Isnin, 15 Januari 2018

Kami Lepasan Amerika

Mendengar keluhan beberapa orang rakan yang telah berinteraksi dengan pelajar-pelajar Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) ambilan pertama itu membuatkan aku terfikir-fikir juga bagaimana hendak memulakan kuliah dengan mereka jam 10.00 pagi ini.
     Mereka adalah pelajar perintis yang diperkenalkan oleh Bahagian Pendidikan Guru dan sebahagian besar mereka adalah lulusan luar negara. Rata-rata mereka berkelulusan sarjana berasaskan sains tetapi oleh kerana pasaran kerja dalam bidang itu terbatas kerana keadaan ekonomi negara yang merudum, mereka memilih profesion perguruan.
     "Mereka angkuh! Mereka ingat belajar di luar negara besar sangat," rungut salah seorang rakanku. Tidak kurang juga yang bercerita sikap sebahagian besar mereka yang masih mengagung-agungkan sistem pendidikan yang mereka lalui setelah bertahun-tahun di luar negara.
     Memanglah. Sebahagian besar mereka dihantar ke luar negara setelah mendapat kelulusan baik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan berpeluang menamatkan pengajian peringkat sarjana tanpa perlu dipanggil pulang selepas tamat pengajian peringkat ijazah pertama.
     Aku mengenepikan prejudis itu dan melangkah masuk dengan tenang ke bilik kuliah pagi itu. Selepas memberikan salam, aku memulakan kuliah Falsafah Pendidikan dengan meminta mereka memberi maklum balas mengenai apa tujuan belajar dan apa itu ilmu?
     Menarik juga mendengar pendapat mereka yang diasaskan daripada beberapa teori baharu. Ternyata mereka terdedah juga dengan bahan bacaan terkini.
    "Apa tujuan kita belajar?, aku cuba meminta mereka membuat rumusan.
    "Untuk hidup."
     "Apa tujuan kita berilmu?, tanya aku kembali.
     "Juga untuk hidup."
     "Apa komen saudara terhadap suasana ekonomi negara semasa?"
      Seorang pelajar yang bertubuh agak tinggi tiba-tiba berdiri dan berhujah.
     "Pemimpin kita gagal mentadbir negara dengan baik. Kita ada sumber berharga tapi gagal menjadi negara maju. `Hanky-panky' ada di mana-mana. Kami sendiri adalah mangsa ini," ayat terakhir itu disuarakan dengan kuat.
      "Apa maksud saudara?", aku mencelah.
     "Kami telah membuang masa bertahun-tahun tapi kerajaan gagal menyediakan peluang pekerjaan untuk kami," sampuk seorang pelajar yang berada di baris belakang.
     Ternyata kata-kata itu mendapat tepukan gemuruh. Aku tidak segera panik dengan provokasi itu, lantas menyejukkan keadaan dengan sebuah anekdot pendek.
     "Seorang murid saya di sekolah rendah dahulu hanya sempat belajar sehingga Tahun 6. Bapanya seorang pemilik kedai basikal. Dengan ilmu asas membaca, menulis dan mengira, dia membantu bapanya di kedai setelah berhenti sekolah.
     "Kini hanya selepas kira-kira lapan tahun, dia telah mempunyai kedai basikal sendiri di sebuah kawasan perumahan baharu di kampung saya."
     Ternyata pelajar-pelajarku tertarik dengan cerita itu. Aku mendapat kesan itu apabila melihat mereka mendengar dengan tekun kata-kataku. Melihat keadaan itu, aku meneruskan cerita.
     "Seorang sepupu saya seorang sarjana Fizik lulusan Amerika. Bapa dan emak saudara saya sering sahaja bercerita mengenai kerisauannya. Sepupu saya itu masih tidak bekerja walaupun telah lebih tiga tahun pulang. Dia juga seperti sebahagian saudara-saudara, sering sahaja menyalahkan kerajaan."
     Pelajar-pelajarku mula kelihatan menundukkan kepala.
     "Sekarang mari kita fikirkan bersama. Siapakah sebenarnya yang dapat memanfaatkan ilmu? Murid saya yang hanya belajar setakat Tahun 6 atau sepupu saya yang telah menghabiskan kira-kira suku abad usianya untuk belajar?"
      Oleh kerana tiada yang memberi reaksi, aku cuba menutup kuliah itu.
     "Ahad lalu saya bertemu bapa saudara saya di kampung. Dia bercerita mengenai sepupu saya lagi; masih duduk di rumah menanti surat lamaran kerja. Apa kata bapa saudara saya lagi?"
     Sehingga di situ aku berhenti berkata-kata seketika.
     Sewaktu kulihat pelajar-pelajarku bagai ingin tahu apa terjadi seterusnya, aku meneruskan cerita.
     "Bapa saudara saya berkata, dia dahulu dapat menyara lapan orang anak walaupun tidak bersekolah tapi anak-anak hari ini bukan sahaja tidak mampu membantu ibu-bapanya malah tidak mampu menyara hidup sendiri walaupun sering bermegah dengan lulusan sarjana luar negaranya."
     Aku meninggalkan bilik kuliah yang bagaikan tidak berpenghuni lagi.

Tiada ulasan: