Masjid Terapung Salmah Khamis sekarang; kampung mentua Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Dari kiri: Sang Pencerita, Jamaludin Jani, rakan serumah
di Jalan Noja off Jalan Dapat, Johor Bahru (1972-73)
Latar: Awal 70-an

Kereta api perjalanan Johor Bahru – Padang Besar pada pagi Jumaat itu cukup sesak. Selain penumpang biasa, kebanyakan gerabak dipenuhi pelajar sekolah berasrama atau guru pelatih dua maktab perguruan – Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim dan Pusat Latihan Guru Johor Bahru.  Ini cuti penggal pertama tahun 1972.
Walaupun pernah menggunakan khidmat Kereta Api Tanah Melayu (KTM) sewaktu di sekolah rendah dahulu kerana mengikut sepupu bercuti di rumah keluarga mereka di Clementy Estate, Singapura; suasana pagi ini cukup berbeza. Hiruk-pikuknya bagaikan pasar. Cuaca agak berbahang.
Sewaktu kereta api tiba dari Stesen Tanjung Pagar, Singapura dan kemudiannya bertolak pada jam 10.00 pagi; kami tidak ada pilihan. Sebahagian besar kami terpaksa berdiri.
Sebagai anak muda berusia kira-kira 18 tahun, kerinduan kepada emak, abah dan adik-adik cukup kuat. Pada hari sebelumnya, tanda sayang kepada mereka telah dibelikan – epal dan laici dalam tin – dibeli di Woodlands. Untuk emak dan abah dibelikan tuala mandi – warna biru untuk emak dan kuning untuk abah. Kalau tak silap RM1.50 harganya sehelai.
Kehidupan awal di maktab cukup mengujakan. Ini kali pertama pandai mengurus kehidupan sendiri – berpakat mencari rumah sewa dan tentunya ini kali pertama tinggal di rumah batu yang ada bekalan elektrik dan paip.
Satu sahaja yang kurangnya. Keinginan untuk bercinta mula tumbuh; selari dengan mula tumbuhnya jerawat dan misai.
Di maktab, peluang bagai tertutup awal-awal lagi. Sewaktu Minggu Orientasi baharu aku tahu, aku pelajar termuda iaitu 18 tahun 20 hari. Ia diperkukuhkan dengan tubuhku yang kecil. Kalau tak silap, ketinggianku cuma 4 kaki 11 inci. Bukan sekadar rakan-rakan satu ambilan, malah sewaktu di Tahun Dua pada tahun berikutnya, juniorku juga lebih tua.
“Macam mana nak mengurat rakan se maktab? Semuanya membahasakan dirinya kakak,” jentik mindaku.
Nah! Cerita nak terjadi. Tambahan pula waktu di sekolah menengah dahulu gila tengok wayang Hindustan. Sewaktu mencari-cari tempat duduk apabila sampai di sesuatu stesen, aku terpandang seorang gadis sunti – masih dalam pakaian seragam sekolahnya.
Inikah sentuhan panggilan cinta? Tiba-tiba pertanyaan menyapa hati bagaikan Rajesh Khanna pada pertemuan kali pertamanya dengan Hema Malini.
Sambil mata menyembunyikan malu, aku terlihat lencana di bajunya – Sekolah Menengah Vokasional Azizah, Johor Bahru.
Inilah kelemahan aku. Walaupun adik-adikku semuanya perempuan; aku mesti menggigil untuk menyapa budak perempuan kecuali rakan sekolah dahulu.
Bagaimanapun mata bertembung. Dia membalas sengihku. Oleh kerana kedudukan kami berada di bahagian penyambung antara gerabak; terasa suasana berangin juga. Cuma bau hancing menyesak hidung.
Tak sempat nak bercerita panjangpun. Kalau tak silap, namanya pun aku tak berani tanya. Maklumat peribadinya yang aku tahu dia berada di Tingkatan Lima dalam jurusan Urusan Rumah Tangga dan keluarganya tinggal di Masjid Tanah, Melaka.
“Turun di mana?,” baharu aku mula memberanikan diri untuk bertanya.
“Tampin,” katanya sambil melemparkan senyum manis.
“Masjid Tanah kat mana?”
“Kalau dari Alor Gajah, lepas empangan batu menuju Solok Duku,” jawabnya ramah.
Tak sempat menghantar soalan susulan, gerabak mula riuh dengan teriakan.
“Stesen Tampin! Stesen Tampin!”
Aku benar-benar dipanah sesal. Mengapa tak tegurnya lebih awal tadi; setidak-tidaknya selepas Stesen Segamat?
Bagaimanapun kekesalan itu aku balas segera. Bagaikan Shashi Kapoor, aku menghantarnya turun di platform. Sewaktu dia melambai pergi, entah kenapa aku berasa betul-betul kehilangan. Sewaktu cuba menjenguk selepas wisel dibunyikan; tanda kereta api akan bertolak pergi – wajahnya tidak kelihatan lagi. Bunyi enjin kereta api semakin menderu tapi bunyi itu aku dengar semakin menjauh.