Khamis, 24 Oktober 2013

Hanya Doa

Aku sembunyikan kegelisahan yang bergelodak dalam diri. Sebagai seorang guru, juga ketua ekspedisi ini, aku cuba sembunyikan kegelisahan itu sebaik mungkin. Hari semakin petang, suara penghuni hutan bersahutan. Kadang-kadang menyeramkan.
    “Macam mana cikgu?”
    “Siapa nak tolong kita.”
    Pelajar seramai 25 orang itu semakin gelisah. Wajah ceria ketika sampai di hutan rekreasi pagi tadi semakin kusam. Aku benar-benar kasihan. Hutan sekeliling mula diserkup kegelapan.
    “Kita teruskan,” kataku dengan senyum yang meyakinkan. Macam-macam yang timbul dalam kepalaku. Pelajar Tingkatan Empat ini amat akrab dengan aku. Semuanya ahli Persatuan Pencinta Alam. Hutan yang sedang aku tempuhi bukan asing, sudah berkali-kali aku meredahnya. Hanya kali ini, aku mengubah haluan perjalanan. Aku cuba mencari jalan baharu ketika menuruni Puncak Bukit Catak tadi.
    Sebagai seorang guru, sebagai pemimpin, pada setiap kali kami berhenti rehat, aku memberi perangsang. Aku memberi keyakinan dan pilihan terakhir serta apa yang patut dilakukan sekiranya kami terpaksa bermalam di dalam hutan. Kedatangan aku bersama ahli rombongan tanpa kebenaran pengetua dan ibu bapa pelajar benar-benar merungsingkan fikiranku. Lazimnya sebelum matahari jatuh, kami sudah pulang ke rumah masing-masing.
    Aku terus mengepalai perjalanan meredah hutan yang semakin gelap. Hanya sekadar berbekalkan keyakinan dan harapan. Aku berpesan agar 15 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan yang bersama-sama dengan aku tidak berputus asa. Semuanya mesti menanamkan keyakinan dan berdoa kepada Tuhan.
    Tiba-tiba salah seorang daripada pelajar lelaki meminta kami semua mendiamkan diri dan memasang telinga. Aku turut menerima arahannya. Dalam kesunyian malam, dia menjerit keriangan. Katanya, “doa kita diterima Tuhan.” Kami mengubah arah perjalanan menuju ke arah matahari naik. Benar seperti yang dijangka. Kami menadah tangan kesyukuran ketika kami menjejakkan kaki ke atas jalan raya.
    Beberapa minit selepas berada di jalan raya, sebuah lori kecil menumpangkan kami dan ketika sampai di sekolah, suasana riuh dengan suara ibu bapa dan pihak pentadbir sekolah. Kepulangan kami disambut dengan penuh kesyukuran. Esoknya aku dipanggil oleh pengetua dan selepas menerangkan perkara sebenar, pengetua menasihati aku agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.
    “Jangan mengambil mudah dalam perkara yang kita rasakan sudah menjadi kebiasaan kepada kita. Kita perlu merancang perjalanan supaya tidak sesat lagi. Kita perlu bertanggungjawab terhadap murid kita dan ibu bapanya sekali,” ujarnya. - Omar Mamat

Tiada ulasan: