Halaman

Khamis, 26 Januari 2012

Trauma

Sekitar pertengahan 60-an.
Aku sedar sangat kesulitan abah dan emak. Awal pagi lagi setelah menyediakan teh `o’ dan ubi rebus atau apa yang ada sebagai sarapan kami sebelum ke sekolah, mereka menuju ke kebun getah di sempadan hutan.
    Abah atau emak tidak ada kebun sendiri, jadi mereka menoreh di kebun orang dan hasilnya di bahagi dua. Pada sebelah petangnya pula mereka ke sawah di baruh; dan hasilnya dibahagi dua juga.
    Walaupun masih di darjah empat atau lima, sebagai anak sulung aku cepat mengerti keperitan hidup mereka. Aku akur dengan keadaan yang wujud tapi aku tidak dapat menerima tingkah laku Nek Jenab, pangkat sepupu nenekku ketika berurusan dengan emak.
    Entah apa dosanya, aku sering melihat emak dihina oleh Nek Jenab yang kami kenali sebagai orang paling berada di Kampung Pelegong. “Tengok tu! Itulah rupanya orang bangsat!,” celupar sangat mulut Nek Jenab bertubuh gempal itu mencerca emak.
    Sebagai anak yang terdidik dengan kelembutan, sifat kurang ajar Nek Jenab sering menjengkelkan. Aku pernah bertanya dengan emak, adakah apa-apa kesalahan yang dilakukan olehnya hingga dendam Nek Jenab bagai tidak berkesudahan.
    “Seingat-ingat emak tidak ada. Biarlah dia bercakap, kalau kita tidak buat, apa pula yang hendak dirisaukan,” begitulah selalunya emak memberi alasan.
    Hinggakan emak dituduh meracun Tok Godang, ayah kepada Nek Jenab sendiripun, emak tidak ambil pusing.
    “Biarlah dia tuduh. Allah tahu mana yang benar,” bersahaja emak meluahkan kata.
    “Aaaaaah! Kita ada maruah mak! Sampai bila emak sanggup dihina. Kalau kita tidak menyatakannya, orang akan terus-terusan menganggap itu BENAR,” kesabaranku hilang.
    Kesabaranku ranap seranap-ranapnya apabila pada suatu petang, aku dan emak yang dalam perjalanan pulang dari sawah dihina secukup-cukupnya oleh Nek Jenab. Di atas jambatan berhampiran rumah Nek Sekrah, kemiskinan kami dijadikan bahan cercaan.
    “Tengoklah orang tak berharta. Motong, gotah orang. Sawah, tanah orang. Inilah orang bangsat!”
    Sambil menggetap bibir dan menggigil menahan kesabaran, aku tidak sedar cangkul di tangan terlayang ke kepala Nek Jenab.

Awal 2012
Kes 1
“Aku dah masuk nama pencetak dan jilid balik buku itu. Aku tidak mahu pembeli tertipu.”
    “Baguslah sikap begitu tapi kau awal-awal lagi sudah menipu aku. Berapa kali janji nak bayar, tapi sudah masuk lima bulan, tidak ada apa-apa pun. Teruk, apabila penulis sudah lupa makna kosa kata mudah – sebelum Raya dan `dua minggu lagi aku bayar.’
Kes 2
“Kau datang rumah aku sekarang juga!  Sekarang! Aku hendak duit aku balik!”
    Bagai orang bodoh, aku segera menghidupkan enjin motosikal dan tidak lama kemudian sudah berada di depan pintu rumahnya.
    “Kau memang mementingkan diri. Sudah sebulan aku minta duit tu… Mana broadband tu? Tahu pinjam, tahulah pulangkan” (kalau hendak menjadi budak-budak, mahu sahaja dinyatakan barang aku yang kaupinjam dan lebih tinggi nilainya seperti buku rujukan, tidak kau pulangkan langsung) dan pelbagai kata nista lagi dihambur. Dua tiga peristiwa hampir serupa yang kulihat sebelum ini, terjadi ke atasku pula.
Kes 3
Buku yang minta telah dicetak  dan dihantar ke pejabatnya tanpa deposit. Tuntutan RM3,500. Hanya beberapa hari kemudian baharu dapat bayaran. Itupun RM2,000. Sebelum ini aku pernah tidak tidur untuk menyiapkan bukunya tapi satu senpun tidak dibayar atas alasan tidak cukup muka surat, walhal itulah naskhah akhir yang sudah disahkannya.
    Setelah ditanyakan beberapa kali, mengenai baki bayaran, ini antara jawapannya.
    “Bakinya tunggulah pihak... bayar kepada saya.”
    “Saya berurusan dengan Dato’, bukan dengan … Jangan jadikan saya peminta sedekah titik peluh saya sendiri. Pejuang Melayu  jenis apa ni?”
    Hanya beberapa minit kemudian telefon bimbit berbunyi, “Apa yang Tuan Haji cakap ni…”. dan diungkitlah beberapa perkara.Tidak lama kemudian, satu pesanan ringkas singgah.
    “Jaga etika dan bahasa tuan.”
    Aku segera membalas. “Terima kasih. Saya trauma dengan penghinaan.”

Nota: Jangankan orang, hatta isteri, anak, menantu, adik, adik iparpun jangan sesekali cuba menghina. Wajah Nek Jenab yang berkain batik tanpa baju segera melintas lalu ketika aku diperlakukan begini.
Bagi yang pernah menerima suasana tidak terduga walhal semua orang tahu darjah kesabaranku tinggi, aku pohon maaf zahir batin.
Catat Ulasan