TIDAK
ada sesiapapun yang gemar dengan gelaran ini. Gelaran yang hanya memungkinkan
penerimanya berselipar (tidak boleh bersepatu) suatu ketika dahulu. Gelaran
yang membawa konatasi hina, tidak berduit malah secara perundangannya tidak
boleh meninggalkan negara apatah lagi untuk urusan yang berkaitan dengan
kewangan. Gelaran apakah itu? Ia, gelaran Si Bankrap.
Gelaran itulah yang terpakai padaku tanpa
dipinta sejak 23 Jun 2005. Malu? Secara legalnya memang cukup memalukan. Mengapa
tidak? Gelaran itu telah dipakaikan tanpa makluman, sewaktu sedang bergembira
bersama keluarga untuk ke Hong Kong. Di awal pagi itu, mesin pengesan maklumat
pasportku memancarkan warna merah dan mengeluarkan bunyi isyarat sewaktu hendak
melepasi kaunter Imigresen KLIA.
“Maaf! Anda dilarang meninggalkan negara.”
Bayangkan perasaan isteri dan anak-anak yang ingin memenuhi antara acara
kegemaran keluarga – melancong ke luar negara.
Sejak itu enam trip ke luar negara keluarga
tanpa ketua yang bernama suami atau ayah.
“Tak seronoklah pergi tanpa ayah!,” begitu sering diungkapkan Siti Atiqah dan
Siti Adibah setiap kali aku menghantar mereka ke lapangan terbang.
Bagaimanapun daripada segi moralnya, aku
sedikitpun tidak berasa malu. Mengapa perlu malu? Aku hanya menjadi mangsa
seorang rakan baik – menjadi penjamin kepada peminjam yang tidak
bertanggungjawab.
“Selesaikan masalah tu. Mengapa dibiarkan
terlalu lama? Ia mengganggu imej you,”
begitulah antara saran teman dan taulan. Kata-kata yang aku anggap meaningless. Kata yang bermakna adalah
kata yang diiringi sesuatu yang konkrit dan boleh menyelesaikan masalah.
Besar sangatkah tanggungan itu? Bukankah kau
baharu dapat duit graduiti? Bayar sahajalah!
Tidaklah besar sangat – cuma RM75,896.68 –
cukup untuk membiayai persekolahan seorang anak yatim.
Sebelum ini aku membiarkan sahaja masalah
ini berlalu. Aku tidak perlu pinjaman bank. Aku tidak perlu kad kredit. Tapi…
yang satu ini amat mengganggu – melancong.
Kesedaran untuk menanggalkan gelaran ini hanya
mula berputik kembali setelah aku mengenali Puan Rosmawati Abdul Ghani, Pegawai
Insolvensi yang baharu ditempatkan di Seremban beberapa bulan yang lalu.
Entah kenapa kata-kata pegawai muda ini
cukup meyakinkan dan aku dapat rasakan keikhlasannya untuk menyelesaikan
masalahku. Dengan konsultansinya, aku terpanggil untuk mendapatkan pelepasan di
mahkamah.
“Encik Zul tidak ada pilihan lain. Bayar
sahaja. Apa yang saya boleh bantu, angkanya dikurangkan. Boleh tak cari
RM30,000?”
Dalam redha tak redha, aku menyediakan bank
draf bernilai RM30,000 dan menyerahkannya di kaunter Jabatan Insolvensi Negeri
Sembilan.
Kelmarin, tanggal 18 Januari 2012 di
Mahkamah Tinggi Seremban, gelaran yang disarungkan tanpa diminta, telah
ditanggalkan.
“Zolkpli bin Abu. Anda diberi pelepasan
sebagai Si Bankrap,” kata wanita muda bergelar Penolong Kanan Pendaftar
Mahkamah Tinggi di kamarnya.
2 ulasan:
semoga dengan tanggalnya gelaran tersebut.. perniagaan Haji dapat terus bergerak maju..aminnn
Terima kasih atas doa itu. Insya-Allah.
Catat Ulasan