Rabu, 1 Januari 2014

Kampungku! Oh Kampungku!

Kampungku! Oh Kampungku 1
DALAM tempoh satu bulan setengah untuk menyiapkan kerja-kerja baikpulih rumah peninggalan mentua, Mr. Alfred Flower @ Mohamed Farid, setidak-tidaknya aku didatangi lebih 10 orang untuk memohon kerja.
"Tolonglah bang! Sudah tiga hari dapur tidak berasap," kata seorang lelaki sekitar usia 40 tahun dari atas motosikalnya manakala anak lelakinya berusia sekitar dua tahun kelihatan lesu dalam bakul motosikalnya.
"Pakcik! Berilah saya apa kerjapun. Felda Palong sedang ditanam semula. Saya terpaksa menumpang rumah adik di Tekir," kata pula seorang pemuda berusia awal 20-an.
"Kenapa tinggal di Tekir? Awak orang Asal (orang Asli) ke?"
"Tidak Pakcik. Saya tidak ada pilihan. Saya dengar di Labu ni banyak peluang kerja.
"Saya tinggal di rumah mentua adik. Adik kena tangkap basah dengan gadis orang Asal.



Kampungku! Oh Kampungku 2
TIDAK sampai tiga hari kemudian, singgah pula sepasang suami isteri dari Gadong (berhampiran Kampung LBJ) yang juga bertanyakan kerja.
"Bang! Saya bekas tentera. Beras di rumah sebijipun tidak ada. Anak-anak hendak makan apa? Berilah saya dan isteri kerja. Sekarangpun saya boleh mula."
Sebaik-baik aku menyatakan persetujuan, dia meminta pula supaya rakannya yang juga sudah berkahwin untuk turut bekerja.
"Sudah tiga empat hari dia meronda pelbagai tempat untuk mencari kerja. Bang! Tolonglah!"
Mendengar aku sedia memberi kerja, dengan muka ceria dia lantas menelefon rakannya itu.
Hari itu dua pasang suami isteri membasuh rumah dan membersihkan barang-barang milik penyewa sebelum itu.


Kampungku! Oh Kampungku 3
SELAIN membaikpulih rumah peninggalan mentua, aku dalam proses membangunkan kawasan sekitar satu hektar di bahagian belakang tanah milik isteri.
Aku sengaja memilih kampungku sendiri untuk projek yang dianggap `projek gila' ini.
"Insya-Allah! Setidak-tidak 20 ke 30 peluang kerja bakal wujud di sini," itulah yang selalu tertasdik di hati.
Sebagai persiapan ke arah itu, aku mempelawa kira-kira 10 orang anak muda kampung untuk kerja-kerja memindahkan kayu dan batu.
"Kalau McDonald bayar RM4.00 sejam, Pakcik bayar kamu RM5.00. Habis kerja, terus dapat gaji."
"Kau jangan harapkan sangat budak-budak kampung ni," begitu pesan seorang teman sekampung sewaktu menghirup teh tarik di Warung Apa.
Hanya setelah lebih seminggu peristiwa itu berlaku, Shahilan temanku yang ditugaskan untuk kerja-kerja mengecat memecah rahsia.
"Waghih! Eden bukan hendak mengadu-domba. Waktu kau balik Seremban, budak-budak yang kau ambil kerja tu bukan kerja sangat. Dia orang leka berkaraoke dalam rumah kau tu."
nota: Aku membayar kira-kira RM400.00 untuk kerja dua hari budak-budak itu sedangkan kerja itu hanya dapat disiapkan tidak sampai separuh hari dengan menggunakan khidmat mesin JCB milik Ah Tuck yang hanya meminta tidak sampai RM200.00.


Kampungku! Oh Kampungku 4
LIMA hari lepas, sedang asyik memerhatikan pekerjaku membina `air mancur' bekas laluan masuk ke rumah yang kini sudah menjunam turun, aku didatangi seorang lelaki berusia awal 30-an.
"Bang! Hendak beli tak jubin ni?," tanya lelaki bermotosikal itu.
Jubin itu memang cantik - dipenuhi manik segi empat yang berwarna-warni dan berkilauan pula.
"Maaf! Jubin ini terlalu cantik untuk rumah tua ini," aku menjawab lembut.
"Ambilah bang! Saya jual murah. Barang dapur tak ada di rumah," dia terus merayu.
"Mana kau ambil jubin yang mahal ni?"
"Lebihan saya buat dapur dahulu," katanya selamba.
Sewaktu ke Warung Apa kira-kira sejam kemudian, aku terlihat lelaki itu sedang menawarkan jubin yang sama kepada teman sekampungku.


Kampungku! Oh Kampungku 5
WALAUPUN tahu salah, aku tidak ada pilihan selain membakar sahaja pokok acasia yang sudah ditumbangkan oleh mesin JCB Ah Tuck sejak dua minggu lalu itu.
"Sekarang permit untuk membawa pokok acasia keluar sudah dibekukan," kata Imam dari Jelebu yang menjalankan perkhidmatan menebang dan membersihkan kawasan.
"Kalau undang-undang tak membenarkan pokok ini dibawa keluar dan membakarnya juga adalah salah, apa petani hendak buat dengan pokok-pokok ni?"
"Biarkan sahaja dia reput sendiri," jawab Imam dalam nada bergurau.
Kira-kira jam 5.00 petang semalam, aku didatangi seorang lelaki bermotosikal bersama isteri dan seorang anak kecil berusia sekitar setahun yang diperkenalkan oleh Angah yang tinggal di Tekir itu.
"Haji! Tolonglah dia. Di rumahnya sudah tidak ada apa-apa yang hendak dimakan lagi."
Oleh kerana tergesa-gesa untuk menemankan rakanku Haji Said Bidin yang mengajakku ke Seremban, aku segera memberi arahan.
"Oleh kerana sudah petang, datanglah kerja esok."
Tidak sampai dua jam kemudian aku dihubungi Lobai.
"Ji! Balik cepat. Budak yang Haji suruh bakar pokok tu dah terbakar badannya. Dia pakai petrol."
Aku segera pulang dan kelihatan dia sedang dilumuri minyak oleh pekerja dari India yang masih tinggal di rumah itu.
"Bang! Pedih bang!"
"Bukankah saya suruh datang esok. Siapa yang suruh bakar?"
"Angah bang. Katanya walaupun dua jam, dapat juga kami RM10.00."
Sewaktu menjengah di luar, aku lihat isteri dan anaknya sedang leka memungut pucuk paku yang mungkin jadi hidangan malam mereka.
Dia bagaikan tidak merasa apa-apa suaminya yang terbakar itu.


Kampungku! Oh Kampungku 6
DAN tepat jam 12.00 tengah malam tadi, bunga api yang bernilai ratusan ribu ringgit DENGAN SENGAJA DAN PENUH SEDAR DIBAKAR OLEH KERAJAAN MALAYSIA.

Tiada ulasan: