Halaman

Khamis, 6 April 2017

Tuham, Karyawanku Yang Pakai `Hantu'

Kami menghadiahkan foto besar kepada Am sebagai tanda eratnya persahabatan.
Kalau Pak Andy tidak pernah tanya pasal gaji, Tuham pula tak pernah tetapkan berapa gajinya sehari. "Terpulang kepada Hajilah," begitulah biasanya dia berkata.
Tuham yang lebih senang dipanggil Am bertubuh besar gempal. Bagaimanapun kekuatan fizikal tidak menggambarkan kekerasan - Am lembut bertutur-kata dan penuh budi bahasa. Lirikan senyumnya memikat dan boleh meruntun hati Sang Cewek.
Nak tahu akrabnya hubungan aku dengan Am tanya Nasha Damsyik. Nasha turut menyenangi Am dan kerana itu tidak hairanlah kami sering juga mengunjungi Am di rumahnya, di Blok C, Ampangan.
"Bang! Am `accidentlah'. Kakinya patah. Motosikal besarnya remuk," beritahu Nasha pada suatu hari.
"Mari kita ziarah," ajakku cemas.
"Dia tak da di sini. Dia dah balik kampung untuk berubat," tambah Nasha.
"Jadi, mana kau tahu."
"Saya ke rumahnya tadi nak ambil ketam elektrik yang dipinjamnya. Kawan dia yang beritahu," cerita Nasha lagi.
Kerinduan terhadap Am terubat juga apabila kira-kira tujuh bulan kemudian aku terdengar bunyi kereta di bahagian belakang rumah setelah agak malam. Biasanya aku sahaja yang meletak kereta di bahagian belakang rumah kerana ada empat lagi kereta di `porch'.
"Assalamualaikum! Assalamualaikum Haji,"
Aku pasti itu suara Am. Di tangannya terjenjeng beberapa bungkusan plastik.
"Ole-ole dari kampung Ji. Ikan kering dan ikan pekasam. Bukankah saya Orang Laut," Am bercanda merujuk kampungnya di sebuah pulau berhampiran Madura itu.
Hampir menitis air mataku apabila melihat Am malam itu. Dia bagai tidak seperti dahulu. Tubuhnya semakin susut.
Terbayang di benakku Am yang sedang memanjat dinding untuk melekatkan jenang yang diperbuat dari kayu belian yang kuat dan berat itu.
Kayu belian itu dibawa dari Sarawak oleh rakanku Shaharudin, lebihan yang digunakan untuk banglonya.
Lebih memelikkan aku, dia boleh mengendong tingkap kayu belian yang berukuran 4 X 7 kaki bersendirian sewaktu memasang engsel di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu sendirian.
Tangan kanannya menyauk tepi tingkap ambil tangan kanan memaku. Tidak seperti karyawan lain, Am memang suka kerja bersendirian.


"Saya suka sorang-sorang Ji.
"Itu gazebo di Seremban 2 yang panjangnya 30 kaki itu, saya buat seorang sahaja Ji. Apa pula yang kecil ini," katanya sewaktu aku tinggalkan dia sendirian membina kerangka gazebo sewaktu aku sekeluarga bercuti di Universal Studio, Singapura selama dua hari satu malam.
Balik sahaja gazebo itu sudah siap.
"Hei Am! Kau pakai hantukah? Siapa yang tolong." Am hanya tersengih.

Catat Ulasan