Halaman

Rabu, 3 Disember 2014

Kuterima Isyarat Tarikh Kematian Semakin Menghampiri

AKU telah menerima isyarat bahawa tarikh kematian semakin menghampiri. Kebelakangan ini aku mengalami penyakit baharu; rasa mengantuk secara tiba-tiba sering sahaja tiba - tak kisahlah sama ada di rumah atau ketika memandu. Untunglah ada Si Edo, tukang seniorku yang lambat sahaja dipelawa menjadi `supir' terhormatku.
Sebentar tadi aku tertidur seketika sewaktu melewati ruang FB. Aku baharu sahaja melepas pergi isteri dan anak bongsuku ke Ipoh. Sewaktu meninggalkan rumah sekitar jam 9.00 pagi aku masih bermain dengan kayu; memasang pagar cengal di rumah sebelah yang telah ditunaikan pembeliannya melalui lelongan awam.
Bagaimanapun sedang leka memaku, aku terdengar suara Siti Adibah, "Ayah!".
"Dibah balik ambil ubat Ibu yang tertinggal," katanya menjenguk di pintu sambil tangannya menunjukkan inhaler.
Tidak lama kemudian, isteriku pula menjenguk.
"Kenapa balik?," tanyaku kerana hanya beberapa minit sebelum itu aku sempat menjenguknya di kereta melalui pintu sebelah rumah.
Mungkinkah teguranku kira-kira 10 minit lalu menyebabkannya terkilan?
"Pergi dahulu..." aku terdengar suaranya sebelum keluar rumah sedangkan wajahnya tidak kelihatan.
"Kalau ia pun sibuk bekerja, tunjukkanlah muka," aku berkata bersahaja sambil terus memaku cengal yang cantik warna dan teksturnya itu.
"Kata sambal ikan bilis warung depan Syed Maju, sedap. Adibah lapar. Marilah sarapan bersama," ajak isteri.
"Pergilah dulu... Abang tak mandi lagi," aku pula buat jual mahal.
Setelah isteri dan Adibah berlepas, tanpa tergesa-gesa aku `menarik candu' dan santai-santai sahaja mandi. Hari ini aku memilih air sejuk.
Sampai di Warung Umi, bakso kedua-duanya telah selesai. Setelah bercakap sekitar tiga minit, isteri mohon permisi dan aku meminta dia membayar. Pastinya Siti Adibah yang tersenyum ketika itu. Dia mengerti.
Walaupun aku tahu Si Edo dan Nasha menanti, aku terus santai lagi. Aku membuka gerobok pakaian empat pintu yang penuh dengan pakaian - salah satu kegemaranku sewaktu bekerja dahulu - melaram pakaian berjenama.
Hampir 20 pasang dikeluarkan. Tak kisahlah siapa yang akan menerima rezeki pakaian yang sesetengahnya hanya dipakai sekali dua.
Kalau seminggu dua dahulu hampir 30 beg yang tidak laku dijual di Car Boot Sale Majlis Perbandaran Seremban aku hadiahkan kepada Salmah, suami dan anak-anak; selebihnya aku minta Si Edo ambil seberapa yang dia

Kalaulah hari ini hari kematianku, inilah dua keping foto paling akhir yang kurakam dengan Canon EOS 400Dku.
mahu untuk memenuhkan kotak kiriman barang saiz Large untuk dihantar pulang ke Lampung.
"Dato'! Bila mahu datang ni? Sudah hampir jam 12.00," tanya Edo melalui telefon rumahku. Sejak pagi aku tidak mengusik Lenovo baharuku yang sedang dicaj baterinya oleh Siti Adibah.
Setelah membawa beberapa pasang baju ke kereta, aku singgah seketika di meja tulisku dan mengetik kekunci Dell Studio kesayanganku.
... (masih mampukah aku meneruskan cerita?)
Catat Ulasan