Rabu, 15 Mac 2017

Petunjuk Ekonomi Emak

Abdul Rahman (depan) dan Pak Ali memancing di Jeram Tebrau pagi tadi
SEWAKTU pekena teh tarik dan roti canai pagi semalam, jiran depan rumahku, Abdul Rahman Daol beria-ia benar bercerita mengenai perkembangan kebunnnya di Lenggeng.
Sejak bersara sebagai Pengurus Agro Bank, Abdul Rahman meneruskan kecintaan kepada bidang pertanian dengan melaksanakan kata-kata yang sering diucapkan sewaktu berurusan dengan pelanggannya - Pertanian Adalah Perniagaan.
Seingat-ingat aku Abdul Rahman tidak berkebun sewaktu bertugas dahulu walaupun mempunyai ijazah dalam dalam bidang berkenaan di universiti yang bernama Pertanian juga.
"Syok berkebun ni Ji," begitulah dia selalu bercerita sewaktu bertemu. Lebih-lebih lagi kalau bermotosikal di pagi hari di bahagian belakang rumahku yang bersempadan dengan Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) itu.
Kebun kecil yang kuusahakan itu telah banyak juga menjadi sumber inspirasi kepada jiran-jiranku - setidak-tidaknya satu bentuk rekreasi yang mendatangkan faedah; tubuh sihat, otak cergas dan dapat melebarkan silaturrahim melalui hadiah limau kasturi atau lada api kepada jiran sekeliling rumah.
Abdul Rahman mencontohi aku dengan menanam pisang helang. Malah benihnya juga diambil daripada rumpun pisangku.
Kini Abdul Rahman bukan sekadar mengusahakan dua ekar tanahnya di Lenggeng dengan pisang, terung dan lada api malah di bahagian sisi rumahnya yang berhadapan dengan rumahku dipenuhi dengan tanaman pisang sehingga berhampiran tingkap rumahnya.
"Saya dah tak ikut peraturan jarak lagi Ji. Tengok ni, saya tanam setiap tiga kaki," katanya sambil mencangkul untuk membuang tunggul pokok palma hiasan yang memenuhi rumahnya sebelum ini.
"Ji! Pak Ali! Saya nak lapor apa yang terjadi di kebun saya dua tiga hari lalu.
"Sudahlah tujuh tandan pisang nangka yang sudah hendak masak diambil orang; setiap dahan pokok lada api saya sudah dipangkas tinggal batang," katanya bercerita.
"Eh! Itu idea baharu tu," aku cuba bercanda. "Pencuri itu boleh merelaikan lada api daripada dahannya sambil menonton tv."
Kah! Kah! Kah! Kami ketawa serentak.
Aku memang mempunyai pengalaman memungut lada api - proses paling getir untuk memungut walaupun satu kilogram - nasib baiknya lada api ada harga RM35.00 hingga RM40.00 satu Kilogram.
Sambil mencecah roti canai dengan dal, aku cuba mencongak kerugian yang dihadapi Abdul Rahman - setandan pisang nangka bernilai kira-kira RM50.00 X 7 tandan; 10 batang pokok lada api boleh menghasilkan kira-kira tiga Kilogram X RM40.00
"Pak Rahman, apa tindakan you dengan kecurian itu?
"Apa lagi saya repotlah kepada Pengerusi JKKK. Kebetulan dia anak saudara saya.
"Apa tindakannya?
"Dia kata BIASALAH TU..."
"Itu sahaja reaksinya?
"Ya. Itu sahaja jawapan daripada anak saudara saya yang dibayar elaun RM800.00 sebulan. Sepatutnya dia catat kes saya. Walaupun nilainya mungkin kecil tapi dalam Mesyuarat JKKK ada wakil polis. Bolehlah diambil tindakan.
Ini tidak. Cukupkah sekadar jawapan, BIASALAH TU?
Sambil menghirup kopi dan memandang muka Pak Mohd Ali Hasbullah, aku lantas terbayang teori ekonomi emak.
Emak ada petunjuk ekonomi sendiri - Kalau kek kampung banyak kobau lombu hilang, tolo ayampun kona kobeh, itu tando eh ekonomi tak senereh.
"Kalau pisang kek tandan dah hilang. Lado api tinggal batang, lu fikirlah sendiri," kata emak mengajuk `tagline' Nabil Ahmad.

nota: Petunjuk Ekonomi ialah
https://ms.wikipedia.org/wiki/Petunjuk_ekonomi


Tiada ulasan: