Sembu. Sepanjang
pengetahuanku, hanya rakan sekolahku ini sahaja bernama begitu di kalangan
orang India yang ada di dunia ini. Setelah dapat bercakap dengannya melalui
telefon kelmarin, Semboo membawa aku kembali ke zaman persekolahan hampir 50
tahun yang lalu.
Tinggal di Kampung Pelegong, memaksa aku
berjalan kaki kira-kira dua Kilometer sebelum menunggu bas di pekan kecil Batu
8, Labu untuk bersekolah di Nilai yang terletak kira-kira 15 Kilometer pula.
Agak sendiri jam berapa aku terpaksa keluar
dari rumah sebelum meredah denai yang masih basah oleh embun pagi.
Apa yang pasti aku tidak boleh terlepas bas
yang tiba kira-kira jam 6.30 pagi. Di pekan Batu 8, Labu biasanya telah
menunggu beberapa rakan sekampung sama ada yang bersekolah di Seremban atau Nilai.
Oleh kerana Batu 8, Labu berada di
tengah-tengah perjalanan Seremban-Nilai, kami yang mula bersekolah menengah
pada tahun 1966 diarahkan ke Nilai kerana sekolah baharu dalam proses
pembinaan.
Sementara bangunan siap,kami menumpang di
SRJK (Tamil) dan SRJK (Cina), Nilai.
Masih jelas, bas sentiasa sesak – berhenti
dan menyambung perjalanan; bukan di pondok menunggu tetapi pada setiap hentian yang ada rumah berhampiran jalan.
Di persimpangan jalan berhampiran Ladang
Labu, biasanya telah menunggu Sembu, Prabakaran dan beberapa rakan lain.
Seperti yang lain Sembu yang bertubuh
kurus itu lengkap berpakaian serba putih – kemeja, seluar pendek, stokin dan
kasut yang biasanya berjenama Fung Keong.
Sembu memang rapat denganku. Entah kenapa
kami ada chemistry untuk bersahabat.
Walaupun aku juga anak orang susah (bapaku
hanya tukang kampung) tapi aku dapat merasakan Sembu lebih susah lagi. Bapanya
penoreh getah di Ladang Labu dan sering juga dia bercerita mengenai kesulitan
hidupnya khususnya sewaktu musim hujan.
Biasanya kami membawa bekalan dari rumah
untuk dimakan sewaktu rehat. Kalau tidak berlaukkan telur goreng kicap, aku
selalunya berlaukkan sambal sahaja ataupun ikan kering digoreng berlada.
Entah kenapa pada hari itu kedua-dua kami
tidak membawa bekalan. Mungkin kami diberi wang saku yang lebih. Lebih-lebihpun
tentunya tidak melebihi 20 sen. Jadi pada hari itu kami dapat membeli makanan
di kantin.
Masih jelas dalam pandangan, bagaimana kami
terpaksa beratur panjang. Dengan 20 sen yang ada dapatlah kami membeli sekeping
karipap dan segelas air sirap.
Baharu hampir separuh karipap dikunyah,
loceng tamat rehat berbunyi. Sehingga kini aku masih tidak dapat menerima
kelurusan Sembu yang berhenti makan semata-mata terdengarnya bunyi loceng itu
apatah lagi sebahagian karipap yang
masih berbaki dibuang begitu sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan