Sebagai seorang MP, dia cukup dikenali
kerana tutur katanya yang lembut dan penuh diplomasi. Sesuai dengan daerah
kelahirannya, dialeknya pekat. Lebih menarik, dia sering membahasakan dirinya
abang apabila berinteraksi denganku.
Sebagai seorang pemberita daerah yang mula
mendapat tempat dalam akhbar arus perdana, beberapa storyku mengenainya sering juga terbit. Dia seorang MP berjiwa
rakyat, kata-kata klise yang sering menjadi tajuk berita ketika itu.
Baru-baru ini aku bertemu kembali
dengannya. Itupun secara kebetulan. Melalui wakil yang dihantarnya (bekas jiranku
sendiri) mantan MP ini berminat sangat dengan rumah yang `kubeli’ daripada
seorang lagi jiran yang kebetulan namanya sama denganku.
Rupa-rupanya mantan MP bergelar Dato’ ini
berminat sangat dengan kerja-kerja ubahsuai yang aku lakukan sewaktu menghayun
kayu golfnya kerana rumah yang baharu kubeli ini (berada hanya selang empat
pintu daripada rumahku sedia ada) betul-betul berada di sebelah pagar lubang
nombor satu Kelab Golf Antarabangsa Seremban.
Sewaktu rumah (dijadikan studio kerjaku) itu
dilelong kerana wang pendahuluan yang sepatutnya dibayar kepada bank digunakan suami
bekas jiranku untuk tujuan lain, Dato’ yang baharu berkahwin kembali kerana
kematian isteri itu difahamkan ingin menghadiahkan rumah itu kepada isteri
baharunya itu.
Itu menurut cerita perantaranya. “Cikgu!
Terpulang! Dato’ akan tetap berlawan untuk mendapatkan rumah itu walau
berapapun harganya,” itu kata perantaranya yang kukatakan awal tadi adalah juga
bekas jiranku.
Akhirnya dalam lelongan awam yang disertai
28 `bidder’ itu aku tumpas. Harga tawaran RM148,000 telah menjadi RM258,000. Pemenangnya
sudah tentu mantan MP ini yang menggunakan khidmat agensi.
Mengakui hakikat kekalahan, aku menyerahkan
kunci berkenaan dengan penuh hormat di sebuah restoran milik kawan kami dan
sempat juga bernostalgia seketika.
“Saya sempat membuat liputan beberapa
aktiviti Dato’ dahulu sewaktu stringing
dengan Berita Harian,” kataku.
Menyedari hasratku yang disampaikan melalui
perantaranya, aku tidak menyebutkannya kembali kepadanya sewaktu bertemu.
Hasrat itu berbunyi begini, “Andainya saya
kalah nanti, saya mohon ihsan supaya diberikan sedikit saguhati kerana saya
telah membelanjakan lebih RM70,000 untuk rumah itu.”
“Cikgu jangan risau. Saya dah beritahu Dato’
dan dia setuju dengan nilai yang Cikgu pinta,” itu kata Sang Perantara. Nilai
itu cuma RM20,000. Pada masa yang sama, Sang Perantara telah dapat memujukku
untuk memberikan kamera klasikku kepada isteri Dato’ berstatus janda itu.
“Datin kata anaknya minat fotografi macam
Cikgu,” lembut sahaja dia menuturkan kata.
“Saya juga minat dengan katil rotan Cikgu
ini. Klasik. Kebetulan anak lelaki saya hendak kahwin.”
Akhirnya katil, tilam dan alasnya yang bernilai
lebih RM1,000 itu bertukar tangan dengan enam helai not RM50 sahaja.
“Ini sahaja yang saya ada Cikgu,” kata Sang
Perantara setelah menyuruh isterinya menghulurkan wang itu.
Beberapa minggu kemudian, Sang Perantara
menelefon, “Dato’ kata dia akan buat bayaran selepas kerja-kerja ubahsuai siap.”
Setelah lama menunggu, apa yang dikatakan
tidak berlaku lalu aku menelefonnya sendiri.
“Dato’! Ini Zul, bakal jiran Dato’. Ada tak
... beritahu mengenai permintaan saya mengenai rumah yang Dato’ baharu beli
itu?.”
“Ada. Tunggulah dahulu.”
“Tunggu sampai bila Dato’?”
“Kalau ikut law, kau tak ada hak sesen pun mengenai rumah itu.”
“Saya faham Dato’. Saya pun pergi sekolah
juga. Apa yang saya minta cuma ihsan.”
“Kalau ihsan kau tak boleh telefon seh!
Lopeh ni kau jangan telefon-telefon seh lagi,” katanya sambil menamatkan
panggilan.
Sejak dua hari lalu, petanda mula
menunjukkan aku akan mendapat jiran baharu. Bakal jiran yang telah memiliki 30
rumah sebelumnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan