“Ji, kawan saya ini hendak mencetak buku
terbitan syarikatnya yang baharu ditubuhkan. Haji berilah harga yang berpatutan,”
kata kawan yang beristerikan seorang selebriti tempatan.
Aku terkejut badak kerana kawan yang
dimaksudkan adalah kawan sejak bujangku sewaktu aku mula berjinak dengan dunia
penulisan. Dia bertugas sebagai editor dan banyaklah tulisanku yang diterbitkan
oleh syarikat tempatnya bertugas.
Bagaimanapun sehingga hari ini aku tidak
pasti sama ada suami selebriti ini mengetahui lebih awal bahawa aku juga adalah
kawan kepada kawannya itu – Wallahualam.
Sebagai pernyataan kegembiraan kerana sudah
lama tidak bertemu, aku membawa kedua-duanya berserta adik iparku (pemilik
kilang pencetakan) ke Allson Klana Resort untuk makan tengah hari.
Kawan lamaku ini aku lihat bagai tidak lalu
makan dan asyik menunjukkan beberapa pesanan kerajaan (Local Order) yang telah diterimanya setelah aku menyatakan
persetujuan untuk membantunya menjadi penerbit sewaktu dalam perjalanan.
“Tak perlu tunjukkan LO itu. Kalau kawan
tidak menolong kawan, siapa lagi?,” beberapa kali aku `memarahinya.’
“Zul, sampai bila kita hendak menjadi
penulis sahaja? Kita sudah tua. Penerbit tulisan-tulisan kita sudah lama kaya
raya. Kita macam ini juga,” katanya sambil menguntum senyum yang boleh
meruntuhkan hati ribuan gadis sewaktu mudanya.
“Apa kata kita jadi penerbit pula?,”
sarannya sambil menunjukkan angka ribu-ribu pada LO yang terbentang di meja.
“Hussamuddin (Karangkraf), Ainon (PTS)
semuanya sudah jutawan,” dia berkali-kali membuat penegasan.
Ideanya aku kembangkan. “Apa kata kita
menjadi self-publisher? Beberapa
penerbit kecil milik penulis ini bergabung tenaga dan menubuhkan syarikat
pengedaran sendiri.”
“Betul tu Ji. Saya lama jadi editor. Yang
kaya raya mamak pengedaran majalah kami,” kata suami selebriti.
Dengan janji untuk melunaskan modal yang aku
dahulukan sebelum Hari Raya (kira-kira sebulan) aku bersetuju untuk
bekerjasama.
“Long, jangan silap lagi! Along sudah selalu
kena tipu oleh kawan-kawan Along sendiri. Cukuplah,” itu pesan adik iparku
sewaktu aku menghantarnya pulang ke kilangnya.
Hari ini, tanggal 22 Januari 2012 (bukan
sahaja Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji pun sudah lepas dan telah masuk tahun
baharu pula), wang modal hampir RM100,000 yang aku kongsi bersama seorang sahabat
lama dan wang Amanah Saham Bumiputera adik bongsuku masih belum tiba.
“Zul! Saya beri jaminan duit kau akan
dibayar minggu depan. Bayaran agak lambat bukan masalah saya tapi dia orang yang
buat cek.” Itu antara pesanan ringkas yang dihantarnya pada 21 September 2011.
Tertanya di hati. Sudah tidak tahu lagikah
kawanku ini mengira tempoh satu minggu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan