Halaman

Khamis, 6 November 2014

Apa Dimegah Hartanya Orang...

Tanah isteri Anjung terletak bersebelahan rumah adikku Rusni; tempat tinggal emak dan abah kini.
KEHADIRAN kambing, lembu dan babi hutan ke kebun dan memusnahkan tanaman serba sedikit menurunkan darjah kerajinanku. Jangan bercerita mengenai pokok tahun seperti nangka atau mangga yang ditanam oleh Leman lebih dua tahun yang lalu, sebodoh-bodoh pokok untuk menanamnya seperti ubi dan kelapa yang kutanam juga hidup segan mati tak mahu.
    Batang ubi Medan yang aku ambil dari tanah Anjung, sepupuku kering dan mati akhirnya bahana air liur kambing yang aku boleh agak siapa pemiliknya.
    Aku juga terpaksa bersilat pulut dengan babi hutan. Hari ini aku tanam kelapa mataq yang kubeli dari rakan lamaku, Dino Agro di Pasar Tani Paroi Jaya, dua tiga hari kemudian disondolnya. Aku tanam kembali, dia sondol lagi.
    Sebagai pengubat duka buat sementara, aku membersihkan kebun Anjung yang hanya terletak bersebelahan rumah adikku Rusni, tempat tinggal kedua-dua ibu bapaku sekarang. Kebunnya semak dan mengganggu pandangan.
    Selepas membantu emak memandikan abah, aku menyarung but lalu meminjam parang panjang milik Mak Lang yang tinggal sebelah rumah dan buat beberapa hari pokok ubi yang sudah lintang-pukang keadaannya, aku bersihkan.
    “Jung! Apa tak pungut pucuk ubi kau? Sayang, terbiar sahaja,” suatu pagi sebelum kerja-kerja pembersihan bermula, telefon mohon kebenaran dibuat.
    Anjung adalah sepupuku (emak kami adik-beradik) dan pernah tinggal bersamaku kerana emak dan abahnya meninggal dunia sewaktu mereka kecil.
    Dia bukan sekadar sepupu tetapi bagai abangku (dia tua setahun) dan dua lagi adiknya turut tinggal bersama – Tapa dan Mansur.
    Setiap kali aku menelefon Anjung, dia akan segera menyerahkan butir perbincangan kepada isterinya.
    “Cakap dengan Kak Ngah kau!,” begitu dia selalu memberi alasan.
    Aku tahu tanah pusaka seluas 1/8 ekar itu dibeli dari bahagian abangnya Along Amat tapi Kak Ngah yang membayarnya. Jadi tanah itu bukanlah milik Anjung sebenarnya tapi milik Kak Ngah.
    Itu bukan persoalan bagiku. Aku sememangnya tidak berminat dengan tanah pusaka.
    Apa yang menjadi tanda tanya kepadaku cuma sikap Anjung yang tidak mahu pulang lagi ke rumah kami sejak sekian lama. Abah pula terlalu uzur dan sudah lama tidak boleh berjalan kerana penyakit sarafnya.Rumahnya pun bukan jauh; cuma sekitar 15Kilometer iaitu di Bandar Baru Nilai.
    Menurut empunya cerita, Anjung kecil hati dengan kedua-dua ibu bapaku. Puncanya tak pernah diketahui.
    “Masa kerja tukang dengan dia; bukan bayar gajipun,” itu antara komplen Anjung terhadap abah.
    Dua minggu lalu Anjung pulang ke kampung memungut pucuk ubi yang subur hasil pangkasanku.
    Kak Ngah sahaja yang buat kerja tu sedangkan dia berbual panjang di rumah sepupu sebelah ayahnya, Fendi yang rumahnya sebelah rumah Rusni.
    “Tak ada ke dia jenguk abah dan emak?,” tanyaku pada suatu pagi.
    Emak menggeleng hambar.
    Beberapa hari kemudian Anjung dan Kak Ngah datang membersihkan kebunnya lagi. Kali ini mereka turut mengajak Md. Zain menantu Tajum yang bisu untuk meninggikan pagar tempat aku menyeberang selalu.
    Sebagai orang tua, aku faham. Anjung tak mahu aku mengusik kebunnya lagi dan pada masa yang sama mungkin dia terlupa bahawa kebun isteriku jauh lebih luas daripadanya.
    Bezanya selama ini aku tetap tidak berubah pegangan sejak dahulu. Harap-harap begitu – harta itu boleh menjamin syurga ke? Harta itupun bukan harta kita.
Catat Ulasan