Sabtu, 28 September 2013

‘Tenang dan murah dengan senyuman’



Jam 6.00 pagi, tanggal 2 September 2013 saya switch on komputer, seperti biasa sesudah subuh, bersemuka dengan dinding FB. Tiba-tiba terbaca  wall sahabat saya, MHM berbunyi seperti berikut;
    “JPM dalam kedukaan pada minggu ini kerana rakan sejabatan, Puan Jaimah Abdul Manaf secara rasminya sudah bertukar ke IPGK Tun Hussein Onn, Batu Pahat. Tahniah, Puan Jaimah kerana menyahut cabaran berpindah ke tempat baharu. (Tahniah juga kerana menjadi pengacara majlis di Dewan Bistari tadi.)” 
    Saya sentiasa membaca dinding MHM tetapi saya jarang-jarang menyampuk kerana MHM sentiasa guna bahasa baku tetapi saya bahasa rojak.
    Tiba-tiba MHM membetulkan kesilapannya, “ * Tun Hussein Onn” kerana tidak menggunakan huruf besar H pada nama ‘hussein’. Saya memang tabik dengan MHM dan seorang sahabat lagi, MSA sebagai ‘Munsyi Dewan’ atas keprihatinan dan kecekap-pantasnya membetul atau menegur kesilapan bahasa.
    Selanjutnya, MHM berkata,” Bercakap tentang hijrah, cerita termahal yang kekal dalam ingatan saya ialah kisah kerjaya rakan saya. Cikgu R pernah berkonflik dengan pentadbir sekolahnya, lalu terjejas kenaikan gred (pangkat) beliau. Namun, setelah berhijrah ke tempat baharu, kenaikan gred beliau berlaku pantas. Beliau antara empat orang kumpulan pertama guru BM yang mula-mula dinaikkan ke gred khas C. Rekod kerjaya beliau tampak lebih cemerlang. Namun, yang manisnya, laluan kerjaya beliau tidak banyak berbeza dengan laluan kerjaya saya. Kami belajar di kampus yang sama, pengajian yang sama. Kami menjadi Munsyi Dewan dan turut berjaya menjadi penulis buku. Apa khabar beliau sekarang?”
    Saya lantas mengucapkan tahniah dalam wall MHM, “ Cikgu Jaimah Abdul Manaf... tahniah.” Pada masa yang sama saya catat dalam ucapan yang sama dalam Wall Jaimah.
    “Terima kasih Enik Mat....pensyarah lelaki yang mula-mula menjadi sahabat baik saya semasa mula-mula berkhidmat di IPG Kampus Perempuan Melayu ...” jawapan Jaimah. 
    “Terima kasih juga buat Cikgu Mohammad Abd Ghani, sempat juga saya bersahabat dengan beliau yang sentiasa tenang dan murah dengan senyuman...” sambung Jaimah lagi.
    Saya sungguh tidak menduga maklum balas Jaimah tentang saya  yang masih berada dalam ingatannya. Saya terharu tanggapan Jaimah itu. Di luar dugaan dan andaian saya. Saya yakin ia datang dari rasa hati ikhlas Jaimah. Saya sudah lama dan  lebih tujuh tahun tidak bertemu dan tidak berhadapan dengan Jaimah.
    Saya terharu dengan tanggapan demikian kerana pada masa yang sama  ada kalangan GP Ex-MPPM membuat tanggapan liar melabel saya,
“ hidung belang” kerana membuat persepsi yang salah.
    Saya menyambung dalam kota mesej Jaimah, dengan soalan dan persepsi, “Salam Cikgu Jaemah. Tukar ke BP ke? Mengapa? Balik kampung,  atau dah jemu kat MPPM?”
    “Kampus Perempuan Melayu tetap di hati ...terpaksa ke Batu Pahat kerana perubahan gred.....,”   jawapan ringkas daripada Jaimah.

Oleh Mohammad Abd Ghani

Khamis, 26 September 2013

Lontaran Idea

Kadang-kadang kita tidak berlaku adil kepada orang politik. Dengan bersandarkan politik persepsi, setiap hari kita bicarakan mereka bagai Sang Maha Tahu dengan pelbagai tuduhan seolah-olah kitalah Hakim Yang Maha Bijaksana.
Tahukah kita betapa beratnya mereka mengendong 1,001 harapan rakyat yang kesemuanya ingin dilunasi, berhadapan dengan tuntutan parti yang meletakkan kemajuan bangsa sebagai matlamat perjuangan dan pada masa yang sama, mereka seperti kita juga iaitu seorang ayah, seorang ibu atau seorang datuk yang sudah mengah dimakan usia.
Apa kata Orang Politik mengongsi perit-getir mereka dalam bentuk catatan kreatif berbentuk anekdot agar langkah dan tindaknya lebih difahami? Buku begini lebih menarik dihulurkan menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 19 Oktober ini daripada buku yang memburukkan lawan. Apa macam? Bagi Orang Politik yang sudah membiasakan diri dengan catatan diari yang turut mengungkap kata hati, tugas ini menjadi lebih mudah lagi. Sila hubungi Studio Sang Pencerita (013-399 7395) untuk urusan lanjut.

Kena ‘Pau’


Tanggal 29 Julai 2011 bersejarah. Bertempat di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh Melaka berlangsung perjumpaan pertama Ex- MPPM 87/89 terdiri daripada Latipah Isa, Norwin Mohd Noor, Zaridah Ramli, Rauzita Abdul Manan, Yusmahani Yusoff. Mesyuarat  dijadualkan bermula tepat jam 3.00 petang tapi hanya mula  jam 3.30 kerana kelewatan peserta.
    “Lambat sangat. Tak tepat,” sindir saya.
    “Pompuan cikgu, macam-macam hal,” alasan yang diberi Yus.
    “Kak Tipah ni … riuh sepanjang perjalanan dari Seremban,” jelas Norwin
Keriuhan dan kebisingan dalam perjalanan dijadikan alasan.
    “Ketulahanlah… cikgu dulu,” sindiran saya.
Perbualan  ceria berterusan. Yus terus mula bincang tak formal. Latipah menghubungi Zaimahwati di MPPM.
    “Zai ... Tipah ni. Kau mesti datang,” kata Latipah Isa  yang menghubungi Zaimawati. “ Alasan lah tu. Fb tak buka,” tambah Latipah.
    Sebelum mesyuarat bermula berlaku masalah tempahan bilik kerana berlaku sedikit miscommunication antara Yus dengan pengurus Hotel Seri Malaysia. Yus telah membuat tempahan dan telah comfirmkan, tarikh dan pesanan. Pengurusan Seri Malaysia menafikan.  Rundingan dicapai, Seri Malaysia menyediakan tempat, jamuan buat pesanan ketika itu. Dengan bayaran yang tertentu.
    “Kami dah kena ‘pau’ dengan Seri Malaysia,” kata Siti Norwin.
    “Hu... hu.. hu ... betullah,” kata Yusmahani pula.
    Pada masa yang sama Latipah Isa berceloteh dengan pengurus Seri Malaysia.
    “Tak pe ... ini pun cukup. Kami tak komplen nanti,” kata Tipah.
    ”Tapi bagus jugak. Kak Tip pun hentam gak depa tu ... hihihi, ” tambah Norwin lagi.
    Ketika itu, Hayati Hamid, bekas GP ERT dari Putrajaya sampai bersama tiga anak gadisnya. Yati lambat 35 minit bergegas. Bila dah lambat Yati lupa segala-segala nya.  
    Mesyuarat berlangsung lebih dua jam. Jamuan ringan hanya yang dapat disediakan oleh Hotel Seri Malaysia sahaja. Ole-ole yang dibawa oleh Hayati terlupa langsung, bersembunyi dalam keretanya.
    “Minta maaf lah ... kuih  pau tu dalam kereta ... terlupa langsung nak keluarkan,” kata Hayati Hamid.
    “Akhirnya rezeki Pak Mad. Dia sabar menanti di Tol Simpang Ampat. Aku akan terkilan kalau pau itu di bawa balik ke Putrajaya ... so hang nak rasa Umi kena  pergi rumah Pak Mad lah ... keh... keh...keh !” tambah Hayati lagi.
    “Laaa,  ye ke? Hmmm ...  dah rezeki Cikgu Mad sorang je...tak pelah,” celah Siti Norwin pula.
    “Ok ... ok ... bila-bila teringin makan beritahu lah ... boleh hantar by post ke Seremban ... he ... he ...,” janji Hayati lagi.
    “Next meeting boleh le ... turun Seremban je ... kita berjamuan!” pesan Siti Norwin Mohd Noor
    “Salam... hari ni HP tertinggal kat rumah. Jarang-jarang berlaku. Bila sampai rumah kejar HP, terbaca, Yati SMS pau dia, dia terlupa. Saya kasihan kat dia ... hajat tak sampai. Saya kejar dan tunggu dia kat Tol Simpang Ampat. Kalau orang Seremban nak rasa, saya hantar pagi esok ... Banyak ni... Anyway, thanks to Yati ... susah-susah, “ jelasku.
    “Umi tu malu-malu kucing je ... hah ... Pak Mad nak hantar hari ni, kan ... hang pulak tunggu kat Tol Bangi or Kajang tahu. Ini kira pass baton lah ... kalau teringin boleh je saya buatkan pau sambal tumis petai campur  udang geragau ... biau mengigau Umi makan ... tengah malam menggagau cari pau!” kata lawak Hayati Hamid.
      “Terima kasih lah cikgu Mad kerana sanggup nak hantar ke Seremban pau tu, tapi tak payahlah,” kata Siti Norwin Mohd Noor.
    “Kak Yati dah pandai cakap ngarut-ngarut macam kak Umi ni. Come join the club! Hihihi. Ngarut je ... kita tak pernah main 'C' ,” tambah Siti Norwin.
    “Ooooo, ada POW rupanya! Sampai hati  ... semalam minum air kopi kosong je... hu hu.... tengah laPOW tau! Anyway, thank you pada kawan-kawan yang datang, ‘ majoritinya’ tak banyak "perubahan"... yang tinggi tetap tinggi ... yang bonsai tetap bonsai ... he he ... rugi Umi tak ada semalam. Kalau tak tentu dah kena POW ... he he ,” sampuk Latipah Isa.
      Seorang HALUMNAN MENYAMPUK.
      Hayati Hamid  berteriak, “ Oiiii cik Umi, siap hang lepas ni kita orang nak paww! hang.”

Oleh Mohamad Abd Ghani

Rabu, 25 September 2013

Abah Menang Kali Ini! (3)

Seperti biasa, rumahku sunyi sepi saat aku tiba di rumah awal petang itu.  Kakakku tinggal di asrama dan sebulan sekali baru pulang kebkampung. Adik pula sudah ke sekolah agama yang memang dijadualkan sebelah petang.  Kami hanya tiga beradik dan kesemuanya perempuan.  Satu-satunya lelaki dalam rumah ini adalah abah.  
    Tangga kayu anak tujuh itu kudaki perlahan-lahan.  Rumah yang seusia denganku ini sebenarnya peninggalan arwah datukku, dan sebagai anak tunggal, abah mewarisi segala-galanya dari arwah atuk termasuklah rumah pusaka ini.  
    Bahagian hadapan dan tengah rumah telah ditambah binaannya oleh ayah selepas aku lahir, hanya tinggal bahagian dapur yang masih kekal warisan rumah pusaka arwah atuk.  Agaknya, niat abah membesarkan rumah adalah memikirkan bilangan ahli keluarga yang mungkin semakin bertambah.  Namun nampaknya Allah hanya mengurniakan kami tiga beradik.  
    Selepas kelahiran adikku sembilan tahun yang lepas, tidak nampak pula  tanda yang aku akan mendapat adik lagi.  Sudah rezeki abah agaknya.  Aku tahu, abah sangat menginginkan anak lelaki, namun apakan daya, Allah jua yang menentu dan mengatur segalanya.  
    Kutolak pintu hadapan yang memang tidak pernah berkunci, hanya diselak dari dalam bila berpergian jauh.  Jika tidak, ke mana, cukup sekadar dirapatkan.  Tidak pernah pulak terfikir akan kecurian.  Mungkin orang-orang di kampungku baik-baik belaka.  
    Sebaik melangkah, kakiku tersadung sesuatu.  “Eh, kenapa ada beg besar di ruang tamu ni?,”gumamku di dalam hati.  Aku melihat sekeliling dan melihat ada selimut, bantal dan beberapa barang yang kelihatan seperti pakaian di dalam satu kotak di ruang tamu.  
    “Assallammualaikum, mak oh mak,”nyaring sahaja suaraku memanggil mak.  Terpisat-pisat mak datang dari ruang tengah rumahku sambil membawa sebakul pakaian kering.  
    “Wa’alaikumsalam, hah dah balik, lambat, kenapa?,” terus mak menyoal bertubi-tubi.  “Haah, lambat sikit keluar dari makmal sekolah tadi mak, cuaca pun terik, tak berani nak bawa motor buruk mak tu laju-laju, takut termati di tengah jalan,” jawabku perlahan sambil meletakkan beg sekolah yang kusandang ditepi pintu bilikku.
    “Ish, ada sahaja jawapannya, seburuk-buruk motor mak tu, banyak jasanya tahu, sudah pergi salin baju dan makan,” omel mak sambil tangan lincah melipat kain yang dipegangnya.  
    “Emm, mak, kenapa ada banyak barang ni mak? Siapa punya? Kak Jannah ke?,” soalku pada mak.  
    “Oh, abah la tu, masa mak balik dari ambil adik di sekolah tengah hari, abah tengah menyusunnya dalam kotak, katanya untuk Ti,” jawab mak tanpa sedikitpun menoleh ke arahku.  
    Tangan mak terus lincah melipat kain, baju dan seluar yang baru sahaja diangkat dari jemuran ketika aku sampai ke rumah tadi.  “Untuk Ti? Nak buat apa pulak? Macam nak lari dari rumah je,” jawabku tersengeh-sengeh seperti kerang busuk sambil duduk bersimpuh di depan mak.  
    Jauh di lubuk hati, aku rasa pelik dan macam ada sesuatu yang kurang enak menerawang difikiranku.  Tiba-tiba mak bangun lantas mengambil sesuatu di atas meja makan di ruang tengah.  
    Mak menghulur sampul surat berwarna putih dengan tulisan “Urusan Seri Paduka Baginda” di sudut kiri atasnya kepadaku. “Nah, cuba baca isi surat ni”, pinta mak kepadaku.  Aku segera menyambut surat tersebut dari mak dan membaca nama yang tertera di hadapan surat, “Mer…”, “Eh surat aku lah?,” bisik hatiku sambil terasa benar jantungku berdegup kuat.  
    Aku terus membaca perlahan isi kandungan surat itu.  Aku tidakpun melihat reaksi emak ketika aku habis membacakan isi surat tersebut kepada emak dan tidak pula aku kisah hendak melihat keterujaaan emak menceritakan tentang abah yang gembira bukan main bila membaca surat yang tiba pagi tadi.  
    Emak terus bercerita tentang abah yang tidak sabar-sabar terus ke pekan membeli barang-barang persiapan untukku.  Aku merasa seakan terawang-awang, degup jantungku semakin laju, seolah-olah sama seperti perasaan si Alice dalam cerita ‘Alice in Wonderland’ ketika terjatuh ke dalam lubang arnab yang gelap sambil memikir ke mana dia akan jatuh akhirnya.  Itulah yang aku rasa ketika itu.
    Usai solat isyak malam itu, aku mendekati abah perlahan-lahan, sambil dikepala aku menyusun berangkai ayat untuk kuluahkan kepada abah. Kulihat abah sedang membaca perlahan kitab Al-Quran tafsiran Jawa peninggalan arwah atuk.  
    Santai sekali bahasa Jawa yang abah lagukan ketika membaca tafsir.  “Mood abah baik ni nampaknya,” fikirku. “Abah, betul ke abah nak Ti pergi ke sekolah Teknik?,” perlahan aku melontarkan pertanyaan ini pada abah.  Abah memberhentikan bacaannya seraya memandang tepat ke mataku.
    “Eh mestilah, bukan senang nak dapat masuk kan? Lagipun itu salah sebuah sekolah asrama juga, bagus tu,” tegas sahaja suara abah menjawab. “Rasanya Ti tak pernah isi borang permohonan untuk masuk ke sekolah Teknik, pelik pula bila tiba-tiba dapat surat tawaran,” aku meneruskan pertanyaan pada abah.  
    “Hah, itulah, apa Ti ingat bila abah tak sekolah tinggi, abah tak tahu semua ni, siapa lagi, abahlah yang tolong isikan untuk Ti, Kak Edah yang kerja di Majlis Perbandaran tu yang tolong tengokkan borang, lagipun Ti kan memang nak masuk sekolah asrama kan?,” dalam renungan abah padaku.  Terungkai segala persoalan yang berlegar di mindaku sejak petang tadi.  “Pandai-pandai je abah ni, Kak Edah pun satu, tolong buat apa?,” jeritku dalam hati sambil menggetap bibir. 
    Lantas ingatanku kembali menyorot ketika aku baru sahaja menamatkan sekolah rendah agamaku (SRA) dahulu.  Abah cukup bersemangat nak menghantar aku ke sekolah berasrama aliran agama di Banting atau Klang, katanya ingin melihat salah seorang anaknya jadi ustazah atau jadi tahfiz.  
    Besarnya cita-cita abah tapi bila aku beritahu abah yang keputusan sekolah agamaku sederhana sahaja sedangkan untuk memasuki mana-mana sekolah aliran agama berasrama penuh perlu mendapat keputusan yang cemerlang 80 peratus ke atas keseluruhannya, abah terkedu.  
    Abah hampir tidak percaya namun dia akur bila aku maklumkan yang mana-mana pelajar yang berkeputusan cemerlang telahpun menerima surat tawaran dari sekolah-sekolah yang berkaitan sedangkan aku tidak menerimapun sebarang surat. Abah menerima sahaja pilihanku untuk meneruskan persekolahan tingkatan satuku di kampung sahaja.  Sungguh, abah tidak tahu, sebenarnya aku telah menyembunyikan dan membakar surat tawaran ke sekolah berasrama aliran agama yang aku terima dari Ustaz Ali, Guru Besar Sekolah Rendah Agama di kampungku.   
    Nasib baik ustaz beri semasa di sekolah, bolehlah aku sorok dari pengetahuan abah. Masih terngiang-ngiang lagi kata Ustaz Ali kepada ku, “Mer, awak di antara yang mendapat pencapaian bagus dalam peperiksaan Sekolah Rendah Agama yang lepas, keseluruhan markah awak 83 peratus, jadi peluang awak untuk memasuki mana-mana sekolah berasrama aliran agama cerah, biasanya pihak sekolah akan menyenaraikan nama-nama pelajar yang berpotensi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk ditawarkan sekolah yang bersesuaian.”
    “Terima kasih ustaz, tapi rasanya biarlah saya belajar di kampung dahulu. Kakak saya telahpun bersekolah di asrama, kalau saya pun masuk sekolah asrama, jauh pula tu, takut menyusahkan abah pula. Pendapatan abahpun cuma harapkan hasil kebun kelapa sawitnya sahaja, takut banyak perbelanjaannya nanti,” balasku sopan tidak mahu mengecilkan hati ustaz kesayanganku ini.  
    “Tidak mengapa kita cuba dahulu, jika dapat tawaran nanti awak fikirkan semula ya,” pujuk Ustaz Ali lembut.  Ustaz Ali tidak tahu yang ketika itu aku telahpun bulatkan tekad untuk menolak mana-mana tawaran yang aku terima nanti, sudahlah aku tak minat aliran agama, kalau abah tahu mesti aku kena paksa pergi juga.  
    Faham sangat aku dengan kuasa ‘veto’ abah.  Sudahlah dicanangnya di seluruh kampung kata anaknya nak jadi ustazah.  Ustazah benarlah aku ni, kehulu ke hilir masih lagi memakai skirt dan gaun, sambil rambut bertocang dua, kadang-kadang ikat ekor kuda.  
    Salah aku juga belajar rajin sangat sampai tiap tahun mesti dapat nombor di antara lima yang teratas.  Semasa aku melihat api yang perlahan-lahan membakar surat tawaran ke sekolah asrama aliran agama itu, aku tahu abah kalah dan akulah pemenangnya. 
    Kurenung kembali wajah abah dalam-dalam. “Tapi abah, Ti tak minatlah nak belajar di sekolah Teknik, bidang kejuruteraan awam pulak tu, tak pernah belajar masa di sekolahpun, lagipun Ti minat bidang Sains, sekolah sekarang pun dah ok je,” jawabku penuh panjang lebar mengharapkan abah faham permintaanku.  
    “Abah, kalau tak pergi tak apa kan?”, pintaku manja sambil mengharapkan abah faham cita-cita dan impianku dalam bidang Sains.  “Apa!”, jegil abah membuntangkan matanya ke arahku.  “Abah dah bersusah payah isi borang, tolong hantarkan borang, ini jawapan kau!”, jerkah ayah menusuk ke gegendang telingaku.  
    Emak segera datang ke sisiku bila terdengar suara abah yang kuat.  Adik macam biasa mengerekot di tepi emak, dia memang cukup takut dengan abah, apatah lagi bila abah marah-marah macam singa lapar.
    “Semua barang abah dah belikan, beg, baju sekolah baru, kasut baru, apa nak lagi hah? Abah nak Ti pergi juga ke sekolah Teknik tu, nanti keluar boleh jadi arkitek, cerah masa depan kalau berjaya jadi arkitek,” pujuk abah dalam nada suara yang bergetar menahan marah.
    “Ti tak minatlah abah, janganlah paksa, kak Jannah tu abah tak pernah paksapun, dia nak sekolah mana abah tak kisahpun? Belajar Sains pun bagus juga, boleh jadi saintis, doktor, ahli farmasi, dahlah lukisan Ti teruk, kalau nak jadi arkitek mesti pandai melukis, tak sesuailah dengan jiwa Ti abah,” panjang lebar aku menjawab kembali dengan nada yang agak tinggi juga, menambah lagi ketegangan ketika itu.  
    “Ah, sudahlah! aku kerja susah payah siang malam, nak minta balas sikit pun tak boleh, kalau tak mahu, buang sahaja semua barang-barang ni!”, jerit ayah membuatkan aku, mak dan adik terkejut dan berundur setapak ke belakang.  
    Abah terus meluru keluar sambil menghempas pintu.  Terkedu aku, air mata berjujuran membasahi pipiku, selaju air terjun Niagara rasanya, dan dinginnya menusuk sampai ke jantung, dalam lukanya.  
    Emak terpempan seketika sambil membetulkan semula beg yang ditendang abah ke sudut semasa hendak membuka pintu.  Barang-barang dalam kotak yang abah beli siang tadi bertaburan di ruang tamu.  
    Sambil mengutip barang-barang dan meletakkan semula ke dalam kotak, lembut emak memujukku, “Pergilah Ti, janganlah dilawan cakap abah tu, gembirakanlah hati abah tu, lagipun Ti kan lebih manja dengan abah, sebab tu abah nak yang terbaik buat Ti, mak yakin Ti boleh belajar dengan baik nanti, Insya-Allah minat tu akan datang nanti, kalau kita gembirakan hati ibu bapa kita pasti Allah akan bantu permudahkan urusan kita,”
    Ya Allah, ujian apakah ini? Apakah ini balasan aku atas perbuatanku membakar surat tawaran ke sekolah agama dahulu?  Hatiku tiba-tiba merasa bersalah yang amat sangat, keinsafan menerpa di mindaku kerana meninggi suara kepada abah tadi.  Terbayang wajah Lim, Pei Pei, Rajish, Jef, Munim, Cikgu Zakiah, guru Biologi kesayanganku, berputar ligat di depan mataku.  
    Aku merenung jauh, semakin sayup suara emak kudengar, kabur pandangan mataku dengan air mata yang tidak henti merembes keluar.  Hatiku merintih, menggembirakan hati abah bermaksud merenggut kegembiraanku sendiri, mampukah aku mengharunginya nanti, bila hari-hariku terasa suramnya berpanjangan, saat itu jua aku sama seperti Alice, yang hanya pasrah menerima apa jua yang mendatang.  Ya, malam itu, ternoktah kemas di lipatan sejarah hidupku, abah menang kali ini.
Oleh: Merhayati Sipon


Abah Menang Kali Ini! (2)

Malu tak terkira aku, apatah lagi si Naser saingan aku dengan bergaya berjaya memintas keputusan SRPku dengan hanya selamba mengekalkan keputusan SRPnya sama dengan pencapaian semasa percubaan, 9 agregat.  
    Walaupun 9 agregat, tapi itulah kelayakan maksimum (termasuk kepujian dalam Sains dan Matematik) yang membolehkan pelajar-pelajar luar bandar seperti kami, berpeluang memohon ke sekolah-sekolah berasrama penuh ketika itu.  
    Abah tidak tahu yang aku demam teruk sepanjang hari peperiksaan, entah virus mana yang menyinggah badan aku, atau si pendengki mana yang menghantar pelesitnya kepada aku (astaghfirullahal’aazim, sampai kesitu sekali tuduhanku, tidak berasas langsung), atau sebenarnya akibat terlalu banyak berjaga malam mengulang kaji sampai tidak tentu masa tidurku.  
    Setiap kali balik sekolah  sepanjang hari peperiksaan itu, aku akan terus tidur sambil berselimut seluruh badan, menggigil-gigil kesejukan.  Mak memang simpati sambil tak jemu meletakkan tuala basah di dahi dan mensuakan ‘panadol’ dan ‘cortal’ kepadaku untuk ditelan bagi mengurangkan serangan demam.  
    Aku malas nak ke klinik, tahu sahajalah abah, kalau bukan mood yang baik, sakit pun dibuatnya tidak peduli, apatah lagi kalau perlu pula mengeluarkan wangnya sendiri lagi.  Tahan sahajalah, pujuk ku pada hati sambil memohon agar Allah segera menyembuhkan demamku itu.  
    Memang aku jarang demam, tapi kenapalah pada hari itu? Sampai aku terpinga-pinga menggaru kepala yang tak gatal semasa menjawab kertas Bahasa Inggeris kegemaranku kerana sukarnya nak menulis karangan dek kepala yang terasa berat dan selsema yang tak henti menyumbat hidungku dengan lendir pekat kehijauan.
    Kalau aku tidak demam, mungkin keputusan SRP aku lebih baik dari percubaan, dan mungkin aku berjaya ke MRSM seperti si Naser itu.  Sampai sekarangpun, aku kadang-kadang alpa untuk bersyukur bahawa semua ini ketentuan-Nya, bahawa Allah itu sentiasa memberi apa yang kita perlukan secukupnya dan bukannya apa yang kita impikan.  
    Sesungguhnya, qada’ dan qadar Allah itu terlalu misteri untuk dirungkaikan dengan pemikiran asas apatah lagi jika ilmu di dada dan amalan ibadah tidak sebanyak mana. 
    Maka, kutanam azam untuk memperbaiki pembelajaran dan pencapaian aku di sekolah baharu di Pekan Batu Lima itu.  Apatah lagi bidang Sains memang menjadi kegemaranku dan salah satu kerjaya impianku adalah untuk menjadi seorang penyelidik ataupun saintis.  
    Alhamdulillah, walaupun di kelas terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar bukan Melayu, terutamanya Cina dan India, tapi aku suka dengan suasana pembelajarannya dan rakan-rakan bangsa lain yang tidak lokek memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu.  Apabila kelas bercampur bangsa lain dan Melayu menjadi golongan yang minoriti, semangat untukku belajar meluap-luap dan aku bagai gila belajar di sekolah ini, mungkin nak membuktikan pada diri yang aku juga setanding dengan bangsa lain, yang sememangnya menguasai bidang Sains dan Matematik.  
    Contohnya si Lim, anak tauke kedai ubat di pekan Batu Lima, tiga hari seminggu pergi kelas tuisyen, mana tak pandainya.  Jika nak dibandingkan dengan aku, kelas tuisyen terakhir yang aku hadiri adalah semasa sebelum peperiksaan SRP tahun lepas.  Itupun dibuat oleh salah seorang anak kampung yang sedang belajar di Universiti Malaya ketika itu, berinisiatif bersama rakan-rakan Persatuan Mahasiswanya, untuk mengadakan kelas tuisyen percuma untuk anak-anak kampung yang akan menghadapi peperiksaan.  
    Tersenyum aku seketika teringat kenangan pertama kali bertuisyen dan pertama kali di’angkat’ sebagai adik oleh salah seorang fasilitator yang juga mengajar Matematik, Abang Wan, pelajar jurusan ekonomi di Universiti Malaya.  
    Abang Wanlah yang tak jemu meniup semangat untuk aku terus berjuang dalam pembelajaran selepas aku yang kesedihan mengutus surat kepadanya memaklumkan keputusan SRPku.  
    Tidak ramai rakan sekolah di kampung yang turut sama bersekolah di Pekan Batu Lima ini.  Kawan-kawan rapatku, Ida dan Nor ke Sekolah Menengah Teluk Datuk di Banting, Liza ke Sekolah Tunku Abdul Rahman di Klang, manakala Jilah dan Hanisah sahaja yang kekal di kampung kerana keputusan SRP mereka berdua pun hanya sesuai ke aliran sastera sahaja.  
    Di sekolah baharu ini, aku sekelas dengan Jef, Munim, Ijen, Anuar dan Awa yang dulunya bersama-sama bersekolah di kampung serta Zaim, Tini, Siti, Mona dan Faisal yang memang pelajar sekolah tersebut.  Selebihnya, Lim, Pei Pei, Guan, Ah Beng, Rajish, Kumar, Santhi dan beberapa pelajar bukan Melayu lagi memang telah bersekolah di situ sejak tingkatan satu lagi.  Pendek kata majoriti adalah pelajar pekan sedangkan kami berenam merupakan pelajar kampung yang tidak biasa dengan hiruk-pikuk di pekan dan tuisyen bagi kami adalah satu kemewahan, apatah lagi mempunyai buku-buku rujukan tambahan sendiri.  
    Buku-buku rujukan yang ada pun mengharapkan buku peninggalan pakcik, makcik atau kakak dan abang atau meminjam di perpustakaan sekolah yang sudah lusuh benar rupanya.  
    Namun, demi cita-cita di bidang sains, kami berenam sanggup bersekolah di pekan yang jaraknya melebihi lima batu dari pinggir kampung kelima.  Kampung halamanku sebenarnya meliputi lima buah kampung lain yang populasinya di setiap kampung itu mempunyai 50 – 60 buah rumah penduduk, oleh kerana pengetahuan Geografiku belum kukuh dan mantap lagi, jadi anggaran mengira populasi berdasarkan bilangan rumah sahaja.  
    Jika setiap rumah dihuni oleh 10 orang dan katalah setiap kampung ada 60 buah rumah, maka secara kiraan kasarnya, jumlah populasi adalah lebih kurang 3,000 orang tidak termasuk penduduk di kampung Orang Asli.  Begitulah, cabaran di sekolah baharu cuba ku tangani sebaik mungkin, dan keputusan kuiz dan ujian bulanan yang kuperolehi untuk Matematik, Biologi dan Kimia amat mengujakan aku.  
    Tidak sia-sia aku membuat latih tubi dan berbincang bersama Lim, Pei Pei dan Rajish.   Cuma aku sedikit terkilan apabila melihat rakan sekampungku yang lain seperti kurang berminat belajar di aliran sains selepas masuk bulan kedua, dan kulihat mereka juga kurang berinteraksi dengan rakan sekelas selain bangsa Melayu.  
    Memang aku akui, sukar dan beratnya mempelajari subjek Sains ditambah pula dengan Matematik Tambahan yang memang perlukan latih tubi untuk dikuasai.  Tambahan pula, kami ini tidak mengikuti mana-mana tuisyen di luar sekolah.  Namun begitu, dek kerana mulutku yang agak peramah ini, ringan sahaja aku bergurau senda dengan pelajar bukan Melayu sambil dalam masa yang sama bertanya dan berbincang tentang sesetengah topik yang aku kurang faham.  
    Yang pasti, jangan bertanya kosong tanpa menunjukkan usaha, itu yang aku betul-betul jaga dan gunakan sebaik-baiknya untuk menawan hati pelajar bukan Melayu ini.   
    Untungnya, aku dapat ‘cikgu tuisyen’ free sahaja bersama mereka, malah secara tidak langsung aku dapat menambahbaik penguasaan Bahasa Inggeris aku memandangkan pelajar bukan Melayu biasanya kerap menselang-selikan di antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di dalam perbualan.  

    Selain dari itu, sifat dan keperibadian pelajar Melayu dan bukan Melayu juga berbeza. Pelajar bukan Melayu lebih berani bertanya dan mengutarakan jawapan dan pandangan di dalam kelas, malah kadang-kadang itu seperti berlumba-lumba pula mengangkat tangan untuk bertanya.  Itu yang menarik hatiku dan menyebabkan aku juga turut terikut-ikut seperti mereka, sekurang-kurangnya kita lebih faham bila banyak bertanya dan suasana kelas juga nampak meriah dan menghiburkan bila jawapan yang kita beri bukan sahaja salah tetapi agak melucukan bunyinya.  Ya, aku mengakui mulai jatuh cinta dengan sekolah ini dan guru-gurunya juga baik belaka walau tak seramah bekas guru-guru di sekolah lama dahulu.
Oleh: Merhayati Sipon

Semangat Tetap Bersamaku


Perjalanan pulangku dari menghantar ibu di Kampung Kuala Serdang,Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, mataku tertumpu pada rimbunan pepohon buluh yang hidup melata berhampiran jalan yang kulalui.
    Terlajak ke depan kereta yang kupandu, lantas segera kuberundur untuk mengambil gambar salah satu pokok buluh yang suatu ketika dahulu sangat ku cari-cari semasa bermain hoki dengan rakan-rakan sepermainanku ketika di zaman kanak-kanak ku.
    “Mano ko nak poie ni, berundur lak keto ke belakang. Apo yang ko nak buek,” kata emak ku kehairanan.
    “Kojap mak, nak ambil gambar pokok buluh tu. Maso kocik-kocik dulu, pokok buluh macam inilah yang dicari-cari sobab nak melayakkan diri dapat bermain hoki dengan kawan-kawan maso kito menyewo kat Kampung Dusun Nyior, Ampangan dulu,” kataku pada mak.
    Tercuit hati kecilku bila mengingatkan kisah lalu ketika bermain sukan hoki di kampung. Maklumlah kehidupan yang serba kekurangan, manalah ada kemampuan abah untuk membelikan aku kayu hoki walaupun aku sangat berminat dengan sukan itu.
    Nak jadikan cerita, pada suatu hari rakan-rakan sekampung mengadakan perjumpaan untuk berbincang bermain hoki pada hari itu. Bagaimanapun, masing-masing menarik diri kerana tiada kemudahan peralatan sukan dan agak mustahil untuk diteruskan hasrat.
    Bagaimanapun, timbul idea salah seorang rakan dalam kumpulan perbincangan itu iaitu  bermain hoki dengan menggunakan buluh sebagai kayu hoki dan buah manggis yang sudah kering sebagai bolanya.
    “Apa susahnya, tak yah fikir panjang laie, meh kita poie cari pokok buluh, mano yang kat pangkalnya tu melengkung sikit kita ambil dan kita bentuklah jadi kayu hoki. Yang bola dia pulak, kita carilah mana-mana buah manggis kering yang ada bersepah kat laman tu,” kata salah seorang rakan sekampung ku.
    Dengan semangat yang berkobar-kobar, kumpulan perbincangan kami bersurai dan masing-masing menuju ke arah pokok buluh terbiar yang hidup merimbun bersebelahan tanah perkuburan di Kampung Dusun Nyior.
    Oleh kerana minat yang terlalu mendalam dan ingin menyertai permainan itu pada sebelah petangnya nanti, aku bersungguh-sungguh mendapatkan pokok buluh yang bersesuaian dan berusaha membentuknya menjadi kayu hoki yang paling kreatif.
    Moral daripada cerita ini, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Berusahalah dengan seboleh mungkin, kerana tiada istilah mustahil di dalam dunia ini.
    Apatah lagi dalam sidang akhbar bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan baru-baru ini, antara ungkapannya:
    “Yang penting, bila kemudahan ada, kita mesti mempunyai juga disiplin dan semangat untuk guna kemudahan tersebut. Kadang-kadang kemudahan ada depan mata, tapi kita tak tahu nak guna. Sebenarnya kemudahan ini adalah faktor kedua, banyak orang yang tiada kemudahan, tetapi ia boleh berjaya.
    “Tak ada gelanggang sepaktakraw di Myanmar, tapi mereka boleh menang bila berlawan dengan kita. Dia pakai kain jer bermain takraw...” camno tu????
    Dengan mempunyai asas bermain hoki walaupun tidak secanggih yang ada, aku tidak merasa janggal mempamerkan bakatku apabila diminta oleh guru sukan Puan Suvender Sing, ketika menguji kebolehanku untuk dimasukkan dalam pasukan hoki di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan KGV.

Oleh Juriyati Mat Jalil

Abah Menang Kali Ini! (1)

Mana satu penulis cerita ini?
Hari ini memang sangat melelahkan.  Dua subjek Sains dijadualkan pada hari yang sama, Fizik dan Biologi.  Walaupun Biologi hari ini merupakan hari amali, tetapi ketekunan menyelesaikan ujikaji menyebabkan aku alpa dengan deringan loceng tandanya berakhir persekolahan hari ini.
    “Eh, kamu tidak mahu balik ke, May?” tegur Lim, gadis Cina bermuka bulat dan berkaca mata itu dan juga merupakan rakan kumpulan ujikajiku di Makmal Biologi.  
    “Haah, nak, sikit lagi nak habiskan penulisan laporan makmal ni, senang, tidak perlu di bawa balik jika dah siap,” aku menjawab sambil tanganku masih sibuk bertingkah menulis bait-bait pelaporan berkaitan tulang manusia.
    “Hmmm, beginilah jadinya kalau sudah terlalu minat, berjela-jela menulis,” gumamku dalam hati.  
    “Ok, Lim, dah siap, cuba you baca dan tambah atau betulkan mana yang perlu, I rasa ini jawapan I yang terbaik tapi you lagi ‘terer’ Biologi daripada I”.  Terus kuhulurkan Buku Kerja Makmal Biologi kepada Lim.   
    “Mana ada, kita sama-sama belajar, sama-sama pandai ma…,” senyum Lim sambil mengambil buku kerja yang kuhulurkan.  
    Bersekolah di sini memberikan satu pengalaman sosial yang baru buatku memandangkan sekolah lamaku di kampung hampir sukar untuk melihat bangsa lain selain Melayu menjadi pelajar di sekolah.  
    Namun begitu, terdapat juga pelajar anak Orang Asli dari kampung bersebelahan kampung nenekku turut bersekolah menengah disitu, itu pun boleh dikira dengan jari.  Lantas aku teringat rakan sekelas lama sepanjang di tingkatan satu hingga tingkatan tiga di kampung, Suhada Binti Nangka, gadis sunti anak Orang Asli yang tidak pula pernah kuketahui nama keturunannya, Jakunkah? Semaikah? Sakaikah?  Yang aku tahu, sudah sepakat, orang-orang kampung pun memanggil kumpulan kecil yang mendiami pinggir kampung nenekku itu, yang rumah penduduknya (atau mungkin hanya layak dipanggil pondok kecil sementelah keluasannya seperti wakaf menunggu durian di dusun nenekku) tak lebih dari 15 buah rumah itu, ‘orang Asli’.  
    “May, I rasa cukuplah jawapan kita ni, mesti Cikgu Zakiah puas hati dengan kerja amali kita hari ini,” suara Lim yang lembut mematikan lamunanku tentang Si Suhada, gadis orang Asli, bekas rakan sekelasku yang pandai melukis itu.
    Cikgu Zakiah tersenyum lebar ketika menerima Buku Kerja Amali Biologi yang kami berdua hulurkan, “ Bagus, macam inilah cikgu puji, siapkan kerja tanpa berlengah, bukan macam seorang dua itu, sibuk nak balik ke rumah, walhal rumah sebelah sekolah sahaja,” komen Cikgu Zakiah sambil tangannya juga sibuk menyusun buku-buku nota dan rujukan kepunyaannya.  
    Rupa-rupanya tinggal kami berdua pelajar yang masih ada di makmal, dan setianya Cikgu Zakiah menunggu kami menyiapkan kerja tadi. “Terima kasih cikgu, jumpa lagi esok,” riang sahaja aku dan Lim membalas dan terus menggalas beg masing-masing menuju ke pintu keluar makmal.
    Teriknya cuaca tengah hari itu kutempuh berhati-hati.  “Nasib baik pakai helmet, kalau tidak mau cair otak aku ni,” desis hatiku sambil tangan memulas minyak motosikal tua Honda C70 kepunyaan Mak.  
    Oleh kerana umurnya yang telah lama, berbelas tahun kukira, kelajuan yang boleh dicapai oleh motosikal ini hanyalah 50 batu sejam, apatah lagi terpaksa melepasi lorong-lorong taman perumahan dan melewati tepi kandang-kandang kecil khinzir (pekan ini asalnya kampung baru khas untuk orang-orang Cina semasa zaman bermaharajalelanya komunis dahulu di tempatku) sebelum berjumpa jalan utama, terpaksalah aku mengenderainya tidak lebih dari 30 batu sejam sahaja.  
    Begitulah rutinku hari-hari pergi dan pulang ke sekolah apabila menaiki motorsikal ini, kalau ku tempuh terus jalan besar, alamat tak sabar-sabar abang polis akan menahan.   
    Tengok rupa dan gaya pun tahu, aku ni belum ada lesen memandu.  Inipun, bukan senang aku nak memujuk emak untuk membenarkan aku ke sekolah menaiki motosikal.  Teringat kata-kata emak dua minggu lepas, “Ti kan belum ada lesen, motor emak tu pun bukannya ada cukai jalan, abah tak mahu bayar, motor dah tua katanya, nanti kalau ditahan polis macam mana?”. 
    “Alah mak ni, kalau kena tahan polis senyum jelah, Ti kan lawa,” jawabku mengusik emak.
    “Lagipun mak, dah sebulan Ti ulang-alik naik bas, kena naik basikal lagi dekat sebatu lebih jauhnya baru sampai di pondok bas, letih lah mak.”
    “Bas tu pulak bukannya datang ikut jadual, selalu lambat, sampai pengawas pun dah jelak nak tulis nama Ti dalam buku kehadiran sebab selalu lewat, walhal Ti sampai kat pondok bas tu pukul 6.30 pagi setiap hari.”
    “Kalau naik motosikal, senang mak, sampai awal ke sekolah berbanding kalau Ti nak mengayuh basikal, dekat lima batu jaraknya nak ke sekolah kat pekan tu.”
    Panjang lebar jawapanku pada mak dengan tujuan nak menjustifikasikan alasanku untuk menunggang motosikal sendiri ke sekolah.  Mak akur sahaja dengan jawapan anak daranya yang seorang ini, yang memang terkenal banyak cakap dan hujahnya.  
    Aku mencium tangan mak sewaktu mak mengatakan persetujuannya, kerna aku tahu mak terpaksa mengayuh basikal pula untuk ke kebun jika abah menggunakan motosikalnya.  Di rumah ini, ada dua buah sahaja motosikal untuk kegunaan isi rumah, satu mak dan satu lagi abah, sebab itu aku tahu mak berat juga nak memberi kebenaran kerana nak bertolak-ansur dengan abah memang jarang dapat menang.
    Tamat tingkatan tiga di sekolah kampung tahun lepas, aku terus membuat keputusan untuk meneruskan persekolahanku di pekan Batu Lima kerana sekolah di kampungku tidak menawarkan aliran Sains.  
    Keputusan SRPku yang jauh bezanya dengan keputusan percubaan, sedikit sebanyak mengecewakan abah.  Keputusan 11 agregat tidak melayakkan aku untuk ke mana-mana sekolah Sains berasrama penuh atau ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menjadi impianku sejak dahulu.  Walhal, semasa percubaan aku meraih 7 agregat sehingga diangkat pelajar terbaik tingkatan tiga disekolah tahun itu.  
Oleh: Merhayati Sipon

Memang Kerana Nama

Firdaus bersama rakan sekelasnya sewaktu Darjah 6 Merah iaitu Mona Liza
dan Hayati Abdullah
Entri Firdaus Abdullah: Maafkan Cikgu! ternyata segera mendapat perhatian pengunjung blog ini apabila kisahnya terus menduduki tangga teratas Catatan Popular tidak sampai 24 jam selepas dipos.
     Firdaus yang tidak ditemui secara berhadapan lebih 30 tahun lalu juga tidak berkesempatan untuk diajak berbual panjang sewaktu majlis temukembali bekas murid Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Besar (TBS), Tampin Sabtu lalu.
     Selain masing-masing sibuk berkongsi kisah silam, muzik kuat melatari pertemuan benar-benar mengganggu. Lebih nostalgik pada pertemuan begini pada masa akan datang dimainkan sahaja lagu-lagu yang melatari kehidupan kita ketika itu secara perlahan. Namanya pun muzik latar, bukan muzik utama.
     Sebetulnya aku masih dapat mengecam wajah Firdaus dan rakan-rakan sekelasnya Darjah 6 Merah yang masih kusimpan, malah dipaparkan di laman sosial Facebook sebelum ini.
     Masih segar benar dalam ingatan wajah Noraslina Nasir (Aslina Kamila), Izza Noreeza, Mona Liza, Eddie Azman, Intan dan ramai lagi.
     Bagaimanapun peliknya, Firdaus mengundang misteri apabila tidak memberi reaksi langsung pada hari pertama ceritanya dipaparkan di blog dan promosi dilakukan di Facebook yang dia juga salah seorang Friendku. Adakah sifat semula jadinya begitu?
     Bagaimanapun sewaktu aku mengajarnya dahulu, Firdaus seorang budak yang aktif; rajin bertanya dan sering menawarkan diri untuk melakukan apa sahaja.
     Kini Firdaus kulihat lebih banyak bersifat `low profile’ walhal dia wartawan dan blogger ternama.
     Benarlah! Aku dapat mengesan pegangannya melalui blog Apanama, miliknya. Dia mungkin berpegang kepada kata-kata Indira Ghandi yang turut aku sertakan dalam ceritanya sebelum ini.
     Bagaimanapun agak lewat malam tadi, penantianku berakhir. Peti mesej FBku berbunyi.
  • Zulkifli Abu
    2:37am
    Zulkifli Abu


    ceritaapaapasaja: Firdaus Abdullah, Maafkan Cikgu!
    ceritaapaapasaja.blogspot.com
  • Firdaus Abdullah
    11:27pm
    Firdaus Abdullah

    Terimakasih cikgu. Sebenarnya cikgu yg harus maafkan saya kerana tidak berkesempatan berjumpa dgn cikgu sebelum ini. Terima kasih Cikgu Zul.
  • Zulkifli Abu
    11:27pm
    Zulkifli Abu
    Sebenarnya saya pembaca setia blog you sejak lama tapi tak tahu youlah (sorry) Gunalan dahulu.
  • Firdaus Abdullah
    11:29pm
    Firdaus Abdullah
    ha ha TQ cikgu
  • Zulkifli Abu
    11:29pm
    Zulkifli Abu
    Itu sebabnya saya berasa agak terkilan sedikit kerana tidak memberi perhatian kepada you juga, seperti murid lain yang berjaya.
  • Firdaus Abdullah
    11:30pm
    Firdaus Abdullah
    Its ok Cikgu..
  • Zulkifli Abu
    11:30pm
    Zulkifli Abu
    Saya suka dengan prinsip you. Sebenarnya saya mengamalkan pegangan yang sama; seperti yang dikatakan Ghandiji.
  • Firdaus Abdullah
    11:31pm
    Firdaus Abdullah
    Terima kasih cikgu.
  • Zulkifli Abu
    Zulkifli Abu
    Bagaimanapun biasalah, saya juga sering disalah mengerti.
  • Firdaus Abdullah
    11:32pm
    Firdaus Abdullah
    Itu sudah lumrah cikgu. Saya cuba mengikut gaya, cara dan displin Tun Dr Mahathir cikgu.

  • BTW pada peringkat awalnya you kerja dengan media mana?
  • Firdaus Abdullah
    12:22am
    Firdaus Abdullah
    I kerja dgn The Star, Sun, TV3 dan akhir sekali dgn NST cikgu. All in 20 tahun. last post political editor NST.
  • Zulkifli Abu
    4:55am
    Zulkifli Abu
    Betullah apa yang saya agak selama ini. Kekeliruan timbul semata-mata kerana nama you. BTW tahniah! Saya tumpang bangga Firdaus!