Keinginan untuk tinggal di asrama akhirnya
menjadi kenyataan juga apabila aku ditugaskan sebagai warden sewaktu melapor
diri sebagai seorang guru kira-kira sebulan lalu.
Walaupun
keinginan itu hanya dapat dicapai apabila menjadi guru, bukannya sebagai
pelajar tetapi aku tetap bersyukur kerana impianku terlaksana juga. Dengan
keinginan untuk menjadi warden yang disenangi oleh pelajar, aku cuba mengenali
secara dekat setiap pelajar penghuni Blok Asnita.
Bagaimanapun
tempoh satu bulan sebagai guru lulusan program Kursus Perguruan Lepas Ijazah,
adalah tempoh yang masih singkat untuk mengenal profesion ini secara dekat.
Setiap
hari ada sahaja pengalaman baharu yang kutimba. Peristiwa-peristiwa pahit dan
manis ini tetap aku anggap pengalaman yang boleh memperkaya kehidupanku.
Satu
pagi Isnin, aku didatangani satu lagi pengalaman yang mungkin tidak dapat aku
lupakan sehingga bila-bila.
Beberapa
minit setelah loceng perhimpunan pagi dibunyikan, aku didatangi Asmah yang
termengah-mengah memberitahu rakan satu blok dengannya, Zaleha terputus
lidahnya.
“Cikgu!
Lidah Zaleha putus,” katanya cemas sambil mengheret tanganku ke arah blok
asrama yang berdekatan.
Dari
jauh aku dapat melihat beberapa pelajar sedang mengerumuni Zaleha berhampiran
kawasan tangga asrama.
Sebaik-baik
sahaja mendekati mereka, aku dimaklumkan bahawa Zaleha terjatuh di tangga itu
sewaku berkejar ke tempat perhimpunan. Mulut Zaleha berdarah. Tangan yang cuba
menutup bibirnya turut kelihatan merah. Muka Zaleha pucat. Aku bertinggung dan
cuba melihat mulut Zaleha secara lebih dekat.
“Cikgu,
ini dia lidah Zaleha yang telah putus!” beritahu Atiqah sambil menyuakan satu
benda yang dibalut dengan kertas tisu yang turut bercampur darah. Benda itu
berwarna kehitaman seperti ketulan daging burger.
Aku
segera mengarahkan seorang pelajar memberitahu pemandu van untuk bersiap ke
hospital. Setelah memaklumkan kepada Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Pelajar, aku
berserta Zaleha yang turut dibantu oleh Atiqah segera ke hospital.
Sebaik-baik
tiba di unit kecemasan, Zaleha terus diarahkan menemui doktor. Tanpa membuang
masa, aku segera memaklumkan kepada doktor apa yang berlaku sambil menyuakan
ketulan daging yang berbalut kertas tisu itu. Bungkusan itu diletakkan di atas
meja.
“Buka
mulut!,” arah doktor muda itu sambil menyuluh mulut Zaleha.
“Dongak
di atas sedikit dan jelirkan lidah,” tambahnya.
“Sakit…,”
suara Zaleha antara kedengaran dengan tidak. Air mata kelihatan masih basah di
kelopak mata.
Setelah
beberapa kali diminta menjelirkan lidahnya, doktor muda itu kelihatan
tersenyum. “Lidahnya masih ada,” katanya ringkas sambil tangannya segera
mencapai bungkusan yang berada berhampirannya.
Selepas
membelek beberapa kali ketulan itu, tiba-tiba doktor itu bersuara sambil tersenyum
lebar. “Ini bukan lidah dia. Ini kueh cucur kodok.”
Aku
segera memaling kepada Atiqah. Tanpa diminta, dia tiba-tiba memberitahu.
“Bila
terdengar bunyi loceng pagi tadi, saya dan Zaleha sedang makan kodok pisang
cikgu. Cucur kodok tu Zaleha bawa dari kampung semalam,” katanya bersahaja. Aku
bagaikan tidak dapat bertentang mata lagi dengan doktor muda di depanku. - Azalina Jamaludin