Rabu, 26 Oktober 2016

Maafkan Hamba!

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Menjelang subuh yang hening ini, hamba yang fakir, hina-dina dan sentiasa bergelumang dalam lautan dosa ini memohon maaf batin dan lahiriah kepada mereka yang pernah hadir dalam hidup hamba sehingga menjelang usia 63 tahun Disember ini. Sebelum Malaikalmaut memanggil pulang, halalkan apa yang termakan terminum atau wang ringgit dan sekiranya ingin menuntutnya kemukakan melalui WhatsApp 013-3997395.
Kepada mereka yang berhutang pula, tunaikan tanggungjawab sebelum turut bersama-sama hamba ke Alam Barzah.Daripada segi angka, jumlah hutang hamba tidak sampai 10% daripada jumlah mereka yang berhutang. Hamba sedar, ini adalah sebahagian kifarah kerana tidak menunaikan zakat harta pada tahun-tahun terakhir perkhidmatan.
Kepada semua murid dan pelajar (SK Felda Jengka 4, Sekolah Rendah Tunku Besar, Tampin, SK Felda LB Johnson, Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, dan IPG Kampus Raja Melewar) maafkan cikgu. Mungkin ada janji dan tanggungjawab tidak tertunaikan.
Begitu juga dengan rakan sekerja di institusi pendidikan yang dinyatakan serta akhbar Berita Harian sewaktu berkhidmat sebagai stringer. Begitu juga dengan rakan-rakan yang pernah berhubung dengan hamba.
nota: Wadah Facebook ini terpaksa digunakan untuk memudahkan hamba cepat menemui khalayak sasaran.
Hamba tidak berdaya untuk merangkak bertahun-tahun untuk menuntut maaf sekiranya dilakukan secara perseorangan.
Ya Allah sucikanlah hamba daripada segala dosa dan maksiat. Hanya kepadaMu hamba berserah!

Tiada ulasan: