Pak Andy alias Alex Putra |
Aku mula menggunakan khidmat buruh yang berasal dari Indonesia ini sejak kerja-kerja ubahsuai Studio Sang Pencerita, rumah teres dua tingkat selang empat pintu dari rumahku yang ada sekarang di Taman Pinggiran Golf, Seremban.
Lepas itu sewaktu kerja lanskap di bahagian belakang rumah yang bersempadan dengan Seremban International Golf Club (SIGC) itu.
Paling ramai tentunya sewaktu aku membangun Laman Sang Pencerita, sebuah taman tema mini di atas tanah seluas 10 ekar di Batu 7, Jalan Labu; kampungku sendiri.
Dalam ramai-ramai pekerja atau disebut karyawan dalam kalangan buruh kontrak Indonesia, Pak Andy agak luar biasa.
Luar biasanya itu dia tidak pernah ambil pusing mengenai gaji. Sewaktu Edo Pratama, budak Lampung dan Walid budak Sedulang yang pasti mahukan gaji pada setiap hujung minggu untuk dihantar pulang ke Indonesia, Pak Andy sering berkata,"
"Saya cuma mahu RM100 Datuk," itu panggilan Pak Andy kepadaku sejak lebih dua tahun lalu.
Walaupun Pak Andy tidak bekerja denganku lagi, kami sentiasa berhubungan sama ada melalui telefon ataupun Facebook ataupun Messenger. Kalau tak silap Pak Andy ada lebih dua akaun Facebook.
Aku diperkenalkan kepada Pak Andy oleh Edo Pratama yang waktu itu sedang membuat kerja-kerja ubahsuai rumah jiranku.
Pak Andy aku terima kerja di Labu dan pada hari kedua dia mula memperlihatkan keluarbiasaannya.
"Datuk! Pak Andy ini banyak kehebatannya. Dia boleh mengubat orang sakit," kata Edo pada suatu petang.
Sedang belajar melukis dengan Nasha Damsyik |
"Budak tu tak hendak duit Zul. Puas emak suruh ambil dia tak nak," cerita emak pada suatu hari mengenai keengganan Pak Andy menerima hadiah emak.
Lebih mengejutkan aku, Pak Andy juga tidak mahu menerima upah kerjanya setiap hujung minggu.
"Datuk simpan sahajalah. Beri saya RM100 cukup," katanya sewaktu aku membawa mereka `shopping' di Palm Mall, Seremban.
Tinggal bersama mereka di banglo tua milik Allahyarham mentua di hadapan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP), Labu itu membolehkan kami lebih akrab, bagai adik-beradik.
Setelah penat bekerja pada waktu siang aku mengajar Edo, Walid dan Pak Andy ilmu komputer. Peliknya walaupun tidak bersekolah tinggi, ketiga-tiga mereka cepat menguasai perisian Adobe Photoshop atau Media Studio Pro - perisian suntingan video.
Nasha Damshik yang datang sekali-sekala aku suruh pula mengajar melukis dan fotografi. Ternyata ketiga-tiga juga pandai melukis dan mempotret.
"Datuk jangan risaulah. Kesemua yang berhutang dengan Datuk akan melunaskannya dalam tempoh terdekat. Kawan Datuk, Ghazali akan bayar bulan Mei, yang bernama Bustamam bulan Juni dan Zulkifli akhir tahun," kata Pak Andy pada suatu malam.
Menurut Pak Andy, Edo telah menceritakan kepadanya bahawa ramai kawan-kawanku yang mengambil kesempatan atas kelembutanku hingga jumlahnya hampir RM400,000
Ah! Rupa-rupanya Pak Andy ini ada ilmu magis jugakah?, fikirku.
Walaupun aku tidak boleh percaya perkara-perkara khurafat begini, setidak-tidaknya aku terasa lega juga kerana rakan-rakanku yang berhutang akan membayarnya.
Mungkin berdasarkan premis itu, aku patuhi sahaja permintaan Pak Andy yang tidak mahu menerima gajinya.
`Shopping' di Palm Mall. Edo, kri, Pak Andy, kanan |
Aku juga sudah berjanji dengannya untuk menghadiahkan 25% daripada jumlah hutang itu kepada Pak Andy.
"Setidak-tidaknya duit dalam jumlah yang besar itu akan membolehkan Pak Andy membina hidup baharu di Indonesia tanpa bekerja sebagai buruk kontrak tanpa permit di Malaysia," getus hatiku.
Masa terus bergulir. Kini Pak Andy berada di Balakong.
"Tuk! Bisa tak saya dapatkan gaji yang saya kerja di Labu dulu?"
"Bisa," kataku menjawab panggilan telefonnya.
"Pak Andy! Berapa jumlahnya ya?"
"RM4,000 Tuk."
Aku tersentak seketika.
"Insya-Allah Pak Andy. Nanti bila saya dapat duit jual tanah, saya akan lunaskan."
"Ya Tuk," jawab Pak Andy patuh.
Semalam bakal pembeli tanah yang memungkinkan aku dapat sekitar RM100,000 menghantar mesej.
"Kami tidak dapat meneruskan pembelian. Kami ingat ia berasaskan JV. Kalau suruh bayar RM800,00 dahulu, kami memang tidak mampu."
"Ah! Mana aku nak cari duit Pak Andy? Ah Keong rakan kongsi Laman Sang Pencerita sudah lama angkat tangan setelah menghabiskan hampir RM200,000 manakala aku hilang sekitar RM100,000
Insya-Allah aku tetap yakin. Selagi kita percaya Allah itu ada, Allah Itu Maha Penyayang dan Pemurah, adalah nanti duit Pak Andy itu nanti.
"Sorry Pak Andy ya! Bayar tetap bayar, cuma masanya belum diizinkan."
Telekan Pak Andy terhadap orang yang berhutang denganku juga macet. Aku tak pasti bila mereka mahu melunaskannya. Yang pasti aku masih berhutang RM4,000 dengan Pak Andy.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan