Halaman

Selasa, 13 Januari 2015

Ang Pau Matrix Concepts

Foto: Kumpulan Utusan Melayu
Hari  itu aku menawarkan diri kepada Juriyati Mat Jalil, Pegawai Akhbar MB untuk membantunya menyediakan bahan untuk Suara Negeri, akhbar rasmi Kerajaan Negeri Sembilan.
     Sejak zaman Shariff Ahmad (Setiausaha Akhbar Isa Samad) dan Allahyarham Ikmal Hisham Mohd Yusof (Setiausaha Khas Mohamad Hassan) aku adalah salah seorang pengarangnya.
     “Elok sangatlah tu Encik Zul. Keluaran khas Suara Negeri perlu dicetak sesegera mungkin,” katanya.
     Walaupun aku guru kewartawanannya (ini dia sendiri yang sering cakap) sewaktu bertugas sebagai stringer Berita Harian, aku minta dia sendiri tentukan fokus tinjauan khas untuk keluaran terbaharu itu.
     “Encik Zul pergi ke Sendayan. Tinjau kesan pengambilalihan tanah mereka dan lihat juga kehidupan baharu mereka di Bandar Sri Sendayan.
     “Itu `pet-project’ MB,” bual Juriyati melalui telefon yang sering diiring dengan ketawa menggodanya.
     “Oh ya! Jangan lupa. Dapatkan juga bahan daripada pemaju Bandar Sri Sendayan – Matrix Concepts,” tegas Juriyati lagi.
     “Baik Bos!,” aku bercanda.
     Keesokan harinya aku ke Kampung Sendayan dan Bandar Sri Sendayan. Sewaktu leka mengambil foto dari arah tanah tinggi berdekatan, aku dihubungi salah seorang kakitangan Matrix Concepts.
     “Encik Zul kan?”
     “Ya saya.”
     “You ada kat mana. Bos saya suruh hantar bahan dan foto untuk Suara Negeri.”
     “Saya ada di Bandar Sri Sendayan. Ada berhampiran tanah tinggi yang menghadap tapak kedai.”
     “O.K! Sekejap lagi saya sampai.”
     Benar katanya. Tidak lama kemudian lelaki Cina bernama Inggeris di pangkalnya tiba.
     Setelah berbual untuk menunjukkan kemesraan, dia mohon diri sambil menghulur sampul surat berukuran A4 berwarna putih.
     “Semua bahan mengenai Matrix Concepts dan Bandar Sri Sendayan ada di sana. CD dan ada juga gambar yang sudah dicetak,” katanya sambil berlalu pergi.
     Hanya sewaktu aku hendak menyediakan story pada sebelah malamnya, sampul surat itu kubuka.
     Selain CD dan foto, terselit juga di situ enam helai not RM50.00
Catat Ulasan