Hari
ini 11.12.13, Rabu bersamaan 8 Safar 1435 Hijriah. Hari ini juga merupakan hari keputeraan
Sultan Selangor. Aku telah berpagi-pagi
di stesen keretapi Kajang ini menanti ketibaan rakanku yang dijangka tiba jam
7.30 pagi. Memandangkan taklimat
biasiswa akan diadakan jam 8.30 pagi di Presint 5, Putrajaya, aku berkira-kira,
segalanya sempat ku lalui mengikut aturan dan barisannya.
Dan tika sinar mentari ini semakin terik
mengintai di celah kacamataku, aku semakin keresahan kerana jam telah
menunjukkan 9.15 pagi dan keretapi yang kutunggu belum tiba lagi! Waduh, gawat
benar ni. Semua perancanganku sudah berantakan! Teringat ibu, suami dan
anak-anak di rumah yang belum kubelikan kudapan kerana aku terburu-buru keluar
takut kelewatan dan demi mengelakkan kesesakan di bandar Kajang.
Seingat-ingat aku, kali terakhir aku
menaiki keretapi adalah empat tahun lepas bila keluarga sebelah mentua teringin
menikmati cabaran dan keseronokan menaiki keretapi bersama-sama anak, menantu dan
cucu. Lantas perjalanan dirancang untuk
kami menaiki keretapi dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis dengan destinasi
utamanya adalah Pulau Langkawi. Kami
menempah koc berkatil kononnya inginkan keselesaan sambil tidur dalam
keretapi.
Perjalanan itu bermula jam 9 malam dari
stesen keretapi Kuala Lumpur dan kami tiba jam 7.30 pagi di Kuala Perlis
keesokannya. Perjalanan balik, kami
semua setuju untuk menaiki kapal terbang sahaja! Cukuplah perjalanan pergi yang
seperti tak berpenghujung itu.
Jadi, pagi ini mengingatkan lagi
pengalaman- pengalamanku menaiki dan menunggu Keretapi Tanah Melayu (KTM) sebelum
ini. Banyak lambat dari cepatnya,
walaupun aku kira selepas 40 tahun kelahiran aku, dan selepas dasar penswastaan
diamalkan, prestasinya masih begitu juga.
Malah rupanya pun! Cuba lihat gambar yang
sempat aku rakam. Malah aku rasa, kalau
sudah begitu waktu ketibaannya, tidak perlulah nyatakan ia tiba lebih
awal. Kalau memang benar perjalanan dari
Wakaf Baru mengambil masa selama 14 jam, nyatakan sahaja begitu, bukan kah
lebih mudah? Ini aku rasa telah ada 5
komuter ke KL dan 5 komuter ke Seremban lalu begitu sahaja di depanku. Sudah pasti aku jadi bahan andaian Pak Cik
Inspektor Keretapi kerana sudah masuk dua jam tetap duduk sopan di bangku
stesen. Ada juga dua tiga orang yang
menyapa ingin tahu komuter mana yang kutunggu, mungkin prihatin takut aku tidak
tahu atau tidak biasa.
Bila aku kata aku menunggu keretapi dari
Wakaf Baru, jawapan yang aku terima, " Ooohhh... Biasalah dik, kalau pukul
7.30 pagi tu maknanya pukul 9.30 sampai dah cukup baik, pernah ia sampai jam
10.30,".
Hmmm... Begitu rupanya. Tarikh yang cantik hari ini tidak memberikan
aku hari yang lancar rupanya, keluh hatiku.
"Sabarlah ya," aku memujuk hati yang gundah, apatah lagi
deringan telefon dari sang suami semakin bertalu-talu bertanyakan khabarku.
Semoga KTM akan terus cekap dan efisien
selaras dengan dasar penswastaan yang cuba diterapkan seiring dasar pandang ke
Timur. - Merhayati Sipon
Tiada ulasan:
Catat Ulasan