Halaman

Rabu, 6 Jun 2012

Anjing

Dalam semak ada duri, ayam kuning buat sarang. Orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang- bayang. Begitulah selalu dikaitkan dengan sikap orang yang tamak.
     Pendek kata bila nak dikaitkan dengan perkara yang buruk dan kotor; selalunya anjinglah yang selalu dibidal orang. Bagi pendapat aku agak lain sedikit. Setiap mahluk bernyawa yang dijadikan Allah di dunia ini tentu ada baik buruknya. Kalau nak dikira najis, memang anjing itu najis tapi taklah susah  sangat nak dibersihkan. Kalau perlu samak ambil saja tanah dan tak berapa sen pun modalnya.
     Sebaliknya  ada banyak lagi perkara yang najis yang jauh lebih susah nak dibersihkan. Contoh yang mudah ialah najis dadah - bukan sahaja menyusahkan rakyat dan  negara tapi banyak membazir dan menghabiskan wang negara. Menempatkan pusat-pusat pemulihan dan menyediakan termasuk makan minum setiap hari berapa punya susah kerajaan. Malah  masalah tersebut tak habis-habis hingga sekarang. Bertambah ada lagi  setiap tahun. 
     Penagih dadah? Bagaimanalah kesudahannya nanti? Sebaliknya kita tengok pula apa sumbangan mahluk bernama anjing ini dalam membanteras najis dadah. Tidakkah pihak polis dan kastam  terpaksa menggunakan  anjing untuk mengesan dadah. Mampukah pihak polis dan kastam menghidu di mana dadah tersebut disembunyikan  terutama  dipintu pintu masuk dari luar negara?
     Malah anjing lebih berkebolehan mengesan penjahat-penjahat walaupun  penjahat tersebut telah menyamar bermacam-macam watak. Pengamatan dan mengecam watak musuh anjing lebih berkebolehan. Pihak tentera bahagian perisikan menggunakan anjing untuk megesan pihak komunis terutama ketika dalam hutan.
     Banyak lagi kegunaan anjing dalam kehidupan  di dunia ini. Malah kerja menyalak dan menggigit pun kita tak larat. Apakah lagi kerja kejar-mengejar  sambil melompat dan menyusup halangan sudah pasti kita tak terbuat.
     Di sini aku masih teringat  pengalaman hidup bersama saekor anjing kesayanganku  semasa persekolahan dahulu. Setiap pulang dari sekolah  selepas makan tengah hari aku akan memberi makan anjingku pula.
     Bila petang sadikit aku bersiap-siap dengan kelengkapan berburu bersama anjingku. Lastik dan peluru lastik serta pisau belati tetap  ada bersama. Kadang-kadang peluru lastik siap diproses dari tanah liat yang telah dimasak - sebesar  guli kecil yang siap digentel dengan bulat kemudian baru dimasak supaya kering dan keras saperti batu.
     Aku berburu apa saja saperti burung di sawah padi terutama selepas musim menuai. Kami sama-sama mengesan dan mengejar burung yang terbang di sawah bendang. Kami berlari sekuat hati sampai burung menjadi letih dan dapat ditangkap. Semasa kami berlari mengejar burung kadang-kadang aku kerap tersungkur; terpaksa anjing  kuberhenti menunggu aku bangkit untuk meneruskan pengejaran.
     Dia tak marah pun bila aku buat silap terjatuh. Burung tak  tahu dah lepas ke mana. Sebaliknya bila anjing buat silap selalu saja kena marah. Dia tak pernah ambil hati bila kena marah.
     Selain dari berburu burung kami juga suka berburu biawak dalam semak belukar. Yang  aku suka bila biawak memanjat pokok setinggi sepuluh kelima belas  kaki tinggi. Apa lagi aku akan meggunakan kepakaranku melastik. Lastik yang pertama sangat penting. Ianya harus menepati sasaran di kepala biawak. Biawak akan terkulai apabila kepalanya terkena peluru lastik.
     Sasaran kedua tak kisah walaupun terkena badannya, biawak tersebut akan terjunam jatuh ke bumi. Ketika itu pula anjingku menggunakan kepakarannya menyambut lalu menggigit serta menghempas-hempaskan biawak tersebut. Sudat pasti biawak tersebut tak ada harapan selamat. Kami sama sama merasa puas. Biawak yang mati tersebut bukan boleh kami makan. Anjingku tak makan bangkai biawak. Kami hanya suka memburu sahaja.
     Ketika berburu biawak, yang paling aku benci ialah bila biawak memanjat pokok dan kami terlambat sampai. Kalau lebih dari tiga puluh kaki tinggi jawabnya kena lastik pun tak guna. Tak akan berkesan sasaran peluru lastik. Bertambah tinggi lagi  ada dia memanjat. Kalau keadaan begini berlaku aku terpaksalah memanjat pokok tersebut.
     Kalau pokok tersebut tak berapa besar senanglah aku panjat. Yang aku tak suka bila biawak tersebut terpaksa terjun ke bawah dan anjing  ku tak sempat menangkapnya. Biawak tersebut akan terus lari dan memanjat pokok yang lain. Kalau dia berada dah tinggi terpakswa aku panjat lagi. Kena tiga kali panjat aku pun mula tak larat dan aku mula nak marah pada anjingku. Pernah aku pukul dan sebat anjingku hingga dia menjerit-jerit kesakitan.
     Bila dipukul dia tak melarikan diri hanya meraung kesakitan. Ekornya akan diwatnya tanda ketakutan. Yang peliknya keesokan hari anjingku sudah melupakan peristiwa semalam. Dia tak ada pun berdendam denganku  dan marah pada ku. Kami akan berburu lagi saperti biasa.
     Suatu hari datang seorang Cina  ke kampungku mencari siapa yang hendak membuang anjing. Pada ketika itu ayahku cuba memujukku supaya buangkan  saja anjingku dan menggantikan dengan anjing  yang lain. Katanya anjingku dah tua dah tak kuat lagi. Dia akan mencari anjing lain yang jauh lebih baik sebagai ganti. Termakan juga hasutannya.
     Kadang-kadang anjingku kerap buat kesilapan ketika berburu. Yang sedihnya bila Cina itu hendak menangkapnya untuk dimasukkan ke dalam guni, anjingku tak mahu dan cuba melawan. Lalu aku membukakan guni tersebut dan menyuruh anjingku masuk ke dalam guni tersebut. Dengan perlahan-lahan dia melutut dan merangkak masuk sambil menoleh kepadaku dengan  wajah  sedih.  Aku perasan air mata anjingku keluar tanda  dia sedih.  
     Selang  beberapa bulan ayah ku tidak juuga mengganti dengan anak anjing yang lain. Tidak ada pun usaha ayahku untuk menggantinya. Aku mendapat tahu Cina yang hari tu memang jenis Cina makan daging anjing. Sampai ke hari ini bila aku ternampak anjing, ingatanku terkenang pada anjing kesayanganku dulu. Rasanya belum ada aku terjumpa baik kawan-kawan atau mana mana sahabat yang jujur dan setia seperti anjingku dahulu. Itulah pengalaman yang sedih  dalam hidup ku bersama saekor anjing yang sering dipandang hina dan najis oleh masyarakat.
Oleh: Anuar Hashim
Catat Ulasan