Halaman

Selasa, 21 Februari 2012

Penumbuk


SEWAKTU menunggu pesanan, Izam bekas muridku di Sekolah Rendah Tunku Besar Tampin (TBS) masuk ke gerai berhampiran stadium kira-kira jam 11.00 malam tadi, bersama isterinya.
    “Apa khabar cikgu?,” tanyanya ramah dalam wajah kekenyangan.
    “Dari mana?”
    “Baharu makan sate di Bonda Kandung, Senawang dan singgah di sini bertemu rakan sepejabat lama,” jawabnya.
    Sambil menyuap nasi goreng lada api dan Radix panas, satu persatu cerita di TBS terpancut keluar.
    “Cikgu ingat tak Farid, Norlaila, ….. dan …..?”
    “Farid saya temui sewaktu reunion di Kelab Darul Ehsan. Norlaila rakan FB saya dan akhir-akhir ini ceritanya macam orang hendak kahwin sahaja,” kataku sambil mengingat kembali wajah bekas murid-muridku kira-kira 32 tahun yang lalu.
    “Ingat Saravanan?,” tanyaku pula.
    “Dia 6 Putih cikgu,” jawab Izam.
    “Tahu di mana dia sekarang?”
    “Tak tahu,” jawab Izam pendek.
    “Dia sudah jadi Asyraf Abdullah. Orang penting di Media Prima yang membuat temubual ekslusif dengan Raja Petra di Sydney.”
    Izam melongo.
    Izam yang sering kutemui sewaktu berurusan di Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) agak sedikit berbeza kebelakangan ini. Rasa rendah dirinya kelihatan sudah pulih.
    “Norlaila di mana cikgu?”
    “Dia sudah jadi orang besar di UniKL – Human Resources Manager.”
    “Sarjana saya hampir selesai. Bolehlah saya mohon pensyarah di sana… tapi takut dia orang sombong pula,” rasa rendah dirinya kembali semula.
    Aku dapat mengesan rasa rendah diri Izam, seorang staf sokongan di LMNS kerana dia semacam malu ketika diajak ke majlis temukembali TBS.
    “Saya segan cikgu. Dia orang sudah jadi orang besar-besar,” begitulah ceritanya dahulu.
    Malah dia mengaku pernah bertemu Farid di KLIA yang sedang berkot tapi enggan mendekatinya.
    “Agaknya saya sudah cakap perkara ini tak cikgu?,” tiba-tiba Izam menukar tona perbualan.
    “Cerita yang mana?”
    “Cerita Blacken, budak 6 Kuning yang agak hitam kulitnya itu.”
    “Kenapa dengan Blacken? Dah meninggal ke?”
    “Bukan cikgu,” Izam senyum sinis.
    “Dia sekarang sudah jadi polis. Beberapa tahun lalu saya ada berjumpa dengannya.
    “Bila saya cerita yang saya selalu berjumpa cikgu, dia terus terjah saya.”
    “Apa katanya?”
    “Maaf cikgu ya! Katanya kalau dia jumpa cikgu, dia akan beri penumbuk.”
    “Puncanya.”
    “Cikgu ingat tak dahulu? Sewaktu memeriksa kebersihan kami, cikgu selalu tarik kuku pada tangan. Oleh kerana dia hitam, kesan daki mudah dilihat di tangan Blacken,” cerita Izam jujur.
    Aku tersengih sambil menghirup Radix yang sudah sejuk.
Catat Ulasan