Khamis, 16 Mei 2019

Jangan Menghina Orang Miskin

Ratna Laila Shahidin
"Cikgu Bayah masih ada?" tanya saya.
"Masih. Suaminya Cikgu Yaya yang dah meninggal. Hari tu Nyah tumpangkan dia. Rasa macam mahu cakap sesuatu je..."
Saya memandang kakak.
"Anak-anaknya?" tanya saya lagi.
"Yang kecik itulah yang nak kahwin ni. Dah 40 umurnya. Mereka suami isteri memilih. Anak-anaknya juga memilih. Kalau yang datang itu orang biasa-biasa, diludah-ludahkannya. Tak setaraf, kata mereka. Anak-anak yang lain tak menjadi juga. Mak ayahnya dulu zalim sangat..."
Cepat saya menoleh ke arah kakak. Kakak saya spesis tulus dan berterus-terang.
"Yang ingat tak apa yang mereka pernah buat kat kita?" soal kakak menduga daya ingat saya.
Saya menggeleng. Kalau masih ingat pun, cuma fitnah mereka terhadap saya dahulu, sehinggakan ayah dan emak pun hampir percaya akan "kesombongan" saya.
Ceritanya begini...
Waktu di Ipoh, saya bersekolah di MGS, anak mereka muda setahun daripada saya bersekolah di RPS. Kebetulan MGS ada dua buah asrama. Saya ditempatkan di asrama Kinta, asrama lama. Pelajar-pelajar junior ditempatkan di asrama baharu, yang berdekatan pula dengan asrama RPS.
Jarak asrama lama dan baharu sangat jauh. Kami di jalan Gopeng, mereka pula di tempat lain, Jalan Raja Perempuan. Haluannya pun berbeza. Emak mahu mengirim barang kepada saya. Jadi, emak mengirimkannya kepada kedua-dua suami isteri itu. Rupa-rupanya apabila balik, mereka membuat cerita bahawa saya enggan turun dan sangat sombong tidak mahu menemui mereka.
Sebenarnya mereka memang tidak suka emak mengirim-ngirim barang kepada saya. 
Marahlah emak dan ayah. Saya kebingungan apabila pulang bercuti. Emak dan ayah terkilan dengan sikap saya. Hampir menangis saya menerangkan bahawa saya dan anak cikgu-cikgu itu bukan di asrama yang sama. Jaraknya pun jauh, kena naik bas untuk sampai ke asrama baharu. Malahan saya tidak tahu pun mereka ke Ipoh bertemu dengan anak mereka.
Kembali kepada cerita kakak.
Kata kakak, oleh sebab kami miskin; kedua-dua cikgu itu sangat memandang hina. Kami akan diasingkan daripada pelajar-pelajar lain. Apa saja kebolehan kami, akan dinafikan. Pernah sekali, kata kakak; dia diarahkan berdiri di luar kelas berjam-jam kerana kepalanya dijangkiti kutu. Akibatnya, saya pun diarah juga berdiri di luar.
Mujur saja ada guru lain yang bersimpati.
Malahan kata kakak, banyak sekali kata-kata hinaan yang keluar daripada mulut cikgu-cikgu suami isteri itu. Maklumlah, ayah jatuh sakit dan emak yang terpaksa mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga. Kami memang sangat miskin waktu itu. Pakaian lusuh dan tidak berganti. Buku yang diminta pun tidak mampu kami beli.
Saya memang selalu lupa, sebab kasihan melihat cikgu itu yang sudah tua. Jalan pun terhegeh-hegeh. Tetapi kakak masih terlalu ingat. Dia seperti enggan memaafkan walaupun episod duka itu sudah lama berlalu.
Tetapi perkara itu memberi teladan kepada kita. Apa sahaja perlakuan kita, akan selalu dikenang orang. Jangan menghina orang miskin kerana kita tidak tahu nasibnya di kemudian hari. Kita juga tidak tahu untung nasib kita kelak.
Apalagi sebagai guru. Ketika kita sudah terhegeh-hegeh akibat ketuaan dan uzur, pelajar yang pernah kita hina itulah akhirnya yang sanggup memimpin kita. Seperti Cikgu Bayah itu, di mana mahu dia sorokkan mukanya apabila terpaksa menumpang kereta pelajar yang tidak pernah dipandangnya dulu?  Sedangkan dahulu, bukan main sombong dan angkuh lagi dia.
Macamlah gaji guru waktu itu sehebat gaji pemilik gedung Harrods!

oleh: Ratna Laila Shahidin

Tiada ulasan: