Rabu, 16 Mei 2012

Selamat Hari Guru!


Terima kasih guru-guru Sekolah Kebangsaan KGV yang mendidik
 anak bongsuku, Siti Adibah yang sering dikatakan cucuku.

ALAM keguruan terasa segar apabila sejak semalam, rakan-rakan sudah menghantar ucapan Selamat Hari Guru sama ada melalui Facebook, SMS, panggilan telefon dan pagi ini ucapan itu disampaikan secara bersemuka.
    Walaupun sudah meninggalkan kerjaya ini sejak lebih dua tahun lalu, aku masih dipanggil cikgu walaupun di mana sahaja berada, selain satu lagi panggilan pilihan iaitu `Haji’.
    Turut membuat panggilan khusus untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Guru ialah bekas murid yang kuajar sewaktu di Tahun 6 hampir 40 tahun lalu, Ghani Ismail yang kini turut menjadi `rakan bisnesku.’
    “Haji! Selamat Hari Guru. Ini sahaja yang ingin saya cakapkan pagi ini,” kata Ghani yang kini berkhidmat di Wisma Negeri, Seremban.
    Suasana segar alam keguruan semakin terasa apabila aku turut diundang menyertai sambutan Hari Guru di sekolah anak bongsuku, Sekolah Kebangsaan KGV.
    Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa PIBG, pelawaan pihak sekolah aku terima dengan senang hati. Walaupun diundang pada jam 7.30, aku sudah tercegat di sekolah lebih awal.
    Aku sempat membantu mengambil foto guru sempena hari yang bersejarah ini.
    Bagaimanapun aku agak tersentak apabila menerima pesanan ringkas daripada bekas rakanku sewaktu di IPG Kampus Raja Melewar dahulu.
    Sebagai penggerak utama beberapa perniagaan MLM, rupa-rupanya sambutan Hari Guru turut `dimanfaatkan’ untuk kerja-kerja pemasaran.
    Aku pernah bersama-samanya sewaktu awal persaraan dalam satu bisnes MLM yang `menghanguskan’ sebahagian wang graduitiku.
    “Marilah menjadi guru kaya daripada menjadi guru terpedaya. Marilah menikmati kehidupan daripada meneruskan kehidupan. Lupakan soal pinjaman. Mari kita selesaikan hutang. Selamat Hari Guru! Kalau nak berubah, cari saya.”
    Pesanan ringkas itu segera aku balas, dengan ringkas juga.
    “Terima kasih tapi jangan perdayakan guru dengan kata-kata yang kemudiannya kita sendiri tidak percaya.”
    Aku katakan begitu kerana pensyarah ini sering sahaja `berhijrah’ dari satu syarikat MLM ke syarikat MLM yang lain. Kalau percaya dengan syarikat MLM yang sedang `dijual dengan penuh semangat membakar’, mengapa perlu ke syarikat lain pula, fikirku.
    “Alright Boss!,” jawapan pesanan ringkas diterima daripadanya. Jelas benar terlihat di mataku wajah tembam rakanku yang sentiasa selamba apabila menerima kritikan atau kutukan.

Tiada ulasan: