Jumaat, 19 Oktober 2018

Gadis Sunti, Kereta Api Pagi

Kalau ikut petunjuk gadis sunti itu, rumahnya berhampiran Masjid Terapung Salmah Khamis sekarang; kampung mentua Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Dari kiri: Sang Pencerita, Jamaludin Jani, rakan serumah
di Jalan Noja off Jalan Dapat, Johor Bahru (1972-73)
Latar: Awal 70-an

Kereta api perjalanan Johor Bahru – Padang Besar pada pagi Jumaat itu cukup sesak. Selain penumpang biasa, kebanyakan gerabak dipenuhi pelajar sekolah berasrama atau guru pelatih dua maktab perguruan – Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim dan Pusat Latihan Guru Johor Bahru.  Ini cuti penggal pertama tahun 1972.
Walaupun pernah menggunakan khidmat Kereta Api Tanah Melayu (KTM) sewaktu di sekolah rendah dahulu kerana mengikut sepupu bercuti di rumah keluarga mereka di Clementy Estate, Singapura; suasana pagi ini cukup berbeza. Hiruk-pikuknya bagaikan pasar. Cuaca agak berbahang.
Sewaktu kereta api tiba dari Stesen Tanjung Pagar, Singapura dan kemudiannya bertolak pada jam 10.00 pagi; kami tidak ada pilihan. Sebahagian besar kami terpaksa berdiri.
Sebagai anak muda berusia kira-kira 18 tahun, kerinduan kepada emak, abah dan adik-adik cukup kuat. Pada hari sebelumnya, tanda sayang kepada mereka telah dibelikan – epal dan laici dalam tin – dibeli di Woodlands. Untuk emak dan abah dibelikan tuala mandi – warna biru untuk emak dan kuning untuk abah. Kalau tak silap RM1.50 harganya sehelai.
Kehidupan awal di maktab cukup mengujakan. Ini kali pertama pandai mengurus kehidupan sendiri – berpakat mencari rumah sewa dan tentunya ini kali pertama tinggal di rumah batu yang ada bekalan elektrik dan paip.
Satu sahaja yang kurangnya. Keinginan untuk bercinta mula tumbuh; selari dengan mula tumbuhnya jerawat dan misai.
Di maktab, peluang bagai tertutup awal-awal lagi. Sewaktu Minggu Orientasi baharu aku tahu, aku pelajar termuda iaitu 18 tahun 20 hari. Ia diperkukuhkan dengan tubuhku yang kecil. Kalau tak silap, ketinggianku cuma 4 kaki 11 inci. Bukan sekadar rakan-rakan satu ambilan, malah sewaktu di Tahun Dua pada tahun berikutnya, juniorku juga lebih tua.
“Macam mana nak mengurat rakan se maktab? Semuanya membahasakan dirinya kakak,” jentik mindaku.
Nah! Cerita nak terjadi. Tambahan pula waktu di sekolah menengah dahulu gila tengok wayang Hindustan. Sewaktu mencari-cari tempat duduk apabila sampai di sesuatu stesen, aku terpandang seorang gadis sunti – masih dalam pakaian seragam sekolahnya.
Inikah sentuhan panggilan cinta? Tiba-tiba pertanyaan menyapa hati bagaikan Rajesh Khanna pada pertemuan kali pertamanya dengan Hema Malini.
Sambil mata menyembunyikan malu, aku terlihat lencana di bajunya – Sekolah Menengah Vokasional Azizah, Johor Bahru.
Inilah kelemahan aku. Walaupun adik-adikku semuanya perempuan; aku mesti menggigil untuk menyapa budak perempuan kecuali rakan sekolah dahulu.
Bagaimanapun mata bertembung. Dia membalas sengihku. Oleh kerana kedudukan kami berada di bahagian penyambung antara gerabak; terasa suasana berangin juga. Cuma bau hancing menyesak hidung.
Tak sempat nak bercerita panjangpun. Kalau tak silap, namanya pun aku tak berani tanya. Maklumat peribadinya yang aku tahu dia berada di Tingkatan Lima dalam jurusan Urusan Rumah Tangga dan keluarganya tinggal di Masjid Tanah, Melaka.
“Turun di mana?,” baharu aku mula memberanikan diri untuk bertanya.
“Tampin,” katanya sambil melemparkan senyum manis.
“Masjid Tanah kat mana?”
“Kalau dari Alor Gajah, lepas empangan batu menuju Solok Duku,” jawabnya ramah.
Tak sempat menghantar soalan susulan, gerabak mula riuh dengan teriakan.
“Stesen Tampin! Stesen Tampin!”
Aku benar-benar dipanah sesal. Mengapa tak tegurnya lebih awal tadi; setidak-tidaknya selepas Stesen Segamat?
Bagaimanapun kekesalan itu aku balas segera. Bagaikan Shashi Kapoor, aku menghantarnya turun di platform. Sewaktu dia melambai pergi, entah kenapa aku berasa betul-betul kehilangan. Sewaktu cuba menjenguk selepas wisel dibunyikan; tanda kereta api akan bertolak pergi – wajahnya tidak kelihatan lagi. Bunyi enjin kereta api semakin menderu tapi bunyi itu aku dengar semakin menjauh.

Tiada ulasan: