Sabtu, 28 September 2019

WHO'S WHO: Nordin Abd Malek Dari Sudut Pandang Bekas Pensyarahnya...

Bersama-sama Nordin di institut latihannya di Kampung Gajah, Perak
Nordin Abd Malek adalah antara pelajar awal saya sewaktu mula berkhidmat sebagai pensyarah Unit Teknologi Sumber Pengajaran (kemudiannya menjadi Jabatan Teknologi Pendidikan) pada Mac 1991.
Sebagai guru dan kemudiannya pensyarah, sejak awal saya berpegang kepada premis `kalau tidak mampu menghayati murid/ pelajar itu sebagai anak, adik, rakan - lupakan profesyen ini.'
Saya berada di Ipg Kampus Raja Melewar hampir 20 tahun (Mac 1991-Disember 2009) sebelum bersara awal (56 tahun) dan lama sebagai Ketua Pusat Sumber, kata-kata di atas adalah frasa wajib yang saya sampaikan sewaktu sesi memperkenalkan institut pada Minggu Pengurusan Pelajar Baharu.
Tanya bekas pelajar, ayat ini mungkin antara ayat yang `dibenci' sewaktu mereka dalam mood riang gembira apabila dipilih sebagai bakal guru terlatih.
"Sekiranya anda tidak mampu berperanan sebagai ayah, ibu, rakan kepada pelajar kamu lupakan profesyen itu. Sudah lama kami memelihara citra `an honourable job' ini. Jangan sesekali LACURKAN profesyen yang mulia ini. Saudara-saudari belum mengisi borang perjanjian. Masih ada waktu untuk keluar dalam sistem kami!"
Di sini J.W.W Birch dibunuh; Kami ingin `membunuh' persepsi...

Saya mengenali Nordin secara dekat apabila ditugaskan sebagai Pensyarah Penasihat Persatuan Teknologi Pendidikan oleh pengetua ketika itu Cik Hajah Putri Kamariah Megat Ramli. Pengalaman panjang sebagai penulis kreatif dan deskriptif kerana masih berkhidmat sebagai stringer Berita Harian memungkinkan saya mengesan bakatnya dalam `soft skill' ini.
Tanpa berfikir panjang saya memberi tanggungjawab kepada Nordin sebagai Ketua Editor buletin`Info' antara pembaharuan yang saya bawa ke Maktab Perguruan Raja Melewar. Ia tentunya berkait rapat dengan hasrat Naib Pengetua ketika itu, Haji Elias Md Hanafiah yang `datang meminang saya' sebagai pensyarah sewaktu bertugas sebagai guru siswazah di Sekolah Teknik Tuankui Jaafar (STTJ nama kecintaan pelajar ketika itu).
Haji Elias tahu pembabitan saya dalam bidang penulisan dan penerbitan - Setiausaha Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), stringer Berita Harian, pemilik (proksi) syarikat penerbitan/ pencetakan.
Ternyata pilihan saya tepat. Nordin pelajar yang proaktif - tidak perlu disuruh dan dipantau - `Info' buletin bulanan (antara pembaharuan yang saya bawa) mampu terbit sepanjang Nordin berada di MPRM.
Di samping itu saya turut membantu Persatuan Bahasa Melayu yang diurus seorang lagi Cik iaitu Cik Hajah Sabariah Maarof dan Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin (yang kemudiannya menjadi Ketua Satu PEN dan saya Ketua Duanya).  
Sekali lagi saya bergaul rapat dengan Nordin - membantu pasukan bahas maktab dalam pertandingan peringkat kebangsaan di Batu Pahat.
Saya masih ingat benar, Nordin, Eh Ding (Din! Tolong ingatkan saya nama penuh rakan pasukan bahas kamu yang cun berketuruinan Siam tu) menangis apabila gagal menjadi johan sedangkan semua mata tertumpu kepada Nordin dan Eh Ding yang mempunyai citra seorag orator yang luar biasa pada peringkat umur itu.
Menariknya dalam kehidupan peribadi, Nordin kemudiannya menjadi pesaing ketat saya untuk mencuri perhatian seorang wanita yang masih belum berumah tangga - pengetua kami - Cik Hajah Putri Kamariah Megat Ramli, ibu saudara Timbalan Menteri Megat Junit Megat Ayob.
Kalau saya sering dipanggil ke pejabatnya untuk urusan rasmi yang kemudiannya (selepas habis waktu pejabat hingga nak masuk waktu Maghrib) bertukar sebagai rakan, Nordin mempunyai kelebihan - dia tinggal di asrama dan Cik Putri tinggal di bilik Makmal Unit  Ekonomi Rumah Tangga.
Setelah meninggalkan maktab, saya mendapat tahu Nordin yang kemudiannya berkahwin dengan Zamnah Khalil (budak Johol) rakan sekuliahnya menamatkan perkhidmatan sebagai guru lepasan maktab, menyambung pengajian peringkat universiti, sering menulis di akhbar, membuka Institut Skilltech; kemudiannya I-Grow, datang ke syarikat percetakan milik adik saya uintuk menempah sijil, beg dan sebagainya, menjadi Pengerusi Persatuan Institut Latihan Swasta, rapat dengan Musa Aman, rapat dengan Najib Razak, rapat dengan Tun Mahathir dan etc. etc.
Ternyata sebagai `talent scouter' yang baik telahan saya pada 1991 terhadap Nordin Abd Malek adalah tepat. Dalam usia yang relatif masih muda saya berkeyakinan penuh, Nordin bakal menjadi pemimpin pada peringkat yang lebih tinggi nanti.
Bagi saya bekas pensyarahnya, Nordin Abd Malek adalah model seorang guru yang bukan sahaja `TIDAK MELACURKAN THIS AN HONOURABLE JOB' tapi menepati frasa yang sering saya `suapkan' kepada pelajar-pelajar saya malah turut termuat dalam `visual biography' saya `Sang Pencerita.mp4' di saluran Zulkifli AbuYouTube.
"A Teacher Teach. A Good Teacher Explain. An Excellent  Teacher, Inspired" Itulah Nordin.

Tiada ulasan: