Selasa, 15 November 2011

Kehilangan Zafar

Sejak beberapa hari ini aku tidak melihat Zafar lagi di Restoran Syed Maju. Zafar juga tidak kulihat lagi berjemaah subuh di masjid. Sebagaimana biasa aku menjangka Zafar menziarahi rakan-rakanya di Kuala Lumpur, rakan yang pernah ditumpangi rumahnya sewaktu datang ke sini lebih 10 tahun yang lalu.
     Kelmarin aku terkejut menerima pesanan ringkas pemuda berusia 33 tahun dari Rawalpindi, Pakistan itu. Biarlah aku perturunkan sepenuhnya pesanan itu (jangan perkecilkan ejaan dan tatabahasanya. Bagaimana pula kalau kita diminta menulis dalam bahasa Urdu?).
     “Asslam o alaiqum abang saya sda ke kl. Easo start kirja ke kedai kawan, depan sogo jln tar. Nanti kalu abang dtng k L. mesti jumpa saya! krim slam dgn abang shrif.”
     Entah mengapa aku sendu. Aku bagaikan kehilangan Zafar yang sering menemankan aku bersarapan pagi dan kadang-kadang menjengahnya di restoran pada larut malam malah kadang-kadang di awal pagi di restoran yang dibuka hampir 24 jam itu.
     Lebih aku merasa kehilangannya kerana masih tidak mampu menunaikan hasratnya untuk melakukan satu projek usahasama (biarlah menjadi rahsia dahulu) yang telah dibincangkan sejak Ramadan lalu.
     Apa yang pasti aku bercadang ke Pakistan bersama-sama Zafar dan Shariff. Zafar mengajak kami ke rumahnya di Rawalpindi sekitar Mac atau April depan.
     “Kampung kami penuh dengan bunga ketika itu abang,” cerita Zafar. Aku bukan sekadar ingin melihat bunga malah untuk melihat bunga pujaan Zafar – Rubina.
     Terlalu banyak aku ketahui mengenai Zafar, selain kehadirannya di sini untuk membalut luka kegagalan perniagaan pengangkutannya sehinggalah kisahnya ingin berdikari.
     “Sehingga bila saya mahu kerja dengan gaji RM45 sehari?,” itu yang selalu disebutnya.
     Sedang membelek-belek akhbar harian, aku terkedu seketika. “Warga Pakistan menggantikan warga Indonesia di Jalan Tuanku Abdul Rahman.” Begitu antara tajuk utama.
     Lantas aku akan ke Kuala Lumpur hari ini untuk bertemu Zafar.

Tiada ulasan: