Selasa, 4 April 2017

Cinta Semarak Kembali Pada Usia Senja

Zaini, Baharin, Sang Pencerita - produk Sekolah Kebangsaan Labu Ulu
SEHARI suntuk bersama rakan sekolah, Baharin Rejab dan isteri, Zaini Zain semalam memungkinkan Sang Pencerita lebih faham mengapa mereka berkahwin sewaktu berusia 60 tahun.
Baharin kematian isteri sewaktu isterinya berusia 57 tahun kerana kanker lalu berubat dengan Zaini, rakan sedarjahnya di Sekolah Kebangsaan Labu Ulu (1961-1966).
Zaini pula bercerai dengan suaminya Manaf yang juga rakan sekolah Sang Pencerita setelah Manaf pasang dua.
Baharin seorang mantan polis berpangkat ACP di Bahagian Jenayah Perdagangan Bukit Aman dan seorang peguam kemudiannya bukan sahaja berkongsi kasih tapi kepakaran Zaini yang menggabungkan rawatan tradisi dan moden Jepun yang dikenali acupressure.
"Zul! Aku bukan cari duit ya! Aku rasa bahagia kalau dapat membantu orang."
"Kau nampaknya menurut jejak Bill Gates yang rasa bahagia apabila memberi," Sang Pencerita mencelah.
"Siapa kata Bill Gates bahagia? Hanya mereka yang mengucap Asyhadu... sahaja yang bahagia," sampuk Mohd Zawawi Hassan pula.
Setelah Zawawi balik Samsudin Hamidan pula menyertai kami makan tengah hari pada jam 4.30 petang di sebuah `coffee house' di Senawang.
Samsudin tidak makan kerana berpuasa sunat.
"Orang ghaut macam saya tak boleh diurut," kata Samsudin apabila aku bercerita mengenai rawatan yang baharu aku terima daripada Baharin selama kira-kira tiga jam.
"Siapa kata tak boleh urut," celah Baharin.
"Zaini! Tolong cerita kisah kawan sekolah kita Zulkifli Wahab."
Zaini, Baharin dan Zawawi menjejak kasih
"Sewaktu saya datang ke rumahnya untuk mesyuarat Koperasi Labu (KOBAL), Zul bukan sahaja tidak mampu berjalan kerana ghautnya tapi bagai merangkak.
"Jangankan terkena kain, terkena kertas tisupun ngilunya tidak tertahan.
"Alhamdulillah. Setelah diberi rawatan paling ringkas Zul sudah macam biasa kembali," Baharin mengambil kembali fungsinya sebagai tetamu perbincangan.
Sang Pencerita yang bertindak sebagai moderator menukar topik pula.
"Bagaimana kau boleh jumpa Zaini kembali?"
"Panjang ceritanya."
"Apa orang kampung cerita pasal aku?"
"Tak payah orang kampung. Sewaktu aku minum di kedai adik kau Maizom, dia pun bagaikan tidak percaya kau mengambil Zaini sebagai isteri.
"Aku terima apa orang nak kata.
"Rin. Zaini! Kau percaya tak cinta dan kasih sayang adalah antara anugerah Allah paling agung yang perlu kita hayati dan hargai? Tidak kisahlah cerita cinta itu bermula kembali pada usia senja," Sang Pencerita menutup sesi petang semalam setelah melihat Baharin, Zaini dan Sam bagai terpinga-pinga.

Tiada ulasan: